Thursday, December 16, 2010

Bisikan Nafsu Dan Syaitan

Syaitan dan nafsu tipuannya sangat halus,
Selalu sahaja membisik-bisikkan di dalam hati, menyedapkan hati,
Di antara bisikan-bisikannya biasanya begini sungguh menghiburkan jiwa kita:
Engkau masih muda! Buatlah apa sahaja, tidak mengapa,
Kalau berdosa pun masa tua nanti bertaubatlah, taubat Tuhan terima,
Jika engkau buat dosa Tuhan itu bukankah Maha Pengasih bertaubatlah, habislah dosa,
Masa muda hanya sekali, di waktu muda enjoy-enjoylah dahulu,
setelah tua beribadahlah banyak-banyak,
Adakalanya dia bisikkan kita begini: Di dalam membuat dosa buatlah baik,
Satu kejahatan baru satu dosa, satu kebaikan diberi sepuluh kebaikan,
Kalau buat sepuluh kejahatan, satu kebaikan sudah sama,
Betapa pula kalau lebih dari satu kebaikan sudah mengatasinya,
Tidak kurang juga bisikannya:
Buat jahat tidak mengapa, yang penting hati baik,
Tuhan bukankah pandang hati, tidak pandang lahir,
Ada juga apabila lahirnya tidak membuat dosa-dosa besar, sudah tidak terasa berdosa lagi,
Tidak terfikir hati juga membuat dosa,
Dosa batin payah dikesan,
Maka hati pun terasa senang, bahawa dia merasakan dia tidak membuat dosa,
Padahal sombong, riya', ujub, ingin dipuji, tidak suka dikeji adalah dosa yang tersembunyi,
Ia berlaku begitu sahaja tanpa disedari,
Kalaupun ada terasa kerana ia bukan bersifat perbuatan, tidak terasa itu adalah dosa,
Dia tertipu di dalam sangkaannya,
Dia lupa hati juga turut berdosa,
Bahkan sebenarnya dosa batin lebih banyak daripada dosa lahir,
Biasanya dengan dosa batin jarang orang bertaubat, hingga dibawa mati.

Wal'iya zubillah

2 comments:

  1. Zaman sahabat r.anhum mereka ada bersama-sama Rasulullah saw.. NUR yang terpancar dari Rasulullah saw pun mereka dapat sama... Hati mereka kuat... Bisikan syaitan pun sahabar bleh kalahkan...

    Jadi soalan saya bagaimana kita pada hari ni.. saya terasa amat lemah...

    adakah kita perlukan seorang guru untuk kita berdamping....bersama2 dgn guru... maklum saje lah pada hari ni..masing2 sibuk dgn urusan dunia..termasuk saya...

    adakah hanya dgn berzikir..baca al quran perbanyakkan solat.... menjamin dri terselamat dr godaan iblis dan syetan, nafsu yg halus... saya kata pada diri saya sendiri...memang sy amat lemah... saya rasa ada kekurangan dalam pengabdian diri kpd Allah...

    bagaimana pandangan ustaz..

    ReplyDelete
  2. Salam. Kita perlukan seorang guru untuk menunjuk kita ke jalan yang diredhai Allah. Kalau tidak menjumpai guru yang sesuai, carilah sahabat yang baik akhlaknya dan kuat mengabdi kepada Allah supaya sahabat tersebut boleh mengingatkan kita tentang Allah dan memberi nasihat yang baik.

    Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Seseorang akan dikumpulkan bersama kawan karibnya (atau seseorang akan dikumpulkan bersama siapa yang dicintainya”. (Hadis riwayat Ibn Mas’ud)

    Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Keadaan hidup seseorang sesuai dengan sahabat karibnya, maka hendaknya setiap orang memerhatikan siapa yang dijadikan sahabat.” (Hadis riwayat Bukhari)

    Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Perumpamaan teman berbincang yang baik, ibarat seorang penjual wangian. Adakalanya engkau diberinya atau membeli daripadanya atau beroleh bau wanginya. Dan, perumpamaan sahabat yang jahat ibarat peniup tukang besi, ada kalanya engkau terbakar dengan percikan apinya atau terkena bau busuknya.” (Hadis riwayat Muslim)

    Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah untuk mengingati Allah baik masa senang dan susah di zaman yang penuh dengan kesibukan.

    ReplyDelete