Ramai orang berkata ia Cinta kepada Allah Subhanahuwa Taala. Katanya itu hendaklah diuji sama ada tulen atau hanya palsu.
Ujian pertama ialah; Dia hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang yang enggan bertemu dengan sahabatnya. Nabi Muhammad saw bersabda; "Siapa yang ingin melihat Allah, Allah ingin melihat dia." Memang benar ada juga orang yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingat kedatangan mati sebelum ia siap membuat persediaan untuk pulang ke akhirat, tetapi jika betul-betul ikhlas, dia akan bertambah rajin berusaha lagi untuk membuat persediaan itu.
Ujian kedua ialah ia mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk menurut kehendak Allah dan sedaya upaya menghampirkan diri kepada Allah dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dengan Allah. Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi itu membuktikan yang ia tidak menyintai Allah sepenuh jiwa raganya. Fudhoil bin Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki; "Jika sesiapa bertanya kepada mu sama ada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam kerana jika kamu kata: "Saya tidak cinta kepadaNya", maka kamu kafir dan jika kamu berkata, "Saya cinta", maka perbuatan kamu berlawanan dengan katamu."
Ujian yang ketiga ialah ingat kepada Allah itu mestilah sentiasa ada dalam hati manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan benar, kerana apa yang kita cinta itu mestilah sentiasa kita ingat. Sekiranya cinta itu sempurna, ia tidak akan lupa yang dicintainya itu. Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah itu tidak mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu, maka cinta kepada menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua, kerana cinta itu satu perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.
Saturday, September 24, 2011
Tanda-tanda Cinta Kepada Allah
Saturday, September 17, 2011
Tipuan Syaitan Terhadap Mereka Yang Beribadat
Adapun tipuan serta ajakan syaitan terhadap manusia agar meninggalkan beribadah kepada Allah Taala ada 7 macam jalan;
1. Syaitan melarang manusia, agar jangan taat kepada Allah. Orang-orang yang dipelihara Allah, akan menolak ajakan itu dan akan berkata:
* Aku sangat memerlukan sekali kepada pahala dari Allah, kerana aku harus mempunyai bekal dari dunia untuk akhirat yang kekal abadi.
2. Bila pujukan pertama tidak berhasil, maka syaitan mengajak manusia untuk mengakhiri taat; nanti saja atau kalau sudah tua, dan sebagainya. Orang-orang yang terpelihara akan menolak ajakan itu dan akan berkata:
* Ajalku bukan pada tanganku; jika aku menunda-nunda amal hari ini untuk esok, maka amal hari esok bila akan aku kerjakan, padahal tiap-tiap hari dan waktu mempunyai amal tersendiri dan hak hukum waktunya.
3. Kadang-kadang syaitan akan mendorong manusia supaya terburu-buru mengerjakan amal baik dengan amat segera dan katanya: Ayuh' cepat-cepat beramal supaya engkau dapat memburu lagi amal lainnya. Orang-orang yang selamat tentu menolak dan berkata:
* Amal yang sedikit tapi sempurna lebih baik daripada amal banyak tetapi tidak sempurna. Dalam hal Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda dengan maksud:
"Tergopoh-gopoh itu pembawaan dari syaitan, kecuali dalam lima perkara;
Friday, September 9, 2011
Berhati-hatilah Dengan Dunia
Al-Hasan Al Basri telah menulis kepada khalifah Umar ibn Abdul Aziz, katanya:
Maka sesungguhnya dunia itu adalah kampung persinggahan, bukan kampung yang kekal. Sesungguhnya Nabi Adam a.s diturunkan dari syurga ke dunia sebagai satu hukuman kepadanya. Maka awasilah dirimu wahai Amirul-mu'minin, kerana sesungguhnya bekalan yang kamu raih di dunia itu akan kamu tinggalkannya juga, segala kekayaan akhirnya akan memiskinkanmu, setiap masa ada sahaja mangsa yang terbunuh kerananya, akan terhina siapa yang membesarkannya, akan fakir siapa yang mengumpulkannya, ia seperti racun yang dimakan oleh orang yang tidak mengetahi, lalu ia mati.
Oleh itu hiduplah engkau di dalamnya seperti seorang pesakit yang cuba menyembuhkan lukanya, terpaksa berpantang sebentar kerana bimbang akan merderita panjang, ia terpaksa menanggung pahitnya ubat kerana takut lama menderita penyakit. Lantaran itu hendaklah awas dari dunia yang terkenal sebagai penipu pengeliru yang menghiaskan dirinya dengan penuh tipudayanya, yang selalu memfitnahkan ramai dengan perdayaannya dengan beraneka macam cita-cita serta memujuk rayu dengan kata bicaranya, dia adalah umpama pengantin yang menarik mata untuk memandangnya, melalaikan hati untuk mengingatkannya, semua jiwa terpesona kepadanya, dan dia pula amat benci kepada semua berkawan dengannya. Orang yang hidup sekarang tidak pernah mengambil tauladan dari orang yang terdahulu, yang terkemudian tidak mahu serik dari orang yang berlalu, dan orang ramai tidak mahu mendengar apa diberi tunjuk oleh si Arif yang mengenal Allah dengan sebenar-benar pengenalan. Orang yang mendapat dunia terus asyik dengan dunianya untuk memenuhi segala keperluannya, lalu dia terpedaya dan melewati batas, lupa dari hal mati kerana fikirannya terlena dengannya, sehingga tergelincir kakinya, maka amat besarlah kerugiannya dan banyak penyesalannya. Nanti apabila menghadapi sakaratul maut barulah terasa berat sakitnya, terasa luput banyak amalannya, dia kira dapat menebus dirinya dengan apa yang ditinggalkannya dari dunia, tetapi semua itu adalah sesia belaka, lalu tentulah dia akan menghadapi hal-hal yang sangat menyesalkan.
Tuesday, August 30, 2011
Apakah Amalan Taqwa Itu?
Amalan taqwa bukan setakat apa yang terkandung di dalam rukun Islam seperti puasa, zakat, haji dan sembahyang sahaja.
Bukan setakat membaca Quran atau berwirid dan berzikir sambil menggentel biji tasbih.
Bukan juga bersuluk dan beruzlah menjauhkan diri dari orang ramai.
Amalan taqwa bukan sahaja di surau atau di masjid.
Amalan taqwa adalah apa sahaja amalan dan perbuatan di dalam kehidupan yang berlandaskan syariat sama ada yang fardhu, wajib, sunat atau harus atau apa sahaja amalan dan perbuatan yang dijauhi dan ditinggalkan sama ada yang haram atau makruh yang dibuat berserta rohnya iaitu ada batinnya, penghayatan dan penjiwaannya.
Dengan kata-kata yang lain, ada terkait dengan akal, roh dan terhubung dengan Allah, dibuat kerana dan mengikut cara yang Allah mahu.
Ini termasuk segala perkara yang berlaku dalam kehidupan baik dalam kehidupan seharian, dalam bidang ekonomi, pembangunan, pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, ketenteraan, kesihatan dan sebagainya.
Sunday, August 28, 2011
Nasihat Sayidina Ali Tentang Dunia
Sayidina Ali karramallahu-wajhah pernah berpidato suatu masa, katanya:
Ketahuilah, bahawa kamu semua akan mati, dan dibangkitkan sesudah mati. Kamu akan ditanya dari hal amalan-amalan kamu dan akan dibalas terhadap kesemuanya, maka jangan sampai kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia kerana yang demikian itu diserikan dengan berbagai-bagai bala bencana yang tetap akan menarik kamu kepada kebinasaan.
Semua yang ada pada dunia itu adalah tipudaya semata dan dia akhirnya akan hilang lenyap, bila dia berada denganmu dia adalah penuh tipu muslihat, kesenangannya tidak kekal, dan tiada seorang pun akan selamat dari kejahatannya. Sementara penghuninya dalam keadaan gembira dan sukacita tiba-tiba ditimpa bahaya dan bencana, hal-ehwalnya berubah-ubah tidak tetap, kehidupannya tercela dan kemewahan di dalamnya mempunyai cita-cita yang tak menentu maka dunia akan melemparnya dengan anak panah lalu membinasakannya. Semua orang akan mati mengikut takdir dan ketentuan, tidak lebih dan tidak kurang.
Ketahuilah, wahai hamba-hamba Allah, bahawasanya kamu dan apa yang kamu rasakan dari dunia ini adalah sama sahaja dengan apa yang dirasakan oleh orang-orang yang terdahulu dari kamu, malah umur mereka lebih panjang dari kamu, kekuatan mereka lebih teguh dibandingkan dengan kamu, rumah mereka lebih kukuh, bekas yang ditinggalkan mereka masih kelihatan sampai sekarang, namun suara-suara mereka tidak kedengaran lagi sesudah laungannya bergema begitu lama, tubuh-tubuh mereka hancur luluh, rumah-rumah mereka yang berupa pondok-pondok sudak tidak kelihatan lagi sedang bekas-bekasnya masih tinggal dan terlihat.
Monday, August 22, 2011
Al-Quran: Dahulu Dan Sekarang
Orang yang beriman tentu mengetahui hikmat diturunkan al-Quran, dan tentu sedar tentang keistimewaannya dari segala kitab. Huruf dan kalimahnya menimbulkan kelazatan pendengaran yang tidak jemu-jemu. Manakala maknanya membangkitkan hati, membukakan fikiran untuk berbakti serta mengubah pandangan hidup ke arah usaha melipatgandakan amal kebaikan yang lebih suci demi mencari keredhaan Ilahi di dalam dunia yang sementara ini.
Demikianlah kitab Allah al-Quran, sebuah kitab petunjuk sepanjang zaman, perlembagaan hidup orang mukmin yang inginkan kemuliaan. Yang demikian hendaklah diamalkan pengajarannya dan janganlah diutamakan saja hurufnya, tetapi ditinggalkan hududnya (hukumnya) atau dipelajari tajwidnya, tidak dipedulikan pantang larangnya, sebagaimana yang pernah berlaku sepanjang zaman kemunduran umat Islam, sesuai dengan maksud hadith Ibn Mas’ud yang menyatakan sebagai berikut:
"Sesungguhnya engkau berada pada satu zaman yang didapatinya banyak fuqaha'nya (orang-orang yang faham ayat al-quran) dan sedikit pula qarinya (orang-orang yang pandai membaca ayat-ayatnya) tetapi hudud al-quran (larangan-larangan) tetap dipeliharanya sedangkan hurufnya tidak pula sangat diwajibkannya. Sedikit orang meminta, banyak orang memberi. Mereka memanjangkan sembahyang dan memendekkan khutbah. Mereka mulakan saja amal-amal mereka sebelum percakapan mereka. Dan akan datang satu zaman kepada manusia yang didapati sedikit sekali fuqaha'nya, banyak pula qarinya, dipelihara benar hurufnya tetapi disia-siakan hududnya. Banyak orang meminta, sedikit orang memberi. Mereka memanjangkan khutbah, memendekkan sembahyang. Mereka mulai menuruti kemahuan-kemahuan mereka sebelum melakukan amal-amal mereka."
*hadith ini di dalam kitab al-Muwatta’ dan Imam Shatabi menerangkannya dalam al-Muwafaqat.
Senyuman Adalah Sedekah
Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"
Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah riak mukamu. Kau tahu, Rasulullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya.
Mulai hari itu, wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya sentiasa menguntum senyum bersahabat. Riak mukanya berseri.
Tak heran jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah air muka yang ramah dan penuh senyum.Bahkan Rasulullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.
Sunday, August 21, 2011
Zikrul Maut (Ingat Akan Mati)
Mati adalah sesuatu perkataan yang paling ditakuti oleh hampir setiap manusia. Setiap orang, juga binatang takut mati, kecuali beberapa manusia yang sudah putus asa dalam kehidupan ini, yang ingin segera mati. Wajar sekali kalau manusia takut mati, sebab mati bererti berpisah dengan segala yang ia miliki atau senangi, berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Berpisah dengan anak dan isteri serta kekasih. Berpisah dengan bapa atau ibu, berpisah dengan harta dan pangkat, berpisah dengan dunia dan segala isinya.
Semua orang takut mati, tetepi ada yang berlebihan sekali, ada pula yang takutnya itu sedikit sahaja, bahkan ada yang tak takut sama sekali, malah berani dan ingin mati. Ketakutan terhadap mati adalah kerana dua hal :-
Kerana kurang atau tidak adanya pengetahuan kita tentang mati, keadaan mati dan keadaan selepas mati adalah gelap. Semua orang takut menempuh tempat yang gelap dan tidak diketahui. Kerana doa dan kesalahan yang sudah bertumpuk dan tidak bertaubat, sehingga mendengar kata mati sudah terbayang azab dan seksa yang diperolehinya akibat dosa dan kesalahan tadi. Bagi orang cukup pengetahuan dan keyakinan terhadap hidup sesudah mati dan merasa dirinya tak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka baginya tak ada ketakutan terhadap mati malah ingin mati. Tetapi agama Islam melarang orang ingin cepat mati, agar dapat hidup melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya. Dan kalau ingin hidup lama adalah dengan tujuan agar dapat semakin banyak melakukan kebaikan bukan pula untuk dapat lebih banyak menumpuk harta dan kekayaan atau keturunan.
Ada beberapa petunjuk Rasullullah s.a.w. untuk selalu zikrul maut (ingat akan mati) ini, antara lain :-
Tuesday, August 16, 2011
Kejadianku Dari Tanah
Tuhan…Kejadianku dari tanah. Tanah adalah hina, dipijak-pijak orang, dilemparkan orang dengan najis-najis, kekotoran dan sampah sarap ke atasnya. Orang pijak dan orang buat berbagai perkara di atasnya. Tanah dia sadar bahwa dirinya HINA, maka boleh menerima kehinaannya itu dalam bentuk apa saja. Lakukanlah ke atasnya dia boleh menerima tanpa bantahan. Tanah boleh terima apapun yang dibuat kepadanya. Pijaklah tidak mengapa! Lemparlah apa saja kepadanya,Buatlah apa saja kepada aku, aku redha. Seolah-olah begitulah tanah berkata kalau dia boleh bersuara.
Tanah kalau dicurahkan air kepadanya tetap diserapnya ke dalam badannya. Air adalah simbol rahmat dan berkat, ia mudah menerimanya dan tidak menolaknya. Kalau air itu berlebih dari yang terserap, air itu sangat berguna kepada benda lainnya. Boleh diminum oleh makhluk Tuhan, boleh pula membersihkan najis dan kekotoran di belakangnya. Karena REDHA, tanah itu subur pula oleh air dan sampah sarap yang dilempar ke atasnya. Karena suburnya orang bertani di atasnya, ramai makhluk yang mendapat manfaatnya. Di atasnya juga orang memelihara ternakan menjadi hasil pula kepada negara. Orang bangunkan kemajuan, orang bangunkan tempat tinggal dia terima saja. Tanah (bumi) karena TAWADHUKnya ramai makhluk dan manusia mendapat manfaatnya. Sungguh banyak budinya kepada manusia dan makhluk Tuhan.
Ya Allah… Begitulah kejadian tanah, begitulah tabiat tanah sentiasa merendah diri setiap masa. Buat apa saja ke atasnya boleh dia terima. Hasil dari itu banyak khidmatnya kepada makhluk dan manusia.
Ya Allah… Aku adalah dijadikan daripada tanah, aku hina. Karena kejadianku dari tanah hina, Engkau kekalkanlah tabiat dan sifatku seperti tanah. Jadikanlah aku orang tawadhuk seperti tanah. Kalau orang hendak mengata dan menghina aku, jadikanlah aku boleh menerimanya. Aku redha dengan kata-kata penghinaan itu karena aku memanglah hina, sesuai dengan kejadianku.
Monday, August 15, 2011
Nasihat tentang Akhlak
Menjelang waktu sahur, lelaki itu datang lagi dengan membawa hidangan seperti sebelumnya. Setelah makan sahur, mereka menunggu untuk solat Subuh. Syekh Imam datang dan terus mengimamkan solat Subuh. Syekh Imam datang dan terus mengimamkan solat, kemudian duduk berzikir, membaca Al-Quran, memuji Allah dan berdoa dengan doa yang baik.
Syekh kemudian menghadap kepada para jemaah dan berkata: "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mensyariatkan dua perkara ke atas makhluknya di dalam satu ayat, tapi manusia lalai terhadapnya.
"Apa dia Syekh?" tanya orang sufi.
"Sila maju ke hadapan." pinta Syekh.
Orang-orang pun maju, kemudian Syekh meneruskan syarahannya.
"Wahai anakku! Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman (yang ertinya): "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua." kata Syekh itu sambil menyebutkan sifat-sifat musuh." kata Syekh lagi.
"Jadi, bagaimana kita membentengi diri dari musuh tersebut?" tanya si sufi.
Friday, August 12, 2011
Kebesaran Allah s.w.t
Allah s.w.t menguasai dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Dia memerintahkan dan melarang, menciptakan dan memeliharakan, dan mematikan dan menghidupkan. Dia mengangkatkan dan merendahkan derajat, menggantikan malam dan siang, dan menaikkan dan menjatuhkan bangsa-bangsa, agar satu bangsa lenyap dan yang lain muncul. Semua yang ada di langit dan bumi, di atasnya dan di bawahnya, di lautan dan di udara, tunduk kepada perintahNya. Dia mengetahui segala sesuatu dan jumlah segala sesuatu. PengetahuanNya meliputi tiap-tiap sesuatu dan tidak hilang lenyap dari pengetahuanNya sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit. Kalau semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimahNya, maka akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimahNya, walaupun ditambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.
Dia mendengar semua suara, dan tidak tersilap antara satu sama yang lain, Dia mendengar semua permintaan dan permohonan dalam berbagai bahasa. Tiada suara menyimpangkan perhatianNya dari mendengar yang lain, Dia tidak terkeliru mendengar permintaan mereka, dan tidak pernah jemu mendengar permohonan mereka. Dia lihat segala yang dapat dilihat, malah perjalanan seekor semut hitam di atas batu permata ketika kegelapan malam. Dia dapat melihat segala penglihatan mata, dan mengetahui segala rahsia. Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan. Dia mengampunkan dosa, mengurangkan kebimbangan, mengurangi kesusahan, menunjuk hambanya ke pangkal jalan, membuat yang kaya menjadi miskin, memberi petunjuk kepada yg tersesat dan keliru, memenuhi keperluan yang berputus-asa, memberi makan yang lapar, membajui yang telanjang, menyembunyikan keaiban, dan menenangkan ketakutan.