Kita harus yakin bahawa tidak ada sesuatu yang berlaku di mayapada ini yang Tuhan tidak tahu. Tidak akan berlaku sesuatu kalau Tuhan tidak izinkan dan tidak kehendaki. Apa sahaja yang berlaku tidak terkeluar dari rencana, rancangan dan jadual Tuhan. Dia pentadbir sekelian alam. Gugurnya sehelai daun kering di hutan belantara, Tuhan tahu. Menetasnya seekor anak ikan di lautan yang dalam, Tuhan tahu. Matinya seekor hama di celah-celah rumput, Tuhan tahu. Sebutir pasir menjadi batu di perut bumi pun Tuhan tahu. Bahkan bukan setakat tahu. Dia yang berkehendakkan ianya jadi begitu.
Di samping itu, segala apa yang berlaku itu tidak berlaku dengan sia-sia. Tuhan tidak membuat sesuatu dengan sia-sia. Apa sahaja yang berlaku, ada tujuan dan hikmahnya. Perkara yang berlaku itu akan membawa kepada perkara yang lain. Akan mencetuskan kesan yang lain. Akan memberi implikasi kepada pihak yang lain. Ia sambung-menyambung, kait-berkait, dan bermata-rantai dengan benda-benda yang lain.
Tuhan itu berperanan dalam segala hal. Tidak ada perkara yang Tuhan tidak masuk campur. Dunia ini ibarat pentas. Tuhan itu pengarahnya. Kita ini pelakon-pelakonNya. Apa sahaja yang dilakonkan di pentas dunia ini adalah mengikut arahan pengarahnya. Boleh juga diibaratkan dunia ini seperti papan catur. Kita dan segala apa yang ada di dalam dunia ini ialah buah-buah catur. Tuhan itu pencaturnya. Kita sebagai buah catur, tidak akan dapat bergerak kalau kita tidak digerakkan. Kalau kita tidak digerakkan maka akan diam membatulah kita.
Oleh itu segala apa yang berlaku, kembali kepada Tuhan. Tuhanlah puncanya. Tuhanlah pencetusnya.
Mengetahui hakikat ini, maka kita harus pandai menilai dan membaca segala perbuatan Tuhan. Kita perlu sentiasa mencari hikmah di dalam segala perbuatanNya samada yang berlaku pada orang lain, yang berlaku di dalam negara kita, yang berlaku di negara lain, lebih-lebih lagilah terhadap apa yang berlaku pada diri atau kumpulan kita sendiri. Pada setiap yang berlaku itu ada berita, tanda, isyarat dan pengajaran yang dapat kita cungkil – kalau kita mahu mencungkilnya.
Apabila berlaku sesuatu, kita perlu bertanya. Mengapakah ia berlaku? Apakah sebab ia berlaku? Apa puncanya? Apa kaitannya perkara itu dengan perkara lain? Apa akan jadi seterusnya? Siapa yang terkesan dengannya? Apakah bentuk kesannya? Siapa yang untung? Siapa yang rugi? Selepas berlaku perkara itu, akan ada atau tidak perubahan. Apa yang akan berubah? Siapa yang akan berubah? Apakah kesan daripada perubahan-perubahan itu? Apakah kehendak Tuhan dalam kejadian ini? Adakah kejadian ini berasingan atau bersabit dan bersambung dengan kejadian lain? Apakah rancangan Tuhan? Apakah pengajaran yang Tuhan mahu kita ambil? Apakah sikap kita selepas ini? Apa perubahan yang perlu kita buat? Adakah ini bala? Adakah ini ujian? Adakah ini hukuman kepada kesalahan kita yang lepas? Adakah ia balasan untuk kebaikan kita yang lepas? Apakah maksudnya dan kesannya pada diri dan perjuangan kita? Dan berbagai-bagai bentuk pertanyaan lagi.
Memang kita tidak akan dapat menjawab kesemua soalan ini. Orang yang kuat akal mungkin akan dapat menjawab sebahagian daripadanya. Orang yang terang mata hati mungkin akan dapat menjawab lebih lagi. Orang yang ada firasat dan pandang tembus mungkin akan lebih faham lagi tentang apa yang berlaku. Orang yang kasyaf mungkin sudah tahu lebih awal lagi perkara ini akan berlaku dan tahu pula segala hikmah dan rahsia-Nya.
Disebabkan segala sesuatu yang berlaku itu berpunca dari Tuhan dan Dialah yang mencetuskannya, maka kalau kita cungkil hikmah dalam apa juga hal dan kejadian, maka ia akan membawa kita kembali kepada Tuhan. Kita akan dapat lihat peranan dan “tangan” Tuhan. Kita akan lebih memahami iradah dan kehendak Tuhan. Kita akan lebih tahu cara Tuhan membuat sesuatu. Kita akan faham kenapa Tuhan membuat sesuatu itu. Kita akan dapat membaca jadual dan perancangan Tuhan. Kita akan tahu ke arah mana Tuhan mendorong kita.
Bila kita faham semua ini, maka segala kejadian dan perkara yang berlaku itu jadi kecil. Nikmat jadi kecil. Ujian jadi kecil. Halangan jadi kecil. Kesusahan jadi kecil. Musuh jadi kecil. Segala-galanya akan menjadi kecil. Yang kita rasa besar ialah Tuhan; yang merancangkan perkara itu berlaku. Justeru itu kita akan jadi tenang. Kita tidak takut. Kita tidak gentar. Kita tidak risau. Kita tidak bimbang. Semuanya, termasuk diri kita sendiri, adalah di dalam genggaman dan kawalan Tuhan. Mudah sahaja kita menerima apapun yang berlaku. Kita mudah sabar, mudah redha dan mudah kembali kepada Tuhan.
Tambahan pada itu, apabila kita faham dan sedar bahawa Tuhan ada peranan dalam hidup kita dan dalam apa sahaja yang berlaku pada diri kita dan diri orang lain, maka hati kita akan mudah terhubung dengan Tuhan. Kita akan dapat merasakan Tuhan sentiasa bersama kita. Tuhan itu sentiasa wujud dan berperanan dalam hidup kita. Ini akan menimbulkan berbagai-bagai rasa dalam hati kita. Rasa hebatnya Tuhan. Rasa gagahNya, perkasaNya, pengasihNya, pemurahNya dan berbagai-bagai lagi. Berikutan itu, kita akan turut rasa bersyukur denganNya, rasa malu, takut, cinta dan berterima kasih kepadaNya.
Inilah sebenarnya kerja orang-orang Rohaniah dan orang-orang sufi. Mereka sentiasa mencari-cari hikmah di dalam segala perbuatan Tuhan. Mereka sentiasa meninjau-ninjau dan mencungkil-cungkil rahsia di sebalik segala perbuatan Tuhan. Mereka mencari Tuhan melalui hikmah dan rahsia yang terkandung di sebalik fe’el atau perbuatanNya. Dengan cara itu, tidak lekang hati-hati mereka daripada berzikir dan merasa bertuhan. Inilah sumber ketenangan dan kekuatan mereka. Inilah sumber ilmu mereka. Inilah sumber kepimpinan mereka.
Inilah kerja yang patut kita lakukan. Akal mesti bekerja. Hati juga mesti bekerja. Akal perlu berfikir dan bertafakur manakala hati perlu berzikir dan merasa-rasakan tentang segala hikmah dan rahsia di dalam perbuatan Tuhan. Ini lebih baik dari bersembahyang sunat seribu rakaat yang tidak khusyuk. Ini lebih berkesan untuk membuatkan kita rasa insaf tentang kedhaifan, kelemahan dan kekerdilan diri kita. Kita akan rasa terlalu kecil dan lemah di hadapan Tuhan. Ini akan mendorong kita mencari perlindungan dan bergantung harap dengan Tuhan.
No comments:
Post a Comment