"Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri?" (Surah al-Muddatsir: 31)
Suatu ketika Kota Babylon (kini Iraq) yang diperintah Raja Namrud megah dengan ketinggian tamadunnya. Namun masyarakat purba itu begitu naif dalam beragama. Sekian lama mereka menjadikan patung-patung sebagai Tuhan. Di saat Namrud dan orang-orang Babylon tenggelam dalam kesyirikan, Allah mengutuskan Nabi Ibrahim Al-Khalil bagi menyeru mereka kembali menyembah Tuhan yang Esa. Malangnya dakwah Nabi Ibrahim disambut kata-kata nista dan digelar orang gila. Namrud bukan sahaja ingkar malah sanggup mengerah rakyatnya menyalakan unggun api unruk membakar Nabi Ibrahim. Baginda dlikat pada manjanik (lastik besar) lalu dilontar-kan ke dalam api yang sedang marak.
Bagaimanapun Allah menyelamatkan pesuruh-Nya itu dengan memerintahkan api agar tidak menyambar tubuh baginda. Namun kejadian itu langsung tidak menginsafkan Namrud. (Surah Al-Anbiya: 69-70)
Namrud yang mempunyai ratusan bala tentera mencabar Nabi Ibrahim dengan penuh angkuh." Sekiranya Tuhanmu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah mereka supaya berperang dengan aku," kata-nya kepada Nabi Ibrahim. Justeru Nabi Ibrahim bermunajat memohon bantuan Allah. Sampailah satu ketika, Namrud dan tenteranya berkumpul di padang yang luas, Allah memerintahkan nyamuk agar menyerang mereka.
Tentera Namrud ketakutan apabila ruang angkasa berubah menjadi gelap. Jutaan nyamuk menuju ke arah mereka dengan dengungan yang membingitkan. Tentera Namrud kebingungan. Mereka bertempiaran cuba menyelamatkan diri. Namun seorang demi seorang rebah menyembah bumi menjadi 'ratahan' nyamuk yang rakus menghisap darah. Namun Allah menunda kematian Namrud agar dia dapat menyaksikan sendiri kehancuran tenteranya kerana berani mencabar Tuhan. Namrud dibiarkan pulang ke mahligainya dalam keadaan penuh terseksa akibat gigitan nyamuk di seluruh tubuhnya. Selama tiga hari nyamuk menghurung pekarangan mahligai Namrud. Bagaimanapun selama tempoh itu ternyata dia tetap enggan bertaubat. Lantas serangga kecil itu menyelinap masuk ke lubang hidung serta seluruh rongga raja yang angkuh itu. Dia menggelupur dan menjerit menanggung kesakitan yang amat sangat. Beberapa ketika kemudian Namrud menemui ajalnya.
Kisah Namrud perlu dijadikan pedoman bagi seluruh umat Islam kerana ia menceritakan pembalasan Allah terhadap manusia yang ingkar dengan ajaran Allah. Umat Nabi Muhammad lebih bernasib baik kerana ujian yang diturunkan lebih ringan. Walaupun wujud penentangan terhadap dakwah Rasulullah namun Allah tidak meranapkan umat akhir zaman ini sekali gus.
Allah tetap menguji kita seperti bencana alam, kesempitan hidup atau wabak penyakit yang masih mampu kita tangani setelah berlaku kemungkaran secara terdedah dan tanpa segan silu.
Allah ada berfirman, "Telah timbul pelbagai kerosakan (bala bencana) di darat dan laut akibat tangan-tangan manusia sendiri kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian dari balasan perbuatan buruk itu agar mereka kembali insaf." (Surah Al-Rum: 41)
Kebenaran ayat suci itu terbukti kerana memang benar manusia melakukan kemusnahan dan menyimpang dari ajaran-Nya. Justeru kita sering diduga dalam pelbagai bentuk. Inilah amaran Allah. Segala ujian yang menimpa sebenarnya mengajak umat kembali ke landasan yang benar. Ini kerana Islam mempunyai konsep taubat bagi sesiapa yang sudah terlajak. Meskipun Allah tunjukkan tanda-tanda kecil kemurkaan-Nya namun masih ramai yang tidak insaf. Dibimbangi jika manusia terus menerus ingkar, Allah akan turunkan dugaan yang lebih berat.
Akuinya, memang benar rakyat negara ini banyak menikmati keselesaan hidup. Pun begitu, umat Islam harus sedar segala kesenangan akan terhakis apabila berlaku kepincangan dalam kehidupan manusia.
Ujarnya, jika Namrud dihancurkan dengan nyamuk kerana keangkuhannya kepada Allah, kini serangga pembawa virus berbahaya itu turut mengorbankan puluhan nyawa akibat kelalaian manusia. Jelasnya, ini juga akibat dari kegiatan secara tidak terkawal dan rakus terhadap alam yang bukan sahaja mendatangkan mudarat kepada manusia malah menjejas hidupan haiwan dan tumbuhan. Mengelak dugaan Allah datang bertimpa-timpa umat Islam perlu kembali pada agama yang menuntut kita meletakkan asas kukuh dalam menguruskan kehidupan.
No comments:
Post a Comment