Menjelang waktu sahur, lelaki itu datang lagi dengan membawa hidangan seperti sebelumnya. Setelah makan sahur, mereka menunggu untuk solat Subuh. Syekh Imam datang dan terus mengimamkan solat Subuh. Syekh Imam datang dan terus mengimamkan solat, kemudian duduk berzikir, membaca Al-Quran, memuji Allah dan berdoa dengan doa yang baik.
Syekh kemudian menghadap kepada para jemaah dan berkata: "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mensyariatkan dua perkara ke atas makhluknya di dalam satu ayat, tapi manusia lalai terhadapnya.
"Apa dia Syekh?" tanya orang sufi.
"Sila maju ke hadapan." pinta Syekh.
Orang-orang pun maju, kemudian Syekh meneruskan syarahannya.
"Wahai anakku! Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman (yang ertinya): "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua." kata Syekh itu sambil menyebutkan sifat-sifat musuh." kata Syekh lagi.
"Jadi, bagaimana kita membentengi diri dari musuh tersebut?" tanya si sufi.
Syekh menerangkan: "Benteng yang pertama terbuat daripada emas, iaitu makrifat kepada Allah. Di sekeliling benteng pertama itu ada benteng kedua yang terbuat daripada perak, iaitu iman kepada Allah. Di sekeliling benteng kedua, ada benteng ketiga yang terbuat daripada besi, iaitu tawakkal kepada Allah.
Benteng ketiga dikelilingi oleh benteng keempat yang terbuat daripada batu, iaitu syukur dan redha kepada Allah. Benteng keempat dikelilingi lagi oleh benteng kelima yang terbuat daripada tembikar, iaitu melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
Benteng kelima dikelilingi oleh benteng keenam yang terbuat daripada zamrud, iaitu terdiri dari jujur dan ikhlas dalam segala perkara. Benteng keenam dikelilingi pula oleh benteng ketujuh atau benteng paling luar yang terbuat daripada intan permata, iaitu budi pekerti."
Syekh meneruskan syarahannya: "Orang yang beriman bertahan di dalam tujuh-tujuh benteng tersebut, manakala iblis berada di luar sambil menyalak seperti anjing. Orang yang beriman tidak akan terpengaruh akan ajakan iblis tersebut kerana dia telah berlindung dalam beberapa lapis benteng. Oleh kerana itu, seorang yang beriman hendaklah jangan mengabaikan budi pekerti atau akhlak dalam segala perkara dan jangan memandang rendah setiap perkara yang datang kepadanya dengan akhlak yang baik.
"Kerana barangsiapa yang meninggalkan budi pekerti atau akhlak yang baik dan memandang rendah terhadapnya, bererti dia telah meninggalkan benteng paling luar (benteng ketujuh), dia telah tertipu. Bila sudah demikian iblis akan terus menerus merebut benteng-benteng yang lain sehinggalah pada benteng yang pertama yakni merebut iman seseorang hingga dia menjadi kafir dan berkekalan dalam neraka. Inilah akibatnya jika seorang beriman meninggalkan budi pekerti yang baik. Oleh itu kita mohon kepada Allah agar mengurniakan adab yang baik."
No comments:
Post a Comment