Di antara perkara-perkara yang menyelamatkan, ialah berharap sepenuhnya kepada Allah Ta'ala, serta gentar dan takut kepadaNya. Harap dan takut itu adalah sebagai suatu tingkatan yang mulia dari Allah Ta'ala kerana keduanya itu menjadi sifat para Nabi dan Rasul, serta pengikutnya dari orang-orang saleh dari kaum Mukmin.
Firman Allah Ta'ala
"Orang-orang yang mereka seru itu mencari jalan kepada Tuhan, mana satu yang lebih dekat , dan mereka mengharapkan rahmatNya dan takut kepada siksaNya, sessungguhnya siksaan Tuhanmu itu amat ditakuti." (Al-Isra': 57)
FirmanNya lagi
"Sesungguhnya mereka telah berlumba-lumba dalam usaha-usaha kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan takut, dan mereka itulah adalah orang-orang yang tunduk hatinya kepada Kami." (Al-Anbiya': 90)
FirmanNya lagi
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang berpindah dari negerinya, dan yang bekerja keras di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Tuhan, dan Tuhan itu Maha Pengampun Maha Penyayang."(Al-Baqarah: 218)
FirmanNya lagi
"Sebagai peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa (memelihara diri dari kejahatan). Mereka yang takut kepada Tuhannya dalam hal yang ghaib, dan mereka penuh ketakutan kepada saat (kiamat)."(Al-Anbiya': 48-49)
FirmanNya lagi
"Dan orang-orang yang memberikan pemberiannya dengan hatinya yang takut (kepada Tuhan), bahawa mereka akan kembali kepada TuhanNya." (Al-Mu'minun: 60)
Sabda Rasulullah s.a.w
"Berfirman Allah Ta'ala: Aku berada pada sangkaan hambaKu, terhadap diriKu, dan Aku sentiasa bersamanya setiap ia mengingatiKu."
Sabdanya lagi
"Berfirman Allah Ta'ala: Wahai Anak Adam! Setiap engkau memohonKu dan mengharap kepadaKu, maka Aku tetap akan mengampunimu atas segala kesalahan yang telah engkau lakukan, betapa besar dan banyak sekalipun, Wahai anak Adam! Seandainya kesalahan-kesalahan itu setinggi langit sekalipun, lalu engkau memohon keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampunkanmu. Wahai Anak Adam! Seandainya engkau datang kepadaKu dengan dosa seisi bumi, kemudian engkau bertemu denganKu sedang engktau tidak pula mensyirikkanKu dengan sesuatu apapun, nescaya Aku akan mendatangimu dengan keampunan seisi bumi pula."
Sabdanya lagi
"Berfirman Allah Ta'ala: Demi kemuliaanKu, Aku tidak akan mengumpulkan bagi hambaKu dua ketakutan atau dua keamanan. Jika ia takutkan Aku di dunia, nescaya Aku akan sentosakannya di Hari Kiamat. Jika ia merasa aman daripadaKu di dunia, nescaya Aku akan menakutkannya di Hari Kiamat."
Sabdanya lagi
"Pokok kebijaksanaan takutkan Allah."
Sekali peristiwa, ketika Rasulullah s.a.w melawat seorang pemuda yang sedang menghadapi maut, lalu ujar baginda: Bagaimana keadaanmu? Jawabnya: Aku bimbang tentang dosaku yang banyak itu. Aku sungguh-sungguh mengharapkan rahmat Tuhanku. Maka berkata Nabi alahis-salam: Tidak akan berkumpul perasaan harap dan bimbang di dalam hati seseorang hamba, sedang ia dalam keadaan serupa ini, melainkan Allah memberinya segala yang diharapkanm dan mengamankannya dari segala yang dibimbangkan.
Ketahuilah bahawasanya perasaan takut itu akan menghalang diri seseorang dari melakukan maksiat dan kesalahan-kesalahan. Sedang perasaan harap pula, akan membimbing seseorang hamba kepada mengerjakan ketaatan dan menurut perintah. Barangsiapa yang tidak dihalangi oleh perasaan taktu untuk melakukan maksiat terhadap Allah azzawajalla, serta tidak pula dibimbingi oleh perasaan harap kepada mengerjakan ketaatan terhadap perintah-perintah Allah Ta'ala, nescaya jadilah perasaan takut dan harapnya itu sebagai bicara nafsu yang tidak berguna apa-apa dan tidak boleh dipegang, kerana kosong dari maksud dan faedah yang dicita-citakan.
Sesudah itu, ketahuilah bahawa yang paling utama bagi seorang Mukmin yang sentiasa mengerjakan ketaatan kepada Allah Ta'ala, meletakkan dirinya antara takut dan harap, agar kedua-dua perasaan itu menjadi seperti kepak burung atau dua neraca timbangan kepadanya.
Bersabda Rasulullah s.a.w
"Sekiranya ditimbang perasaan takut dan perasaan harap dari seorang Mukmin, nescaya kedua-duanya sama rata."
Adapun seorang Mukmin yang sentiasa mencampur-adukkan amalannya yang sentiasa merasa bimbang akan terpesong dari jalan ketaatan dan terjerumus ke dalam larangan-larangan Allah Ta'ala, maka yang paling baik baginya memperbanyak takut, kerana perasaan takut itu menahan dan menghalang diri dari berbuat sesuatu dengan sewenang-wenang atau melampaui batas. Tetapi, jika dirinya sentiasa dikongkong oleh hawa nafsu dan dikuasai syahwat, lalu tiada suatu yang dibuatnya selain berharap dan berharap terus-menerus, mungkin sekali sikap serupa itu akan menyebaabkan kebinasaannya. Sebab setiap kali ia mengingatkan dirinya yang suka berbuat jahat itu, bahawa rahmat Allah Ta'ala itu amat suka dan sentiasa memaaf dan mengampunkan dosa-dosa hambaNya, maka tentu sekali dirinya akan menjadi lebih berani membuat maksiam dan kan menjadi lebih jauh daripada ketaatan , lebih mudah terjerumus ke dalam kemaksiatan, dan akhirnya ia akan binasa dan celaka tanpa terasa dan tersedar.
No comments:
Post a Comment