Menurut riwayat bahawa apabila baginda sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakan fatwa ulama' yamg mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Ulama' fiqh negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau Imam Nawawi tidak memberi fatwanya.
Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama' fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberi fatwanya dan enggan. Beliau pun memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya dan keenganannya menfatwakan sama seperti fatwa ulama' lain.
Beliau dapat tahu bahawa baginda ada memiliki seribu orang hamba, tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala dua ratus orang khadam wanita baginda memiliki barang-barang perhiasan yang bernilai. Andaikata baginda membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka beliau bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan baginda mengambil harta rakyat.
Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik. Imam Nawawi terima sahaja perintah pengusirannya itu dengan girang hati. Para ulama' Syam telah berusaha menjemput beliau balik, tetapi beliau enggan selagi baginda masih berkuasa.
Kisah ini memberikan kepada kita suatu gambaran yang jelas tentang keberanian jiwa seorang ulama' yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan dan tidak rela mengorbankan kebenaran hukum untuk kepentingan seorang dengan merugikan orang ramai. Keberanian Imam Nawawi menegakkan suatu kebenaran adalah sebaik-baik contoh kepada ulama', di mana mereka dikehendaki untuk mengatakan sesuatu benar menurut hukum walau kepada sesiapa pun juga dan mereka tidak boleh bersifat pengecut dan pengkhianat kebenaran semata-mata dipengaruhi seribu satu macam kebimbangan dan ketakutan.
"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah ulama'. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Faatir: 28)
No comments:
Post a Comment