Wednesday, June 8, 2011

24 jam Ibadah

Berkata Ibnul Qayyim Rahimahullah:

"Sebaik-baik ibadah itu adalah untuk keredhaan Allah dalam setiap masa, sesuai untuk waktu yang tertentu, iaitu boleh kita fahami di sini ialah:

Sebaik-baik ibadah ketika waktu jihad adalah jihad, sehingga walaupun meninggalkan bacaan wirid dan solat malam serta puasa sunnah siangnya. Dan sebaik-baik ibadah waktu kedatangan tetamu ialah melayan mereka dengan sebaiknya, sebagaimana yang disuruh  oleh Islam, begitu juga layanan kepada isteri dan keluarganya.

Dan sebaik-baik ibadah sewaktu medidik dan mengajar ialah menumpukan sepenuhnya pada pengajaran dan pendidikan. Dan sebaik-baik ibadah pada waktu Azan ialah menjawab bacaan Azan serta meninggalkan bacaan wirid ketika itu. Dan sebaik-baik ibadah pada waktu Solat Fardhu ialah bersungguh-sungguh melaksananya dengan sebaiknya dan khusyuk, dan mengerjakannya pada awal waktu.



Sebaik-baik ibadah pula waktu membaca Al Quran ialah memusatkan perhatian kepada memahaminya seolah-olah Allah Ta'ala berbicara kepadanya dan berazam melaksanakan suruhannya. Dan sebaik-baik ibadah waktu wuquf di Arafah ialah berusaha dengan memperbanyakkan doa, dan zikir dan bukan dengan puasa yang melemahkan tugas ini. Dan sebaik-baik ibadah pada 10 hari pertama Zulhijjah ialah memperbanyakkan ibadah terutama bertasbih, bertakbir dan bertahmid, dan ianya lebih afdhal dari berjihad yang bukan fardhu.

Sebaik-baik ibadah pula pada 10 malam terakhir Ramadhan ialah beriktikaf di masjid tanpa mencampuri hal urusan manusia, dan ianya lebih baik daripada mengajar pada pendapat sesetengan ulama. Dan sebaik-baik ibadah ketika saudaranya sakit atau meninggal ialah menziarahinya atau mengusung jenazahnya.

Maka sebaik-baik ibadah pada setiap waktu ialah menginginkan keredhaan Allah Ta'ala pada situasi waktu itu sendiri dan menjalankan kewajipan pada waktu itu. Sesungguhnya orang begini ialah golongan ahli ibadah yang bebas, dan bukan golongan ahli ibadah yang terkongkong dengan ibadah tertentu sahaja.

Maka golongan ahli ibadah yang bebas ini jika kita berada pada golongan ulama, kita akan melihatnya ada di sana. Jika kita melihat golongan ahli ibadah pula, kita akan melihatnya ada di sana, dan jika kita melihat golongan mujahid, dianya juga ada berada di sana bersama mereka. Jika kita melihat golongan ahli zikir, dia juga ada bersama mereka, dan jika kita melihat para dermawan, kita akan dapati dianya ada di sana. Maka manusia yang begini dinamakan ahli ibadah yang tidak terikat, iaitu yang tidak hanya ada pada golongan tertentu sahaja."

Berkata Ibnul Qayyim Rahimahullah:

"Sesiapa yang berbaik dengan orang lain, Allah akan berbaik dengannya, dan sesiapa yang bersifat rahmat kepada orang lain, Allah akan akan bersifat rahmat kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepadanya, dan sesiapa menutup keaiban orang lain, Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, Allah akan menegah kebaikan kepadanya, dan sesiapa yang bermuamalah kepada orang lain dengan sifat tertentu, Allah akan bermuamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Maka Allah Ta'ala dengan hambanya berdasarkan kelakuan hambanya kepada makhluk yang lain."

Sumber:
Kitab Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun
Ustaz Haji Ahmad Haris Suhaimi

1 comment:

  1. Allahuakbar. Sekecil-kecil ibadah akan diberi ganjaran pahala biiznillah. Jangan dikejar-kejar ibadah yang nampak sukar tapi sayang, ibadah yang ringan, afdhal dan wajib ditinggalkan pula...

    ReplyDelete