Tiga macam gambaran tingkatan As-Siddiqin yang dapat kita fahami dari contoh 3 orang lelaki yang datang kepada Raja dan bagi setiap orang dari tiga orang itu, Raja memberikan mereka seekor kuda dan sebilah pedang.
Lelaki pertama: Aku sangat senang mendapatkan kuda ini. Aku dapat naik kuda ke mana saja untuk kepentingan-kepentingan. Dengan kuda serta pedang ini pula aku dapat memerangi musuh. Orang ini senang dengan kudanya dan juga dengan pedangnya, kerana maksudnya-maksudnya dapat tercapai dengannya. Tetapi tidak ada di dalam hatinya rasa cinta kepada yang memberikan kuda itu.
Lelaki kedua: Dengan kuda dan pedang ini dapat aku memanfaatkan untuk berkhidmat kepada Raja. Aku dapat ziarah kepadanya dan aku dapat berjuang untuk menghadapi musuh. Dia bergembira dengan kuda dan pedang itu kerana dengannya dia dapat membantu keperluan, hajat dan cita-cita Raja. Dan tidak tergambar sedikit pun di dalam hatinya kepentingan-kepentingan dirinya.
Lelaki ketiga: Setelah menerima kuda dan pedeng dari Raja, hatinya berkata. Raja cinta kepadaku dan menghormati daku, sehingga dia memberi padaku hadiah-hadiah ini. Ini semua adalah perhatian dari Raja terhadapku supaya hatiku sentiasa mengingatkan dan tidak lupa kepadanya. Inilah kegembiraanku dan kesenanganku yang luar biasa. Tidak ada kegembiraan dan kesenangan bagiku yang dapat menyamai kegembiraan dan kesenangan ini. Maka kegembiraan lelaki ketiga ini menunjukkan bagaimana kecintaannya, penghormatannya dan kekagumannya kepada Raja. Sehingga bila-bila saja dan di mana saja, hatinya sentiasa tidak dapat terpisahkan lagi dari Raja yang dicintai dan kagumi itu.
Diriwayatkan bahawa Musa a.s. pernah berkata: Ya Tuhanku! Bagaimanakah boleh saya menunaikan kesyukuran nikmatMu? Dan bagiMu atas tiap-tiap rambut ada dua nikmat yang mesti aku syukuri?! Berfirman Tuhan kepada Musa: Hai Musa! Jika sekiranya engkau telah merasa bahawa engkau tidak mampu untuk mensyukuriKu, maka itu tandanya engkau sudah mensyukuriKu.
Dan dikatakan bahawa sesungguhnya Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Nabi Daud a.s.: Syukurilah nikmatKu yang Aku berikan kepadaMu! Maka menjawab Daud: Illahi! Bagaiman boleh saya mensyukuriMu, sedangkan syukurku kepadaMu atas segala nikmat itu adalah sebesar-besar nikmat atasku? Maka Allah s.w.t mewahyukan kepadanya: Jika engkau sudah mengetahui yang demikian, maka jadilah engkau orang yang paling bersyukur kepadaKu dari semua hamba-hambaKu.
Berkata Muhammad bin As-Sammak r.t.: Ingatlah kepada siapa yang telah mengingatimu sebelum engkau mengingatinya, dan cintanya kepadamu sebelum cintamu kepadanya, dan tiada engkau mengingatinya melainkan dia telah lebih dahulu mengingatimu, dan tiada engkau mencintainya, melainkan kerana dia telah terlebih dahulu mencintaimu!
Abu Yazid Al-Bustami berkata: Aku telah keliru pada permulaan fikiranku tentang 4 macam:
1) Aku mengira bahawa aku yang mengingatiNya, kemudian aku sedar bahawa Dialah yang jauh sebelumnya mengingatiku.
2) Aku mengira bahawa aku yang mengenalNya, kemudian aku sedar bahawa Dialah yang jauh sebelumnya mengenalku.
3) Aku mengira bahwa aku yang mencintaiNya, kemudian aku sedar bahawa Dialah yang jauh sebelumnya mencintaiku.
4) Aku mengira bahawa aku yang menghendakiNya, kemudian aku sedar bahawa Dialah yang jauh sebelumnya menghendakiku.
Allah s.w.t Maha Awal dalam segala-galanya. Maha Awal pada mengingat makhlukNya dengan kebaikan rahmatNya berupa nikmat-nikmatNya bersamaan dengan kehendakNya pada zaman azali menciptakan wujud makhlukNya.
Sidi Syeikh Abul Hasan As-Syadzili r.t. pernah berkata: Pada suatu hari ketika saya dalam pengembaraanku di padang pasir, saya bermunajat: Ilahi! Bilakah masanya boleh saya menjadi seorang hamba yang bersyukur? Tiba-tiba saya mendengar suatu suara berbicara kepadaku: Bila engkau menganggap dirimu sajalah dikurniakan nikmat, tiada yang lain. Saya terus menjawab suara itu: Ilahi! Bagaimana boleh saya menganggap diriku sahaja yang dikurniakan nikmat, padahal Engkau telah mengurniakan nikmat ke atas para Anbiya', ulama' dan juga ke atas para raja dan penguasa? Tiba-tiba saya mendengar lagi jawapannya, katanya: Kalau tidak ada para Anbiya' tentulah engkau tiada mendapat petunjuk, kalau tidak ada para ulama' tentulah engkau tiada menemui orang yang boleh diikut, dan kalau tidak ada para raja dan penguasa tentulah hidupmu tidak aman, bukankah semua itu adalah nikmat daripadaKu?
Seperti pada munajat Al Hasan bin Ali kepada Allah sambil bertelakan pada sebuah tiang (saking beratnya munajat ini) : “Tuhanku, Engkau telah memberi nikmat aku, namun tidak Engkau dapati aku bersyukur. Engkau telah mengujiku, namun tidak Engkau dapati aku bersabar. Namun Engkau tidak mencabut nikmat karena aku tidak bersyukur, dan tidak menurunkan bencanamu padaku ketika kutinggalkan kesabaran. Tuhanku, tidak ada yang datang dari Yang Maha Pemurah, kecuali kemurahan.”
Benarlah apa yang dikatakan Asy-Syibli bahwa : “Syukur adalah kesadaran akan Sang Pemberi Nikmat, bukan memandang nikmat itu sendiri.”
Sebab itu orang salihin selalu memperinci nikmat-nikmat Allah Ta'ala dengan amalan-amalan kebaikan yang dilakukannya. Memanglah kenikmatan dan kekurniaan Allah itu tiada dapat dihitung banyaknya, namun begitu bila manusia hendak menghitung amalannya berbanding dengan kenikmatan yang diterimanya dari Allah Ta'ala akan binasalah dia. Sebab itulah ramai dari orang-orang saleh sentiasa hidup dalam keluhan.
Orang yang bersyukur adalah orang yang bersyukur atas apa yang ada (diberi), sedangkan orang yang sangat bersyukur adalah orang yang bersyukur atas apa yang tidak ada (tidak diberi). Pujian hanya bagi Allah terhadap apa yang diberikannya, dan syukur atas apa yang diperbuat oleh-Nya.
Jadilah manusia abdan syakuro (hamba yang pandai bersyukur) karena “Jika engkau bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat-Ku) padamu” (QS Ibrahim : 7)
Ingat baik-baik kalimat ini, “Siapa tidak mensyukuri nikmat berarti menginginkan hilangnya, dan siapa mensyukurinya berarti telah secara kuat mengikatnya.” Dan bagi mereka yang sungguh mengenal bahwa Allah adalah al-Syakur, hendaknya bersungguh-sungguh dalam bersyukur kepada-Nya; tidak pernah berhenti sesaatpun untuk memuji-Nya.
Berkata penyair;
Betapakah gambaran bersyukur kepadaNya
sedangkan syukur itu satu nikmat
meskipun zaman berturut dan umur bersambung
Berkata penyair lain;
Bagimu Tuhan kami segala puji atas setiap nikmat
Sebahagian nikmat-nikmat itu, kataku puja dan puji untukMu
Tidak ada puji selain Engkau kurniai nikmat
Maha Suci Engkau, tidaklah kuat hamba atas memujinya
Rasulullah s.a.w pernah berdoa sebagai suatu pengakuan dari baginda akan tidak upayaannya hendak menunaikan sepenuh kesyukuran kepada Allah Ta'ala: "Ya Allah, aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dengan kemaafanMu daripada siksaanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu sendiri."
(Alhamdulillahi rabbil 'Aalamin hamdan yuwafiini 'amahu wa yukaafi umazidah) "Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, suatu pujian yang meliputi kesemua nikmat-nikmatNya dan mencukupi semua tambahan daripadaNya. (Itulah dia kumpulan puji dan tasbih). Imam Nawawi berkata: Telah berkata ulama' mutaakhir dari para sahabat kami orang-orang Khurasan: Sekiranya ada orang bersumpah akan memuji Allah Ta'ala dengan kumpulan puji-pujian, ataupun dia bersumpah hendak memuji Allah Ta'ala dengan setinggi-tinggi pujian, maka jalan keluarnya untuk menunaikan sumpahnya ialah dengan mengucapkan zikir yang di atas tadi.
Tersebut dalam Sunan Ibn Majah dari Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah menceritakan kepada mereka; iaitu ada seorang hamba Allah mengucap kepujian dengan kata: (Ya rabbi lakalhamdu kama yam baghi li jala li wajhika wa 'azi mi sulto nik) "Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepada-Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu." Ucapan ini telah menyulitkan dua Malaikat pencatat amalan, keduaduanya tidak tahu bagaimana hendak menulis pahalanya lalu kedua-dua Malaikat itu menghadap Allah dan berkata kepada-Nya: "Ada seorang hamba mengucapkan pujian yang kami tidak mengetahui bagaimana hendak menulis balasannya?" Firman Allah: (Sedangkan Dia lebih mengetahui apa yang telah diucapkan hamba-Nya itu) "Apakah pujian yang telah diucapkan oleh hamba Ku itu?" Jawab kedua-dua Malaikat itu dia berkata: "Wahai Tuhanku segala kepujian itu terpulang kepada Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu." Firman Allah kepada kedua-duanya: "Tulislah ucapan itu sebagaimana yang diucapkan oleh hamba Ku sehingga ia menemui Aku dan Akulah sendiri akan membalaskannya."
bagi Allah segala pujian..
ReplyDeletesyukran... teruskan menulis... ana sangat suka baca blog ni...banyak manfaat... hati jadi segar!
ReplyDeleteJazakallah khair. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan pentadbir sekalian alam yang telah memberi nikmat iman dan islam.
ReplyDelete