Sunday, May 6, 2012
Kitab Al Hikam Ibn Athaillah
Buku: Hakikat Hikmah Tauhid Dan Tasawuf (Al-Hikam) Bahagian 1 & 2
Karya: Prof Dr K.H. Muhibbuddin Waly
Penerbit: Pustaka Nasional Pte Ltd
Lelaman Web: http://kedai.pustakaislamiyah.com/
Pendahuluan buku:
Terkumpul di dalam buku ini kata-kata hikmah dari kitab Al-Hikam yang membicarakan mengenai ilmu TAUHID dan TASAWUF yang berhubungan rapat dengan akidah Islam dan permasalahannya dan yang mencakup segala ciri-ciri utama tentang tasawuf kebatinan yang memang perlu bagi setiap salik yang mencari kebahagiaan hakiki dalam menuju kepada makrifat Allah Maha Pencipta, yang Suci daripada segala hal-hal yang mengelirukan hati serta mengeruhkan keikhlasan diri ketika berhadapan dengan Allah s.w.t.
Semua hikmah-hikmah ini dipetik dari buku induk terutama yang membicarakan tentang pokok-pokok hakikat TAUHID dan TASAWUF, menceritakan tentang orang-orang menceburkan diri ke dalam lautannya yang sungguh dalam, yang jarang-jarang dapat diduga oleh manusia biasa, yaitu buku karya 'Al-Hikam' karya Ibnu Athaillah Al-Sakandari.
Pengarang telah mengumpulkan semua hikmah-hikmah ini secara sederhana dan dibicarakan hanya yang sesuai dengan pengetahuan orang umum Muslimin dengan tujuan membimbing mereka ke arah hakikat TAUHID dan TASAWUF, dua bidang ilmu yang sangat penting dalam membawa diri manusia menuju kepada Allah s.w.t dalam hal mengenal ULUHIYAHNYA (ketuhanan), di samping mengakui UBUDIYAH (kehambaan), atau pengabdian diri yang hina, rendah dan tidak berharga itu kepadaNya. Baik ditatap oleh sekalian masyarakat kaum Muslimin, khususnya orang-orang yang berminat memperdalami pengetahuannya ke dalam dua bidang ilmu ini.
Kitab Al-Hikam yang ditulis oleh Al-Imam Ahmad Abul Fadhal gelar Tajuddin bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah Iskandary (Askandary). Beliau adalah Waliyullah,'Arifbillah ahli kasyaf, ahli Arab nahu, ahli fiqh dan ahli hadis, murid dari Imam Abul Abbas Al-Marsy, dan beliau menganut ajaran tasawuf dan tariqat yang telah diajarkan oleh Al-Imam Abul Hasan Asy-Syazily. Dari kedua guru besar beliau itu maka terkenallah baliau sebagai alim besar dalam ajaran Hakikat Tauhid dan Tasawuf. Sebahagian dari karangan-karangan beliau ialah Kitab Al-Hikam tersebut tadi. Al-Hikam adalah Jama' 'Hikmah'; ertinya ialah tiap-tiap kalimat yang terkandung di dalamnya ilmu yang bermanfaat. Sebahagian ulama bahasa Arab berpendapat bahawa 'Hikmah' ertinya ialah 'materi ilmu yang bermanfaat', seperti ilmu Fiqh, ilmu Tauhid, dan ilmu tasawuf. Dan oleh kerana ilmu tasawuf adalah suatu ilmu yang mengupas bagaimana mensucikan diri dari sifat-sifat tercela dan menjaga ibadat dan semua amal perbuatan terhindar dari penyakit-penyakit berbahaya seperti takabbur, riya' dan 'ujub, maka mengetahui semuanya ini adalah ilmu yang paling bermanfaat.
Justeru itulah, maka dalam Kitab Al-Hikam diterapkan lebih banyak tentang hakikat ilmu Tauhid dan ilmu Tasawuf. Memang indah kalimat-kalimat Al-Hikam dengan rumusan-rumusannya yang mendalam, kalimat-kalimatnya menarik dan bersajak, dan merupakan mutiara-mutiara yang terpisah-pisah, tetapi terikat dengan ikatan untaian yang indah pula. Al-Hikam mengungkapkan jalan makrifat kepada Dzat Allah dan sifat-sifatNya yang Maha Agung, apakah melalui dalil naqli dan aqli, ataupun melalui penglihatan batin dan matahati. Dalam pada itu pula Al-Hikam mengungkapkan hal-hal yang dikaitkan dengan jiwa kita, hati kita dan roh kita bersih dari segala macam kotoran, makrifat kita kepada Allah akan menjelma dengan segera tanpa dibuat-buat atau disengajakan. Kerana itu Imam Ghazali berfatwa bahawa mempelajari ilmu keterpaduan antara Tauhid dan Tasawuf itu hukumnya fardhu 'ain, kerana di samping Tauhid itu sendiri juga hati manusia tiada sunyi dari 'aib atau penyakit hati kecuali hanya para Nabi a.s.
Allamah Prof. Dr. Abdul Halim Mahmud, seorang ahli tasawuf besar Mesir dan Dunia Islam telah berkata:
Kitab Al-Hikam adalah kumpulan hikmah-hikmah yang murni , baik di sudut bahasanya dan sasteranya, kerana itu maka Al-Hikam adalah contoh yang tinggi dalam sastera dan adab. Kitab Al-Hikam telah menjadikan pengarangnya, Ibnu Athaillah dalam barisan sasterewan Arab yang besar-besar. Ditinjau dari sudut kedalaman berfikir, maka Al-Hikam merupakan contoh yang tinggi murni dalam lapangan fikirran tasawuf dan sufi, atau merupakan contoh utama bagi sinar cahaya kesufian. Atau juga menjadi teladan yang tinggi untuk kenaikan roh yang suci murni ke tingkat yang meletakkan pengarangnya Ibnu Athaillah dalam saf pertama barisan hamba-hamba Allah yang Muqarrabin. (Lihat Tahqiq Prof. Dr. Abdul Halim Mahmud cs. atas Kitab Al-Hikam Ibnu Athaillah halaman 18, percetakan Cairo)
Berkata Ibnu 'Ibaad An-Nafzy Ar-Randy:
Kitab Al-Hikam adalah kitab yang afdhal dari semua kitab yang ditulis di dalam ilmu Tauhid, dan sebesar-besar pegangan setiap hamba Allah yang hendak berjalan kepadaNya. Maka Al-Hikam adalah pegangannya untuk difahami dan dipelihara isinya, meskipun kitab itu kecil dan tipis, tetapi mengandung ilmu yang agung susunannya enak didengar, dan pergertiannya indah dan bagus.
Al-Hikam bertujuan menerangkan jalan hamba-hamba Allah yang 'Arifin dan Muwahhiddin dan menyatakan pula jalan-jalan apakah harus dilalui oleh Saalikin dan hamba-hamba Allah yang betul-betul menjurus tujuannya kepada Allah s.w.t. (Lihat Muqaddimah Syarhul Hikam oleh Ibnul 'Ibaad, juz pertama halaman 2 percetakan Semarang Indonesia)
Kalimah-kalimah Hikmah yang terkandung dalam Al-Hikam menurut penyelidikan sebanyak 264 Hikmah. Inilah tulisan berharga yang ditinggalkan oleh Al-Imam Ibnu Athaillah kepada ummat Islam kapan saja dan di mana saja. Beliau telah mendahului kita menuju hadirat Allah s.w.t pada tahun 1309H di Madrasah perguruan Almanshuriah, Cairo.
'Allah memberikan Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.' (Al-Baqarah: 269)
Buku: Ulasan Al-Hikam
Karya: Syeikh Sa'id Hawa
Penerbit: Jahabersa & Co
Lelaman Web: http://www.jahabersa.com.my
Kitab al-Hikam yang dikarang oleh Syeikh Ibn Atahaillah as-Sakandary adalah merupakan buku tasawuf yang tidak asing lagi di dunia Melayu kita semenjak dahulu lagi. Kitab ini digunakan di pondok-pondok pengajian agama di tanah Melayu, Selatan Thailand dan Indonesia. Ulasan al-Hikam ini adalah merupakan terjemahan dari al-Hikam yang diulas oleh seorang tokoh gerakan Islam dari Jordan iaitu Syeikh Said Hawa. Beliau melihat kitab ini penting dan perlu dijadikan salah satu teks untuk kuliah pembersihan jiwa menurut Al-Quran dan juga as-Sunnah.
Kitab al-Hikam adalah merupakan kitab yang mempunyai kitab yang mempunyai maksud yang dalam dan jarang orang yang dapat menghuraikannya kecuali mereka betul-betul memahami uslubnya. Syeikh Ibn Atahaillah adalah merupakan pendokong tasawuf sunni. Bagi aliran ini mempelajari tasawuf hendaklah bermula dari pemantapan dalam bidang akidah dan fiqh terdahulu. Di dalam Kitab al-Hikam yang diulas oleh Syeikh Said Hawa, gaya ulasan beliau adalah mudah dan senang difahami.
Mudah-mudahan terjemahan kitab al-Hikam ini dapat memberi saham ke arah membentuk akhlak dan perilaku umat Islam mutakhir ini yang dilanda keruntuhan yang dahsyat termaksuklah yang terbarunya gejala sumbang mahram dan lain-lain lagi.
Buku: Syarah Hikam Tok Pulau Manis
Karya: Syeikh Malik bin Abdullah
Penerbit: Jahabersa & Co
Lelaman Web: http://www.jahabersa.com.my
Kitab "Syarah Hikam Tok Pulau Manis" ini merupakan terjemahan dan ulasan daripada seorang pelopor pengajian pondok secara tradisi yang tertua di Terengganu. Beliau juga adalah pelopor pertama dalam pembinaan sistem pendidikan madrasah yang berjaya membangkitkan kesedaran jiwa beragama di Tereengganu. Ketinggian ilmunya masyur di mana-mana dan telah mennarik ramai penuntut yang datang dari jauh dari segenap pelosok negeri untuk berguru dengan ulamak yang masyhur ini. Beliau adalah seorang ulamak dan kekasih Allah yang masyhur di Terengganu dan di Nusantara ini, dengan keilmuan, ketaqwaan, kebijaksanaan dan keramatnya. Beliau yang dimaksudkan itu ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah atau juga dikenali dengan nama "Tok Pulau Manis" sempena nama kampungnya, Kampung Pulau Manis (Serada), Kuala Terengganu.
Di Mekah, Tok Pulau Manis pernah berguru dengan Syeikh Ibrahim al-Kurani. Ketika di Mekah inilah para sahabatnya menyuruh Syeikh Abdul Malik mensyarahkan kitab Hikam karangan Syeikh Ibnu Athaillah As Sakandari ke dalam bahasa Melayu. Walaupun tugas itu amat berat, namun beliau akhirnya bersetuju untuk melaksanankan usaha tersebut.
Buku: Syarah Al-Hikam Jilid 1 & 2
Karya: Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri
Penerbit: Telaga Biru
Lelaman Web: http://www.telagabiru.net.my/
AL-HIKAM ialah perkataan jamak bagi "hikmah" bermakna "Tiap-tiap kalimah yang terkandung dalamnya ilmu yang bermanfaat"atau "material ilmu yang bermanfaat" seperti ilmu Fiqah, ilmu Tauhid dan ilmu Tasawuf. AL-Hikam mengandungi intisari yang padat mengenai ilmu Tauhid dan Tasawuf.
TASAWUF ialah ilmu yang mengupas bagaimana mensucikan diri daripada sifat-sifat tercela (sifat mazmunah) dan menjaga ibadah serta semua amal perbuatan supaya terhindar daripada pennyakit-penyakit hati yang berbahaya seperti takabur, riyak dan ujub.
TAUHID pula berhubung rapat dengan akidah Islamiah untuk mengenalkan hamba dengan pencipta-Nya pada kadar yang lebih dekat (akrab). 259 hikmah-hikmah yang menerangkumi kandungan kitab al-Hikam membicarakan tentang pokok dan hakikat ilmu Tauhid dan menjurus kepada membimbing mereka kepada menuju Allah SWT.
Sila lungsuri lelaman web tentang Syarah Al-Hikam utk mengetahui hikmah-hikmahnya:
http://alhikam0.tripod.com/index.html
http://www.angelfire.com/journal/suluk/hikam.html
kitab untuk memotivasi ibadah kita
ReplyDeleteAdakah Jilid 3, Belum lagi dikeluarkan ?
ReplyDeleteSalaam. Jilid 3 kitab al hikam oleh Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri belum dikeluarkan.
ReplyDeleteSalam buat semua warga blog islam,ana hanya nak buat tambahan saja bagi mereka yang gemar akan memenuhi ketauhidan dalam diri,untuk lebih memahamkan diri,anda boleh gabungkan dengan kitab aqidatul najin dan futul ghaib,ada satu blog ringkas perihal futul ghaib,ustaz yang mengajar berasal dari kedah,iaitu ustaz Ir Hamdan Bin Osman.Harap info yang ringkas ini dapat kita perolehi manfaat.
ReplyDelete