Monday, August 22, 2011

Al-Quran: Dahulu Dan Sekarang

Orang yang beriman tentu mengetahui hikmat diturunkan al-Quran, dan tentu sedar tentang keistimewaannya dari segala kitab. Huruf dan kalimahnya menimbulkan kelazatan pendengaran yang tidak jemu-jemu. Manakala maknanya membangkitkan hati, membukakan fikiran untuk berbakti serta mengubah pandangan hidup ke arah usaha melipatgandakan amal kebaikan yang lebih suci demi mencari keredhaan Ilahi di dalam dunia yang sementara ini.

Demikianlah kitab Allah al-Quran, sebuah kitab petunjuk sepanjang zaman, perlembagaan hidup orang mukmin yang inginkan kemuliaan. Yang demikian hendaklah diamalkan pengajarannya dan janganlah diutamakan saja hurufnya, tetapi ditinggalkan hududnya (hukumnya) atau dipelajari tajwidnya, tidak dipedulikan pantang larangnya, sebagaimana yang pernah berlaku sepanjang zaman kemunduran umat Islam, sesuai dengan maksud hadith Ibn Mas’ud yang menyatakan sebagai berikut:

"Sesungguhnya engkau berada pada satu zaman yang didapatinya banyak fuqaha'nya (orang-orang yang faham ayat al-quran) dan sedikit pula qarinya (orang-orang yang pandai membaca ayat-ayatnya) tetapi hudud al-quran (larangan-larangan) tetap dipeliharanya sedangkan hurufnya tidak pula sangat diwajibkannya. Sedikit orang meminta, banyak orang memberi. Mereka memanjangkan sembahyang dan memendekkan khutbah. Mereka mulakan saja amal-amal mereka sebelum percakapan mereka. Dan akan datang satu zaman kepada manusia yang didapati sedikit sekali fuqaha'nya, banyak pula qarinya, dipelihara benar hurufnya tetapi disia-siakan hududnya. Banyak orang meminta, sedikit orang memberi. Mereka memanjangkan khutbah, memendekkan sembahyang. Mereka mulai menuruti kemahuan-kemahuan mereka sebelum melakukan amal-amal mereka."
*hadith ini di dalam kitab al-Muwatta’ dan Imam Shatabi menerangkannya dalam al-Muwafaqat.

Demikianlah maksud hadith tersebut yang menggambarkan kepada kita bahwa zaman pertama, iaitu zaman sahabat dan kemudiannya zaman yang cukup terpelihara kehormatan isi al-Quran kerana fiqh al-Quran (pengertian al-Quran) dan fahamnya serta memelihara hudud atau larangannya dan mengambil hukumnya adalah didahulukan dan diutamakan daripada semata-mata bacaan kosong pengertiannya.

Pada zaman itu, pengajaran al-Quran mempengaruhi jiwa, rasa kasih sayang meresap ke lubuk hati, hingga sedikit orang yang meminta, tetapi banyak orang yang memberi. Mereka di kala itu memanjangkan solatnya kerana solat adalah munajat dan bisikan kepada Ilahi yang perlu dilambatkan masa mengerjakannya. Sedangkan khutbah mereka diringkaskan kerana khutbah semata-mata percakapan gerak lidah pertuturan huruf yang habis begitu sahaja. Dan mereka mengutamakan amal dan memulakannya sebelum mereka bercakap, berbual dan bertukar fikiran.

Zaman tersebut telah berubah…sekarang tibalah pula zaman baru di mana keadaan telah berubah sama sekali. Kini, telah banyak orang yang membaca al-Quran tetapi bacaannya tidak sampai ke hati. Banyak orang mengutamakan dan menghafaz al-Quran tetapi disia-siakan terus hududnya, hukumnya, nasihatnya, pelajarannya. Sebab itulah al-Quran tidak dapat menginsafi mereka dan mereka pula tidak insaf sesame mereka. Hingga banyak orang yang meminta tetapi sedikit orang yang memberi di antara mereka. Mereka memanjangkan khutbah kerana khutbah tidak menyusahkan mereka. Dan mereka memendekkan solat kerana solat menggelisahkan jiwa mereka disebabkan tidak ada hubungan langsung dengan Allah yang Maha Kuasa. Akhirnya mereka suka bercakap mengikut kemahuan mereka sendiri sebelum mereka melakukan amal yang sepatutnya mereka mulai.

Maka dengan keterangan ini jelaslah al-Quran tidaklah dapat dipatuhi maksud utama dari turunnya dengan membaca ayat demi ayat selagi belum diperhatikan pengertiannya dan tujuannya menurut cara yang sepatutnya. Firman Allah:

"(Ini) ialah kitab yang Kami turunkan dia kepada engkau yang diberkati, supaya mereka perhatikan ayat-ayatnya dan supaya mengambil peringatan orang-orang yang mempunyai fikiran." (Sad: 29)

Dengan ini teranglah lagi bahawa al-Quran diturunkan untuk diperhatikan maksudnya di samping membaca huruf-hurufnya. Kerana di antara maksudnya ialah memberi penyampaian ke arah jalan yang lebih lurus dalam kehidupan dan menjamin kurniaan kepada orang-orang yang berusaha mewujudkan amal soleh atau kebaikan. Juga, al-Quran itu bukan sahaja memperkatakan perkara atau soal kerohanian. Tetapi ada pula antara ayatnya yang menyatakan asal kejadian langit dan bumi, dan alam yang besar ini adalah terdiri dari keduanya. Sedang manusia adalah sebahagian kecil dari alam yang besar itu. Firman Allah:

"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar." (Al-Isra’: 9)

Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Al-Anbiyaa': 30)

Ayat ini menerangkan bahawa langit-langit (tiap-tiap sesuatu di atas kita dinamakan langit) dan bumi asalnya adalah satu bahagian atau satu ketul kemudiannya dipisahkan di antara keduanya dengan cara yang beransur-ansur. Maka, terjadilah daripadanya langit dan bumi yang mengelilingi matahari.

Sesungguhnya, banyaklah ayat-ayat ilmiah (pengetahuan) yang menjadi mukjizat al-Quran sejak 14 abad yang lalu ada terbukti kejadiannya di dunia pada hari ini. Bahkan, makin bertambah ilmu pengetahuan manusia, makin teranglah kebenaran al-Quran. Dan sememangnya begitulah al-Quran itu tidak dapat difahami ayatnya berhubungan dengan kejadian alam dan ilmu pengetahuan melainkan dengan dasar-dasar ilmu.

Alangkah mulianya al-Quran, sebuah kitab Allah berisi segala hikmat. Tetapi malangnya, walaupun al-Quran itu masih ada, rohnya, ajarannya, falsafahnya telah kehilangan belaka.

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?" (Al-Qamar:17, 22, 32, 40)

Sumber:
Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya
Dewan Pustaka Fajar

No comments:

Post a Comment