ALLAH YANG KEKAL
Akidah para ahli sunnah terhadap Zat Allah Taala yang Maha Suci ialah Allah itu Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagiNya. Dia Qadim, tiada awal bagi wujudNya, dan wujudNya pula terus-menerus tiada akhir bagiNya. Dia Kekal, tidak luput sama sekali. Dia masih bersifat keagungan dan sifat keagungan ini berterusan, tidak akan musnah ataupun terputus dengan terluputnya pelbagai abad, atau berlalunya bermacam-macam waktu. Bahkan Dialah Allah yang Awal dan yang Akhir, yang Zahir dan yang Batin. Dan Dialah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.
ALLAH BUKAN JISIM
Tuhan Allah bukanlah semacam jisim yang dapat digambarkan. Dia tidak menyamai apapun yang maujud. Begitu juga yang maujud tidak boleh menyerupaiNya.
ALLAH TIDAK BERTEMPAT
Dia tidak dilingkari (dipengaruhi)/ terpengaruh) oleh seluruh penjuru dan arah. Dia tidak pula bertetap setempat (tidak bertempat), sama ada dalam lapisan-lapisan bumi ataupun langit, malah dia beristawa di atas Arasy dalam keadaan yang Dia firmankan atau dengan makna yang Dia kehendaki.
Dia berada di atas Arasy dan langit, malah di atas segala sesuatu hingga ke batasan bumi. KetinggianNya tidak menjadikanNya lebih dekat kepada Arasy dan langit, sebagaimana semua itu juga tidak menjauhkanNya dari bumi dan tanah.
Bahkan Allah tetap Maha Tinggi darjatNya dari Arasy dan langit, sebagimana Dia juga Maha Tinggi darjatNya dari bumi dan tanah.
ALLAH TIDAK TERPISAH DARIPADA MAKHLUK
Walau bagaimanapun Dia tetap dekat kepada yang maujud, dan lebih dekat kepada hambaNya daripada urat leher hamba itu sendiri. DekatNya kepada hambaNya tidak serupa dengan dekatnya jisim kepada manusia. Begitu juga dengan ZatNya yang tidak sama dengan zat jisim manusia.
ALLAH TIDAK BERSEKUTU DENGAN MAKHLUK
Dia tidak bertempat pada sesuatu benda (tidak bersekutu dengan mana-mana makluk). Demikian pula benda tidak bertempat (tidak bersekutu) pada ZatNya. Maha Suci Allah dari dilingkari oleh sesuatu tempat (mustahil Allah bertempat). Bahkan Dia telah sedia Ada sebelum terciptanya masa dan tempat. Dan Dia sekarang Ada dalam keadaan seperti dulu juga (sebelum masa dan tempat dicipta, tidak pernah berubah).
ALLAH BOLEH DILIHAT DI SYURGA
Di dalam ZatNya, kewujudanNya dibuktikan oleh akal fikiran. Dan ZatNya dapat dilihat oleh pandangan pada hari kemudian (alam akhirat) di tempat tinggal yang abadi (syurga). Hal itu adalah satu nikmat dari Allah dan belas kasihNya untuk orang-orang yang berbakti kepadaNya, dan sebagai penyempurnaan kenikmatan daripadaNya iaitu kurniaNya untuk melihat wajahNya yang Maha Mulia.
ALLAH TIDAK PERNAH LEMAH
Dan Allah Taala itu Maha Hidup, Maha Berkuasa, Maha Tinggi dan Maha Memaksa. Tidak didatangi kecuaian ataupun kelemahan, Tidak dihinggapi kelalaian ataupun ketiduran dan tidak terkena kehancuran ataupun kematian.
ALLAH PENCIPTA SEBENAR
Dialah satu-satunya yang menjadikan dan menciptakan, satu-satunya yang mengadakan dan membentuk.
ALLAH TAHU SEGALA SESUATU
Dialah Maha Mengetahui akan segala sesuatu yang telah diketahui. Ilmunya meliputi segala apa saja yang berlaku di dalam dasar bumi hingga ke atas langit. Tiada sesuatu pun yang terlepas dari ilmuNya sekalipun seberat atom sama ada di dalam bumi ataupun di puncak langit. Bahkan Dia mengetahui gerak-geri seekor semut hitam di atas batu licin pada malam hari yang gelap gelita. Dia juga Mengetahui gerakan sebutir debu di tengah-tengah cakerawala ini. Dia mengetahui yang rahsia dan yang tersembunyi. Dia dapat menyingkap perkara-perkara yang terlintas dalam diri dan gerak-geri hati, dan segala rahsia yang disembunyikan; iaitu dengan ilmuNya yang Qadim Azali yang Dia masih bersifat dengannya di dalam Azalil-Azali.
ALLAH YANG MENGATUR SEGALA GERAK DAN KEJADIAN
Dan Allah Taala itu Maha Maha Menghendaki ke atas semua yang dijadikanNya, dan Maha Pengatur terhadap segala yang diciptakanNya. Suatu apa pun tidak boleh berlaku dalam kerajaan dan kekuasaanNya melainkan dengan ketentuan dan kudratNya, dengan hikmat dan kemahuanNya. Apa yang Dia kehendaki (pasti) akan berlaku, dan apa yang Dia tidak kehendaki (pasti) tidak akan berlaku. Tidak ada yang dapat menentang perintahNya, dan tidak akan ada sesiapa yang menyalahkan hukumNya.
ALLAH MENDENGAR DAN MELIHAT SEGALA SESUATU
Dan Allah Taala itu Maha Mendengar dan Maha Melihat. Tidak ada suatu apa pun yang boleh didengar, terhalang dari pendengaranNya sekalipun amat halus. Dan tidak ada suatu apa pun yang boleh dilihat, tertabir (terselindung/ terhijab) dari pemandanganNya sekalipun amat kecil. PendengaranNya tidak akan tertutup kerana jauh, dan penglihatanNya tidak akan tertolak kerana gelap. Pendengaran dan pemandanganNya tidak menyerupai pendengaran dan pemandangan makhlukNya, sebagaimana ZatNya juga tidak serupa dengan zat makhlukNya.
AL-QURAN BUKAN MAKHLUK
Dan bahawasanya Allah Taala itu Maha Berkata-kata, Maha Memerintah, Maha Melarang, Maha Mengingatkan dan Mengancam. Dan al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur itu adalah kitab-kitabNya yang diturunkan kepada para RasulNYa alaihimussalam yang membawa percakapanNYa, yang merupakan sifat bagi ZatNya dan buknalah sifat bagi makhlukNYa. Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah Kalamullah yang bukan makhluk (bukan diciptakan) sehingga ia boleh binasa, dan bukan pula sifat bagi makhlukNYa sehingga ia boleh punah.
SEMUA SELAIN ALLAH ADALAH BAHARU
Dan Allah Taala itu Maha Esa. Tidak ada suatu apa pun selainNya melainkan bersifat hadis (baharu), yang terjadi dengan perbuatanNYa, yang menerima dari keadilanNYa dalam rupa yang paling sempurna, paling lengkap dan paling adil.
Dan Allah Taala itu Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya, Maha Adil dalam segala keputusanNya. Dan segala sesuatu selain Allah dari bangsa manusia, jin, malaikat, langit, bumi, binatang, tumbuh-tumbuhan, benda-benda padat yang dapat dlihat ataupun dapat dirasakan, semuanya itu adalah baharu, yang dicipta oleh Tuhan dengan kekuasaanNya, daripada tidak ada menjadi ada. Dan dijadikanNya pula dalam bentuk yang paling sempurna, yang pada asalnya tidak ada, sebab yang ada di dalam azal itu hanyalah Zat Allah Subhanahu wa Taala, dan selain itu tidak ada bersamaNya.
Allah telah menjadikan makhluk selepas itu sebagai tanda kekuasaanNya dan untuk merealisasikan apa yang terdahulu dari kemahuanNya dan apa yang ditentukan di dalam azal dari kalimatNya, bukan kerana Dia berhajat atau memerlukan penciptaan itu.
Sumber:
Ajaran Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ini dipetik dari kitab Bimbingan Mukmin, iaitu ringkasan kitab Ihya’ Ulumiddin.
Monday, June 28, 2010
Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment