Wednesday, September 24, 2008

Bagaimana Dengan Allah?

Dalam satu rombongan (kafilah) ada seorang lelaki telah terpikat kepada seorang perempuan. Setelah hari sudah jauh malam, dia mula menghampiri perempuan itu untuk menggodanya.

Perempuan itu pun berkata, "Lihatlah adakah orang-orang itu telah tidur semuanya?"

Gembiralah lelaki itu kerana menyangka harapannya akan dipenuhi. Setelah mengelilingi rombongan kafilah tersebut, didapatinya semua orang telah tidur.

Dia pun berkata, "Betul, semua orang telah tidur,"
Perempuan itu bertanya, "Bagaimana pendapatmu mengenai Allah SWT. Tidurkah Ia di saat ini?"
Lelaki itu tersentak, lalu menjawab," Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah tidur dan tidak pernah mengantuk!"
Perempuan itupun berkata, "Sesungguhnya Tuhan memang tidak tidur dan memang tidak pernah tidur. Dia akan melihat kita, walaupun manusia tidak melihat. Maka lebih tepat kalau kita takut akan Dia."

Lelaki itu sedar dan terus meninggalkan niat jahatnya itu lantaran takut kepada Allah Yang Maha Melihat Lagi Maha Mengetahui. Dia bertaubat dan kembali ke rumahnya.

Setelah dia mati ada orang bermimpi bertemu dengannya, lalu bertanya, "Bagaimana keadaanmu?"

Lalu dijawab, " Allah telah mengampuni Aku sebab takutku kepada-Nya dan meninggalkan perbuatan dosa itu."

Sebaik-baik hati yang bersih dan lunak

Hati yang bersih dari batil dan jahat

Ketahuilah, wahai saudara-saudara sekalian, moga-moga Allah membimbing kamu, bahawasanya sebaik-baik hati yang dikasihi oleh Allah Ta'ala, ialah hati yang suci murni dari segala macam kebatilan dan keraguan, bersih dari aneka rupa kejahatan, hati yang sentiasa tunduk yang hak dan petunjuk yang diliputi oleh kebajikan dan kebaikan.

Dalam sebuah Hadis tersebut:
1) Hati yang tidak berselaput (dengan syak wasangka), padanya terdapat sebuah lampu yang menerangi. Itulah hati seorang Mukmin.
2) Hati yang hitam tidak menentu tempatnya. Itulah hati seorang kafir.
3) Hati yang terbelenggu di atas kulitnya. Itu hati seorang munafiq.
4) Hati yang mendatar, padanya iman dan nifaq yang meliputinya, seperti sebatang sayuran yang disirami oleh air tawar, dan perumpamaan nifaq(iqrar dengan lidah tetapi tidak iktikad dalam hati) yang ada padanya juga seperti setumpuk kudis yang diselaputi oleh nanah dan darah busuk. Yang mana di antara keduanya yang berkuasa, kesitulah hati akan tertarik.
Menurut pendapatku, yang nyatanya hati terakhir ini adalah sifat bagi hati kaum yang bercampur-aduk amalannya, dari umum kaum Muslimun sehingga kecuainnya melebihi kesempurnaan.

Dalam sebuah hadis lain: "Bahawasanya iman itu mula muncul di hati sebagai sinaran putih, lalu ia membesar sehingga seluruh hati itu menjadi putih. Sedang nifaq pula, mula muncul di hati seperti setitik-titik hitam, lalu merebak sehingga seluruh hati itu menjadi hitam."
Mudah-mudahan Allah Ta'ala pelihara kita sekalian daripada bahaya nifaq, serta diakhiri hayat kita beserta Muslimin di dalam Agama Islam, amin.
Sesungguhnya iman itu akan bertambah dengan sentiasa mengerjakan dan membanyakkan amalan-amalan yang saleh dengan sepenuh ikhlas kepada Allah Ta'ala. Manakala nifaq pula akan bertambah dengan bertambahnya amalan-amalan yang jahat, seperti meninggalakan perkara-perkara yang wajib dan melakukan perkara-perkara yang ditegahkan oleh agama.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam. Kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, mak titik hitam itu akan terus merebak, sehingga muka hatinya menjadi hitam."
Hadis ini sesuai dengan firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quran: "Bahkan telah termetrai dimuka hati mereka apa yang mereka kerjakan." (al-Mutahffifun:14)
Memanglah, tiada sesuatu yang bencana dan mudharatnya lebih berat ke atas manusia di dunia dan akhirat daripada dosa. Sebab seseorang manusia tidak akan disentuh kecelakaan atau ditimpa kesusahan, melainkan tersebab oleh dosanya sendiri.

Firman Allah Ta'ala: "Dan tiada akan menimpa kamu sesuatu kecelakaan melainkan disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri." (as-Syura:30)
Oleh itu, maka hendaklah setiap Mukmin itu berjaga-jaga supaya tiada melakukan dosa, malah sentiasa menjauhkan diri daripadanya. Andainya telah terlanjur melakukan sesuatu dosa, maka hendaklah menyegerakan taubat kepada Allah Ta'ala. Sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa menerima taubat hamba-hambanya serta mangampunkan segala dosa mereka, sedang Dia Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.
Firman Allah Ta'ala: "Barangsiapa yang tiada bertaubat, maka mereka itu adalah orang-orang yang teraniaya." (al-Hujarat:11)
Maksudnya, mereka telah menganiaya diri sendiri dengan mendedahkannya kepada kemurkaan Allah Ta'ala, disebabkan mereka telah tecebur ke dalam maksiat, malah terus melakukan maksiat itu tanpa bertaubat. Padahal Allah Ta'ala telah menganjurkan kepada kita untuk bertaubat serta berjanji akan menerima taubat mereka.
Firman Allah Ta'ala mensifatkan ZatNya sebagai Maha Penerima taubat dan Maha Pengampun: "(Tuhan) Pengampun dosa, Penerima taubat, sangat keras siksaNya, dan amat besar kurniaNya, tiada Tuhan melainkan Allah, kepadaNya kesudahan segala tujuan." (Al-Mu'min:3)
Cubalah renungkan ayat ini dan perhatikan maksud yang terkandung di dalamnya dari pengertian yang mulia dan rahsia yang amat berkesan, yang bisa membangkitkan perasaan takut dan harapan serta gemar dan gerun dan sebagainya.
FirmanNya yang lain: "Dan tiadalah yang mengambil peringatan, melainkan orang yang kembali (ke pangkal jalan). Maka serulah Tuhan dengam penuh tulus-ikhlas, beragama kepadaNya." (al-Mu'min: 13-14)

Sebaik-baik hati yang bersih dan lunak

Saiyidina Ali berkata: "Adapun Allah s.w.t di muka bumi ini bejana-bejana; iaitulah hati manusia. Sebaik-baik hati ialah yang bersih, tegas dan lunak. Kemudian beliau menjelaskan pula; Maksudnya, bersih dalam keyakinan, tegas dalam urusan agama, dan lunak dalam pergaulan dangan kaum Muslimin."
Yang dimaksudnya dengan keyakinan, ialah keteguhan dan penguasaan iman di hati, sehingga menimbulkan ketenangan, sebagaimana yang dipohonkan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah Ta'ala sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kita oleh Al-Quran: Allah berkata kepada Nabi ibrahim: Apakah engkau tidak percaya? Jawab Nabi Ibrahim: "Bahkan, agar hatiku menjadi tenang." (Al-Baqarah:260)
Kini nyatalah, bahawasanya keyakinan itu puncak keimanan dan kesudahannya.
Dalam sebuah Hadis tersebut: "Keyakinan itu adalah keseluruhan iman."
Lantaran itu, tiada sesuatu yang diturunkan oleh Allah Ta'ala dari langit yang sifatnya lebih mulia dan lebih berharga daripada keyakinan. Memadailah jika keyakinan itu saja menjadi hartabenda manusia.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Pohonkanlah keyakinan dan keselamatan dari Allah Ta'ala, kerana tiada sesuatu kurnia yang lebih utama sesudah keyakinan daripada keselamatan."
Yang dimaksudnya dengan tegas dalam agama, ialah berpegang-teguh dengannya serta bersedia membelanya, berani berkat benar walaupun pahit, dan tiada gentar orang untuk mempertahankan yang hak. Dengan sifat inilah, Allah Ta'ala telah memuji pecinta-pecintaNya dalam Al-Quran: "Mereka berjihad (membela) di jalan Allah dan mereka tiada gentar celaan orang yang suka mencela." (al-Maidah:54)
Seterusnya hendaklah anda membaca ayat-ayat yang sebelumnya juga.

Rasulullah s.a.w pernah mensifatkan Saiyidina Umar Ibnul-Khattab dengan sifat yang sama dalam sebuah sabdanya: "Orang yang amat teguh dalam menjalankan perintah Allah ialah Umar. Semua kata-katanya benar, lantaran itu ia tidak punya rakan di antara orang ramai."
Benarlah Saiyidina Umar adalah orang yang amat tegas di antara kaum Muslimin dalam menjalankan perintah Allah s.w.t., dan berpegang teguh dalam menguruskan semua urusan agama, terhadap dirinya sendiri mahupun orang lain. Beliau dijadikan contoh dan tauladan dalam keadilan, dan dalam memerintah mengejarkan kebajikan dan mencegah melakukan kejahatan. Beliau sentiasa berdiri atas yang hak dan benar terhadap rakan dan lawan. Moga-moga Allah Ta'ala redha terhadapnya dan redha terhadapnya dan redha sama terhadap para sahabat Rasulullah s.a.w umumnya.

Adapun berhati lunak dalam pergaulan dengan kaum Muslimin; iaitu melengkapkan diri dengan siat belas-kasihan, cinta dan sayang terhadap sesama Muslimin, kerana yang demikian itu adalah semulia-mulia akhlak dan setinggi-tinggi budi luhur.
Dengan sifat itulah Allah s.w.t telah memuji-muji Rasulullah s.a.w di dalam firmanNya: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari segolongan kamu, yang mengambil berat terhadap penderitaan kamu, penuh keinginan terhadap (keselamatan) kamu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman." (at-Taubah:128)
Sabda Rasulullah s.a.w: "Orang-orang yang mengasihi (orang lain) akan dikasihi Tuhan Pemurah. Sesiapa yang tidak mengasihi (orang lain) tidak akan dikasihi Tuhan."

Sabdanya lagi: "Sesungguhnya orang-orang yang terutama dari umatku tidak akan masuk syurga kerana banyak solat atau banyak puasa. Akan tetapi (mereka akan masuk syurga) kerana bersih hati, murah hati dan berbelas-kasihan terhadap setiap Muslim."
Maksud Hadis ini tidaklah menunjukkan bahawa para Mukmin itu kurang mengerjakan ibadat seperti solat dan puasa. Malah sebaliknya, mereka sentiasa memperbanyakkan ibadat solat dan puasa serta melakukan lelain amalan yang saleh. Akan tetapi sifat-sifat mulia yang disifatkan Nabi kepada mereka itu telah lebih dahulu mendekatkan diri mereka kepada Allah Ta'ala, yang kerananya mereka memperoleh kelebihan dan keutamaan di sisiNya. Lantaran kelebihan dan keutamaan sifat-sifat ini dipandang lebih mulia dari lain-lainnya dari amalan-amalan yang saleh, sebab sifat-sifat itu dari amalan hati dan rahsia kebatinan, maka hendaklah anda fahamkan baik-baik.

Peringatan: Hati itu baginya berhadap dan membelakangkan daripada amal pada yang dikehendaki dengan maksud faedah berfungsinya fitrah asal hati/jiwa/qalbu/ruh ialah hati itu akan cenderung untuk melakukan kebaikan dan taat di samping akan menjauhkan perkara yang ditegah dan maksiat. Walaupun ianya melakukan kesalahan dan dosa, sesungguhnya hati yang asal ini tidak akan dapat berbohong dengan membenarkan perbuatan si hamba. Akan terkesan padanya rasa bersalah dan berdosa kerana asal atau fitrah hati tidak pernah dan selama-lamanya tidak akan membenarkan sesuatu yang salah. Perhatikanlah diri anda bila melakukan sesuatu yang salah. Jika tidak timbul rasa berdosa atau bersalah, maka ketahuilah hati anda itu adalah hati yang mati........

Saudara!, Janganlah kau putus asa dari rahmat Allah Azza Wajalla, akibat melakukan maksiat. Tetapi, basuhlah pakaian agamamu dengan air taubat secara bersambungan dan ikhlas. Berilah pakaian agamamu itu minyak makrifat. Waspadalah terhadap kedudukan yang kau sandang ini. Sebab, bila saja kau berpaling, di sekitarmu pasti ada haiwan buas yang siap menyerbumu. Di mana saja kau berada, di situlah datang berbagai fitnah di sekitarmu. Kembalilah kepada Allah Azza Wajalla dengan Qalbumu.
Janganlah kau makan dengan tabiatmu, syahwat dan kesenanganmu. Janganlah kau makan, kecuali ada dua saksi adil yang mengawasimu. Yakni kitab Allah dan Sunnah Nabi.
Kemudian, carilah dua saksi lain, iaitu Qalbumu dan Perbuatan Allah Azza Wajalla. Jika Al-Kitab, As Sunnah dan Qalbumu telah mengizin, maka lihatlah saksi yang keempat. Iaitu Fi’lullah (perbuatan Allah Azza Wajalla). Janganlah kau seperti pencari kayu bakar di waktu malam. Ia mencari kayu ke sana ke mari, tapi tidak mengetahui apa yang jatuh ditangannya.


Kitab "an-Nashaaih as-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah"
(Nasihat Agama Dan Wasiat Iman)
oleh
Imam Habib Abdullah Haddad

Monday, September 22, 2008

25 Wasiat Luqman Hakim Kepada Anaknya

Bicara Luqman dengan anaknya menerusi satu riwayat dalam kitab Tafsir Rahul Ma'ani dan Kitab Hidayatul Mursyidin, diriwayatkan telah memberikan anaknya dua puluh lima wasiat iaitu:

1. Hai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.

2. Hai anakku, janganlah engkau menelan terus sesuatu makanan kerana manisnya dan janganlah terus engkau memuntahkan sesuatu barang kerana pahitnya. Kerana manis itu belum tentu mendatangkan kesegaran dan pahit itu belum tentu mendatangkan musibah.

3. Hai anakku, apabila engkau ingin mencari teman sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan perkara yang menaikkan kemarahannnya. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha untuk menginsafkan engkau maka bolehlah engkau ambil sebagai teman dan sekiranya bukan demikian maka berhati-hatilah engkau terhadapnya.

4. Perbaikilah tuturkatamu, halus budi bahasamu dan manis wajahmu, kerana engkau akan disukai orang melebihi sukanya terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga kepadanya.

5. Hai anakku, janganlah engkau terlalu mudah ketawa kalau bukan perkara yang menggelikan, jangan engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri kamu dan janganlah engkau mensia-siakan harta dunia kamu.

6. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke bakul sampah, kelak diri kamu akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya jangan engkau rangkul dunia ini dan meneguk habis airnya, kerana sesungguhnya semua yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan orang bodoh dan orang yang bermuka dua, kerana akan membahayakan diri kamu.

7. Hai anakku, apabila engkau berteman, jadikanlah dirimu orang yang tidak pernah mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarlah dia mengharapkan sesuatu daripadamu.

8. Jadikanlah dirimu dalam setiap perkara sebagai seorang yang tidak berhajatkan kepada pujian atau menagih sanjungan dari orang lain, kerana penguasaan riya' itu akan menyebabkan diri kamu beroleh kecelakaan.

9. Hai anakku, janganlah engkau cenderung kepada dunia semata-mata dan hatimu jangan disibukkan dengan urusan dunia semata-mata, kerana engkau diciptakan oleh Allah bukan untuk urusan dunia sahaja. Sesungguhnya tidak ada orang yang lebih hina melainkan orang yang terpedaya dengan dunia semata-mata.

10. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata busuk, kotor dan kasar kerana engkau akan lebih selamat apabila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar dirimu mendatangkan manfaat kepada orang lain.

11. Hai anakku, bukanlah sesuatu kebaikan namanya apabila engkau selalu mencari ilmu tetapi tidak engkau mengamalkannya. Hal itu tidak ubahnya seperti orang yang mencari kayu bakar, setelah banyak terkumpul maka dia tidak mampu memikulnya, padahal dia masih terus mengumpulkannya.

12. Janganlah engkau makan atau minum yang berlebihan kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu akan merosakkan diri dan pemikiranmu dan alangkah baiknya makanan yang lebih itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Barangsiapa yang penyayang, sudah tentu akan disayang, sesiapa yang suka berdiam diri sudah tentu akan selamat daripada berkata-kata tentang perkara yang mengandungi racun dan barang siapa yang tidak mampu menahan lidahnya daripada berkata kotor, sudah tentu akan menyesal.

14. Hai anakku, bergaul mesralah dengan orang alim dan berilmu. Perhatikanlah kata-kata dan nasihatnya kerana sesungguhnya akan sejuk hati kamu mendengar nasihatnya, akan hiduplah hatimu dengan cahaya hikmah dari mutiara kata alim ulama bagaikan tanah yang subur disiram air hujan.

15. Hai anakku, bila engkau mengahdapi dua pilihan, menjenguk orang mati atau menghadiri pesta perkahwinan, maka hendaklah engkau memilih menjenguk orang mati. Sebab menziarah orang mati itu akan mengingatkan kamu kepada kampung akhirat, sedangkan menghadiri pesta perkahwinan itu hanya akan mengingatkan kamu kesenangan dunia.

16. Makanlah makananmu bersama-sama orang yang taqwa dan musyawarahlah segala urusanmu dengan para alim ulama dengan cara memohon nasihat daripadanya.

17. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat daripada orang lain, akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah swt.

18. Hai anakku, seandainya orang tuamu memarahimu, maka marahnya itu sebagai siraman air bagi tanam-tanaman yang kering kontang.

19. Jauhilah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di siang hari dan hina di malam hari.

20. Selalulah berharap kepada Allah agar menjauhkan kamu daripada sesuatu yang menyebabkan kamu menderhaka kepada-Nya. Takutlah kepada Allah dengan benar-benar takut, tentulah engkau akan terlepas dari sifat putus asa daripada rahmat Allah swt.

21. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu yang besar dan besi yang amat berat tetapi adalah lebih berat daripada itu semua apabila engkau mempunyai jiran yang jahat.

22. Hai anakku, janganlah sekali-kali engkau mengirimkan utusan melalui orang bodoh dan jahat. Maka bila tidak ada orang yang baik dan cerdik, sebaiknya engkau sendiri sahajalah yang menjadi utusan.

23. Jauhilah sejauh-jauhnya sifat dusta, sebab berrdusta itu enak sekali mengerjakannya bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja perbuatan dusta yang dilakukan, akibat dan bahayanya amat besar.

24. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah di dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka orang itu akan sentiasa tawadhuk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan sentiasa menghindarkan dirinya daripada melakukan maksiat.

25. Hai anakku, seorang pendusta itu akan hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak benar. Ketahuilah bahawa memindahkan batu besar yang berat dari tempat asalanya adalah lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang-orang yang tidak mahu mengerti.

Saturday, September 20, 2008

Bicara Hati

1) Mensucikan hati

Hendaklah anda tumpukan perhatian anda kepada hati dan batin anda. 
Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Sesungguhnya Allah tiada melihat kepada rupa kamu dan amalan kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan niat kamu."

Oleh itu, hendaklah anda membenarkan ucapan anda dengan amalan, dan membenarkan amalan anda dengan niat dengan ikhlas, dan membenarkan niat dan ikhlas pula dengan membersihkan batin dan meluruskan hati, kerana hati itu dari asal dan puncasegala perkara.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: "Ketahuilah, bahawa dalam tubuh badan itu ada sepotong daging, kiranya ia elok, maka eloklah seluruh tubuh badan itu. Dan kiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh badan pula. Ia itu adalah hati."

Lantaran itu wajib anda mengambil berat terhadap hati itu, serta tumpukanlah segala perhatian untuk memperbaiki dan meluruskannya. Sebab hati itu lekas sekali berbolak-balik dan selalu kacau-bilau. Cuba lihat sabda Rasulullah berikut:
"Sesungguhnya hati itu lebih cepat bolak-baliknya dari makanan yang sedang mendidih di dalam periuk."

Rasulullah s.a.w sering berdoa: "Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu."
Sabadanya lagi: "Sesungguhnya hati itu terletak di antara dua jari dari jari-jari Tuhan. Jika Dia suka diluruskannya, dan jika Dia suka dibengkokkannya."
Allah berfirman menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s.: "Dan janganlah Engkau menghinakan aku pada hari kebangkitan. Iaitu hari yang tiada berguna hartabenda dan anak-anak. Melainkan orang yang mendatangi Allah dengan hati yang bersih."

Hendaklah anda berhati-hati dengan sungguh-sungguh, mudah-mudahan Allah merahmati anda, agar anda menemui Allah Ta'ala kelak dalam keadaan hati yang bersih dari syirik dan nifaq, suci dari bid'ah dan akhlak yang terkeji, seperti menyombong diri dan riya', seperti hasad dan tipudaya terhadap kaum Muslimin, dan seumpamanya. Mintalah pertolongan dari Allah Ta'ala serta bersabar, berusaha dan mengambil berat terhadap perkara-perkara ini.
Juga harap jangan lupa ucapkan seberapa banyak doa ini: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau sesatkan kami sesudah Engkau tunjuki kami (jalan yang benar), dan berilah kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau amat suka memberi." (ali-Imran: 8)
Demikianlah Allah mensifatkan orang-orang yang teguh dan mendalam ilmunya dari hamba-hambaNya yang Mukminin.

2) Jangan biarkan hatimu keras dan lalai

Waspadalah anda, jangan bersifat keras hati dan bersikap kasar, sehingga apabila diberi nasihat tidak akan memberi kesan apapun. Hati tidak akan merasa hiba lagi, bila disebutkan maut, dan tidak gentar mendengar janji-janji balasan dari Allah dan ancamanNya mengenai hal-ehwal akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Yang amat jauh dari Allah Ta'ala ialah hati yang keras."
Sabdanya lagi: "Empat perkara menjadi tanda kejahatan, iaitu: Hati yang keras, mata yang beku, sentiasa berkira-kira dan panjang harapan."
Awasilah diri anda empat sifat yang merbahaya itu!
Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda: "Ingatlah bahawa Allah tiada akan menerima doa dari hati yang lalai."

Sifat lalai itu adalah sifat yang lain, tidak sama dengan sifat keras hati. Sifat ini adalah tercela dan mengandungi bahaya yang besar. Hati yang lalai ialah hati yang tidak tahu diuntung dan tidak sedar ketika diingatkan dengan berbagai-bagai petunjuk dari perintah-perintah Allah Ta'ala dan larangan-laranganNya. Ia tidak akan mengendahkan samasekali nasihat-nasihat itu kerana hatinya dibelunggi oleh sifat lalai dan lupa disebabkan terlalu banyak urusan pekerjaan dan permainan dari bermacam-macam keindahan dunia dan peluasan hawa nafsu.

Allah Ta'ala telah berfirman kepada RasulNya a.s: "Ingatlah Tuhan di dalam hatimu dalam rendah hati dan takut, dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang lalai." (Al-A'raf: 205)
Allah berfirman lagi: "Dan janganlah engkau turuti kaum yang Kami (Allah) lalaikan hatinya dari mengingati Kami. Lalu ia tunduk kepada hawa nafsunya, maka menjadilah urusannya itu sesia belaka (tidak berguna)." (al-Kahf:28)

Seseorang itu dikira lalai juga apabila dia membaca Al-Quran atau mendengarnya, akan tetapi merenungkan maknanya atau mendalami maksudnya, tiada menuruti perintah dan larangannya, tiada menuruti nasihat dan teguran yang terkandung di dalam ayat-ayatnya.
Seseorang itu dikira lalai apabila ia tiada mengingati mati dan tiada memandang berat tentang hal-ehwal yang bakal berlaku sesudah mati, samada ia tergolong orang-orang yang berbahagia atau orang-orang yang celaka, ia tidak mahu memikirkan semua itu.
Seseorang itu dikira lalai juga apabila ia tiada selalu mendampingi para alim-ulama yang akan mengingatkannya akan Allah dan agamanya, dan yang akan menyedarkannya akan hari-harinya yang baki dan nikmat-nikmat Allah Ta'ala yang sedang diterimanya, di samping janji-janji dan ancaman-ancamanNya. Sekiranya para alim-ulam itu tiada kedapatan lagi, maka cukuplah buku-buku yang mereka susun itu untuk mengganti mereka.

Walau bagaimanapun dunia ini tidak akan luput dari para alim-ulama. Insya Allah, meskipun kerosakan zaman telah umum di mana-mana. Perkara-perkara yang batil telah banyak tersebar, sedang orang yang mencetukannya merajalela orang-orang yang di peringkat tinggi dan rendah. Mereka itu telah membelakangi Tuhan dan membelakangi perintahNya, serta tiada menegakkan yang hak. Hanya orang-orang terselamat dari bencana ini sedikit sekali bilangannya.

Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w: "Sekumpulan dari umatku akan terus berdiri teguh atas kebenaran, tiada akan membahayakan mereka sesiapa yang menentangnya sehinggalah tiba ketentuan dari Allah Ta'ala."
Ada banyak lagi berita dan cerita yang menceritakan bahawa dunia tidak akan luput dari orang-orang yang mempertahankan kebenaran dan berdiri atas Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya (Hadis) pada bila-bila masa sekalipun. Hanya bilangan orang-orang ini akan berkurangan di akhir zaman. Wallahu a'lam.

Kitab "an-Nashaaih as-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah"
(Nasihat Agama Dan Wasiat Iman) 
oleh
Imam Habib Abdullah Haddad

Tuesday, September 16, 2008

Kemanisan Iman - Cinta Allah dan Rasul

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".  (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)

MUKADDIMAH: 

Iman adalah membenarkan secara putus (jazim) tanpa ragu sedikitpun dengan apa yang datang daripada Rasulullah SAW. yang diikuti dengan ketundukan hati dan ketenteraman jiwa menerima ketentuannya tanpa perasaan degil dan takabbur. 

Terkadang-kadang terdapat iman yang jazim pada seseorang dan tidak ada keraguan sedikitpun terhadap kebenaran yang datang daripada Rasulullah SAW. tetapi sayangnya terkadang kadang iman tersebut diikuti oleh rasa sombong dan enggan serta tidak mahu melaksanakan apa yang diyakininya itu. Maka dalam keadaan seumpama ini, dia belum digolongkan sebagai orang yang beriman. 

Juga terdapat orang yang memiliki iman yang jazim tanpa sedikitpun ada perasaan ragu, malahan dia tidak mempunyai sifat degil dan takabbur terhadap apa diyakininya. Tetapi sayangnya kita lihat orang tersebut tenggelam kedalam dunia kelalaian, dia tidak pandai menilai kadar iman sebagaimana semestinya, dia lalai untuk menunaikan kewajiban mensyukuri nikmat tersebut. Manusia seperti inilah yang dikatakan orang yang beriman atau " mukmin " yanq belum mendapatkan " kemanisan iman ".

Hadis sahih yang termaktub diatas menjelaskan kepada kita beberapa tanda orang-orang yang akan dapat merasakan kemanisan iman. Marilah kita berusaha menghias diri kita masing-masing untuk memiliki kesemua tanda-tanda tersebut semoga kita boleh hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

SYARAH AL HADIS:

Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman.

Hadis ini mengandunqi asas-asas utama bagi semua pintu kebaikan. Kemanisan iman adalah sesuatu yang dapat dirasakan oleh mukmin yang tenteram jiwanya terhadap nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dengan kemanisan iman seseorang dapat menghadapi hidup dengan penuh ceria. Keimanannya dapat membimbing dirinya untuk menghadapi kehidupan ini walau bagaimanapun keadaan yang menimpanya. Jika sedang ditimpa kesusahan dia boleh bersabar, dan dia dapat merasakan nikmat kesabaran. Dan jika dia mendapat nikmat kesenangan maka ia pandai bersyukur, dan dia dapat merasakan nikmat kesyukuran. Dia meyakini bahawa segala yang menimpanya apakah baik atau buruk adalah telah ditentukan oleh Allah sejak azali. Oleh itu ia dengan jiwa tenang dapat menghadapi semua keadaan dengan rasa redha.

Kalaulah begitu besar nikmat yang dia dapat rasakan ketika di dunia lantaran kemanisan iman yang dimilikinya, sudah pasti lebih besar lagi nikmat yang bakal dia terima di sisi Allah kelak di akhirat.

1. Adalah Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selainnya.

Cinta ialah kecenderongan jiwa seseorang kepada sesuatu yang boleh memberinya kelazatan, manfaat ataupun kerana sesuatu itu sesuai dengan fitrah (tabiat) nya. Ada beberapa sebab yang boleh menimbulkan rasa cinta seseorang. Menurut Imam Al Ghazali bahawa ada 5 sebab yang mendorong perasaan cinta seseorang:

1. Cinta manusia kepada dirinya, kewujudannya, keberkekalan dan kesempurnaannya.

2. Cinta manusia kepada orang yang berbuat ihsan kepadanya dan orang yang boleh mendatangkan manfaat kepadanya.

3. Cinta manusia kepada orang yang suka berbuat ihsan semata-mata kerana ihsannya. Walaupun dia sendiri tidak berhajat kepada ihsan orang tersebut.

4. Cinta manusia kepada kecantikan dan keindahan. Keindahan yang memikat ada yang hissy (fisical) seperti keindahan warna warni bunga dan binatang, dan ada pula yang maknawy (abstrak) seperti akhlak yang luhur dan sifat mulia dari seseorang umpamanya: berilmu, cerdik, berani, adil, sabar, cekal dan lain lain. 

5. Cinta manusia kepada seseorang disebabkan kerana orang yang dicintainya itu memiliki persamaan sifat dengannya, walaupun semua sebab terdahulu atau sebahagiannya tidak wujud pada orang tersebut. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW.: Roh-roh adalah tentera tentera yang dipersenjatakan, maka apa yang sesuai dengannya dia akan mesra dan apa yang bercanggah dengannya dia akan berbeza.

Dan jika kita amat amati sebab sebab cinta diatas dengan cermat nescaya kita dapati kesemua sebab itu mewajibkan orang beriman yang benar-benar mengenali Tuhannya untuk mencintai Allah dengan kadar cinta yang tidak ada tolok bandingannya.

Buah atau kesan cinta seseorang kepada Allah akan menimbulkan ketaatannya kepada Allah yakni melaksanakan suruhan Nya dan menjauhi laranqan-Nya. Tetapi perlu diingat bahawa terdapat perbezaan antara taat kerana cinta (mahabbah) dengan taat kerana mengharap dan takut (rakhbah dan Rahbah).

Diriwayatkan bahawa Nabi Isa AS. pernah melalui suatu kaum yang sedang beribadah kerana takut kepada Allah atau kerana mengharap syurga, lalu Isa berkata: Sesungguhnya kamu takut kepada makhluk dan mengharap kepada makhluk. Kemudian Isa meneruskan perjalanannya dan lalu pada suatu kaum yang sedang beribadah. Mereka berkata: Kami beribadah kepada Allah kerana kami cinta kepada-Nya dan kerana ta'zim (mengagungkan)-Nya. Nabi Isa berkata: Kamu semua adalah wali-wali Allah, dan aku diperintahkan agar duduk bersama kamu. 

Ini tidak bererti jika kita beribadah lalu kita tidak boleh mengharap syurga dan takut kepada kepada neraka. Itu adalah diantara sifat orang yang beriman. Ini sebagaimana firman Allah:

Lambung mereka jauh dari tempat tidur tidurnya (sering beribadah malam) sedang mereka berdoa pada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka. ( Al Sajadah / 32 : 16 )

Ayat di atas menegaskan bahawa di antara sifat orang orang yang beriman ialah mereka selalu mendirikan malam dengan beribadat sambil mengrahap akan keredaan Allah dan shurga Allah dan didorong oleh rasa takut kepada murka Allah dan siksaan neraka-Nya. Hanya saja jika " rasa cinta " yang mendorong kita untuk taat kepada Allah, maka nilai ibadah itu adalah lebih tinggi kalau dibandingkan hanya sekadar kerana takut dan harap. 

Adapun cinta kepada Rasulullah SAW. adalah sebahagian daripada cinta kepada Allah. Kerana bagi kita tidak ada seorangpun yang lebih kita percayai selain orang telah dipilih oleh Allah sebagai utusan-Nya. Beliau telah diamanahkan oleh Allah untuk menyampaikan hidayah-Nya kepada umat manusia agar kita mendapat rahmat-Nya. Bagindalah orang yang paling berjasa menyelamatkan kita daripada kegelapan (kekufuran dan syirik) kepada cahaya terang benderang (Islam dan hidayah). Bagindalah yang telah membimbing kita untuk menuju kebahagian hakiki di dunia dan di akhirat. 

Abdullah Bin Al Mubarak berkata:

Para ‘ulama lebih utama daripada ibu bapa kamu. Mereka bertanya: Mengapa demikian (wahai tuan) ? Beliau menjawab: Ibu bapa kamu memelihara kamu dari api (kesusahan) dunia, sedangkan para ‘ulama pula memelihara kamu dari api (kesusahan) akhirat.

Demikianlah peranan dan jasa para ‘ulama yang ikhlas yang telah membimbing manusia agar memiliki akidah yang betul agar terhindar dari syirik dan khurafat, yang telah mengajar mereka cara ibadat yang betul sehingga terhindar dari perbuatan bid’ah, yang telah mengajar mereka budi pekerti yang mulia sehingga dengan demikian, mereka bukan saja terhindar daripada kesusahan di dunia tetapi juga akan terhindar daripada azab Allah yang amat pedih di akhirat. Dan kalaulah demikian peranan para ‘ulama, sudah tentu peranan Rasulullah saw jauh lebih besar dari itu kerana semua ajaran para ‘ulama bersumber daripada ajaran Rasulullah saw. 

Jadi mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada mencintai yang lain, maksudnya ialah kita mestilah mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaan kita kepada ibu bapa, isteri, anak-anak, saudara mara, hatta terhadap diri kita sendiri. Dan selanjutnya kecintaan kita yang mendalam itulah yang mendorong kita untuk berbakti kepada Allah dan Rasul-Nya.

"Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."  (At-Taubah: 24)

2. Dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah 

Cinta jenis ini juga adalah cabang dari kecintaan seseorang terhadap Allah. Seseorang jika benar-benar cinta kepada Allah, maka kesan cintanya itu akan mendorong dia untuk suka jika orang tersebut taat kepada Allah, dan sebaliknya dia akan bersedih dan berusaha menegurnya jika rakannya itu melakukan dosa. 

Ini tidak bererti jika ia mencintai seseorang kerana tujuan selain itu lalu ia terkeluar daripada iman. Hanya saja sebagai bukti kemanisan iman seseorang ialah jika dia cinta kepada seseorang semata-mata kerana Allah, dan jika ia benci kepada seseorang juga adalah semata-mata kerana Allah. 

3. Dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan kedalam api.

Mukmin yang hakiki adalah orang yang tidak ragu lagi bahawa sekiranya dia kembali melakukan amal-amal kufur (dosa) setelah ia insaf dan mendapat petunjuk Allah (taufiq) maka tidak mustahil dia akan dilemparkan kedalam api neraka di akhirat nanti. Oleh sebab itu imannya yang mendalam mencegah dia daripada mengulangi lagi dosa-dosa lampau sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api di dunia ini. Dan sebagaimana kebenciannya kalau dirinya akan dihumban ke dalam api yang bernyala-nyala, begitu jugalah darjat kebenciannya jika anaknya, ibu bapanya, isterinya dan saudara maranya akan dilemparkan kedalam api. 

Adakah manusia yang melihat manusia lain, samada dia kenal atau tidak, walaupun musuhnya, yang akan terjatuh ke dalam api lalu dia biarkan tidak segera ditolongnya? Demi perasaan kemanusiaan, biasanya manusia segera akan menolongnya. Betapa kalau pendorongnya justeru keimanan? 

Jadi mukmin yang hakiki bukan saja benci kalau dirinya mengulangi dosa dosa silam, malahan dia juga merasa benci kalau orang lain melakukan dosa, lebih lebih lagi terhadap mereka yang mempunyai hubungan kerabat dengannya.

Sunday, September 14, 2008

Imam Nawawi - Ulama' Sejati

Menurut riwayat bahawa apabila baginda sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakan fatwa ulama' yamg mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Ulama' fiqh negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau Imam Nawawi tidak memberi fatwanya.

Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama' fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberi fatwanya dan enggan. Beliau pun memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya dan keenganannya menfatwakan sama seperti fatwa ulama' lain.

Beliau dapat tahu bahawa baginda ada memiliki seribu orang hamba, tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala dua ratus orang khadam wanita baginda memiliki barang-barang perhiasan yang bernilai. Andaikata baginda membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka beliau bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan baginda mengambil harta rakyat.

Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik. Imam Nawawi terima sahaja perintah pengusirannya itu dengan girang hati. Para ulama' Syam telah berusaha menjemput beliau balik, tetapi beliau enggan selagi baginda masih berkuasa.

Kisah ini memberikan kepada kita suatu gambaran yang jelas tentang keberanian jiwa seorang ulama' yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan dan tidak rela mengorbankan kebenaran hukum untuk kepentingan seorang dengan merugikan orang ramai. Keberanian Imam Nawawi menegakkan suatu kebenaran adalah sebaik-baik contoh kepada ulama', di mana mereka dikehendaki untuk mengatakan sesuatu benar menurut hukum walau kepada sesiapa pun juga dan mereka tidak boleh bersifat pengecut dan pengkhianat kebenaran semata-mata dipengaruhi seribu satu macam kebimbangan dan ketakutan.  

"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah ulama'. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Faatir: 28)

Wednesday, September 10, 2008

As Sayid Habib Noh - Rahmat ke atas Singapura



1 ) Makam Habib Noh terletak di atas bukit berdekatan Palmer Road and East Coast Parkway.
2) Kehadiran seorang wali Allah disuatu tempat membawa rahmat yang tidak terkira….

Orang hanya mengenali Sayid Habib Noh sebagai wali Allah yang mempunyai pelbagai karamah tetapi tidak ramai yang dapat menyelami peranannya sebagai orang kerohanian yang hampir dirinya dengan Allah SWT. Kerana peranan sebagai rijalullah atau rijalulghaib ini amat simbolik dan sukar difahami menerusi bahasa dan pengertian yang zahir sedangkan tugas mereka juga besar. Barangkali tugas yang tersembunyi inilah yang diberikan kepada orang2 seperti Nabi Khidir a.s. pada zaman Nabi Musa a.s., Abu Huzaifah r.a. pada zaman Saidina Umar Al Khattab r.a. dan Uwais Al Qarni pada zaman sahabat dan tabi’in.

Nabi Khidir a.s. umpamanya, seorang yang tinggi kerohanian dan kasyaf sehingga nabi Musa a.s. berguru dengannya dalam bidang kerohanian. Dengan kata lain, dalam soal menyingkap rahsia alam ghaib, Nabi Khidir a.s. melebihi Nabi Musa a.s. walaupun makam Nabi Musa lebih tinggi kerana selain terkenal di kalangan bani Israel, Nabi Musa a.s. seorang rasul bertaraf ulul azmi. 

Abu Huzaifah r.a. pula dikurniai keistimewaan kasyaf ; boleh mengenali orang2 munafik. Malah Saidina Umar Al Khattab r.a. sewaktu menjadi khalifah sentiasa mendapat panduan daripada Abu Huzaifah untuk mengenal pasti orang2 munafik khususnya dalam menentukan seseorang yang meninggal dunia itu Mukmin atau munafik. Walhal Saidina Umar terkenal sebagai sahabat yang lebih kanan dan dijamin masuk Syurga. Jelaslah Allah SWT membuka tirai hijab bagi Abu Huzaifah yang melihat perkara2 yang orang lain tidak dapat melihatnya.

Demikian juga dengan Uwais Al Qarni yang “tidak terkenal di bumi tetapi terkenal di langit”. Beliau adalah seafdhal2 tabi’in. Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Saidina Umar dan Saidina Ali supaya menemui Uwais dan “mintalah doanya”. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali terkenal dengan ketakwaan dan tinggi kerohanian. Maka kedua2nya Saidina Umar dan Saidina Ali dari tahun ke tahun sibuk di musim Haji bertanya khabar kepada setiap khafilah yang datang dari Yaman kalau2 terdapat seorang yang bernama Uwais Al Qarni seperti yang sudah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. itu. akhirnya bertemu juga. Uwais Al Qarni rupa2nya hanya seorang khadam pengembala kambing bagi khafilah dari Yaman yang disertainya. Dia tidak dipedulikan dan disangka seorang yang tidak begitu siuman. Tetapi matanya kebiru2an dan kepalanya sentiasa dihanggukkan kerana berzikir. Apabila diminta berdoa untuk mereka, Uwais Al Qarni menjawab : “Aku tidak akan mendoakan kamu berdua tetapi aku berdoa untuk kesejahteraan semua manusia.” Nyatalah doa orang seperti Uwais Al Qarni sangat makbul dan ianya diperlukan oleh dunia.

Berdasarkan ciri2 istimewa yang ada pada Nabi Khidir a.s., Abu Huzaifah r.a. dan Uwais Al Qarni r.h. maka ciri2 yang sama juga ada pada As Sayid Habib Noh. Ini diakui oleh Syed Omar bin Abd. Kadir Al Idrus, seorang ulama, cucu Tukku Paloh, sewaktu ditemui beberapa tahun lalu.

Habib Noh bin Muhammad Al-Habshee datang dari Kedah, Malaysia. Beliau berketurunan Rasulullah s.a.w. menerusi nasab Zainal Abidin bin Sayidina Hussein r.a. Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awal beliau. Beliau datang dari keluarga empat adik-beradik lelaki iaitu Habib Noh, Habib Ariffin dan Habib Zain (kedua-duanya meninggal di Pulau Pinang) dan Habib Salikin, yang meninggal di Daik, Indonesia. Dari perkahwinan beliau dengan Anchik Hamidah yang berasal dari Province Wellesley, Pulau Pinang, mereka dikurniakan hanya seorang anak perempuan bernama Sharifah Badaniah. Sharifah Badaniah kemudiannya berkahwin dengan Syed Mohamad bin Hassan Al-Shatri di Jelutong, Pulau Pinang. Pasangan ini kemudiannya memberikan Habib Noh hanya seorang cucu perempuan bernama Sharifah Rugayah. Dia berkahwin dengan Syed Alwi bin Ali Aljunied dan mereka mempunyai lima anak, dua lelaki dan tiga perempuan bernama Syed Abdul Rahman, Syed Abdullah, Syarifah Muznah, Sharifah Zainah dan Sharifah Zubaidah.

Dari banyak sumber, Habib Nuh sampai ke Singapura tidak lama setelah Sir Stamford Raffles mendarat di pulau itu. Usianya pada ketika itu ialah tiga puluhan tahun. Walaupun beliau telah menghabiskan saki-baki usianya di Singapura dan meninggal dunia di sana, beliau banyak berjalan, terutamanya ke Johor Bahru dan negeri-negeri lain di Malaysia untuk berdakwah. Beliau adalah seorang yang amat warak. Waktu malamnya beliau gunakan untuk solat hingga terbit fajar. Dan beliau kerap berkunjung ke makam-makam (tanah perkuburan), selalu mendoakan roh-roh yang telah meninggalkan jasad. Beliau sentiasa berjalan bersama-sama kawan-kawan rapat melainkan bila dia secara spesifik meminta untuk berseorangan diri. 

Beliau amat digemari oleh semua peringkat umur, terutamanya kanak-kanak.  Kerana itu tidaklah menghairankan jika ramai yang melihat berbagai-bagai karamah beliau. Beliau selalu membelikan gula-gula dan memberi wang kepada kanak-kanak, fakir miskin dan yang memerlukan. Sering orang bertemu Habib Noh dikelilingi oleh kanak2. Ini sesuatu yang ganjil. Kadang2 beliau singgah di kedai2 bersama kumpulan kanak2 dan kanak2 itu mengambil seberapa banyak makanan yang ada tanpa membayar apa2. Anehnya, tuan2 kedai tidak melarang perbuatan itu. kerana mereka yakin kedai mereka akan beroleh berkat jika dikunjungi Habib Noh bersama kumpulan kanak2 itu. ini terbukti, mana2 kedai orang Islam yang didatangi oleh Habib Noh bersama kanak2 itu, kemudiannya menjadi maju dan tidak putus2 dikunjungi pelanggan. Sayid Habib Nuh sayang kepada kanak2 kerana mereka adalah ahlul Jannah [ahli Syurga]. Kelakuan Sayid Habib Noh itu agak ganjil bagi seorang yang sudah tua. Memang itu merupakan di antara keganjilan Habib Noh, seorang yang mempunyai keistimewaan yang terlindung.

Beliau dikurniakan oleh Allah kebolehan untuk ghaib, dan dilihat kembali di tempat-tempat yang jauh. Ada yang memberitakan bahawa beliau telah dilihat sedang solat di Masjid Besar Makkah tanpa secara fizikalnya pergi ke sana. Pada satu masa, beliau pernah berkata kepada bakal haji bahawa mereka akan berjumpa di Makkah. Bila jemaah itu sampai di sana, dia telah disambut oleh Habib Noh sendiri.

Habib Noh juga terkenal sebagai tabib yang hebat, terutamanya ke atas kanak-kanak yang memang disukainya. Pernah beliau menyembuhkan seorang kanak-kanak yang cedera di kakinya dengan hanya meletakkan tangan-tangan beliau di atas luka itu dan membaca doa. Dalam masa yang singkat, kanak-kanak itu sudah boleh berlari semula seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku ke atasnya. Bapa kepada kanak-kanak itu amat gembira, dia telah memberikan wang kepada Habib Noh, tapi Habib Noh memberikan wang itu kepada yang memerlukan.

Habib Noh sanggup mengharungi ribut untuk pergi mengubati kanak-kanak yang sakit. Beliau pernah berjalan ke Paya Lebar dari rumah beliau di Telok Blangah ketika hujan lebat untuk mengubati seorang kanak-kanak. Bila beliau sampai di rumah kanak-kanak itu, ibubapa kanak-kanak itu terkejut melihat pakaian Habib Noh langsung tidak basah.

Dalam satu insiden lain, Habib Noh telah dikejutkan oleh tangisan berterusan anak jirannya. Bila beliau pergi ke sana, beliau dapati bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk anak yang kelaparan itu. Beliau mengalirkan airmata bila mendengar cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa, menuangkan air ke dalamnya dan membaca doa. Dengan kehendak Allah, air itu bertukar menjadi susu untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.

As Sayid Habib Noh bersikap tidak menghormati orang2 yang angkuh dengan kekayaan atau jawatan duniawi. Begitulah, walaupun orang menghormatinya atau takut kepada Crawford, Gabenor Singapura ketika itu tetapi Habib Noh tidak takut kepada wakil penjajah itu.

Dalam satu peristiwa, Gabenor Crawford marah dan menghina Habib Noh kerana beliau tidak menghormatinya. Tiba2 sahaja kereta kuda yang dinaiki Gabenor itu terlekat di bumi dan tidak dapat bergerak. Gabenor naik marah an bertanyakan hal itu kepada pengiringnya. Tetapi pengiring itu bertanya kepada tuan gabenornya, “Tahukah tuan siapakah orang yang tuan marah dan hina itu?”

Gabenor menjawab, “Itu orang gila.”

“Sebenarnya dia bukan gila tetapi dia orang baik dan ada karamah. Lihat, bila tuan marah kepada dia, dia sumpah dan sekarang kereta tuan tidak dapat bergerak,” jelas pengiringnya.

Gabenor menjadi takut dan akhirnya meminta maaf dengan Habib Noh. Setelah Habib Noh menepuk2 kaki kuda itu, barulah kuda itu berjalan pantas seperti biasa. Sejak itu Gabenor sedar betapa As Sayid Habib Noh mempunyai kelebihan luar biasa.

Bagaimanapun, pada satu ketika Gabenor terus bersikap bongkak dan sombong dan memerintahkan orang2nya menangkap Habib Noh dan mengurung di dalam penjara dengan kaki dan tangannya dirantai. Tindakan keras ini diambil kerana As Sayid Habib Nuh tetap enggan menghormati wakil penjajah yang beragama Kristian itu. Anehnya, para pengawal penjara kemudian melihat Habib Noh di luar penjara. Tangan dan kakinya tidak dirantai. Walaupun ditangkap semula, dia tetap dapat keluar dan kelihatan seolah2 tidak ada apa2 yang berlaku padanya akhirnya beliau dibebaskan sepenuhnya.

Diceritakan lagi bahawa pada satu ketika ada seorang saudagar yang sedang dalam pelayaran ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya telah dipukul ribut kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa kepada Allah agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia bernazar jika sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan menghadiahkan kain kepada Habib Nuh. Alhamdulillah, dia dan dagangannya diselamatkan Allah dari keganasan ribut tersebut. Setibanya di Singapura, dia hairan kerana Habib Noh telah sedia menunggu kedatangannya di pelabuhan dan memintanya melaksanakan nazar yang telah dibuatnya di tengah laut itu.

Dalam satu peristiwa lain, ketika sebuah kapal hendak berlayar, muncul Habib Noh di perlabuhan. Habib Noh menahan barang2 yang berharga daripada dibawa bersama dalam pelayaran itu. Orang2 yang terlibat tidak senang dengan sikap beliau itu tetapi beliau tetap bertegas;

“Tidak boleh barang2 yang berharga itu dibawa.”

Setelah lama berbalah, akhirnya orang ramai terpaksa akur dengan kemahuan Habib Nuh itu dan pemilik barang2 tersebut tidak jadi mengirim barangnya dengan kapal itu.

Beberapa hari kemudian, penduduk Singapura mendapat berita bahawa kapal yang berlayar itu terbakar dan tenggelam di tengah lautan. Barulah tuan punya barang2 tersebut sedar hikmah disebalik larangan Habib Noh itu. Beliau bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT.

Pada satu masa seorang India Muslim balik ke India mengikut jalan laut untuk melawat keluarganya. Dia telah berniat bahawa jika dia kembali ke Singapura dengan selamat, dia akan menghadiahkan kepada Habib Noh satu hadiah. Bila dia pulang, dia terkejut bila melihat Habib Noh sudah sedia menunggunya di tepi laut.

Habib Noh kata kepadanya “Saya percaya bahawa awak sudah berjanji untuk memberikan sesuatu kepada saya.” Terkejut, India Muslim itu berkata, “Katakan kepada saya wahai tuan yang bijaksana, apakah yang tuan hajati dan saya akan dengan senang hati menghadiahkan kepada tuan.”

Habib Noh menjawab, “Saya mahukan beberapa gulung kain kuning untuk bersedekah kepada orang miskin, yang memerlukannya dan kanak-kanak.”

Sambil memeluk Habib Noh, India Muslim itu berkata, “Demi Allah, saya amat gembira untuk menghadiahkan kepada seorang lelaki yang dirahmati Allah kerana baik budinya terhadap umat manusia. Berilah pada saya tiga hari untuk menghadiahkannya kepada tuan.”

Setelah 78 tahun mengabdikan diri beliau kepada Islam, Habib Noh telah pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27 Julai 1866 bersamaan dengan 14 Rabiul Awal 1283. Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memberikan banyak nasihat kepada kawan-kawan setianya. Antara mutiara kata beliau ialah “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan jangan punya perasaan hasad-dengki (dan sebarang perasaan negatif) terhadap sesiapa sepanjang hidup anda.”

Habib Noh menghembuskan nafasnya yang terakhir di Telok Blangah, di kediaman Temenggong Abu Bakar, Johor. Bila berita itu tersebar, ramai orang dari berbagai peringkat, termasuk orang-orang Inggeris yang telah masuk Islam melalui Habib Noh, dan mereka yang berada di kepulauan-kepulauan berhampiran telah datang untuk menziarahi beliau. Semua kereta kuda yang ada di Singapura memberhentikan aktiviti harian untuk membawa pengunjung-pengunjung itu dengan percuma. Tapi sejurus sebelum rombongan jenazah itu meninggalkan rumah Temenggong ke tanah perkuburan, satu fenomena ganjil telah berlaku.

Sebelum meninggal, Habib Noh telah berpesan kepada kawan-kawannya agar jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer, yang merupakan tanah perkuburan kecil pada masa itu. Walau bagaimana pun pada hari beliau meninggal, setiap orang telah lupa mengenai pesan itu dan mereka semua bersedia untuk menuju ke tanah perkuburan Bidadari Muslim. Bila sampai masanya untuk mengangkat keranda, ia tidak berganjak dari atas tanah. Tidak ada seorang pun terdaya mengangkatnya. Sekitaran jadi kelam kabut, dan hampir setiap orang menangis melihat keranda itu tidak berganjak walaupun cuba diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah.

Nasib baik, seseorang akhirnya teringat pada pesan Habib Noh dan telah tampil menceritakan hal yang sebenarnya kepada setiap orang. Setiap orang sedar bahawa mereka telah lupa pesanan itu lantas memutuskan untuk bergerak ke Mount Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu boleh diangkat dengan mudah dan laungan Allahu Akbar! bergema. Maka jenazah Habib Noh telah selamat dikebumikan di Mount Palmer.

Karamah beliau tidak habis di situ saja. Semasa Perang Dunia Kedua, bila Telok Blangah dibom dengan hebatnya oleh Jepun, tidak ada satu bom pun singgah di pusara Habib Noh. Dan bila kerajaan Singapura mahu membina satu jalanraya di Tanjung Pagar, jembatan telah direkabentuk untuk membengkok melengkarinya, tingginya hampir sama dengan kedudukan Makam Habib Noh. Hampir mustahil jika seorang pemandu kereta tidak nampak makam ini. Kini semua orang boleh menziarah makam ini tanpa perlu memanjat 49 tangga untuk ke sana.

Banyak lagi kejadian aneh yang dihubungkan kepada karamah Habib Noh ini. Walau apa pun khawariqul adah yang berlaku pada dirinya, maka itu bukanlah tuntutan kita. Yang pasti, sejarah telah menyaksikan bahawa Habib Noh al-Habsyi adalah seorang sholeh yang taat kepada ajaran Islam. Apa yang kita citakan ialah agar dapat mencontohi jejak langkah beliau dalam menuruti perjalanan para leluhurnya sambung-menyambung sehingga ke hadhrat Junjungan Nabi s.a.w. Mahabbah kepada para sholihin adalah dituntut dan ingat seseorang itu nanti akan berada bersama orang yang dikasihinya. Sesungguhnya istiqamah atas agama itu lebih baik daripada 1000 kekeramatan mencarik adat. Karamah maknawi itu lebih bermakna dari karamah hissi. Mudah-mudahan keberkatan Habib Noh al-Habsyi mengalir terus kepada kita dan anak keturunan kita, keberkatan yang dengan sebabnya diharap Allah memandang kita dengan pandangan rahmat dan kasih sayangNya. Mari kita hadiahkan al-Fatihah kepada wali Allah ini.....al-Fatihah.

Sumber: 
Tujuh Wali Melayu
Sheikh Hassan Abdullah Al-Khatib, penjaga makam Habib Noh

Tuesday, September 9, 2008

Kesihatan Rohani


Bermaca-macam alat dan
bermacam-macam ubat dicipta
oleh manusia untuk kesihatan badan.
Tapi manusia tidak pula ghairah
mencipta alat-alat dan ubat-ubat
untuk kesihatan rohani.

Berusaha Dan Bekerja


Berusaha dan berkerjalah untuk
mendapatkan ketentuan dari Allah.
Janganlah menunggu ketentuan dari
Allah tanpa berusaha dan bekerja.
Berusaha dan berkerja adalah hak kita,
menentukan adalah hak Allah

Sifat Sabar


Di antara perkara yang mudah dicerita, 
susah diamalkan ialah sifat sabar.
Kerana sabar itu ada hubungannya
dengan hati, hati ada perasaan.
Lidah tidak ada perasaan, cuma ada
sentuhan.

Ketenangan Jiwa


Baik sangka dan tawakal kepada Allah menenangkan jiwa,
berakhlak luhur disenangi oleh Allah dan manusia, 
mengikut nafsu menjadikan fikiran tidak menentu,
jiwa menderita selalu.

Kebersihan Batin


Ramai manusia sibuk setiap hari
membersihkan & mencatikkan diri yang lahir. 
Tapi anggota batinnya dibiarkan kotor & berdaki. 
Padahal rosaknya kehidupan di dunia 
berpunca dari kekotoran batin.

Hidangan makanan


Bila diperjuangkan Islam itu
secara kasar dan tidak
berakhlak laksana hidangan
makanan yang enak kepada
tetamu, tapi diberi secara
dilemparkan.

Halangan Utama


Tidak banyak orang yang insaf
dapat membetulkan dirinya
kerana halangannya yang banyak.
Halangan utamanya ialah
nafsunya. 

Monday, September 8, 2008

Doa Rasulullah s.a.w Di Taif

"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau"

Tanda-tanda Taubat Diterima Allah

Seorang ahli hikmah ditanya mengenai taubat. Bagaimanakah kita hendak mengetahui taubat kita telah diterima Allah atau tidak? Maka jawabnya, ini adalah urusan Allah, kita tidak berupaya menentukannya,...tetapi kita boleh melihat pada tanda-tandanya iaitu:

1. Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila ia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis.

2. Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang solih dari mendekati mereka-mereka yang fasik.

3. Bila ia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah.

4. Bila ia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah sebaliknya sedikitpun ia tidak sibuk meguruskan rezekinya yang telah dijamin oleh Allah.

5. Sungguhpun sedikit rezaki yang ia dapat di dunia ini namun ia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit.

6. Bila ia melihat pada dirinya yg sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal.