Setiap hari engkau menghirup udara,
engkau boleh lupakan Tuannya?!
Itulah Tuhan yang menghidupkan engkau
Kalau Tuhan stop udara matilah engkau
Mengapa engkau boleh melupakan Tuhan begitu sahaja?!
Setiap hari engkau makan rezeki dari Tuhan
Engkau tidak jatuh hati dengan-Nya
Bahkan engkau boleh melupakan-Nya
Betullah engkau hamba yang tidak ada hati perut!
Di waktu engkau sakit Tuhan sembuhkan
Di waktu perlu rehat Tuhan tidurkan,
bangun segar semula
Engkau bertenaga semula,
boleh menyambung kerja
Engkau tidak terasa terhutang budi kepada-Nya?
Engkau tidak nampak lagikah
kuasa Tuhan kepada engkau
Dia boleh memperbagaikan keadaan engkau
Sekali-sekala engkau gembira,
sekali-sekala engkau dukacita
Adakalanya engkau sakit,
adakalanya engkau sihat
Begitulah seterusnya Tuhan menjadikan engkau
berbagai-bagai keadaan
Engkau ingat itu semuanya kuasa engkau
Itulah dia kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa
Takutilah Tuhan,
Dia boleh buat apa sahaja kepada kita
Monday, November 26, 2012
Tuhan Berkuasa Ke Atas Kita
Friday, November 23, 2012
Doa Ketidak Upayaan
"Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan-kelemahanku, ketidak berdayaanku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Kepada orang-orang asing yang bermuka masam terhadapku atau kepada musuh yang Engkau takdirkan akan mengalahkanku? "
"Ya Allah, kepadamu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin! Engkaulah tuhan orang yang ditindas. Engkaulah tuhanku. Kepada siapalah engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasai aku? Sekiranya engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatmu sudah cukup buatku. Aku berlinding dengan nur wajahMu yang menerangi segala kegelapan dan teratur diatas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya(untuk melakukan Kebaikan) dan tiada upaya(untuk meniggalkan kejahatan) kecuali denganMu "
"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau" - Nabi Muhammad s.a.w
Wednesday, November 21, 2012
Hakikat Cinta
Cinta itu mahal,
Jangan beri cinta pada sebarangan,
Memberi cinta atau meletakkan cinta kepada sebarangan adalah sia-sia
dan akan menyesal,
Kerana cinta itu mahal biarlah pulangannya sepadan dengan mahalnya,
Kalau kita cinta kepada sesuatu kita pula yang memberi sesuatu
kepadanya
adalah orang yang bodoh macam baghal,
Kita beri cinta pada perempuan terutama yang bukan isteri kita,
berbagai-bagai perkara dan benda dia minta kita berikan kepadanya,
Bukan dia yang memberi sesuatu kepada kita bukankah kita dibodohinya?,
Adakalanya setelah dia kikis harta dan kekayaan kita, dia pun tarik
diri dari kita
apakah untungnya?,
Begitu juga kita berikan cinta kepada isteri kita, berbagai-bagai
perkara yang dia minta kita kena beri juga,
Dia tidak fikir lagi apakah kita ada atau tidak ada,
Sudahlah cinta kita beri kepadanya, kita diminta pula apa sahaja!,
Sepatutnya dialah yang memberi kita apa sahaja,
Kerana kita telah bayar dengan kecintaan kepadanya, cinta itu bukankah
mahal?
Kita cinta harta, kita cari untuk kita milikinya,
Siang malam kita tidak rehat dibuatnya kerana cintakan harta,
Setelah dapat apa yang kita mahu,
Banyaklah harta yang ada pada kita, hingga kita jadi orang kaya,
Aduh! Sedihnya kita pula kena jaga harta,
Kalau tidak jaga orang curi pula atau dia binasa,
Sepatutnya kecintaan telah kita beri kepadanya, dialah jaga kita,
mengapa pula kita jaga dia,
Kita pula telah diperbodoh oleh harta,
Kita diperhambanya hingga menyusahkan kita,
Kita letak dia di tempat yang mulia dan terpelihara,
Hartalah yang mulia bukan kita yang mulia, kita tidak dipedulikannya,
Sekali lagi harta boleh memperbodoh kita.
Sunday, November 18, 2012
Bersyukurlah kepada Allah s.w.t.
(Alhamdulillahi rabbil 'Aalamin hamdan yuwafiini 'amahu wa yukaafi umazidah)
"Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, suatu pujian yang meliputi kesemua nikmat-nikmatNya dan mencukupi semua tambahan daripadaNya. (Itulah dia kumpulan puji dan tasbih).
Imam Nawawi berkata: Telah berkata ulama' mutaakhir dari para sahabat kami orang-orang Khurasan: Sekiranya ada orang bersumpah akan memuji Allah Ta'ala dengan kumpulan puji-pujian, ataupun dia bersumpah hendak memuji Allah Ta'ala dengan setinggi-tinggi pujian, maka jalan keluarnya untuk menunaikan sumpahnya ialah dengan mengucapkan zikir yang di atas tadi.
Tersebut dalam Sunan Ibn Majah dari Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah menceritakan kepada mereka; iaitu ada seorang hamba Allah mengucap kepujian dengan kata:
(Ya rabbi lakalhamdu kama yam baghi li jala li wajhika wa 'azi mi sulto nik)
"Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepada-Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu."
Ucapan ini telah menyulitkan dua Malaikat pencatat amalan, keduaduanya tidak tahu bagaimana hendak menulis pahalanya lalu kedua-dua Malaikat itu menghadap Allah dan berkata kepada-Nya: "Ada seorang hamba mengucapkan pujian yang kami tidak mengetahui bagaimana hendak menulis balasannya?" Firman Allah: (Sedangkan Dia lebih mengetahui apa yang telah diucapkan hamba-Nya itu) "Apakah pujian yang telah diucapkan oleh hamba Ku itu?" Jawab kedua-dua Malaikat itu dia berkata: "Wahai Tuhanku segala kepujian itu terpulang kepada Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu." Firman Allah kepada kedua-duanya: "Tulislah ucapan itu sebagaimana yang diucapkan oleh hamba Ku sehingga ia menemui Aku dan Akulah sendiri akan membalaskannya."
Wednesday, October 24, 2012
Musibah Itu Nikmat
Musibah Itu Nikmat
Rumah banjir, kecurian, kemalangan, pergaduhan dan sebagainya. Mengapa semua ini semakin menjadi-jadi. Kalau musibah itu kena pada orang lain, dengan mudah kita akan katakan ia sebagai bala dari Tuhan. Kalau musibah itu kena pada kita sendiri, mulalah kita menyalahkan takdir.
Mengapa aku yang kena? Aku dah berusaha kenapa aku masih gagal? Aku dah banyak doa, solat. Kenapa aku yang dapat musibah? Soalan-soalan yang tidak munasabah mula terpacul di mulut, paling tidak pun berlegar-legar dalam fikiran, sebagai tanda tidak puas hati terhadap kesudahan yang menimpa dirinya. Seolah-olah dia berhak mempersoalkan keputusan Allah yang menentukan qadaí dan qadar. Seolah-olah dia layak menentukan kesudahan mana yang dia suka. Jangan nafikan, kerana itu sudah menjadi sifat manusia yang mudah lupa. Kita pasti pernah melalui perasaan-perasaan itu sekiranya kita manusia. Alhamdulillah sekiranya tidak pernah terlintas sedikit pun di hati kita perasaan itu, itu semua lindungan daripada Allah.
Tujuan Musibah
Marilah kita sama-sama kita melihat musibah ini dalam sudut yang lebih positif. Sememangnya musibah itu adalah sebagai dua tujuan; satu sebagai bala, balasan dunia kepada manusia yang ingkar, satu lagi sebagai peringatan kepada manusia yang beriman dan berakal. Sebagai contoh, bencana alam di sesebuah tempat yang menghapuskan seluruh penduduknya mungkin merupakan bala bagi penduduk tersebut yang engkar kepada Allah, tapi ia merupakan peringatan kepada orang lain yang menyaksikan bencana tersebut.
Dan betapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, (padahal) mereka lebih hebat kekuatannya daripada mereka (umat yang belakangan) ini.
Sungguh, pada yang demikian itu pasti terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya. (50:36-37)
Contoh yang lain kekalahan yang menimpa firaun dan bala tenteranya merupakan bala bagi keingkaran mereka manakala kekalahan tentera Islami dalam pusingan kedua perang uhud merupakan peringatan bagi mereka yang beriman.
Dan tiadalah peringatan itu melainkan ia merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hambaNya. Dan tiadalah yang lebih mengetahui tentang manusia melainkan Allah akan sifat manusia yang mudah lupa dan mudah tergoda. Maka dikurniakan peringatan demi peringatan dalam pelbagai bentuk kepada hambaNya agar hambaNya kembali mengingatiNya. Betapa kasihnya Allah kepada hambaNya. Percayalah bahawa ingatnya kita kepada Allah, tunduk patuh kita kepada Allah tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada kekuasaan Allah. Allah Maha Besar tidak memerlukan sedikit pun daripada hambaNya bahkan kitalah yang berkehendakkan kepadaNya. Maka wajiblah kita percaya bahawa semua itu adalah untuk kebaikan kita sendiri. Betapa kasihnya Allah kepada hambaNya.
Lumrah Hidup
Hidup kita merupakan ujian. Susah senang yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya telah diatur rapi oleh Allah untuk kita. ia mewarnai kehidupan kita sebagai seorang manusia. Hidup mudah tanpa kesusahan pasti membosankan. Kesusahan yang berterusan pasti mengecewakan. Lumrah kehidupan pasti ada naik dan turun, menang dan kalah, berjaya dan gagal. Itu sudah menjadi sunnatullah, Allah yang lebih memahami sifat makhlukNya. Tugas kita (sebagai hamba Allah) hanyalah menjalankan apa yang disuruhNya bukan menentukan kesudahan sesuatu perkara. Biarlah ketetapan/kesudahan sesuatu perkara itu menjadi hak milik Allah semata. Dan sesungguhnya Allah Maha Adil.
Sikap Mukmin
Sikap kita sebagai orang yang beriman hendaklah sepertimana yang diucapkan oleh Rasulullah saw.
Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah saw bersabda: Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya. (Riwayat Muslim)
Hendaklah kita menerima segala apa yang berlaku di dunia ini dengan keredhaan yang mutlak kepada Allah. Syukur dan sabar adalah respon kita yang paling baik untuk setiap perkara, senang atau susah. Syukur kerana pasti ada rahmat disebalik kesusahan yang menimpa, sabar kerana itulah tanda orang yang beriman.
Abdullah ibn Umar ra apabila ditimpa musibah akan mengucapkan alhamdulillah dan redha kerana:
- musibah yang datang bukan urusannya
- tahu musibah yang lebih besar boleh terjadi
- Allah akan kasih padanya
- Allah akan beri pahala
- Antara rahmat Allah yang akan kita dapati apabila ditimpa musibah ialah sebagai penghapus dosa, menambah pahala dan pencetus hidayah. Semua ini boleh kita dapati hanya apabila kita syukur dan sabar.
- Apabila kita bersikap sebaliknya, yang kita dapati juga adalah sebaliknya. Ia akan menambah dosa kita, mengurangkan pahala dan kita akan semakin jauh dari hidayah Allah. Naíuzibillah, moga dijauhkan.
Realiti Sebenar & Respon Kita
Realitinya, bercakap lebih mudah daripada merasainya. Perasaan yang terluka lebih pedih daripada jari yang dihiris pisau. Namun sebagai seorang yang beriman batas-batas Islam perlulah dijaga walaupun perit di hati siapalah yang tahu. Percayalah yang kita boleh menghadapinya kerana Allah tidak mungkin menguji hambaNya sesuatu yang hambaNya tidak mampu untuk memikulnya. Percayalah selepas kesusahan pasti ada kesenangan. Berharaplah kepada Allah agar ditunjukkan jalan keluar. Dekatilah Allah agar ditenangkan hati dan diberi hidayah. Railah perasaan kita sekadarnya, jangan dinafikan emosi seorang manusia kerana Rasulullah saw juga menangis ketika kematian anaknya Ibrahim. Bersyukurlah sekiranya hati kita masih menagih ampunan daripada Allah dikala musibah menimpa kerana itulah tanda ia merupakan peringatan daripada Allah. Semoga kita dikuatkan dengan peringatan-peringatan ini. Wallahuíalam.
Sunday, October 21, 2012
Menahan Marah
Diriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. katanya, "Berilah wasiat kepadaku." Sabda s.a.w ,'ìJanganlah engkau marah.î Lelaki itu mengulangi (permintaannya) beberapa kali. Rasulullah s.a.w. tetap bersabda, "Janganlah engkau marah." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Larangan jangan marah
Marah adalah sifat semula jadi yang ada pada semua orang, antara mereka ada yang cepat marah dan ada yang lemah lembut. Marah bukanlah suatu sifat yang boleh dibuat serta merta, malah ia biasanya didahului sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu marah, perasaannya memberontak dan akan bertindak kasar. Seseorang yang sedang marah akan hilang kewarasan fikirannya. Pertimbangannya sudah hilang, lidahnya asyik memaki hamun dan mengejek-ejek. Kadang-kadang perasaan marah berlanjutan sehingga menimbulkan permusuhan antara keluarga dan sahabat handai, dan lebih aneh lagi ada orang boleh berkelahi dengan benda-benda yang tidak berakal.
Perasaan marah dapat diatasi dengan mengikuti beberapa panduan yang ditunjukkan oleh Islam, iaitu:
1. Hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutamanya contoh yang terdapat dalam Sunnahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah S.W.T: "ÖDan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali Imran3-134)
2. Memohon kepada Allah supaya menjauhkannya daripada syaitan yang dilaknat. Panduan ini dinyatakan didalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T.: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui." (al-A'raf :200)
3. Meninggalkan tempat yang menyebabkan seseorang itu marah. Sabda Baginda: "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Abu Daud)
4. Mengambil wuduk, sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk." (Abu Daud)
Oleh kerana besarnya bahaya marah, Nabi s.a.w. melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani. "Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Al-Tirmizi)
Wednesday, September 26, 2012
Apabila Belum Jatuh Hati Dengan Tuhan
Kalau engkau belum jatuh hati dengan Tuhan
Lebih-lebih lagi Tuhan belum engkau cintai
Bagaimanalah engkau sembah Tuhan
Sudah tentu engkau tidak merasa lezat
Manalah engkau hendak rasa indah beribadah
Mana boleh dapat melepaskan rasa rindu dengan Tuhan?
Begitulah juga jika engkau belum rasa takut dengan Tuhan
Tidak mungkin di waktu engkau menyembah-Nya
Dapat lahir rasa kehambaan
Rasa hebat, rasa malu, rasa hina, dan merendah diri
Jika engkau sembah juga Allah Taala
Sudah tentu secara terpaksa
Secara terpaksa sudah tentu menyeksakan
Secara terpaksa sudah tentu menjemukan
Di waktu-waktu atau di masa-masa sibuk atau susah
Sudah tentu engkau tinggalkan
Kerana itu mengenal Tuhan itu penting
Agar kita takut dan cinta
Kita rasa Dia Penyelamat, Pelindung, Pemberi Rezeki
Kita sangat terasa Dia Tuhan sangat mencintai kita
Di waktu itu baru kita rasa rindu pada Tuhan
Kita menyembah-Nya sudah tentu kita rasa asyik
Kita dapat mengadu dan bermanja-manja dengan Tuhan
Dapat meluahkan perasaan yang terbuku
Dapat meluahkan rasa rindu dendam
Dengan itu kita dapat menerima harapan dengan Tuhan
Hati kita puas, jiwa kita tenang
Di antara rasa khauf dan raja’ seimbang
Sunday, September 23, 2012
Berinteraksi dengan Allah s.w.t. Melalui Kehidupan
Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya semata-mata.
Saturday, August 11, 2012
Belajar Sedikit Faham Banyak
Para Sahabat di zaman awal Islam, sedikit sahaja diajar oleh Rasulullah SAW, mereka dapat faham dengan banyak, luas dan mendalam. Segala apa yang Rasulullah ajar, mereka mampu mengembangkan, mengaitkan, mengkiaskan dan mensyarahkannya hingga ia menjadi sumber ilmu yang lengkap dan menyeluruh.
Berlandaskan ilmu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW itu juga para Sahabat mampu mentafsir dan mengembangkan ayat-ayat Al Quran. Sayidina Ali k.w.j. contohnya, mampu mengupas Surah Al Fatihah hinggakan kalau tiga ratus ekor unta pun tidak akan cukup untuk memikul kitab-kitab kupasan dan tafsirannya itu.
Rasulullah SAW sendiri memang percakapannya atau sabdanya ringkas dan pendek, tetapi isinya padat. Baginda tidak bercakap terlalu panjang tentang sesuatu perkara. Apa yang disabdakan baginda padat, lengkap dan penuh berisi. Untuk dapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan, ilmu itu mesti difikir-fikirkan. Kalau boleh ia perlu juga dimuzakarahkan dan dibawa berbincang. Dengan cara ini, ilmu yang matan itu akan bercambah dan berkembang. Sebenarnya dalam ilmu ada ilmu, dan dalam ilmu kita boleh dapat penambahan ilmu.
Daya fikir pula akan menjadi lebih murni dan tajam dengan roh atau hati yang bersih dan yang sentiasa terhubung dengan Tuhan. Bila roh atau hati itu bersih, Allah SWT akan mudahkan bagi akal untuk meneroka dan memahami perkara-perkara yang bersangkutan dengan ilmu. Itu sebabnya, di zaman kegemilangan Islam, di kalangan para Sahabat, Tabiin dan Tabiit Tabiin, kerana hati mereka bersih, ramai yang dapat menguasai berbagai-bagai bidang ilmu. Tidak hanya ilmu Islam seperti tauhid, fekah, tasawuf, tafsir, ilmu Hadis dan lain-lain lagi tetapi juga ilmu falsafah, astronomi, astrologi, perubatan, matematik, ketenteraan, sains dan sebagainya. Tambahan pada itu ramai di kalangan mereka yang dapat menguasai berbilang-bilang ilmu ini pada satu masa. Walhal sebelum Islam, mereka hanyalah pengembala-pengembala kambing dan ilmu tentang kambing itu sajalah yang ada pada mereka.
Monday, July 23, 2012
Panduan dan amalan bagi orang yang bertaubat
Imam Ghazali berkata: Jika seseorang yang bertaubat melakukan sesuatu perbuatan dosa, sama ada dilakukan dengan sengaja kerana dorongan syahwat atau dilakukan tanpa disengajakan, maka wajib baginya segera bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan berusaha menghapuskannya dengan melakukan kebaikan.
Seandainya jiwanya tidak membantunya untuk berazam meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan penguasaan syahwat, maka yang demikian bererti bahawa ia telah lemah daripada melakukan salah satu daripada dua kewajiban.
Dengan demikian, tidak sepatutnya baginya meninggalkan kewajiban yang kedua, iaitu menghapuskan keburukan tersebut dengan melakukan kebaikan, yang dengannya ia telah menjadi orang yang melakukan amalan yang baik sebagai tampalan bagi amalan lain yang buruk.
Amalan-amalan baik yang dapat menghapuskan amalan-amalan buruk, sama ada dengan hati, dengan lidah atau pun dengan anggota badan. Dan hendaklah kebaikan tersebut pada tempat keburukan, dan pada yang berkaitan dengan sebab-sebabnya.
Amalan dengan hati, iaitu dengan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dan memaafkan, dengan penuh kerendahan hati, menghinakan diri seperti hinanya seorang hamba yang melarikan diri dengan menzahirkan kehinaan terhadap seluruh hamba Allah, iaitu dengan mengurangi kesombongannya dalam berhubungan dengan mereka, menyembunyikan kebaikan kepada sesama orang Islam dan berazam untuk taat.
Amalan dengan lisan iaitu dengan mengakui kezaliman (Kesalahan melakukan ma'siat) dengan membaca:
"Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melakukan keburukan, maka ampunilah bagiku segala dosaku."
Di samping itu hendaklah beristighfar dengan membanyakkan pelbagai istighfar. Amalan dengan anggota badan pula adalah dengan melakukan ketaatan, membanyakkan bersedekah dan menekunkan diri dengan ibadat.
Wednesday, July 18, 2012
Kedatangan Ramadhan Membawa Berkat
Bulan Ramadhan amat mulia, membawa rahmat, kedatangannya berkat, berlaku maghfirah, pahala berganda lailatul qadar macam panjang umur;
Ketibaannya macam kedatangan seorang pemimpin yang mulia yang sangat dihormati,
Seorang pemimpin seperti Rasul, maksum, akhlaknya tinggi lagi mulia, berilmu dan berwibawa
Pemurahnya bagaikan hujan lebat, tawadhuknya menghancurkan hati yang keras,
pemaafnya menjadikan orang malu, mengutamakan orang, setiap hati terpaut kepadanya;
Beraninya menggentarkan musuhnya, berstrategi, berhikmah,
ilmunya diucapkan bak mutiara, mendengar ilmunya tidak jemu-jemu;
Kehilangannya dirindui, ketibaannya dinanti-nanti,
Begitulah Ramadhan jika dia seorang manusia, manusia yang luar biasa,
Apa kita hendak kata kalau ada orang berhadapan dengan Ramadhan ibarat pemimpin yang digambarkan tadi?!
Ada orang tidak mempedulikannya langsung, ia dianggap orang biasa,
orang yang tidak mempedulikannya adalah orang gila;
Ada orang hanya memanfaatkan pemurahnya sahaja, orangnya tidak dihormati
orang ini tidak berakhlak yang mulia;
Ada orang seronok dengan wibawa pemimpin itu, ikutnya tiada,
orang ini seronok dengan pemimpin itu, didikan dan pengajaran orang itu tidak dapat diterima;
Orang ini tetap orang bodoh dan rosak jiwanya,
Ada orang berhadapan dengannya terpengaruh dengan kecantikannya,
Dia bergembira dengan rupa luarnya sahaja,
Hati budinya tidak difahaminya, fikirannya tidak dapat diselaminya,
Orang ini mabuk dengan syariat lahirnya, syariat batin tidak dapat dijangkaunya,
Orang ini masih tertipu tidak disedarinya,