"Dalam diri anak Adam ada seketul daging, jika ia baik, baiklah seluruhnya dan jika ia jahat , jahatlah seluruh anggotanya , ketahuilah ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wahai Para Ikhwanku
Hati ibarat sumber segala sesuatu, kebaikannya akan membawa kebaikan kepada segala yang dilakukannya, keburukannya memberi keburukan juga kepada apa yang dilakukan. Ia adalah tempat yang akan dinilai oleh Allah SWT disebalik amal-amal kebaikkan atau keburukan seseorang hamba. Allah mencintai hati yang bersih, hati yang sentiasa merendah diri, hati yang ikhlas, hati yang gementar, hati yang cinta, hati yang sentiasa mengharapkan keampunan dan pengharapan.
Nilai manusia terletak pada apa yang dilakukannya tetapi nilai Allah apa yang tersembunyi dalam hatinya. Ada manusia yang melakukan amal begitu hebat di sisi manusia, kemana ia pergi, nama dan amalnya atau kejayaannya sentiasa menjadi sebutan tetapi disisi Allah SWT, ia tiada nilai malah lebih hina dari seekor anjing kerana tiada keikhlasan. Ada manusia yang amalnya sedikit atau kecil, tiada manusia yang memandangnya tetapi nilainya tinggi di sisi Allah SWT disebabkan keikhlasannya.
Di akhirat nanti, seluruh manusia akan berhadapan dengan Allah SWT samaada ia ulama, para syahid, para hafiz, para ahli ibadah, para ahli dermawan dan sebagainya untuk diperiksa hati mereka. Demi Allah , amat jahil dan butalah seseorang itu jika ia menganggap persoalan hati adalah kecil sedangkan di akhirat nanti ia adalah perkara yang utama yang menjadi nilaian Allah SWT.
Imam Nawawi dalam menyusun hadis 40 telah meletakkan hadis yang berkaitan dengan niat sebagai hadis yang utama. Syirik atau menduakan Allah SWT dalam amal adalah melambangkan tiada adab ia dengan Allah SWT, melambangkan tiada bersih hatinya. Mereka yang tiada ilmu dalam perjalanan nafsunya amat mudah tertipu. Ramai manusia yang beribadah menyebabkan ia jauh dari Tuhan apabila ibadahnya dimasuki penyakit 'ujub, takabbur atau riak.
Ramai yang menasihati manusia kepada kebaikan tetapi malangnya ia menjadi manusia yang amat dimurkai Tuhan apabila ia sendiri tidak melakukan apa yang dia cakap. Ramai orang yang diberi kekayaan dan menyangka ia adalah nikmat padahal ia adalah istidraj untuk memusnahkan dirinya apabila harta tadi melalaikan ia dengan Allah SWT. Banyaknya ibadah dan amal bukannya menjadi nilai lagi di sisi Allah, keikhlasan adalah menjadi ukurannya.
Awasilah syaitan dan nafsu
Wahai ikhwanku
Demi Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kehidupan yang panjang ini, amat bahaya dalam mengabdikan diri pada Allah SWT. Syaitan sebagai musuh utama tidak akan membiarkan manusia dalam kebaikan, tidak akan membiarkan ibadah sampai ke langit. Syaitan tidak menyerang manusia pada mata, telinga, kaki atau tangan tetapi ia melakukan serangan di tempat yang utama iaitu hati. Serangan yang dilakukan amat halus dengan pelbagai tipu daya sehingga ramai yang tidak menyedarinya. Ia mempunyai penolong yang setia yang berada dalam diri anak adam iaitu nafsu ammarah.
Perjalanan yang panjang inilah yang memberi peluang bagi syaitan utuk menghilangkan kebaikan yang kita lakukan. Ia mahu segala amal soleh menjadi hancur. Kalau kita perhatikan bagaimana bijak dan busuknya syaitan dalam membawa manusia bersamanya ke neraka. Ramai mereka yang dahulunya hebat dengan dakwah sama ada di Universiti atau ketika muda, apabila kahwin hilang entah ke mana. Ada yang kuat ibadahnya tetapi apabila kerja, menjadi manusia yang lalai, ramai yang ikhlas berniaga, diniatkan jika berjaya mahu membantu agama dan membantu orang-orang miskin, namun apabila berjaya mereka lupa malah menjadi orang yang sombong. Ramai yang begitu tingginya ukhuwwah, makan bersama, apabila bertemu berpelukan tetapi akhirnya menjadi musuh yang ketat.
Syaitan menggunakan senjata yang paling ampuh iaitu elemen keluarga, harta, pangkat, wanita dan senjata dalam diri manusia seperti sifat ego, dengki, cinta dunia, marah, dendam, taksub, suka berdebat, suka berehat, jemu dan sebagainya untuk melalaikan manusia dari Allah SWT. Apa yang malangnya banyak amal yang dilakukan menjadi hancur apabila syaitan berjaya memasukkan jarum ujub, riak dan sombong.
Begitu juga mereka yang separuh abad usianya mengabdikan diri pada dakwah, namun apabila usia dihujung senja, ia menjadi manusia biasa, ruhnya menghadap Tuhan bukan sebagai seorang fisabilillah tetapi sebagai seorang doktor atau usahawan atau guru atau pegawai kerajaan.
Alangkah ruginya kehidupan, alangkah rugi nya usia dan masa. Ada mereka yang bila perniagaannya menghadapi masalah, dia mengundurkan diri lupakan Tuhan, meninggalkan amal dan dakwah. Kalau kita bertanya Kenapa ianya berlaku, tidakkah mereka merasa rugi sedangkan ganjaran dan kemuliaan mereka yang berada di medan dakwah adalah tinggi di sisi Allah SWT. Mereka juga mempunyai ilmu, Ayat Al Quran dan Hadis yang menerangkan kelebihan dakwah, mereka hafal dan begitu fasih dilisan mereka, mereka juga sentiasa memperingatkan diri mereka dengan tipu daya syaitan dan nafsu tetapi persoalannya apa lagi yang tiada pada mereka sehingga mereka hanyut, syaitan yang mereka musuhi menjadi teman sejati, budaya hidup yang lalai menjadi keseronokan, dakwah yang menjadi agenda utama menjadi perkara yang membosankan, sahabat yang dicintai kerana Allah menjadi sahabat yang ingin dijauhinya.
Jangan lalai dari Syaitan dan Nafsu
Wahai ikhwan yang dikasihi
Kalau kita mengadakan diagnosis perkara ini, ia memberi beberapa jawapan dan jawapan yang utama adalah Syaitan serta nafsu. Ramai terkena serangan syaitan dan mereka tidak sedar dan tidak mampu menahannya. Demi Allah, syaitan tidak pernah berputus asa dan ia tidak pernah tidur atau berehat untuk merosakkan anak adam. Dengan penuh kesabaran ia sentiasa menunggu peluang untuk ia bertindak di mana ketika itu kita lupa dan lalai. Orang yang tenang adalah musuh syaitan, ketenangan menyebabkan seseorang itu dapat berfikiran waras dalam setiap tindakan.
Justeru itu syaitan akan mengugat ketenangan diri manusia itu dahulu. Ia menggunakan isteri atau anak-anak atau ibubapa atau saudara mara atau perniagaan atau harta atau jawatan atau musibah atau penyakit. Ia akan menggunakan semaksima segala apa yang ada di sekeliling atau sifat dalam diri untuk mengoncangkan ketenangan Mereka boleh menjadi sahabat yang baik sebagai musuh, anak buah sebagai penderhaka, orang yang dibantu menfitnah dan pelbagai lagi. Ia juga mendatangkan perasaan ketakutan terhadap masa depannya dengan pelbagai ancaman seperti dibuang kerja, penjara atau pelbagai tekanan yang akan dihadapi.
Hari ini syaitan bertepuk tangan, mereka telah berjaya menyelinap dalam hati umat Islam sehingga berjaya mengugat dan memecahkan keharmonian kasih sayang. Mereka yang dahulu kelihatan kuat, hebat apabila berpidato, kasihsayang yang erat, tapi hanya masalah khilafiah ,ada yang berpecah belah sehingga bermusuhan bagaikan orang jahil, caci mencaci, fitnah menfitnah, pulau memulau mula berlaku, segala permusuhan mereka adalah atas jalan yang syaitan, ia langsung tidak dibenarkan oleh syara', dan yang paling sedih segala bangunan kebaikan yang mereka dirikan bersama hancur begitu sahaja.
Ramai yang gugur tetapi bukannya gugur dimedan jihad tetapi gugur dilembah nafsu. Mereka semua terkena bom yang dilontarkan oleh syaitan, keilmuan, keimanan dan kasihsayang mereka tidak begitu kebal untuk menjadi benteng mempertahankan diri. Mengutuk dan memarahi syaitan sebagai penyebab adalah menutup kelemahan diri, sebagai musuh ia sudah menyatakan bahawa ia melakukan serangan kepada kita, ia akan bersabar sehingga ke tika menghadapi sakaratulmaut pun ia akan terus mengumpul bala tenteranya untuk merosakkan kita. Yang penting bagi kita ialah menyiapkan pertahanan agar serangan yang dilemparkan tidak memberi kesan. Memandang rendah pada keupayaan musuh biasanya membawa akibat yang buruk.
Persoalannya bagaimanakah kita mudah terkena permainan syaitan?
Kita perlu memberi jawapan yang jujur, demi Allah sesungguhnya tipudaya syaitan amat hebat, hanya mereka yang diselamatkan oleh Allah SWT yang akan selamat. Persoalannya Kenapa ramai diantara mereka tidak diselamatkan oleh Allah SWT? Kalau kita melihat secara mendalam sebab-sebab iblis tidak selamat dari kekufuran walau banyak ibadahnya ialah penyakit merasa sempurna diri atau ego. Ia merasakan dirinya tak mungkin akan derhaka pada Allah SWT.
Penyakit ini menyebabkan ia kurang bergantung hati pada Allah, merasa aman dari murka Allah. Apabila datangnya ujian supaya sujud pada adam, ia tersungkur tewas dalam lembah ketakburan. Ia mengatakan ia lebih baik dari adam, Kenapa ia mahu sujud? Inilah perasaan yang bahaya yang tersembunyi dalam jiwa. Penyakit ini akan keluar apabila datangnya ujian. Ibadah yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai ubat, tidak berjaya menghapuskan kesombongan dalam hati.
Awasilah nafsu yang tersembunyi dalam hatimu, ia adalah musuh yang tersembunyi dalam dirimu sendiri. Perasaan ke sombongan inilah yang boleh menyebabkan kita juga akan dimurkai Tuhan, perasaan ini jugalah yang menjauhkan kita dari mendapat pertolongan Allah SWT. Bahayanya jika kita tidak mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan Allah SWT. Inilah penyakit kebanyakkan yang perlu diubati. Kita lemah dan lalai dalam ibadah, dalam tawakkal, rasa hebat dengan ilmu, dengan perancangan, dengan idealisma. Demi Allah , inilah dilema yang sebenarnya kita hadapi.
Umat Islam hari ini tidak mempunyai kekuatan akidah, pendidikan yang kita lalui hari ini hanya memberi tumpuan kepada kekuatan akal, kekuatan kerohanian menjadi sampingan. Kekuatan akal hanyalah sebagai bergerak atas landasan logik sedangkan kekuatan kerohanian adalah penghubung ia dengan Tuhan. Kerohanian adalah sumber kekuatan kerana ia melihat, mendengar dan merasai dilautan kerohanian yang dalam. "Tidak sama orang jahil dengan orang yang berilmu" berilmu disini ialah makrifatullah. Inilah ilmu yang paling utama dan penyelamat manusia. Mengenal Allah secara ilmu dzahiri adalah sebagai pengenalan awal kepada diriNya sedangkan pengenalan melalui cahaya hati adalah pengenalan yang hakiki.
Hati yang bersih , tersingkap baginya rahsia ketuhanan, semakin ia bersih semakin memancarlah makrifat pada hatinya. Hati yang memancar ini adalah hati yang melalui proses ilmu, ibadah dan mujahadah yang istiqomah. Mereka yang tersingkap kepadanya rahsia ihsan (sentiasa melihat Allah atau Allah melihatnya) imannya tidak perlu kepada dalil atau bukti untuk membuktikan wujud Tuhan, ini kerana hatinya sentiasa melihat Allah di dalam pandangan dan pendengarannya dimana ia berada. " Dimana kamu hadap disitulah wajah Allah SWT".
Hati yang bersih dari segala hijab keduniaan dan nafsu akan melihat dan merasai ayat-ayat Allah dengan pandangan hakikat. Inilah kasyaf yang hakiki di mana hatinya dapat menangkap rahsia ayat-ayat Allah dengan penglihatan yang haq. "Sesungguhnya tidaklah menyentuh Al Quran itu melainkan mereka yang suci," ditafsir oleh ulama tasauf bahawa ayat-ayat Allah tidak akan berada dalam jiwa yang kotor, bacaan mereka hanyalah dilidah bukannya di hati. Ilmu mereka hanyalah di akal tidak di hati. Tanyalah diri sendiri, bagaimanakah perasaan kamu apabila membaca ayat " Sesungguhnya Ia berada dimana kamu berada." Kalau hati kamu keras, ayat ini sekadar maklumat pada akal sedangkan apabila hal keTuhanan berada pada akal, ia akan hilang apabila kamu berfikir yang lain.
Tetapi apabila hati kamu bersih, ayat ini dapat dirasai dan dan dilihat dengan pandangan cahaya hati sehingga ia merasai kebersamaan dengan Allah dimana ia berada. Mereka yang mengingati Allah dalam penghayatan dan penglihatan akan merasai kelazatan iman dan makrifat yang tidak terhingga. Allah adalah kekasihnya dan ia meninggalkan apa jua yang boleh melalaikan ia dengan Allah, Allah adalah yang dirindui dan ia menjadi perindu, Allah menjadi pujaan dan ia sebagai pemuja. Sesiapa yang mengenal Tuhan , ia akan mencintai Tuhan dan fanalah segala keindahan yang lain. Sesiapa yang mengenal Tuhan, tiadalah ia resah geli sah dengan apa jua yang menimpanya.
Memancar pada hatinya sifat kecintaan, keyakinan, ketakwaan, kerinduan dan ia mendapat perlindungan dari Allah SWT. Ini disebabkan hatinya sentiasa bercahaya dengan zikirullah dan Allah memberi pengakuan dengan firmanNya " Sesiapa yang mengingati Allah, Allah akan mengingatinya". Apabila Allah mengingatinya, nescaya hatinya dipenuhi dengan cahaya kebenaran dan terhapuslah cahaya kebatilan yang datang dari syaitan. Firmannya "Apabila datangnya kebenaran akan terhapuslah kebatilan". Ada juga yang mentafsirkan mengingati Allah dengan melakukan kebaikan sedangkan pentafsiran seperti ini adalah berbentuk umum dan tidak muafakat dikalangan oleh tafsir yang muktabar apalagi pentafsiran yang dihurai oleh ulama- ulama tasauf yang pakar dalam bidang kejiwaan manusia.
Kesan dari hati yang lemah
Apabila hati lemah hubungan dengan Allah SWT, ia amatlah mudah dihinggapi penyakit apalagi mereka kebanyakkan juga jahil dalam masalah ilmu hati, mereka tidak mengenal sifat-sifat mazmumah dan tipudayanya, mereka tidak menghalusi perjalanan tasauf yang benar. Hati mudah diserang penyakit 'ujub, riak, takabbur, apabila berada dimedan amal. Semakin banyak amalan dilakukan, semakin terasa sempurna diri dan menghitung amal. Kesempurnaan diri menyebabkan hati tidak merintih dan merasa fakir dengan Allah.
Tidak berhajat dengan Allah untuk keselamatan dirinya dalam menghadapi tipudaya syaitan, merasa diri selamat, inilah jua penyakit iblis yang ia merasa tak mungkin akan derhaka pada Allah lantaran banyaknya ibadah dan pangkatnya sebagai ketua malaikat. Tertipu dengan amal, pangkat, keturunan, keilmuan, kekayaan dan kesibukan dakwah sehingga timbulnya takabbur, merasa diri aman dari murka Allah SWT. Inilah hijab atau penyakit yang menyebabkan mereka tidak akan ditolong oleh Allah SWT apabila diserang syaitan. Sejarah takbur ada dalam dada diharamkan syurga dan takbur juga menyebabkan seseorang diharamkan mendapat kasihsayang Allah SWT dan perlindunganNya..
Hati yang baik ialah hati yang sentiasa bimbang dengan Allah dan mengharapkan keampunan Allah, hati sentiasa merintih pada Allah agar menerima amal, mengharap Allah menyelamatkan mereka dari gangguan syaitan dan nafsu. Mereka tidak pernah menghitung amal mereka melainkan sentiasa melihat keaiban mereka. Inilah rintihan Aisyah r.a. " Alangkah baiknya jika saya menjadi pohon kayu" Alangkah baiknya jika saya dijadikan seekor biri-biri yang dilampah kulitnya tanpa dipertanggungjawab diakhirat nanti."
Berkata Abu Darda " Sesiapa yang tidak pernah bimbang ia mati kafir atau beriman, ia akan mati dalam kekafiran". Hati yang baik adalah hati yang sentiasa ada takut dan harap kepada Allah SWT. Justeru perhatikan diri kita, adakah ibadah kita selama ini telah meleburkan keegoan kita. Jika tidak, berhati-hatilah dengan fitnah keegoan kerana ia senjata syaitan yang ampuh untuk merosakkan kita. Hati yang takabur tidak akan sepenuhnya bergantung pada Allah, ia sentiasa melihat kekuatan dirinya, ilmunya, amalnya, kekayaannya, pangkatnya, manusia sekelilingnya sebagai penolongnya.
Sikap yang tidak bulat penyerahan diri pada Allah dan merasa fakir dan berhajat padaNya pada setiap saat menyebabkan ia tiada perlindungan apabila datangnya hembusan syaitan dan akhirnya tersungkur pada tipudayanya.
"Sesungguhnya syaitan tidak berkuasa terhadap orang-orang yang beriman dan orang-orang yang bertawakal kepada Tuhan. Tetapi syaitan hanya berkuasa terhadap orang yang mengambilnya sebagai pemimpin dan orang yang menyekutukan Tuhan."
Wallahu'alam