Friday, April 17, 2009

Kisah Rabi'ah Al-Adawiyah

Abdul Wahid Amir mengisahkan bahawa ia bersama Sufyan ats-Tsauri menziarahi Rabi'ah ketika sakit tetapi kerana segan mereka tidak berani menegurnya.

"Engkaulah yang berkata," kataku kepada Sufyan.

"Jika engkau berdoa nescaya penderitaanmu ini akan hilang."

Rabi'ah menjawab: "Tidakkah engkau tahu siapa yang menghendaki aku menderita seperti ini? Bukankah Allah?" "Ya," Sufyan membenarkan.

"Betapa mungkin, engkau menyuruhku untuk memohonkan hal yang bertentangan dengan kehendak-Nya? Bukankah tidak baik apabila kita menentang Sahabat kita sendiri?"

"Apakah yang engkau inginkan, Rabi'ah?" Sufyan bertanya pula.

"Sufyan, engkau adalah seorang yang terpelajar! Tetapi mengapa engkau bertanya demikian? Demi kebesaran Allah, telah dua belas tahun lamanya aku menginginkan buah kurma segar. Engkau tentu tahu bahawa di kota Basrah buah kurma sangat murah harganya, tetapi hingga saat ini aku tidak pernah memakannya. Aku ini hanyalah hamba-Nya dan apakah hak seseorang hamba untuk menginginkan sesuatu? Jika aku menginginkan sesuatu sedang Allah tidak menginginkannya, maka kafirlah aku. Engkau harus menginginkan segala sesuatu yang diinginkan-Nya semata-mata agar engkau dapat menjadi hamba-Nya yang sejati. Tetapi lainlah persoalannya jika Tuhan sendiri yang memberikannya."

Sufyan terdiam. Kemudian ia berkata kepada Rabi'ah: "Kerana aku tidak dapat berbicara mengenai dirimu, maka engkaulah yang berbicara mengenai diriku."

"Engkau adalah manusia yang baik kecuali dalam satu hal: Engkau mencintai dunia. Engkau pun suka membacakan hadith-hadith." Yang terakhir ini dikatakan Rabi'ah dengan maksud bahawa membacakan hadith-hadith tersebut adalah suatu perbuatan yang mulia.

Sufyan merasa sangat susah hati dan memohon: "Ya Allah, kasihilah aku!"

Tetapi Rabi'ah mencelanya dengan berkata: "Tidak malukah engkau mengharapkan kasih Allah sedangkan engkau sendiri tidak mengasihi-Nya?"

Thursday, April 16, 2009

Kaedah Mengenal Tuhan

Mengenal Tuhan tidak cukup kalau terhenti setakat akal sahaja. Walaupun kita sudah belajar sifat 20 sehingga faham dan alim, ia belum menjamin kita "kenal" Tuhan. Kita sebenarnya baru "tahu" tentang Tuhan dengan akal. Sedangkan mengenal Tuhan ialah dengan hati, bukan dengan akal.

Hati yang arif dan kenal Tuhannya mampu untuk mengawal diri dari kemungkaran. Jika akal yang 'tahu' tentang Tuhan, ia tidak mampu mengawal tuannya dari kemungkaran dan dosa. Dia juga payah untuk berubah dan meningkatkan diri.

Keseluruhannya sifat-sifat Tuhan itu adalah lambang kasih sayang Tuhan terhadap hamba-hamba- Nya. Antara tanda kasih sayang Tuhan itu ialah nikmatNya yang diberikan terlalu banyak dan luas, bahkan tidak terhitung. Jika satu nikmat sahaja kita hurai, sudah cukup untuk menunjukkan betapa baiknya Tuhan kepada kita. Contohnya, cuba kita tutup hidung selama 5 minit. Tentu kita akan mati kerana tidak boleh bernafas. Begitulah besarnya nikmat Tuhan. Maha Besar Tuhan! Kita patut berterima kasih kepada Tuhan. Kalau Tuhan tidak beri kita udara, kemudahan dan keselesaan hidup yang canggih pun tidak bermakna kerana kita tidak dapat mengecapinya.

Rasa-rasa hati seperti inilah yang menguatkan hubungan hati seorang hamba dengan Tuhannya. Hubungan hati dan rasa inilah yang menundukkan manusia agar patuh kepadaNya dengan hati yang penuh kecintaan pada Tuhan.

Jadi, kita perlu sentiasa ingat betapa Pengasih dan Penyayangnya Tuhan yang menjadikan kita. Kita ini hanya seorang hamba yang hina-dina. Diri kita yang hina dan banyak dosa ini pun Allah masih sayang dan beri berbagai nikmat seperti penglihatan, pendengaran, kesihatan dan sebagainya.

Kalau begitulah kasih sayang Tuhan kepada manusia, kenapa kita tidak boleh berkasih sayang sesama insan? Kita selalu menyebut Allah itu Pengasih dan Penyayang melalui kalimah Bismillah namun kita masih ada kesombongan di hati. Kita hina orang dan sebagainya kerana selama ini kita belajar mengenal Tuhan dengan hujah akal semata-mata. Hati kita tidak tersentuh pun jika disebut tentang kehebatan Tuhan.

Justeru itu kita mesti ubah cara kita belajar atau mengajar Tauhid tentang Tuhan supaya dapat mengenal Tuhan dan memiliki rasa-rasa bertuhan. Rasa-rasa bertuhan itulah yang hendak dibawa ke mana-mana.

Rasa bertuhan itu kalau hendak dikiaskan adalah seperti berhadapan dengan seekor harimau. Harimau tersebut sedikit pun tidak mengusik kita. Jika kita dihidangkan makanan di waktu itu, beranikah kita terus makan rezeki yang sedap-sedap terhidang di depan kita? Tentu tidak, sebab kita terasa kehebatan harimau itu. Rasa takut kepada harimau itu yang boleh menerkam bila-bila masa.

Begitu juga dengan Tuhan. Hati yang kenal Tuhan tidak tunggu-tunggu dan berfikir malah dia benar-benar faham dan terasa kehebatan Tuhan setiap masa.

Kehebatan Tuhan itu jauh lebih dari seekor harimau. Jika Allah hendak bertindak ke atas kita, Allah tidak akan bertangguh. Dia boleh buat dalam sekelip mata. Mengapa kita tidak terasa kehebatan Tuhan yang amat jauh lebih hebat dari harimau itu?

Seandainya kita sentiasa merasakan kehebatan Tuhan di dalam hati, dan perasaan bertuhan itu kita bawa ke mana-mana, kita tidak akan makan rasuah, jatuhkan orang lain dan lain-lain. Sebagaimana kalau harimau ada di depan kita, apakah masih sempat untuk bergaduh? Tentu tidak. Segala-galanya hilang, yang ada dalam hati ialah perasaan takut akan 'kehebatan' harimau itu.

Mengapa tidak rasakan Tuhan begitu? Tuhan yang nyawa kita kalau Dia tarik satu urat pun, kita sudah tidak mampu hendak hidup. Sebab itulah dikatakan Tuhan itu Maha Besar. Di hari ini, orang yang ikut Islam pun sudah kehilangan Tuhan, sebab itu Tuhan biarkan umat Islam seluruh dunia diratah-ratah oleh musuh. Manusia sudah terlalu longgar hubungannya dengan Tuhan, sekalipun dalam solat. Sedangkan ketika solatlah sepatutnya rasa bertuhan itu benar-benar dihayati dan dirasai.

Rasulullah bersabda: "Cukup 2 rakaat solat sunat tapi memberi kesan pada peribadi daripada beribu-ribu rakaat tetapi tidak memberi kesan."

Tuesday, April 14, 2009

Yakin Dengan Pertolongan Allah

Para ulama yang mengenal Allah lalu mereka mencintai-Nya, maka merekalah orang-orang yang berbahagia. Mereka tidak memikirkan kecuali tentang berbagai ilmu yang diberikan Allah kepadanya.

Contohnya, Abu al-Hasan az-Zahid, kerana keberaniannya menentang penguasa zalim Mesir di masanya, Ahmad Toulun, maka beliau dimasukkan ke dalam kandang singa. Seketika itu juga, singa yang lapar itu meraung dan mendekat.

Abu al-Hasan tetap tenang duduk, tidak bergerak dan tidak berundur sedikit pun. Orang-orang yang menyaksikan nampak tegang dan gementar.

Ada yang ketakutan kerana pemandangan yang amat mengerikan itu, bahkan ada yang sampai menangis. Singa itu maju mundur mendekatinya, kadang meraung lalu diam. Sesudah itu, ia mengangguk-anggukkan kepalanya, mendekat kepada Abu al-Hasan lalu menciumnya dan pergi tanpa berbuat apa-apa. Orang ramai pun berteriak dengn takbir dan tahlil.

Apa yang lebih hebat daripada itu? Tatkala Ibnu Toulon bertanya kepada Abu al-Hasan tentang apa yang ada di dalam fikirannya, ketika itu dia menjawab: "Aku berfikir tentang air liur singa tersebut, seandainya mengenaiku. Apakah najis atau tidak?"

"Apa kamu tidak takut kepada singa?" tanya Ibnu Toulon.

Abu al-Hasan menjawab: "Tidak, kerana sesungguhnya Allah melindungiku."

Inilah kebahagiaan yang nyata, yang dihasilkan oleh iman dan ilmu yang bermanfaat. Inilah kelapangan yang selalu diburu oleh setiap manusia.

Monday, April 13, 2009

Islamnya Umar

Umar radhiAllahu `anhu, selepas memeluk agama Islam, menjadi kebanggaan orang-orang Islam dan musuh ketat kafir-kafir musyrikin. Tetapi sebelum itu, dia sering menentang Nabi dan mengganggu orang-orang yang menganuti Islam. Dalam suatu mesyuarat orang-orang Quraish, pada suatu hari, mereka telah memutuskan hendak meminta salah seorang daripada mereka supaya membunuh Rasulullah. Umar telah tampil ke hadapan sebagai sukarelawan yang ingin mengusahakan pembunuhan itu. Tiap-tiap Quraish yang menghadiri mesyuarat itu berkata serentak:

"Ya, engkaulah yang dapat melakukannya, Umar!" Dengan pedang yang bergantungan di lehernya, Umar pun mengarahkan langkah menuju ke tempat kediaman Nabi. Dalam perjalanannya, dia telah menemui Sa'ad bin Abi-Waqqas.

Sa'ad: "Ke mana kau, Umar?"

Umar: "Aku hendak pergi menamatkan riqayat hidup Muhammad."

Sa'ad: "Kalau begitu Banu Hashim, Banu Zuhrah dan Banu Abdi Manaf akan membunuh kamu sebagai tindak balas."

Umar (gelisah dengan amaran ini) berkata: "Eh, nampaknya kau juga telah meninggalkan agama nenek moyang kau. Biarlah aku kerjakan kau dahulu."

Umar dengan serta-merta menghunuskan pedangnya. Sambil mengisytiharkan pengislamannya, Sa'ad juga berbuat demikian. Sebelum bertarungan dengan Umar, sempat juga Sa'ad berkata:

"Lebih baik engkau menguruskan rumah tangga kau dahulu. Saudara perempuan kau dan ipar kau, kedua-duanya telah memeluk Islam."

Kemarahan Umar tatkala mendengar berita itu tidak dapat diceritakan lagi. Meninggalkan Sa'ad, dia menggerakkan langkahnya ke arah rumah saudara perempuannya. Setibanya di rumah itu, ia dapati rumah itu telah dikunci dari dalam. Sambil mengetuk-getuk pintu, ia menjerit sekuat tenaga kepada saudaranya supaya pintu itu dibuka. Mendengar suara Umar, Khabbab telah lari bersembunyi meninggalkan masyaf-masyaf Qur'an yang sedang mereka baca. Apabila pintu dibuka, Umar dengan cepatnya menempeleng saudara perempuannya sambil berkata:

"Hai pengkhianat dirimu sendiri, engkau juga telah meninggalkan agamamu."

Tanpa menghiraukan kepala saudaranya yang berdarah, dia masuk ke dalam dan bertanya: "Apakah beliau sedang buat tadi dan siapa dia orang yang suaranya aku dengar dari luar?"

Iparnya menjawab: "Kami hanya berbual-bual sahaja."

Umar bertanya kepada iparnya: "Adakah kamu juga telah meninggalkan agama nenek moyang kamu dan telah memeluk agama baru?"

Dia menjawab: "Bagaimana pula kalau agama baru ini lebih baik dari agama kita yang lama itu?"

Jawapan ini menyebabkan Umar memukulnya dengan kejam dan menarik-narik janggutnya. Saudaranya yang datang hendak meleraikan mereka juga dipukul sehingga mukanya berlumuran dengan darah. Sambil menangis saudara perempuannya berkata:

"Umar! Kami dipukul hanya kerana kami memeluk agama Islam. Kami berazam hendak mati sebagai orang-orang Islam. Kau bebas melakukan apa saja yang kau suka atas diri kami."

Apabila hatinya sejuk sedikit dia berasa malu atas perbuatannya terhadap saudara perempuannya itu . Tiba-tiba ia terpandang akan masyaf-masyaf yang ditinggalkan oleh Khabbab tadi. Katanya, "Baiklah, unjukkan masyaf-masyaf ini."

"Tidak," kata saudaranya. "Badan kau tidak bersih dan orang yang tidak bersih tidak seharusnya memegang masyaf-masyaf ini."

Umar akhirnya membersihkan badannya dan mula membaca masyaf-masyaf tadi. Surah yang dibacanya ialah surah Taha. Dia membaca dari permulaan surah itu. Seluruh sikap dan pandangannya berubah apabila ia sampai ke ayat yang berikut:



"Akulah ALLAH. Tidak ada Tuhan melainkan Aku.
Maka sembahlah Aku dan dirikan solat buat mengingati Aku."
(Taha: 14)

Kata Umar: Baiklah, bawa aku bertemu dengan Muhammad."

Mendengar kata-kata Umar ini Khabbab pun keluarlah dari tempat persembunyiannya sambil berkata:

"Ya Umar! Ada berita baik bagi kamu. Semalam (iaitu malam Juma'at) Nabi telah berdoa kepada Allah: 'Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar atau Abu Jahal, sesiapa yang Engkau suka.' Nampaknya Allah telah memilih engkau sebagai menunaikan permintaan Nabi."

Umar telah menemui Nabi dan pada pagi Juma'at dia telah memeluk agama Islam. Pengislaman Umar merupakan suatu pukulan hebat kepada puak musyrikin. Sungguhpun begitu bilangan orang-orang Islam terlalu kecil kalau dibandingkan dengan bilangan pihak musuh. Kafir-kafir musyrikin telah memperhebatkan usaha-usaha mereka mereka untuk menghapuskan orang-orang Islam serta agama mereka. Dengan Islamnya Umar, kaum Muslimin telah bertambah berani dan sekarang mereka mendirikan sembahyang di Baitul Haram. Kata Abdullah bin Mas'ud:

"Pengislaman Umar merupakan suatu kejayaan besar kepada kaum Muslimin, perpindahannya menguatkan kami dan perlantikannya sebagai Khalifah merupakan suatu keberkatan bagi kami."

Sunday, April 12, 2009

Kenapa Aku Diuji?

KENAPA AKU DIUJI?

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
(Al-Baqarah: 214)

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
(Al-Ankabut: 2-3)

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Muhammad: 31)

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(at-Taghaabun: 11)

Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.
(Taha: 131)

Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya);
(Al-Fajr: 14-17)

Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).
(Az-Zumar: 49)

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
(Al-Baqarah: 216)

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
(Al-Baqarah: 286)

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.
(Al- Baqarah :153)

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk
(Al-Baqarah: 45)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar
(Al- Baqarah:155)

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
(Al-Imran: 200)

(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
(Al-Nahl: 96)

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.
(Al-Kahf: 17)

Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.
(At-Taubah: 129)

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!

... ..dan jgnlah kamu berputus asa drp rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.
(Yusuf: 87)

Friday, April 10, 2009

Kisah Hasan Al-Basri Dan Penyembah Api

Hasan mempunyai jiran yang bernama Simeon, seorang penyembah api. Suatu hari Simeon jatuh sakit dan ajalnya hampir tiba. Sahabat-sahabat meminta agar Hasan sudi mengunjunginya. Akhirnya Hasan pun mendapatkan. Simeon yang terbaring di tempat tidurnya dan badannya telah hitam disebabkan api dan asap.

"Takutlah kamu kepada Allah," Hasan menasihat. "Engkau telah mensia-siakan seluruh usiamu di tengah-tengah api dan asap."

"Ada tiga perkara yang telah menghalangku untuk menjadi seorang muslim. Pertama adalah kenyataan walaupun kamu semua membenci dunia tapi Siang dan malam mengejar harta kekayaan.

Kedua, kamu semua mengatakan bahawa mati adalah suatu kenyataan yang harus dihadapi namun tidak bersedia untuk meng hadapinya.

Ketiga, kamu semua mengatakan bahawa wajah Allah akan dilihat, namun hingga saat ini masih melakukan segala yang tidak diredhai-Nya," jawab Simeon penyembah api.

"Inilah ucapan dari manusia-manusia yang sungguh­ sungguh mengetahui. Jika setiap muslim berbuat begitu, apakah yang sepatutnya engkau katakan? Mereka mengakui keesaan Allah sedangkan engkau menyembah api selama tujuh puluh tahun, dan aku tidak pernah berbuat seperti itu. Jika kita sama-sama terseret ke neraka, api neraka akan membakar dirimu dan diriku.

Tetapi jika diizinkan Allah, api tidak akan berani menghanguskan walau sehelai rambut pada tubuhku. Ini disebabkan api diciptakan Allah dan segala ciptaan-Nya tunduk kepada perintah-Nya. Walaupun engkau menyembah api selama tujuh puluh tahun, marilah kita bersama-sama menaruh tangan kita ke dalam api agar engkau dapat menyaksikan sendiri betapa api itu sesungguhnya tidak berdaya dan betapa Allah itu. Maha Kuasa," jawab Hasan.

Setelah berkata demikian Hasan memasukkan tangannya ke dalam api. Namun sedikit pun tidak cedera atau terbakar. Melihatkan hal itu Simeon merasa hairan. Suatu ilmu telah diketahuinya.

"Selama tujuh puluh tahun aku telah menyembah api, kini hanya dengan satu atau dua helaan nafas saja yang tinggal, apakah yang harus kulakukan?" Simeon mengeluh.

"Jadilah seorang muslim," jawab Hasan.

"Jika engkau memberiku jaminan bahawa Allah tidak akan menghukum diriku, barulah aku menjadi muslim. dengan jaminan itu aku tidak mahu memeluk agama Islam," kata Simeon.
Hasan segera membuat satu surat jaminan.

Ramai orang-orang yang jujur di kota Basrah memberi kesaksian mereka di atas surat jaminan tersebut. Simeon menitiskan air mata dan menyatakan dirinya sebagai seorang muslim. Kepada Hasan ia berwasiat, "Setelah aku mati, mandikanlah aku dengan tanganmu sendiri, kuburkanlah aku dan selitkan surat jaminan ini di tanganku. Surat ini akan menjadi bukti bahawa aku adalah seorang muslim."

Setelah berwasiat demikian, ia mengucap dua kalimah syahadat dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mereka memandikan mayat Simeon, men solatkannya dan menguburkannya dengan surat jaminan di tangannya. Di malam harinya Hasan berbaring sambil merenungi apa yang telah di lakukannya itu. "Bagaimana aku dapat menolong seseorang yang sedang tenggelam sedang aku sendiri dalam keadaan yang serupa. Aku sendiri tidak dapat menentukan nasibku, tetapi mengapa aku berani me mastikan apa yang akan dilakukan oleh Allah?"

Dalam keadaan memikirkan hal itu, Hasan terlena. Ia bermimpi bertemu dengan Simeon, wajah cerah dan bercahaya seperti sebuah pelita; di kepalanya ada sebuah mahkota. Ia memakai sebuah jubah yang indah dan sedang berjalan-jalan di taman syurga.

"Bagaimana keadaanmu Simeon?" Tanya Hasan kepadanya.

"Mengapakah engkau bertanya padahal kau menyaksikan sendiri? Allah Yang Maha besar dengan segala kemurahan-Nya telah menghampirkan diriku kepada-Nya dan telah memperlihatkan wajah-Nya kepadaku. Pemberian yang dilimpahkan-Nya kepada ku melebihi segala-galanya. Engkau telah memberi ku surat jaminan,terimalah kembali surat jaminan ini kerana aku tidak memerlukannya lagi," jawab Simeon.

Ketika Hasan terbangun ia mendapati surat itu telah berada di tangannya. Hasan berseru, "Ya Allah, aku menyedari bahawa segala sesuatu Engkau lakukan adalah tanpa sebab kecuali kerana kemurahan-Mu semata. Siapakah yang akan tersesat di pintu-Mu? Engkau telah mengizinkan seseorang yang telah menyembah api selama tujuh puluh tahun lamanya untuk menghampiri-Mu, semata-mata kerana sebuah ucapan. Betapakah Engkau akan menolak seseorang yang telah beriman selama tujuh puluh tahun?"

Semoga kita dapat ambil iktibar daripada apa-apa yang baik dalam artikel ini, dan jika terdapat mana-mana kesilapan fakta, jutaan maaf di pohon, dan sama-sama kita perbaiki, inyshaa Allah. Dan segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang tidak baik itu hakikatnya dari Allah jua tetapi atas kelemahan saya sebagai makhlukNya. Wallahua'lam...

Wednesday, April 8, 2009

Wasiat Nabi Muhammad S.A.W kepada Saidina Ali Karamallah Wajhah

Wahai Ali, Bagi orang mukmin ada 3 tanda-tandanya

1) Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia
2) Tidak terpesona dengan pujuk rayu wanita
3) Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia

Wahai Ali, Bagi orang alim itu ada 3 tanda-tandanya

1) Jujur dalam berkata-kata
2) Menjauhi segala yang haram
3) Merendahkan diri

Wahai Ali, Bagi orang yang takwa itu ada 3 tanda-tandanya

1) Takut berlaku dusta dan keji
2) Menjauhi kejahatan
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman

Wahai Ali, Bagi orang yang jujur itu ada 3 tanda-tandanya

1) Merahsiakan ibadahnya
2) Merahsiakan sedekahnya
3) Merahsiakan ujian yang menimpanya

Wahai Ali, Bagi ahli ibadah itu ada 3 tanda-tandanya

1) Mengawasi dirinya
2) Menghisab dirinya
3) Memperbanyakkan ibadah kepada ALLAH s.w.t.

Wahai Ali, aku melarangmu dengan 4 perkara

1) irihati
2) bohong
3) loba
4) pemarah

Wahai Ali, segala sesuatu ada penyakitnya

1) Penyakit bicara adalah bohong
2) Penyakit ilmu adalah lupa
3) Penyakit ibadah adalah riak
4) Penyakit budi pekerti adalah memuji diri sendiri
5) Penyakit berani adalah agresif
6) Penyakit pemurah adalah menyebut-nyebut pemberian
7) Penyakit cantik adalah sombong
8) Penyakit bangsawan adalah bangga
9) Penyakit malu adalah lemah
10) Penyakit mulia adalah menonjolkan diri
11) Penyakit kaya adalah kikir
12) Penyakit royal (mewah) adalah berlebih-lebihan
13) Penyakit agama adalah hawa nafsu

Monday, April 6, 2009

Mengendali Hawa Nafsu

Imam Al-Ghazali dalam bukunya Tentang Mengendalikan Hawa Nafsu menguraikan tentang pengendalian hawa nafsu ini.

Nafsu dibagi menjadi empat bahagian, iaitu
1.keserakahan nafsu terhadap harta benda.
2.nafsu amarah akan membakar dan membutakan hati,
3. kesenangan duniawi mendorong nafsu
4. nafsu syahwat.

1. Imam Al-Ghazali mengajak orang yang sudah kaya mensyukuri kekayaannya. Jika engkau menjadi orang kaya, maka syukurilah. Jika dirimu berkedudukan, manfaatkanlah kekuasaan dan kedudukanmu untuk memakmurkan rakyat. Jangan sekali-kali memanfaatkan kuasa untuk mengumpul harta benda sampai tak habis dimakan tujuh keturunan.

2. Mengendalikan nafsu amarah yang ada dalam diri sendiri juga tidak kurang pentingnya. Namun, yang lebih penting adalah menghadapi amarah dan kezaliman orang lain. Oleh sebab itu, berusaha sabar dalam menghadapi kemarahan dan kezaliman orang lain.

Cara yang paling baik dalam hal ini ialah berusaha sabar dan berlapang dada, suka memaafkan dan bermurah hati. Sesungguhnya ada tiga akhlak yang sangat terpuji dan harus engkau miliki. Yaitu, memaafkan kezaliman orang lain, bermurah hati terhadap orang yang bakhil dan menolong orang yang menyalahi peribadimu.

Betapa pentingnya menahan rasa dendam dan amarah. Marah itu adalah nafsu dan nafsu itu dimasuki syaitan, sehingga akibat dari kemarahan selalu buruk dan merugikan. Oleh karena itu, jika suatu ketika engkau menjumpai seseorang dan marah dengan zalim, maka janganlah engkau balas dengan kemarahan pula. Api tak boleh dilawan dengan api. Jika engkau lawan dengan kemarahan pula, maka petaka yang terjadi, api nafsu semakin berkobar. Walaupun engkau perlakukan dengan zalim dan dengan kemarahannya, maka untuk sementara waktu engkau hadapi dengan tenang.

3. Manusia selalu diingatkan agar tidak terjerumus akan kesenangan duniawi, karena hal itu akan mendorong nafsu menjadi liar. Kesenangan duniawi itu racun pembunuh yang mengalir dalam urat. Ke luar dari hati, ketakutan, kegundahan, ingat kepada mati dan huru-hara di hari kiamat. Inilah yang dinamakan hati mati.

Syaitan selalu menggoda setiap manusia setiap masa dan ketika. Ini sesuai dengan janjinya di hadapan Allah, ketika Iblis keluar dari Surga.

Syaitan itu pandai, diwarnainya dunia ini dengan harta, kuasa dan wanita. Dengan cara apa pun dilakukan orang mengejar kuasa. Orang berlumba mengejar kuasa, tanpa memeperdulikan kaedah yang di ajarkan agama, apalagi norma-norma pekerjaan yang sebenarnya.

Setelah menduduki kuasa, seseorang akan mudah memperoleh kekayaan. Dengan wang dan kekayaan itu seseorang pun akan mudah hidup bersenang-senang dengan perempuan yang bisa "dibelinya".

Bagi orang yang lemah iman dan akalnya dapat dikalahkan dengan nafsu, meskipun ilmunya banyak dan ia sebagai ulama, tetap saja hatinya sibuk memikirkan harta duniawi. Dan -- maaf saja -- dengan menjual syariat, menjual ayat-ayat Al Quran lalu memutar-balikkan kebenaran dilakukannya demi harta dan kenikmatan duniawi.

4. Imam Al-Gazhali mengingatkan bahwa syaitan menggoda manusia di dunia ini melalui seribu cara. Dan yang paling berbahaya ialah harta dan wanita. Setan telah memasang perangkap godaannya melalui harta dan wanita. Tidak sedikit manusia yang hancur kehidupannya hanya karena memburu harta dan gagal. Banyak orang yang rosak hidupnya hanya karena mencari kesenangan dan memburu wanita.

Dalam ajaran Islam, nafsu itu bukan untuk dibunuh, melainkan untuk dijaga dan di kawal.

1 . Banyakkan berpuasa
2. Jangan melihat sesuatu yang boleh menaikkan nafsu
3. Amlakan sifat sabar dan berlapang dada,
4. Jangan berada di tempat atau situasi yang boleh membantu nafsu
5. Jangan lah makan terlalu kenyang
6. Lakukanlah amalan kebajikan seperti sedekah jariah serta belajar ilmu agama.
7 Lakukan sesuatu denagan ikhlas dan dengan bacaan Bismillah.

Saturday, April 4, 2009

Kelebihan Ibadat Disaat-saat Hura Hara

Daripada Ma’qil bin Yasar ra. berkata Rasulullah bersabda: "Beribadat di saat-saat huru hara (dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku". (Riwayat Muslim)

Keterangan:
Orang yang mampu beribadat dan menunaikan kewajipan agamanya di saat-saat yang penuh dengan huru hara dan gangguan dari segenap penjuru, dan mampu mengingati Allah swt. di saat-saat orang lain lupa dan di sibukkan dengan perkara-perkara yang melalaikan. Mereka akan diberikan pahala seperti pahala hijrah yang telah dilakukan oleh kaum Muhajirin di zaman Rasulullah saw. Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan mereka yang mampu beribadat walaupun di dalam keadaan dan suasana yang sangat menyibukkan, dan mudah-mudahan kita mendapatkan pahala besar yang telah dijanjikan oleh Rasulullah saw. tadi.

Seperti Memegang Bara Api

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:
Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran agamanya ia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat. Kalau ia tidak bersungguh-sungguh, nescaya agamanya terlepas dari genggamannya. Ini adalah disebabkan suasana disekelilingnya tidak membantu untuk ia menunaikan kewajiban agamanya, bahkan apa yang ada disekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. lni juga bermaksud, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.

Wednesday, April 1, 2009

Lelaki Dan Kepompong Kupu-kupu

Seorang lelaki telah menemui kepompong kupu-kupu di tengah jalan. Ada lubang kecil pada kepompong itu. Dia duduk mengamati lubang itu dan melihat ada kupu-kupu cuba berjuang untuk membebaskan diri melalui lubang kecil itu. Kemudian kupu-kupu itu berhenti mencuba. Ia kelihatan telah berusaha sedaya upaya dan kini tidak mampu untuk melakukan lebih jauh lagi. Akhirnya lelaki tersebut mengambil keputusan untuk membantu kupu-kupu tersebut. Dia mengambil gunting dan memotong sisa kekangan dari kepompong itu.

Kupu-kupu tersebut keluar dengan mudahnya. Namun, dia mempunyai tubuh gembung dan kecil, sayap-sayapnya berkeriut. Lelaki tersebut terus mengamatinya sambil berharap sayap-sayap itu akan mekar dan melebar sehingga mampu menampung tubuh kupu-kupu itu, yang mungkin akan berkembang seiring dengan berjalannya waktu. Namun, harapannya hanya tinggal harapan.

Hakikatnya, kupu-kupu itu terpaksa menghabiskan sisa hidupnya merangkak di sekitarnya dengan tubuh gembung dan sayap-sayap berkeriut dan tidak sempurna. Dia tidak pernah mampu terbang.

Lelaki yang membantu kupu-kupu tersebut tidak mengerti bahawa kupu-kupu tersebut perlu berjuang dengan daya usahanya sendiri untuk membebaskan diri dari kepompongnya. Lubang kecil yang perlu dilalui kupu-kupu tersebut akan memaksa cairan dari tubuh kupu-kupu itu ke dalam sayap-sayapnya sehingga dia akan siap terbang dan memperoleh kebebasan dari kepompong tersebut.

Kadang-kadang perjuangan adalah suatu yang kita perlukan dalam hidup kita.Jika Tuhan membiarkan kita hidup tanpa ranjau dan perjuangan, kita mungkin akan jadi lemah dan tak tahan ujian. Kita mungkin tidak kuat untuk menghadapi rintangan bagi mencapai cita-cita dan harapan yang kita idamkan.

Kita mungkin tidak akan pernah dapat....terbang... jauh. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Kita memohon kekuatan dan keteguhan hati.Dan Tuhan memberi kita dugaan dan ujian untuk membuat kita kuat dan cekal..

Kita memohon kebijaksanaan; Dan Tuhan memberi kita berbagai persoalan hidup untuk diselesaikan agar kita bertambah bijaksana dan matang.

Kita memohon kemakmuran; Dan Tuhan memberi kita akal dan tenaga untuk dipergunakan sepenuhnya bagi mencapai kemakmuran.

Kita memohon cinta; Dan Tuhan memberi kita orang-orang bermasalah untuk diselamatkan dan dicintai.

Kita memohon kemurahan rezeki dan kebaikan hati; Dan Tuhan memberi kita kesempatan-kesempatan yang silih berganti.

Begitulah cara Tuhan membimbing Kita

Adakah jika saya tidak memperoleh apa yang saya idamkan, bererti bahawa saya tidak mendapatkan segala yang saya inginkan ?

Kadang-kadang Tuhan tidak memberikan apa yang kita minta, tapi dengan pasti Tuhan memberikan yang terbaik untuk kita, kebanyakan kita tidak dapat melihat hikmah disebaliknya, bahkan tidak mahu menerima rencana Tuhan, padahal itulah yang terbaik untuk kita.