Tuesday, September 16, 2008

Kemanisan Iman - Cinta Allah dan Rasul

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".  (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)

MUKADDIMAH: 

Iman adalah membenarkan secara putus (jazim) tanpa ragu sedikitpun dengan apa yang datang daripada Rasulullah SAW. yang diikuti dengan ketundukan hati dan ketenteraman jiwa menerima ketentuannya tanpa perasaan degil dan takabbur. 

Terkadang-kadang terdapat iman yang jazim pada seseorang dan tidak ada keraguan sedikitpun terhadap kebenaran yang datang daripada Rasulullah SAW. tetapi sayangnya terkadang kadang iman tersebut diikuti oleh rasa sombong dan enggan serta tidak mahu melaksanakan apa yang diyakininya itu. Maka dalam keadaan seumpama ini, dia belum digolongkan sebagai orang yang beriman. 

Juga terdapat orang yang memiliki iman yang jazim tanpa sedikitpun ada perasaan ragu, malahan dia tidak mempunyai sifat degil dan takabbur terhadap apa diyakininya. Tetapi sayangnya kita lihat orang tersebut tenggelam kedalam dunia kelalaian, dia tidak pandai menilai kadar iman sebagaimana semestinya, dia lalai untuk menunaikan kewajiban mensyukuri nikmat tersebut. Manusia seperti inilah yang dikatakan orang yang beriman atau " mukmin " yanq belum mendapatkan " kemanisan iman ".

Hadis sahih yang termaktub diatas menjelaskan kepada kita beberapa tanda orang-orang yang akan dapat merasakan kemanisan iman. Marilah kita berusaha menghias diri kita masing-masing untuk memiliki kesemua tanda-tanda tersebut semoga kita boleh hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

SYARAH AL HADIS:

Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman.

Hadis ini mengandunqi asas-asas utama bagi semua pintu kebaikan. Kemanisan iman adalah sesuatu yang dapat dirasakan oleh mukmin yang tenteram jiwanya terhadap nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dengan kemanisan iman seseorang dapat menghadapi hidup dengan penuh ceria. Keimanannya dapat membimbing dirinya untuk menghadapi kehidupan ini walau bagaimanapun keadaan yang menimpanya. Jika sedang ditimpa kesusahan dia boleh bersabar, dan dia dapat merasakan nikmat kesabaran. Dan jika dia mendapat nikmat kesenangan maka ia pandai bersyukur, dan dia dapat merasakan nikmat kesyukuran. Dia meyakini bahawa segala yang menimpanya apakah baik atau buruk adalah telah ditentukan oleh Allah sejak azali. Oleh itu ia dengan jiwa tenang dapat menghadapi semua keadaan dengan rasa redha.

Kalaulah begitu besar nikmat yang dia dapat rasakan ketika di dunia lantaran kemanisan iman yang dimilikinya, sudah pasti lebih besar lagi nikmat yang bakal dia terima di sisi Allah kelak di akhirat.

1. Adalah Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selainnya.

Cinta ialah kecenderongan jiwa seseorang kepada sesuatu yang boleh memberinya kelazatan, manfaat ataupun kerana sesuatu itu sesuai dengan fitrah (tabiat) nya. Ada beberapa sebab yang boleh menimbulkan rasa cinta seseorang. Menurut Imam Al Ghazali bahawa ada 5 sebab yang mendorong perasaan cinta seseorang:

1. Cinta manusia kepada dirinya, kewujudannya, keberkekalan dan kesempurnaannya.

2. Cinta manusia kepada orang yang berbuat ihsan kepadanya dan orang yang boleh mendatangkan manfaat kepadanya.

3. Cinta manusia kepada orang yang suka berbuat ihsan semata-mata kerana ihsannya. Walaupun dia sendiri tidak berhajat kepada ihsan orang tersebut.

4. Cinta manusia kepada kecantikan dan keindahan. Keindahan yang memikat ada yang hissy (fisical) seperti keindahan warna warni bunga dan binatang, dan ada pula yang maknawy (abstrak) seperti akhlak yang luhur dan sifat mulia dari seseorang umpamanya: berilmu, cerdik, berani, adil, sabar, cekal dan lain lain. 

5. Cinta manusia kepada seseorang disebabkan kerana orang yang dicintainya itu memiliki persamaan sifat dengannya, walaupun semua sebab terdahulu atau sebahagiannya tidak wujud pada orang tersebut. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW.: Roh-roh adalah tentera tentera yang dipersenjatakan, maka apa yang sesuai dengannya dia akan mesra dan apa yang bercanggah dengannya dia akan berbeza.

Dan jika kita amat amati sebab sebab cinta diatas dengan cermat nescaya kita dapati kesemua sebab itu mewajibkan orang beriman yang benar-benar mengenali Tuhannya untuk mencintai Allah dengan kadar cinta yang tidak ada tolok bandingannya.

Buah atau kesan cinta seseorang kepada Allah akan menimbulkan ketaatannya kepada Allah yakni melaksanakan suruhan Nya dan menjauhi laranqan-Nya. Tetapi perlu diingat bahawa terdapat perbezaan antara taat kerana cinta (mahabbah) dengan taat kerana mengharap dan takut (rakhbah dan Rahbah).

Diriwayatkan bahawa Nabi Isa AS. pernah melalui suatu kaum yang sedang beribadah kerana takut kepada Allah atau kerana mengharap syurga, lalu Isa berkata: Sesungguhnya kamu takut kepada makhluk dan mengharap kepada makhluk. Kemudian Isa meneruskan perjalanannya dan lalu pada suatu kaum yang sedang beribadah. Mereka berkata: Kami beribadah kepada Allah kerana kami cinta kepada-Nya dan kerana ta'zim (mengagungkan)-Nya. Nabi Isa berkata: Kamu semua adalah wali-wali Allah, dan aku diperintahkan agar duduk bersama kamu. 

Ini tidak bererti jika kita beribadah lalu kita tidak boleh mengharap syurga dan takut kepada kepada neraka. Itu adalah diantara sifat orang yang beriman. Ini sebagaimana firman Allah:

Lambung mereka jauh dari tempat tidur tidurnya (sering beribadah malam) sedang mereka berdoa pada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka. ( Al Sajadah / 32 : 16 )

Ayat di atas menegaskan bahawa di antara sifat orang orang yang beriman ialah mereka selalu mendirikan malam dengan beribadat sambil mengrahap akan keredaan Allah dan shurga Allah dan didorong oleh rasa takut kepada murka Allah dan siksaan neraka-Nya. Hanya saja jika " rasa cinta " yang mendorong kita untuk taat kepada Allah, maka nilai ibadah itu adalah lebih tinggi kalau dibandingkan hanya sekadar kerana takut dan harap. 

Adapun cinta kepada Rasulullah SAW. adalah sebahagian daripada cinta kepada Allah. Kerana bagi kita tidak ada seorangpun yang lebih kita percayai selain orang telah dipilih oleh Allah sebagai utusan-Nya. Beliau telah diamanahkan oleh Allah untuk menyampaikan hidayah-Nya kepada umat manusia agar kita mendapat rahmat-Nya. Bagindalah orang yang paling berjasa menyelamatkan kita daripada kegelapan (kekufuran dan syirik) kepada cahaya terang benderang (Islam dan hidayah). Bagindalah yang telah membimbing kita untuk menuju kebahagian hakiki di dunia dan di akhirat. 

Abdullah Bin Al Mubarak berkata:

Para ‘ulama lebih utama daripada ibu bapa kamu. Mereka bertanya: Mengapa demikian (wahai tuan) ? Beliau menjawab: Ibu bapa kamu memelihara kamu dari api (kesusahan) dunia, sedangkan para ‘ulama pula memelihara kamu dari api (kesusahan) akhirat.

Demikianlah peranan dan jasa para ‘ulama yang ikhlas yang telah membimbing manusia agar memiliki akidah yang betul agar terhindar dari syirik dan khurafat, yang telah mengajar mereka cara ibadat yang betul sehingga terhindar dari perbuatan bid’ah, yang telah mengajar mereka budi pekerti yang mulia sehingga dengan demikian, mereka bukan saja terhindar daripada kesusahan di dunia tetapi juga akan terhindar daripada azab Allah yang amat pedih di akhirat. Dan kalaulah demikian peranan para ‘ulama, sudah tentu peranan Rasulullah saw jauh lebih besar dari itu kerana semua ajaran para ‘ulama bersumber daripada ajaran Rasulullah saw. 

Jadi mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada mencintai yang lain, maksudnya ialah kita mestilah mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaan kita kepada ibu bapa, isteri, anak-anak, saudara mara, hatta terhadap diri kita sendiri. Dan selanjutnya kecintaan kita yang mendalam itulah yang mendorong kita untuk berbakti kepada Allah dan Rasul-Nya.

"Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."  (At-Taubah: 24)

2. Dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah 

Cinta jenis ini juga adalah cabang dari kecintaan seseorang terhadap Allah. Seseorang jika benar-benar cinta kepada Allah, maka kesan cintanya itu akan mendorong dia untuk suka jika orang tersebut taat kepada Allah, dan sebaliknya dia akan bersedih dan berusaha menegurnya jika rakannya itu melakukan dosa. 

Ini tidak bererti jika ia mencintai seseorang kerana tujuan selain itu lalu ia terkeluar daripada iman. Hanya saja sebagai bukti kemanisan iman seseorang ialah jika dia cinta kepada seseorang semata-mata kerana Allah, dan jika ia benci kepada seseorang juga adalah semata-mata kerana Allah. 

3. Dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan kedalam api.

Mukmin yang hakiki adalah orang yang tidak ragu lagi bahawa sekiranya dia kembali melakukan amal-amal kufur (dosa) setelah ia insaf dan mendapat petunjuk Allah (taufiq) maka tidak mustahil dia akan dilemparkan kedalam api neraka di akhirat nanti. Oleh sebab itu imannya yang mendalam mencegah dia daripada mengulangi lagi dosa-dosa lampau sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api di dunia ini. Dan sebagaimana kebenciannya kalau dirinya akan dihumban ke dalam api yang bernyala-nyala, begitu jugalah darjat kebenciannya jika anaknya, ibu bapanya, isterinya dan saudara maranya akan dilemparkan kedalam api. 

Adakah manusia yang melihat manusia lain, samada dia kenal atau tidak, walaupun musuhnya, yang akan terjatuh ke dalam api lalu dia biarkan tidak segera ditolongnya? Demi perasaan kemanusiaan, biasanya manusia segera akan menolongnya. Betapa kalau pendorongnya justeru keimanan? 

Jadi mukmin yang hakiki bukan saja benci kalau dirinya mengulangi dosa dosa silam, malahan dia juga merasa benci kalau orang lain melakukan dosa, lebih lebih lagi terhadap mereka yang mempunyai hubungan kerabat dengannya.

9 comments:

  1. assalamualaikum...saya dah tersasar jauh...

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam

    Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar: 53)

    Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan seikhlas-ikhlas taubat, semoga Tuhan mu akan menghapuskan dari kamu akibat kejahatan perbuatan-perbuatanmu, dan akan memasukkan kamu ke dalam surga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai.? (At-Thalaq : 8)

    "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Al-Baqarah: 222)

    Dari Anas bin Malik rodhiallahu ‘anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah sholallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Allah subhanahu wa ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampuni apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR. Tirmidzi, ia berkata, ”hadits ini hasan shahih.”)

    Sabda Rasulullah (saw) : "Sesungguhnya Allah lebih suka menerima tobat hamba-Nya melebihi dari kesenangan seseorang yang menemukan kembali ontanya yang hilang di tengah hutan." (H.R. Bukhori dan Muslim)

    Sabda Nabi (saw) : Orang yang bertaubat dari dosa seperti orang yang tidak berdosa. Dan orang yang minta ampunan dari dosanya, sedangkan dirinya tetap mengerjakan dosa, seperti orang yang mempermainkan Tuhannya.? (H.R. Baihaqi)

    Sentiasalah memohon ampun dari Allah sesungguhnya tiada manusia yang tiada dosa. Bacalah tentang sejarah sahabat dan auliya Allah, mereka dahulu kufur tetapi akhirnya menjadi kekasih Allah seperti Fudhail Iyadh.

    ReplyDelete
  3. boleh saya copy artikel dalam blog ni..untuk sebarkan pada kawan-kawan?

    ReplyDelete
  4. Salam.
    Shukran kerna ziarah blog ana. Silakan copy artikel2 yg anda minati dan sebarkan pada kawan2 supaya dapat manfaat darinya. =)

    ReplyDelete
  5. thanks for sharing, izin saya mau copy artikelnya..terimakasih seblumnya

    ReplyDelete
  6. Salam.
    Sama2 kasih. Silakan share artikelnya. Semoga bermanfaat.

    ReplyDelete
  7. Info yg bermanfaat

    ReplyDelete
  8. assalammualaikum, wr,wb
    Allah akan menganpuni dosa hambanya, jika dia benar-benar bertaubat di jalannya. karna Allah maha pengampun. itu lah beda Allah dengan makhlauk ciptaannya

    ReplyDelete