Tuesday, April 3, 2012

Merenung Kejadian Alam Cakerawala

Ulil Albab adalah gulungan yang diistimewakan dan yang disebut Allah di dalam AlQuraan. Sebanyak 16 kali disebut di dalam AlQuraan. Ulil Albab menggunakan kurniaan akal untuk merenung setiap kejadian di alam semesta yang maha luas ini.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulil Albab (orang yang berakal)" (Al-Imran :190)

Imam AlGhazali menyatakan Sungguh, jalan untuk mengenal Allah (maírifatullah) dan mengagungkanNya itu adalah dengan cara memikirkan setiap mahlukNya, merenungkan keajaiban-keajaiban dan memahamkan hikmah-hikmah yang terkandung dalam segenap ciptaanNya.

Al Quraan menjelaskan bahawa alam dan segala kandungannya adalah dicipta oleh Maha Pencipta, Allah. Dia telah memerintahkan kepada orang yang dikurniakan akal fikiran itu agar mengamati kejadian di alam cakerawala ini. Firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah : Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.." (Yunus:101)

Allah bukan sahaja Pencipta Alam tetapi juga memelihara, mengawal dan mengurus segala juzuk alam dari sekecil-kecil hingga yang sebesarnya. Semuanya tunduk kepada hukum dan peraturan yang telah ditetapkan.

Lihat bagaimana Allah memerlihara perjalanan matahari yang bersaiz 99.9% dari saiz objek-objek sistem suria, mengharungi alam cakerawala di orbitnya sejak dari mula ia diciptakan hingga ke hari ini dan akan datang. Allah juga yang mengawal dan mengurus tentang proses penghasilan tenaga matahari melalui proses tindakbalas nuklear setiap saat sebanyak 4 x 1026 Joule sesaat menyamai 100 bilion 1 megaton bom nuklear. Tenaga yang hebat ini dibebaskan setiap saat sejak dari zaman dahulu hingga kini dan akan datang. Bagaimana pula kehebatan Pencipta yang mengatur perjalanan siang dan malam. Bagaimana bahagian malam akan menutup bahagian siang bumi dengan kelajuan 1700 km sejam (470 meter sesaat) dalam tempoh 24 jam. Setiap bahagian bumi mendapati siang dan malam mengikut kadarnya yang tertentu. Bagaimana teliti dan hebat, Bumi yang besar dengan diameter 12,756 km beredar laju dengan kelajuan 30 km sesaat mengelilingi matahari sejauh 960,000,000 km dalam masa 365.25 hari. Begitu juga bulan bagaimana teratur dan telitinya ia beredar mengelilingi bumi dengan kelajuan 61.8 km sejam tanpa terlewat atau tercepat dari masa yang ditetapkan.

Maklumat di atas yang ditemui melalui kajian sains menunjukkan betapa jitu kuantiti setiap gerakan tersebut. Jika difikir dan direnung dengan akal yang waras sudah tentu keadaan sebegitu berlaku melalui satu perancangan dan pentadbiran yang teliti dan tidak mungkin hal tersebut berlaku dengan sendirinya.

No comments:

Post a Comment