Friday, May 21, 2010

Hidup Bermakna apabila Waras Fikiran.

Lama sebelum 'bapa falfasah Barat' Perancis, Rene Descartes (1596 - 1650), berkata "...aku berfikir, maka aku wujud", seruan berfikir sudah tertinta dalam Al-Quran. Berfikir dikaitkan dengan antara kurnia amat bernilai daripada Allah subhanahu wa ta`ala kepada manusia iaitu akal. Akal membezakan manusia daripada haiwan. Dengan akal, manusia berfikir sehingga boleh membezakan yang benar daripada yang salah.

Berakal menjadi syarat kedudukan seseorang sebagai Muslim dalam melaksanakan tanggungjawab seperti solat dan sebagainya. Hal ini disyariatkan sebagai 'mukallaf'. Anak kecil yang belum baligh, orang yang tertidur dan orang yang tidak waras tidak dianggap 'mukallaf'.

Cara akal digunakan boleh bersifat 'deduktif' atau 'induktif' seperti ketika Nabi Ibrahim berfikir mengenai kewujudan Tuhan dan sifat-sifat yang perlu ada bagi-Nya. Ketika malam, Nabi Ibrahim melihat bintang dan berkata: "Inilah Tuhanku." Namun bintang hilang di siang hari.

Ketika melihat bulan, beliau berkata: "Inilah Tuhanku". Kemudian bulan terbenam dan Nabi Ibrahim menyangka matahari pula Tuhannya kerana ia terbesar. Menerusi proses deduktif dan induktif tadi, Nabi Ibrahim menemukan jalan lurus (hanif) menuju Ilahi, bak katanya:

"Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya)" (Surah Al-An`aam, surah 78).

Al-Qur`an menyatakan proses akal perlu dipupuk menerusi pembacaan. Itulah sebab kekata 'iqra' menjadi wahyu sulung yang diterima Rasulullah. Namun untuk mengasah jalan fikir, seseorang Muslim memerlukan proses perenungan atau tafakur seperti dilalui Rasulullah yang pada usia menginjak 40 tahun sering menyendiri (tahannuts) di Gua Hira, di bukit Nur, Makkah.

Dalam mencari kebenaran pula, seseorang perlu bersikap rendah hati (tawaduk) dan senantiasa berdoa agar Allah subhanahu wa ta`ala memberikannya petunjuk.

Dalam proses membina akal dari segi Islam, ada dua cara yang boleh digunakan untuk merangsang fikiran:

  • Tadabbur iaitu merenung erti ayat-ayat Al-Qur`an mengenai sejarah, kebesaran Ilahi dan sebagainya. Dalam Al-Qur`an terdapat banyak seruan agar manusia menggunakan akalnya - fikir sebelum menerima sesuatu penerangan atau mengambil tindakan. Memandangkan 'terbatas' akal manusia, Allah telah menunjukkan jalan-Nya kepada Rasulullah memerusi amalan bersolat dan berdoa agar hati insan tidak terkunci. "...maka tidakkah mereka mahu merenung memahami Al-Qur`an atau hati mereka sudah terkunci?" (Surah Muhammad, ayat 24).
  • Ada kala akal tidak kesampaian untuk membuka 'rahsia' atau huraian bagi masalah. Itulah sebabnya umat Islam disuruh bersolat hajat dan istikharah (mencari petunjuk) di samping terus menambah ilmu dan berdikir panjang. 

Dalam sejarah Islam, ulama telah menyusun cara mencari ilmu, berbincang dengan penuh adab, mengarang dan mengembangkan pengetahuan. Proses inilah yang telah mencetuksan peradaban Islam selama 700 tahun.

Al-Qur`an mengadungi banyak sumber ilmu termasuk mengenai penciptaan hujan sehinggalah tempoh waktu penciptaan alam semesta. Tujuan Allah berbuat demikian tentulah merangsang kita untuk berfikir, mengkaji, meneroka dan menemukan jawapan kepada pelbagai persoalan dan permasalahan.

Oleh itu, umat Islam digalak berfikir panjang dengan menambah ilmu menerusi pembacaan dan kajian serta pengembangan. Sayang tradisi itu kini digarap oleh Barat dan bangsa-bangsa lain.

Dengan berpandukan agama, maka berfikir dan berusahalah untuk meraih kehidupan bermakna.


Petikan dari Berita Harian Singapura (Jumaat, 14 Mei 2010)

1 comment:

  1. Surah Al An'aam

    [74] Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata".

    [75] Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

    [76] Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".

    [77] Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat".

    [78] Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

    [79] "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".

    [80] Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: "Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?

    ReplyDelete