Wednesday, September 26, 2012

Apabila Belum Jatuh Hati Dengan Tuhan

Kalau engkau belum jatuh hati dengan Tuhan
Lebih-lebih lagi Tuhan belum engkau cintai
Bagaimanalah engkau sembah Tuhan
Sudah tentu engkau tidak merasa lezat
Manalah engkau hendak rasa indah beribadah
Mana boleh dapat melepaskan rasa rindu dengan Tuhan?

Begitulah juga jika engkau belum rasa takut dengan Tuhan
Tidak mungkin di waktu engkau menyembah-Nya
Dapat lahir rasa kehambaan
Rasa hebat, rasa malu, rasa hina, dan merendah diri
Jika engkau sembah juga Allah Taala
Sudah tentu secara terpaksa
Secara terpaksa sudah tentu menyeksakan
Secara terpaksa sudah tentu menjemukan
Di waktu-waktu atau di masa-masa sibuk atau susah
Sudah tentu engkau tinggalkan
Kerana itu mengenal Tuhan itu penting
Agar kita takut dan cinta
Kita rasa Dia Penyelamat, Pelindung, Pemberi Rezeki
Kita sangat terasa Dia Tuhan sangat mencintai kita
Di waktu itu baru kita rasa rindu pada Tuhan
Kita menyembah-Nya sudah tentu kita rasa asyik
Kita dapat mengadu dan bermanja-manja dengan Tuhan
Dapat meluahkan perasaan yang terbuku
Dapat meluahkan rasa rindu dendam
Dengan itu kita dapat menerima harapan dengan Tuhan
Hati kita puas, jiwa kita tenang
Di antara rasa khauf dan raja’ seimbang

Sunday, September 23, 2012

Berinteraksi dengan Allah s.w.t. Melalui Kehidupan

Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya semata-mata.


Hidup ini suatu lapangan, tempat di mana Allah s.w.t. menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.

Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah s.w.t. yang Maha Pencinta.

Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?