Pada zaman dulu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Dia ingin menjumpai pendita untuk meminta fatwa supaya dia dapat bertaubat dari dosanya. Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa dia telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia masih ada peluang untuk bertaubat. Pendita dengan tegas mengatakan dia tidak boleh bertaubat kerana dosanya terlalu banyak. Lelaki itu mejadi marah dan terus membunuh pendita itu, menjadikannya mangsa yang ke-100.
Dia masih ingin untuk bertaubat dan terus mencari kalau-kalau ada ulama yang boleh membantunya. Akhirnya dia berjumpa dengan seorang ulama. Dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 100 orang dan bertanya sama ada Allah masih menerima taubatnya. Ulama itu menerangkan dia masih ada harapan untuk bertaubat. Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke sebuah negeri di mana terdapat sekumpulan abid (orang beribadat). Apabila sampai di sana nanti, ulama itu menyuruhnya tinggal di sana dan beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya pulang ke negeri asalnya yang penuh dengan maksiat.
Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu terus menghala ke negeri yang diterangkan oleh ulama tadi. Sebaik saja sampai separuh perjalanan, dia jatuh sakit lalu meninggal dunia.
Ketika itu terjadilah perbalahan antara dua malaikat, iaitu Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat Rahmat ingin mengambil roh lelaki itu kerana pada pendapatnya dia adalah orang baik lantaran azamnya untuk bertaubat sementara Malaikat Azab mengatakan dia mati dalam su'ul-khatimah kerana dia telah membunuh 100 orang dan masih belum membuat sebarang kebajikan. Mereka saling berebutan dan tidak dapat memutuskan keadaan lelaki itu.
Allah kemudian menghantar seorang malaikat lain berupa manusia untuk mengadili perbalahan mereka berdua. Dia menyuruh malaikat itu mengukur jarak tempat kejadian itu dengan kedua-dua tempat; adakah tempat kejadian itu lebih dekat dengan tempat kebajikan yang hendak dituju atau lebih dekat dengan tempat dia mula bertolak. Sekiranya jaraknya lebih dekat dengan tempat kebajikan, dia kepunyaan Malaikat Rahmat. Setelah diukur, didapati jarak ke negeri kebajikan melebihi kadar sejengkal saja. Lalu roh lelaki itu terus diambil oleh Malaikat Rahmat. Lelaki itu akhirnya mendapat pengampunan Allah.
Moral & Iktibar
- Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.
- Orang yang berbuat dosa hendaklah diiringi dengan penyesalan dan taubat.
- Jangan merasa putus asa dari rahmat Allah meskipun telah melakukan dosa yang sangat banyak kerana rahmat Allah sangat luas dan lebih besar daripada dosa besar yang kita lakukan.
- Menjalankan amar makruf dan nahi mungkar hendaklah dengan hikmah dan bijaksana.
- Fatwa yang salah dan tidak berlandaskan hukum sebenar hanya menyusahkan diri sendiri.
- Pelepasan dari azab diperolehi hanya dengan berlebihnya timbangan kebajikan meskipun dengar kadar yang sedikit.
- Orang yang hendak bertaubat mesti buktikan penyesalan dengan tindak-ikut yang sewajarnya.
- Orang yang bertaubat dengan sungguh-sungguh penyesalan dan berikrar tidak mengulangi kejahatannya akan diterima oleh Allah taubatnya.
- Mereka yang diterima oleh Allah akan taubatnya seolah-olah tidak mempunyai sebarang dosa.
- Mereka yang sempat bertaubat 'nasuha' sebelum roh sampai ke khalqum dimasukkan ke dalam syurga.
[zaidi ali] Salam. Kisah tersebut diambil dari hadith Rasulullah s.a.w diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Said Al-Khudri. Kisah tersebut boleh didapati dalam Riyadhus Shalihin karangan Imam Nawawi.
ReplyDelete[yang dimuliakan-NYA Ustaz]..Salam.
ReplyDeleteTerima kasih kerana menyertakan sumber Hadith tersebut. Semoga dilimpahi kesejahteraan & kerahmatan ALLAH SWT kepada Abu Said al-Khudri, Imam al-Bukhary, Imam Muslim dan Imam Nawawi. Dan segala ketinggian rahmat-NYA, yang telah dijanjikan-NYA ke atas Nabi-NYA Yang Terpuji Muhammad 'AbduLLAH, 'AbduHU wa RasulLLUH (SAW).
Semoga dakwah Ustaz sentiasa berterusan dijalan-NYA.
Salam.
ReplyDeleteShukran atas ziarah blog cahayamukmin. Saya hanyalah hamba Allah yang faqir lagi dhoif sekadar menyebarkan ilmu2 Islam.
Semoga anda selalu dalam rahmat dan naungan Allah dan digolongkan dalam hamba2Nya yang diredhai.
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Alfadhel dari Ibn Abi Ruwad dari ayahnya berkata: "Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada nabi Daud a.s.: "Hai Daud, gembirakan orang-orang yang berdosa, dan peringatkan kepada orang-orang siddiq." Maka Nabi Daud a.s bertanya: "Bagaimana menggembirakan orang-orang yang berdosa dan mengancam orang-orang yang siddiq?" Allah s.w.t. berfirman: "Gembirakan orang-orang yang berdosa bahawa tidak ada dosa yang tidak dapat Aku ampunkan dan peringatkan pada orang siddiq supaya mereka tidak berbangga (sombong) dengan amal perbuatan mereka kerana bila Aku tegakkan keadilanKu dan perhitunganKu pada seseorang pasti binasa."
ReplyDeleteDaripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):
Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.
Hadith riwayat al-lmam al-Tirmidzi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih.
Pengajaran hadis:
(1) Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT yang tidak terbatas bagaikan lautan tidak berpantai.
(2) Allah berjanji akan mengampunkan segala dosa hamba-hambaNya yang berdosa walau berapa banyak dosa tersebut dengan syarat mereka berdoa, minta ampun dan mengharapkan keampunanNya dan dengan syarat dia mati dalam lman, tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
(3) Syirik adalah dosa besar paling dahsyat yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT walaupun semasa di dunia dia seorang yang baik, beramal soleh dan melakukan banyak kebajikan. Amal soleh tidak memberi apa-apa erti apabila dihimpunkan berserta syirik. Sebaliknya, orang-orang yang melakukan dosa yang bertimbun banyaknya, dia masih mempunyai harapan untuk mendapat kurnia dan pengampunan Allah SWT, Tuhan yang Maha Pengampun dengan sebab kelebihan imannya.
(4) Hadis ini tidak bertujuan menggalakkan orang-orang mukmin melakukan dosa, sebaliknya ia hanya menunjukkan peri betapa besar dan luasnya rahmat dan keampunan Allah SWT.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar: 53)