Doa tidak termakbul disimpan untuk akhirat
BERDOA adalah suatu ibadat. Insan dianggap melakukan kebaktian dan ibadat ketika berdoa kepada Tuhannya. Sama ada sesuatu doa dimakbul atau tidak, pahalanya sentiasa ada di sisi Allah. Justeru, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Doa adalah ibadat." Setiap doa pula dimakbulkan dari tiga segi, iaitu:
Doa yang dimakbulkan segera di dunia. Inilah yang biasanya menjadi harapan setiap orang yang berdoa. Ramai di kalangan insan yang memperoleh kurniaan hasil kesungguhan mereka berdoa. Kadangkala dengan begitu pantas dan kadangkala lewat disebabkan hikmah yang hanya Allah Maha Mengetahui. Tidak mustahil Allah menerima doa seseorang yang sama sekali dianggap mustahil oleh manusia.
Doa yang tidak dimakbulkan di dunia, tetapi disimpan untuk balasan kebaikan di akhirat di atas hikmah yang hanya dikehendaki Allah. Jika ia berlaku, hendaklah difahami bahawa ia adalah pilihan terbaik daripada Allah untuk hamba-Nya. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki, kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan dunia yang sementara.
Allah tidak memakbulkan sesuatu doa secara mutlak di dunia kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam, baik atau buruk di sebalik sesuatu perkara yang dimohon. Akal manusia kadangkala tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu. Doa diganti dengan keselamatan diri daripada keburukan yang akan menimpa. Insan terselamat daripada betapa banyak keburukan bukan kerana kehebatannya atau kebijaksanaannya tetapi kerana rahmat Allah yang barangkali berpunca daripada pelbagai doa kepada Allah.
Sesungguhnya, setiap Muslim wajar berdoa kepadaNya dan jangan berputus asa untuk mendapatkan rahmatnya, selagi ia untuk kebaikan diri kita dan sesama insan serta meminta perlindungan daripadaNya.
Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan
taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."
No comments:
Post a Comment