Wednesday, September 26, 2012

Apabila Belum Jatuh Hati Dengan Tuhan

Kalau engkau belum jatuh hati dengan Tuhan
Lebih-lebih lagi Tuhan belum engkau cintai
Bagaimanalah engkau sembah Tuhan
Sudah tentu engkau tidak merasa lezat
Manalah engkau hendak rasa indah beribadah
Mana boleh dapat melepaskan rasa rindu dengan Tuhan?

Begitulah juga jika engkau belum rasa takut dengan Tuhan
Tidak mungkin di waktu engkau menyembah-Nya
Dapat lahir rasa kehambaan
Rasa hebat, rasa malu, rasa hina, dan merendah diri
Jika engkau sembah juga Allah Taala
Sudah tentu secara terpaksa
Secara terpaksa sudah tentu menyeksakan
Secara terpaksa sudah tentu menjemukan
Di waktu-waktu atau di masa-masa sibuk atau susah
Sudah tentu engkau tinggalkan
Kerana itu mengenal Tuhan itu penting
Agar kita takut dan cinta
Kita rasa Dia Penyelamat, Pelindung, Pemberi Rezeki
Kita sangat terasa Dia Tuhan sangat mencintai kita
Di waktu itu baru kita rasa rindu pada Tuhan
Kita menyembah-Nya sudah tentu kita rasa asyik
Kita dapat mengadu dan bermanja-manja dengan Tuhan
Dapat meluahkan perasaan yang terbuku
Dapat meluahkan rasa rindu dendam
Dengan itu kita dapat menerima harapan dengan Tuhan
Hati kita puas, jiwa kita tenang
Di antara rasa khauf dan raja’ seimbang

Sunday, September 23, 2012

Berinteraksi dengan Allah s.w.t. Melalui Kehidupan

Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya semata-mata.


Hidup ini suatu lapangan, tempat di mana Allah s.w.t. menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.

Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah s.w.t. yang Maha Pencinta.

Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?

Saturday, August 11, 2012

Belajar Sedikit Faham Banyak

Para Sahabat di zaman awal Islam, sedikit sahaja diajar oleh Rasulullah SAW, mereka dapat faham dengan banyak, luas dan mendalam. Segala apa yang Rasulullah ajar, mereka mampu mengembangkan, mengaitkan, mengkiaskan dan mensyarahkannya hingga ia menjadi sumber ilmu yang lengkap dan menyeluruh.

Berlandaskan ilmu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW itu juga para Sahabat mampu mentafsir dan mengembangkan ayat-ayat Al Quran. Sayidina Ali k.w.j. contohnya, mampu mengupas Surah Al Fatihah hinggakan kalau tiga ratus ekor unta pun tidak akan cukup untuk memikul kitab-kitab kupasan dan tafsirannya itu.

Rasulullah SAW sendiri memang percakapannya atau sabdanya ringkas dan pendek, tetapi isinya padat. Baginda tidak bercakap terlalu panjang tentang sesuatu perkara. Apa yang disabdakan baginda padat, lengkap dan penuh berisi. Untuk dapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan, ilmu itu mesti difikir-fikirkan. Kalau boleh ia perlu juga dimuzakarahkan dan dibawa berbincang. Dengan cara ini, ilmu yang matan itu akan bercambah dan berkembang. Sebenarnya dalam ilmu ada ilmu, dan dalam ilmu kita boleh dapat penambahan ilmu.

Daya fikir pula akan menjadi lebih murni dan tajam dengan roh atau hati yang bersih dan yang sentiasa terhubung dengan Tuhan. Bila roh atau hati itu bersih, Allah SWT akan mudahkan bagi akal untuk meneroka dan memahami perkara-perkara yang bersangkutan dengan ilmu. Itu sebabnya, di zaman kegemilangan Islam, di kalangan para Sahabat, Tabiin dan Tabiit Tabiin, kerana hati mereka bersih, ramai yang dapat menguasai berbagai-bagai bidang ilmu. Tidak hanya ilmu Islam seperti tauhid, fekah, tasawuf, tafsir, ilmu Hadis dan lain-lain lagi tetapi juga ilmu falsafah, astronomi, astrologi, perubatan, matematik, ketenteraan, sains dan sebagainya. Tambahan pada itu ramai di kalangan mereka yang dapat menguasai berbilang-bilang ilmu ini pada satu masa. Walhal sebelum Islam, mereka hanyalah pengembala-pengembala kambing dan ilmu tentang kambing itu sajalah yang ada pada mereka.

Monday, July 23, 2012

Panduan dan amalan bagi orang yang bertaubat

Imam Ghazali berkata: Jika seseorang yang bertaubat melakukan sesuatu perbuatan dosa, sama ada dilakukan dengan sengaja kerana dorongan syahwat atau dilakukan tanpa disengajakan, maka wajib baginya segera bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan berusaha menghapuskannya dengan melakukan kebaikan.

Seandainya jiwanya tidak membantunya untuk berazam meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan penguasaan syahwat, maka yang demikian bererti bahawa ia telah lemah daripada melakukan salah satu daripada dua kewajiban.

Dengan demikian, tidak sepatutnya baginya meninggalkan kewajiban yang kedua, iaitu menghapuskan keburukan tersebut dengan melakukan kebaikan, yang dengannya ia telah menjadi orang yang melakukan amalan yang baik sebagai tampalan bagi amalan lain yang buruk.

Amalan-amalan baik yang dapat menghapuskan amalan-amalan buruk, sama ada dengan hati, dengan lidah atau pun dengan anggota badan. Dan hendaklah kebaikan tersebut pada tempat keburukan, dan pada yang berkaitan dengan sebab-sebabnya.

Amalan dengan hati, iaitu dengan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dan memaafkan, dengan penuh kerendahan hati, menghinakan diri seperti hinanya seorang hamba yang melarikan diri dengan menzahirkan kehinaan terhadap seluruh hamba Allah, iaitu dengan mengurangi kesombongannya dalam berhubungan dengan mereka, menyembunyikan kebaikan kepada sesama orang Islam dan berazam untuk taat.

Amalan dengan lisan iaitu dengan mengakui kezaliman (Kesalahan melakukan ma'siat) dengan membaca:

"Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melakukan keburukan, maka ampunilah bagiku segala dosaku."

Di samping itu hendaklah beristighfar dengan membanyakkan pelbagai istighfar. Amalan dengan anggota badan pula adalah dengan melakukan ketaatan, membanyakkan bersedekah dan menekunkan diri dengan ibadat.

Wednesday, July 18, 2012

Kedatangan Ramadhan Membawa Berkat

Bulan Ramadhan amat mulia, membawa rahmat, kedatangannya berkat, berlaku maghfirah, pahala berganda lailatul qadar macam panjang umur;
Ketibaannya macam kedatangan seorang pemimpin yang mulia yang sangat dihormati,
Seorang pemimpin seperti Rasul, maksum, akhlaknya tinggi lagi mulia, berilmu dan berwibawa
Pemurahnya bagaikan hujan lebat, tawadhuknya menghancurkan hati yang keras,
pemaafnya menjadikan orang malu, mengutamakan orang, setiap hati terpaut kepadanya;
Beraninya menggentarkan musuhnya, berstrategi, berhikmah,
ilmunya diucapkan bak mutiara, mendengar ilmunya tidak jemu-jemu;
Kehilangannya dirindui, ketibaannya dinanti-nanti,
Begitulah Ramadhan jika dia seorang manusia, manusia yang luar biasa,

Apa kita hendak kata kalau ada orang berhadapan dengan Ramadhan ibarat pemimpin yang digambarkan tadi?!
Ada orang tidak mempedulikannya langsung, ia dianggap orang biasa,
orang yang tidak mempedulikannya adalah orang gila;
Ada orang hanya memanfaatkan pemurahnya sahaja, orangnya tidak dihormati
orang ini tidak berakhlak  yang mulia;
Ada orang seronok dengan wibawa pemimpin itu, ikutnya tiada,
orang ini seronok dengan pemimpin itu, didikan dan pengajaran orang itu tidak dapat diterima;
Orang ini tetap orang bodoh dan rosak jiwanya,
Ada orang berhadapan dengannya terpengaruh dengan kecantikannya,
Dia bergembira dengan rupa luarnya sahaja,
Hati budinya tidak difahaminya, fikirannya tidak dapat diselaminya,
Orang ini mabuk dengan syariat lahirnya, syariat batin tidak dapat dijangkaunya,
Orang ini masih tertipu tidak disedarinya,

Tuesday, July 17, 2012

Nasihat Rasulullah Menjelang Ramadhan

Diriwayatkan Oleh Ibnu Huzaimah, Rasulullah memberikan nasihat menjelang
Ramadhan :

"Wahai manusia! Sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan
membawa berkah rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia disisi
Allah. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama. Malam-malamnya
adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam
yang paling utama.

Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan
oleh-NYA. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu ibadah,
amal-amalmu diterima dan doa-doamu diijabah. Bermohonlah kepada Allah
Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu
untuk melakukan shiyam dan membaca Kitab-Nya.

Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung
ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu di hari kiamat.
Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin. Muliakanlah orang tuamu,
sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, jaga lidahmu,
tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya dan
pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya. Kasihilah
anak-anak yatim, niscaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu.
Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu
untuk berdoa pada waktu shalatmu karena itulah saat-saat yang paling
utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba- Nya dengan penuh
kasih; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka
ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa mereka ketika mereka
berdoa kepada-Nya.

Wednesday, June 27, 2012

Ramadhan Bulan Overhaul Hati

Allah Taala menjadikan manusia dijadikan sekali
di mana kekuatannya dan kelemahannya
Tuhan tahu bagaimana menguatkan yang lemah
dan bagaimana menyuburkan yang kuat
Allah Taala tahu di mana kebaikan mereka,
dan di mana kejahatan mereka

Memang Tuhan ada bekalkan manusia ada benih  baik ada benih jahat
Tuhan tahu dari punca apa dia baik dan dari punca apa dia jahat
Hatilah wadahnya yang boleh menerima kebaikan dan kejahatan

Di dalam masa setahun manusia terdedah dengan
berbagai-bagai ajaran dan cabaran
Cabaran itu seperti tekanan hidup, sibuk dengan kerja,
berhadapan dengan kerenah manusia
Berlaku juga ujian-ujian yang mendadak,
kemalangan yang tidak disangka,
melihat, mendengar perkara yang merosakkan
Ditambah lagi hasil didikan, bacaan semuanya ini
memberi kesan yang negatif kepada jiwa kebanyakan orang

Kecuali orang yang kuat dengan Tuhan
jiwanya  tidak rosak dan tidak memberi kesan
Cabaran-cabaran itu tidak merosakkan jiwa mereka,
bahkan bertambah kuat dengan Tuhan

Monday, June 18, 2012

Doa rintihan Rasulullah ketika di Thaif

Kelihatan seorang lelaki bersembunyi di sebuah kebun anggur dengan penuh kelelahan. Kedua-dua kakinya basah dengan darah dek kerana luka. Dari wajahnya terpancar kesedihan yang mendalam. Usahanya selama 10 hari ternyata sia-sia belaka. Dengan mata berkaca-kaca beliau berdoa:

"Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan-kelemahanku, ketidak berdayaanku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Kepada orang-orang asing yang bermuka masam terhadapku atau kepada musuh yang Engkau takdirkan akan mengalahkanku? "

"Ya Allah, kepadamu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin! Engkaulah tuhan orang yang ditindas. Engkaulah tuhanku. Kepada siapalah engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasai aku? Sekiranya engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatmu sudah cukup buatku. Aku berlinding dengan nur wajahMu yang menerangi segala kegelapan dan teratur diatas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya(untuk melakukan Kebaikan) dan tiada upaya(untuk meniggalkan kejahatan) kecuali denganMu "

"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah  teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau"

Monday, May 21, 2012

Kuliah Mingguan Syarah Al-Hikam

Kuliah Mingguan Syarah Al-Hikam
Oleh Ustaz Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri
Buku: Syarah Al-Hikam 
Penerbit: Telaga Biru
Lelaman Web: http://www.youtube.com/user/8lipan/videos?query=hikam

Sunday, May 6, 2012

Kitab Al Hikam Ibn Athaillah



Buku: Hakikat Hikmah Tauhid Dan Tasawuf (Al-Hikam) Bahagian 1 & 2
Karya: Prof Dr K.H. Muhibbuddin Waly
Penerbit: Pustaka Nasional Pte Ltd 
Lelaman Web: http://kedai.pustakaislamiyah.com/

Pendahuluan buku:
Terkumpul di dalam buku ini kata-kata hikmah dari kitab Al-Hikam yang membicarakan mengenai ilmu TAUHID dan TASAWUF yang berhubungan rapat dengan akidah Islam dan permasalahannya dan yang mencakup segala ciri-ciri utama tentang tasawuf kebatinan yang memang perlu bagi setiap salik yang mencari kebahagiaan hakiki dalam menuju kepada makrifat Allah Maha Pencipta, yang Suci daripada segala hal-hal yang mengelirukan hati serta mengeruhkan keikhlasan diri ketika berhadapan dengan Allah s.w.t.

Semua hikmah-hikmah ini dipetik dari buku induk terutama yang membicarakan tentang pokok-pokok hakikat TAUHID dan TASAWUF, menceritakan tentang orang-orang menceburkan diri ke dalam lautannya yang sungguh dalam, yang jarang-jarang dapat diduga oleh manusia biasa, yaitu buku karya 'Al-Hikam' karya Ibnu Athaillah Al-Sakandari.

Pengarang telah mengumpulkan semua hikmah-hikmah ini secara sederhana dan dibicarakan hanya yang sesuai dengan pengetahuan orang umum Muslimin dengan tujuan membimbing mereka ke arah hakikat TAUHID dan TASAWUF, dua bidang ilmu yang sangat penting dalam membawa diri manusia menuju kepada Allah s.w.t dalam hal mengenal ULUHIYAHNYA (ketuhanan), di samping mengakui UBUDIYAH (kehambaan), atau pengabdian diri yang hina, rendah dan tidak berharga itu kepadaNya. Baik ditatap oleh sekalian masyarakat kaum Muslimin, khususnya orang-orang yang berminat memperdalami pengetahuannya ke dalam dua bidang ilmu ini.

Kitab Al-Hikam yang ditulis oleh Al-Imam Ahmad Abul Fadhal gelar Tajuddin bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah Iskandary (Askandary). Beliau adalah Waliyullah,'Arifbillah ahli kasyaf, ahli Arab nahu, ahli fiqh dan ahli hadis, murid dari Imam Abul Abbas Al-Marsy, dan beliau menganut ajaran tasawuf dan tariqat yang telah diajarkan oleh Al-Imam Abul Hasan Asy-Syazily. Dari kedua guru besar beliau itu maka terkenallah baliau sebagai alim besar dalam ajaran Hakikat Tauhid dan Tasawuf. Sebahagian dari karangan-karangan beliau ialah Kitab Al-Hikam tersebut tadi. Al-Hikam adalah Jama' 'Hikmah'; ertinya ialah tiap-tiap kalimat yang terkandung di dalamnya ilmu yang bermanfaat. Sebahagian ulama bahasa Arab berpendapat bahawa 'Hikmah' ertinya ialah 'materi ilmu yang bermanfaat', seperti ilmu Fiqh, ilmu Tauhid, dan ilmu tasawuf. Dan oleh kerana ilmu tasawuf adalah suatu ilmu yang mengupas bagaimana mensucikan diri dari sifat-sifat tercela dan menjaga ibadat dan semua amal perbuatan terhindar dari penyakit-penyakit berbahaya seperti takabbur, riya' dan 'ujub, maka mengetahui semuanya ini adalah ilmu yang paling bermanfaat.

Wednesday, May 2, 2012

Marilah Kita Cari Pembela Yang Sejati

Manusia hidup di dunia berbagai-bagai keadaannya, tidak sama,
Ada yang miskin, kaya, pandai, bodoh, yang cacat dan sempurna,
Ada yang berkuasa, ada pengikut, ada yang berpengaruh, ada yang menjadi raja,
ada yang berkawan, ada yang seorang diri sahaja,
Ada yang terkenal, ada nama, ada yang tidak tahu tentang dirinya,

Kalau mereka tidak takutkan Tuhan, tidak takut hari pembalasan,
Mereka akan melahirkan sikap mengikut keadaan dan suasana kehidupannya,
Ada yang megah, ada yang sombong, ada yang terhina,
Ada yang kecewa, ada yang putus asa, ada yang berbagai-bagai lagi sikap
Mengikutlah keadaan dan situasi diri dan status diri,

Tapi semuanya itu akan bersendiri apabila mati,
Sekalipun raja yang ada pengawalnya,
Sekalipun berkuasa, orang takut dengannya, namun di dalam kubur seorang diri,
Yang ramai pengikut dan kawan,
Namun tidak ada yang ikut di dalam kuburnya,
Masing-masing seorang diri tanpa kawan,
Sekalipun orang yang disayangi,
Orang yang tidak ada kawan di dalam kubur tidak adalah pembelanya,
Oleh itu carilah kawan dimasa hidupnya sebagai pembela selepas mati,

Pembela itu ialah iman, taqwa, amal soleh
Dan kebaikan yang kita buat didunia,
Tawadhuk kita, pemurah kita, kasih sayang kita, tolak ansur kita,
Simpati kita dengan orang yang susah, mujahadah kita, jihad kita,
Nafsu kita yang ditundukkan kepada Tuhan,

Sudahkah kita menyiapkan pembela kita dimasa hidup untuk membela kita selepas mati kita?
Dimasa itu harta dan anak tidak memberi apa-apa manafaat kepada kita,
Kecuali yang membawa hati yang selamat daripada syirik dan mazmumah.