Manusia tidak akan mengetahui empat hal ghaib iaitu kelahiran, rezeki, amal dan kematian atau kesudahan hidupnya sama ada celaka atau bahagia sebagaimana tercatat dalam kitab Allah subhanahu wa ta`ala di Luh Mahfuz.
Empat rahsia itu tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa kerana manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas. Manusia tidak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku agar ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa wujud pada nalurinya.
Jasmani dan rohani terus bergelojak menyahut seruan Pencipta memandangkan dunia adalah tempat bermujahadah untuk meraih keuntungan di akhirat. Ini semua bagi menghasilkan kesedaran bahawa kita semua akan mati seperti disabdakan Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam menurut riwayat At-Tarmizi: "Perbanyakkanlah olehmu mengingat perosak kelazatan iaitu mati."
Kemampuan mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Apabila manusia meraih keseronokan di dunia, adakah ia ingat bahawa esok ia akan mati dan semua akan musnah? Mampukah kita menasihati diri sendiri pada saat kelalaian dan lupa daratan? Hal ini agak sukar kerana kita cenderung kepada tarikan 'cinta duniawi' dan takut mati.
Kebanyakan manusia di akhir zaman ini kurang bersedia menghadapi kematian dengan persediaan amal soleh, malah leka dengan dosa kekotoran yang terpalit pada diri. Mereka menyangka masih banyak kesempatan untuk peluang terakhir, padahal setiap hari kita mendengar hal kematian di sana sini.
Dalam hal ini, Rasulullah sollallu `alaihi wasallam berpesan yang maksudnya: "Sesungguhnya tidak berlalu satu hari ke atas kubur melainkan kubur berkata (kepada manusia): "Akulah rumah pengasingan, akulah rumah persendirian, akulah rumah tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat. Dan apabila dikuburkan orang yang bermaksiat dan orang yang kafir maka kubur berkata kepadanya:
'Tidak ada ucapan selamat datang kepadamu, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling aku benci yang berjalan di atasku. Pada hari ini segala urusanmu telah diserahkan kepadaku maka engkau akan lihat betapa aku akan membalas perbuatanmu.' Lalu kubur itu menghimpitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya" (Riwayat Tirmizi).
Pada saat itu akan terkenang kita peluang yang tidak direbut, saat leka dengan hiburan, menunda ibadah hingga menjadi kebiasaan.
Maka menangislah mata yang tidak pernah menangis (kerana takutkan Allah) dan ketakutan hati yang tidak pernah takut. Menggigil sekujur badan yang akan menanggung salah lakunya sendiri. Pada hari itu dia berasa begitu menyesal dan berputus asa dengan keadaannya.
Adakah kita mempunyai impian pada saat akhir kehidupan seperti merancang untuk menikmati kematian dengan tenteram, meninggalkan orang tersayang dengan redha dan paling penting kerinduan untuk bertemu Allah sebelum kedatangan maut? Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam bersabda menurut riwayat Bukhari dan Muslim yang maksudnya: "Barangsiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, sesungguhnya Allah pun tidak suka bertemu dengannya."
Tujuan Allah mematikan manusia, antaranya ialah:
- Menyedarkan manusia daripada lalai dan melupakan Allah serta hari kiamat lantaran segala kesenangan dan kemewahan yang melimpah ruah.
- Membuktikan bahawa Allah berkuasa mematikan manusia dan makhluk lain tanpa mengira rupa, bangsa, pangkat, tempat dan masa.
- Menggalakkan agar kita sentiasa berbuat sebanyak mungkin amal kebajikan dan menghindari kejahatan.
- Menyedarkan kita bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sedangkan kehidupan di akhirat adalah lebih baik dan kekal.
Ya Allah Bantulah kami ketika menghadapi kepedihan dan sakarat maut.
ReplyDelete3 perkara yang sedang menanti dan pasti akan dilalui pada saat kematian:
1) Berjumpa malaikat maut
2) Kesakitan Roh nak di cabut
3) Kesudahan baik / buruk