Musibah Itu Nikmat
Rumah banjir, kecurian, kemalangan, pergaduhan dan sebagainya. Mengapa semua ini semakin menjadi-jadi. Kalau musibah itu kena pada orang lain, dengan mudah kita akan katakan ia sebagai bala dari Tuhan. Kalau musibah itu kena pada kita sendiri, mulalah kita menyalahkan takdir.
Mengapa aku yang kena? Aku dah berusaha kenapa aku masih gagal? Aku dah banyak doa, solat. Kenapa aku yang dapat musibah? Soalan-soalan yang tidak munasabah mula terpacul di mulut, paling tidak pun berlegar-legar dalam fikiran, sebagai tanda tidak puas hati terhadap kesudahan yang menimpa dirinya. Seolah-olah dia berhak mempersoalkan keputusan Allah yang menentukan qadaí dan qadar. Seolah-olah dia layak menentukan kesudahan mana yang dia suka. Jangan nafikan, kerana itu sudah menjadi sifat manusia yang mudah lupa. Kita pasti pernah melalui perasaan-perasaan itu sekiranya kita manusia. Alhamdulillah sekiranya tidak pernah terlintas sedikit pun di hati kita perasaan itu, itu semua lindungan daripada Allah.
Tujuan Musibah
Marilah kita sama-sama kita melihat musibah ini dalam sudut yang lebih positif. Sememangnya musibah itu adalah sebagai dua tujuan; satu sebagai bala, balasan dunia kepada manusia yang ingkar, satu lagi sebagai peringatan kepada manusia yang beriman dan berakal. Sebagai contoh, bencana alam di sesebuah tempat yang menghapuskan seluruh penduduknya mungkin merupakan bala bagi penduduk tersebut yang engkar kepada Allah, tapi ia merupakan peringatan kepada orang lain yang menyaksikan bencana tersebut.
Dan betapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, (padahal) mereka lebih hebat kekuatannya daripada mereka (umat yang belakangan) ini.
Sungguh, pada yang demikian itu pasti terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya. (50:36-37)
Contoh yang lain kekalahan yang menimpa firaun dan bala tenteranya merupakan bala bagi keingkaran mereka manakala kekalahan tentera Islami dalam pusingan kedua perang uhud merupakan peringatan bagi mereka yang beriman.
Dan tiadalah peringatan itu melainkan ia merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hambaNya. Dan tiadalah yang lebih mengetahui tentang manusia melainkan Allah akan sifat manusia yang mudah lupa dan mudah tergoda. Maka dikurniakan peringatan demi peringatan dalam pelbagai bentuk kepada hambaNya agar hambaNya kembali mengingatiNya. Betapa kasihnya Allah kepada hambaNya. Percayalah bahawa ingatnya kita kepada Allah, tunduk patuh kita kepada Allah tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada kekuasaan Allah. Allah Maha Besar tidak memerlukan sedikit pun daripada hambaNya bahkan kitalah yang berkehendakkan kepadaNya. Maka wajiblah kita percaya bahawa semua itu adalah untuk kebaikan kita sendiri. Betapa kasihnya Allah kepada hambaNya.
Lumrah Hidup
Hidup kita merupakan ujian. Susah senang yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya telah diatur rapi oleh Allah untuk kita. ia mewarnai kehidupan kita sebagai seorang manusia. Hidup mudah tanpa kesusahan pasti membosankan. Kesusahan yang berterusan pasti mengecewakan. Lumrah kehidupan pasti ada naik dan turun, menang dan kalah, berjaya dan gagal. Itu sudah menjadi sunnatullah, Allah yang lebih memahami sifat makhlukNya. Tugas kita (sebagai hamba Allah) hanyalah menjalankan apa yang disuruhNya bukan menentukan kesudahan sesuatu perkara. Biarlah ketetapan/kesudahan sesuatu perkara itu menjadi hak milik Allah semata. Dan sesungguhnya Allah Maha Adil.
Sikap Mukmin
Sikap kita sebagai orang yang beriman hendaklah sepertimana yang diucapkan oleh Rasulullah saw.
Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah saw bersabda: Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya. (Riwayat Muslim)
Hendaklah kita menerima segala apa yang berlaku di dunia ini dengan keredhaan yang mutlak kepada Allah. Syukur dan sabar adalah respon kita yang paling baik untuk setiap perkara, senang atau susah. Syukur kerana pasti ada rahmat disebalik kesusahan yang menimpa, sabar kerana itulah tanda orang yang beriman.
Abdullah ibn Umar ra apabila ditimpa musibah akan mengucapkan alhamdulillah dan redha kerana:
- musibah yang datang bukan urusannya
- tahu musibah yang lebih besar boleh terjadi
- Allah akan kasih padanya
- Allah akan beri pahala
- Antara rahmat Allah yang akan kita dapati apabila ditimpa musibah ialah sebagai penghapus dosa, menambah pahala dan pencetus hidayah. Semua ini boleh kita dapati hanya apabila kita syukur dan sabar.
- Apabila kita bersikap sebaliknya, yang kita dapati juga adalah sebaliknya. Ia akan menambah dosa kita, mengurangkan pahala dan kita akan semakin jauh dari hidayah Allah. Naíuzibillah, moga dijauhkan.
Realiti Sebenar & Respon Kita
Realitinya, bercakap lebih mudah daripada merasainya. Perasaan yang terluka lebih pedih daripada jari yang dihiris pisau. Namun sebagai seorang yang beriman batas-batas Islam perlulah dijaga walaupun perit di hati siapalah yang tahu. Percayalah yang kita boleh menghadapinya kerana Allah tidak mungkin menguji hambaNya sesuatu yang hambaNya tidak mampu untuk memikulnya. Percayalah selepas kesusahan pasti ada kesenangan. Berharaplah kepada Allah agar ditunjukkan jalan keluar. Dekatilah Allah agar ditenangkan hati dan diberi hidayah. Railah perasaan kita sekadarnya, jangan dinafikan emosi seorang manusia kerana Rasulullah saw juga menangis ketika kematian anaknya Ibrahim. Bersyukurlah sekiranya hati kita masih menagih ampunan daripada Allah dikala musibah menimpa kerana itulah tanda ia merupakan peringatan daripada Allah. Semoga kita dikuatkan dengan peringatan-peringatan ini. Wallahuíalam.
No comments:
Post a Comment