Wednesday, December 22, 2010

Jangan Terpesona Dengan Bangkai

SELAKU umat yang beragama Islam, hendaklah kita meyakini dan memahami bahawa manusia mempunyai dua unsur, Rohani dan Jasmani dan sementara alam juga mempunyai dua, alam dunia dan alam akhirat. Setiap yang hidup pasti akan menemui mati dan akan dihidupkan semula di alam akhirat dan di akhiratlah tempat yang kekal abadi.

Dunia dan akhirat walaupun mempunyai sifatnya yang berbeza tetapi hubungannya amat rapat. Sama juga hubungannya di antara roh dan jasad manusia. Nabi S.A.W sendiri menggambarkan hubungan dunia dengan akhirat itu ibarat sebagai ‘jambatan’ dan ‘tempat tanam-tanaman’ untuk akhirat.

Di dalam Al Quran surah Al Qasas ayat 77 Allah mengingatkan manusia supaya menggunakan sesuatu yang di miliki di dunia untuk mendapat faedah (kebajikan) di akhirat. Maka sesuai sekali dengan falsafah dunia itu sebagai ‘jambatan’ atau ‘tempat tanam-tanaman’ atau ‘kebun’ atau sebagai ‘wasilah’(alat) untuk ke akhirat, maka kita hendaklah menjadikan dunia itu benar-benar bukan sebagai matlamat.

Selain daripada itu, umat Islam diberitahu lagi tentang konsep dan falsafah dunia bahawa ‘Dunia adalah ibarat bangkai’.

Tidak ada sesipa yang suka kepada bangkai, tetapi bangkai itu tidak boleh disia-sia atau dibuang kerana ia berfaedah sebagai alat yang menyuburkan tanaman. Matlamat menanam ialah untuk mendapat dan memetik hasilnya, iaitu buah untuk dimakan.

Kalau ada orang sayang atau memakan bangkai, maka ia dianggap tidak siuman. Tetapi sekiranya ia gunakan bangkai untuk menyuburkan tanamannya dan hasilnya buah menjadi subur yang dapat dimakan, itulah orang cerdik dan siuman.

Demikian dengan dunia, ia cuma ‘tempat tanaman’ atau ‘alat’ untuk menyuburkan amalan yang diperintahkan dan sesudah itu hasilnya akan dipungut dan diambil fedahnya (pahala) di akhirat.

Oleh yang demikian kita tidak boleh terpaut atau terpesona dengan bangkai atau kita jadikan tempat tanaman (ladang) atau jambatan sebagai tempat untuk hidup selama-lamanya. Tetapi jadikanlah ia alat untuk menyambungkan kita ke akhirat atau menanam hasil yang baik (kebajikan) dan menjadikannya sebagai amalan (ibadah) kita. Barulah dianggap kita meletakkan atau menggunakan dunia itu tepat pada fungsinya.

No comments:

Post a Comment