Wednesday, February 25, 2009

Orang Yang Muflis

Rasulullah telah menjelaskan dalam satu hadis mengenai mereka yang dikatakan bankrup.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?

Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki wang dan juga tiada memiliki harta.”

Lalu Rasulullah menjawab: “Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi dahulunya waktu di dunia ia pernah mencaci maki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan pernah memukul seseorang. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dibayar semuanya, maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”  (Riwayat Muslim)

Keterangan

Jelaslah bahawa jika kita banyak beramal atau banyak ilmu sekalipun tetapi jika kita tidak meninggalkan perbuatan mengumpat, menghina, menuduh, mengambil harta orang atau menyakiti orang lain, maka amalan yang banyak itu kelak akan habis begitu sahaja kerana ia menjadi penebus kepada dosa yang dilakukan kepada orang lain. Akhirnya kita bankrup dan dihumban ke neraka kerana dosa orang lain yang dibebankan ke atas kita.Kesimpulannya ialah jika kita hanya melakukan ibadat sahaja tetapi tidak meninggalkan perbuatan umpat, keji,menuduh dan zalim kepada orang lain, maka sebenarnya kita masih di tebing neraka. Dosa kepada Allah mungkin boleh ditebus dengan bertaubat, tetapi dosa kepada manusia tidak akan diampunkan Allah kecuali kita meminta ampun kepada orang tersebut. Beringatlah!

2 comments:

  1. saya selalu di pesan, supaya jaga hubungan sesama manusia dengan baik, sebabnya dosa antara makhluk adalah lagi susah untuk kita dapat kemaafan berbanding dosa dengan tuhan

    ReplyDelete
  2. Salam.
    Jagalah percakapan supaya tidak menyakiti atau menganiaya hamba Allah. Kerana mulut, amalan kita yang telah diamalkan sekian lama akan menjadi muflis.

    ReplyDelete