Thursday, December 10, 2009

Tertib Dalam Amalan : Syariat, Tarikat, Hakikat, Makrifat

Kalau Tuhan tidak 'wujud' di dalam ibadah, lama kelamaan,  Tuhan akan bertambah jauh dan bertambah jauh. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah untuk dipuji, untuk disanjung, dan kerana sebab-sebab  lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak akan ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya beserta dengan laknat-Nya sekali. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada “progression”nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat, kemudian dengan Tariqat, diikuti pula dengan Hakikat dan diakhiri dengan Makrifat.

1. Syariat.

Ini adalah ilmu. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam dan kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

2. Tariqat.

Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh, difahami, dihayati. Ilmu [syariat] yang ada perlu dilaksanakan. Pengamalan ilmu ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan setengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi [syariat] hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

3.Hakikat.

Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah.

Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar, maqam redha, maqam tawakkal, maqam tawadhuk, maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja [sebiji buah sahaja] atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam berbeza dari satu pokok yang sama.

Hakikat juga adalah satu perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan bersungguh-sungguh, istiqamah, faham dan dihayati.

4. Makrifat.

Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia-Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah.

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin.

Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir.

Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke alam batin iaitu ke dalam hati dan rohani.

Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah untuk dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir. Tetapi untuk mencapai peringkat hakikat dan makrifat, ia agak lebih sukar dan lebih rumit.

Kesukaran ini ialah kerana pertama, ia memerlukan istiqamah dalam beramal dan kedua kerana ia memerlukan juga amalan batin atau amalan hati atau apa yang dinamakan hikmah. Amalan yang berhikmah ialah amalan yang dihayati dan dijiwai, yang mempunyai roh dan rasa-rasa. Tanpa kedua-dua perkara ini iaitu istiqamah dan hikmah, tariqat tidak akan dapat melonjak ke peringkat hakikat dan seterusnya ke peringkat makrifat.

Itu sebabnya ramai orang yang berjaya sampai ke peringkat tariqat iaitu boleh berilmu dan beramal tetapi tersekat di situ sampai ke tua tanpa dapat meningkat ke peringkat hakikat. Sudah beramal selama 50 hingga 60 tahun tetapi tidak juga lahir akhlak dan tidak juga dapat mencapai maqam-maqam mahmudah. Dalam ertikata yang lain, mereka sudah beribadah berpuluh-puluh tahun tetapi ibadah mereka belum menghasilkan buah iaitu akhlak.

Istiqamah. 

Ini adalah salah satu syarat atau tuntutan untuk mencapai hakikat. Istiqamah ialah tetap dalam beramal. Amalan pula adalah amalan lahir dan ada amalan batin atau hati. Istiqamah itu perlu dalam amalan lahir mahupun amalan batin. Malahan istiqamah dalam amalan batin lebih dituntut.

Istiqamah dalam amalan lahir agak mudah. Ramai orang yang istiqamah dalam sembahyang, dalam berpuasa, dalam berzakat dan sebagainya. Ramai yang tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa. Tetapi istiqamah dalam amalan batin adalah lebih sukar dan rumit. Istiqamah dalam amalan batin ini ramai yang tidak mampu melakukannya walaupun sudah istiqamah dalam amalan lahir.

Ramai orang cuba sabar tapi tidak istiqamah dalam sabar. Duit hilang boleh sabar. Sakit dan demam boleh sabar. Tapi bila orang kata nista dan menghina, tidak sabar. Bila isteri buat hal, tidak sabar.

Ramai orang boleh bersyukur. Dapat duit bersyukur, dapat pangkat bersyukur, dapat anak pun bersyukur tapi tidak mampu bersyukur bila dapat berbuat ibadah dan kebaikan, dan bila terhindar dari berbuat maksiat dan kejahatan.

Ramai orang boleh jadi pemaaf kalau yang meminta maaf itu kawannya, isterinya atau anaknya. Tapi kalau yang meminta maaf itu musuh atau seterunya, susah dia hendak maafkan.

Ramai orang boleh berbuat baik kepada kawannya, sanak-saudaranya, ibu dan ayahnya yang selalu berbuat baik padanya tetapi tidak sanggup berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat padanya.

Ramai orang boleh bertegur sapa dan bermesra dengan kawan-kawannya tetapi tidak boleh bertegur sapa dan bermesra dengan orang yang dibencinya. Begitulah seterusnya.

Sangat susah dan payah untuk kita beristiqamah dalam amalan hati. Justeru itu ia tidak dapat dijadikan pakaian atau ia tidak dapat mendarah mendaging. Itu sebab istiqamah itu, terutamanya istiqamah batiniah sangat dipandang besar. Ia dianggap satu keramat.

Ada hadis yang maksudnya lebih kurang ;
"janganlah kamu meminta jadi wali, tapi mintalah istiqamah"

Amalan yang tidak istiqamah tidak akan ada kesan apa-apa pada hati. Amalan yang istiqamah, walaupun sedikit akan tetap ada kesan pada hati.

Ibarat air yang menitik ke atas batu, lama kelamaan batu itu akan terlekuk jua. Tetapi air banjir yang besar yang melanda batu sekali sekala tidak akan memberi apa-apa kesan kepada batu.

Istiqamah adalah tanda ikhlas. Kalau sesuatu amalan itu tidak ikhlas, ia sukar untuk diistiqamahkan.

Seperti kata para hukama [ahli hikmah] ;
"Hidupnya [kekalnya] amal kerana ikhlas."

Dalam pada itu, istiqamah batiniah lebih memberi kesan kepada hati daripada istiqamah lahiriah. Itu sebabnya istiqamah batiniah lebih dituntut dan lebih utama. Ia adalah amalan hati dan kerana itu ia mempunyai kesan yang langsung dan terus kepada hati.

Hikmah.

Ia adalah syarat atau tuntutan kedua untuk mencapai hakikat. Hikmah di sini bukan bermaksud bijaksana. Kalau bijaksana, orang Arab akan sebut "Abqoriah". Hikmah di sini bukan bermaksud ilmu atau setakat faham ilmu sahaja. Hikmah ialah ilmu dalam ilmu. Hikmah adalah rasa dan penghayatan. Ia adalah rasa yang Allah campakkan ke dalam hati.

Untuk mendapat ilmu, kita boleh belajar. Tetapi untuk mendapat hikmah, ilmu mesti diamal. Baru ilmu itu bukan setakat di akal tetapi jatuh ke hati. Ilmu hati ini sahaja yang boleh mengubah dan menginsafkan orang.

Kalau ilmu lahir itu dikendalikan oleh akal, hikmah pula ialah ilmu yang dikendalikan oleh roh atau hati.

Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis ;
Maksudnya ; "Kalau kamu amal ilmu yang kamu tahu, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah] yang kamu tidak tahu."

Untuk menjadi ulama itu senang. Tetapi untuk menjadi ahli hikmah sangat susah. Ilmu adalah apa yang kita belajar tetapi hikmah adalah apa yang Tuhan ajar kita
seperti dalam firman Allah ;
Maksudnya ; "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah]. Sesungguhnya Allah Mengetahui segala sesuatu." [Al Baqarah : Ayat 282]

Orang yang mendapat ilmu hikmah, dia mendekati nabi. Inilah dua perkara yang perlu dititik beratkan kalau sekiranya amalan hendak ditingkatkan dari peringkat tariqat kepada hakikat dan seterusnya kepada makrifat.

Ia memerlukan penglibatan hati dan rohani dalam ibadah dalam bentuk penjiwaan dan istiqamah terutamanya istiqamah batiniah di samping amalan lahiriah yang baik dan rapi.

Kalau hati dan rohani tidak turut sama beribadah, agak mustahil perkara ini boleh tercapai.

Untuk mendapat buah dari ibadah iaitu akhlak dan untuk mencapai maqam-maqam mahmudah, ibadah mesti ada roh, mesti ada rasa-rasa, mesti ada penjiwaan dan mesti ada penghayatan. Salahlah orang yang menafikan amalan hati dan amalan rohani dalam ibadah.

Kalau amalan lahir sahaja dititikberatkan maka ia mungkin memadai di peringkat syariat dan tariqat iaitu pada peringkat ilmu dan amal. Memang itu kerja lahir. Tetapi untuk mendapat hasil dari ilmu dan amal tersebut dan supaya ibadah boleh mendidik hati, amalan lahir semata-mata tidak memadai. Dalam ertikata yang lain, untuk mencapai maqam hakikat dalam ibadah dan amalan, itu bukan lagi kerja lahir. Itu adalah kerja hati.

33 comments:

  1. Salam..

    Alhamdulillah.. terima kasih di atas artikel ini.. :)

    ReplyDelete
  2. Salam...

    Mohon copy boleh?

    ReplyDelete
  3. Salam.
    Silakan copy artikel di blog cahaya mukmin.
    Semoga anda sentiasa dlm rahmat dan perlindungan Allah s.w.t.
    Ameen.

    ReplyDelete
  4. salam...mohon copy semua ilmu yg ada...semoga kita semua dirahmati..teruskanlaa usaha murni ini

    ReplyDelete
  5. Salam.
    Shukran atas ziarah anda.
    Semoga kita semua dlm rahmat Allah.

    ReplyDelete
  6. Tertib dalam amalan...
    1. Syariat - cara hidup yang berlandaskan al quran dan sunnah.
    2. Makrifat - ilmu pengetahuan yang kaitan dengan apa yang disyariatkan....Awal agama itu mengenali Allah...
    3. Hakekat - setelah berilmu...barulah kita dapat merasai akan kelazatan serta beramal..cabai, kita tahu pedasnya bila kita memakannya...
    4. Tarekat - Perjalanan....bila sudah tahu apa yang perlu dibuat(syariat),sudah berilmu akan apa ang dibuat (Makrifat) BUKAN buat ikut-ikut,dan tahu akan "hakekat sebenar apa yang disyariatkan" baru kita boleh "mengembara" sebagai KHALIFAH ALLAH..Bila PERJALANAN MENUJU ALLAH tidak lengkap ilmunya (makrifat) atau nak berjln sambil mendpt ilmu...takut TERSESAT dengan godaan syaitan..itu pendapat saya...

    ReplyDelete
  7. Imam As-Syeikh An-Naqsyabandi mengatakan: "Syariah itu segala apa yang diwajibkan, dan Haqiqah itu segala apa yang diketahui. Syariah itu tidak boleh terlepas dari Haqiqah dan Haqiqah pula itu tidak boleh terlepas dari Syariah."

    Imam Malik pula berkata: "Barangsiapa mempelajari Fiqeh sahaja tidak mempelajari Tasawwuf, maka ia fasik. Barangsiapa mempelajari Tasawwuf sahaja dengan tidak mengenal Fiqeh, maka dia itu zindiq. Barangsiapa mempelajari serta mengamalkan kedua-duanya itu, maka dia itulah Mutahaqqiq, iaitu ahli Haqiqah yang sebenarnya."

    ReplyDelete
  8. trima ksih kerana mmberi info ni...smoga kita sama-sama dilindungi oleh-Nya

    ReplyDelete
  9. Salam. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmatNya.

    ReplyDelete
  10. Berbahagialah Anda menyajikan hidangan langit ini, saya dengan mudah menyantapnya. Semoga Allah SWT. memberkahi dan membimbing kita ke arah cahaya-Nya.

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum.. alhamdulillah.... bersyukur sgt kepada Allah S.W.T kerna membri kita peluang untuk membaca blog ni... banyak ilmu yg dapat dilihat n diamal.. alhamdulillah... semoga diterbitkan lg post2 yg berilmu... bersifat intelektual....

    ReplyDelete
  12. Salam. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir sekalian alam yang memberi petunjuk untuk hamba2Nya.

    ReplyDelete
  13. Alhamdulillah...jazakallah khairan kathira

    ReplyDelete
  14. Assalamualikum ....
    Akhi idzin share ya

    ReplyDelete
  15. Wa'alaikumussalam.
    Silakan copy artikel di blog cahaya mukmin.
    Semoga anda sentiasa dlm rahmat dan perlindungan Allah s.w.t.

    ReplyDelete
  16. - Masih belum seperti yang Allah kehendaki - Sila Rujuk penerangan di link ini http://mthago.wordpress.com/2012/06/01/tarikat-syariat-hakikat-dan-makrifat/#more-2261

    ReplyDelete
  17. Assalamualaikum....Segala Puji Hanya Bagi Allah Tuhan Sekalian Alam

    Sesungguhnya Allah menciptakan manusia adalah utk memperhambakan diri kepadanya...Iaitu menyembah serta sujud diatas kebesarannya...Ilmu, akal & fikiran manusia tidak akan terjangkau dlm mencari Tuhan...Allah mensyariatkan manusia agar beribadah dan merapatkan diri kpd nya dengan mengenali sifat2 nya......Mentaati segala tuntutan dan suruhannya....

    Segala Ilmu, pengetahuan mahupun ajaran, segalanya hanyalah jalan menuju keredhaan dan merapatkan diri kpd nya seperti yg dilakukan oleh Para Rasul & wali2 atau org alim ulama juga soleh...

    ReplyDelete
  18. dpt setitik pencerahan

    ReplyDelete
  19. Salam. Afwan. Silakan share artikel2 di blog cahayamukmin. Semoga bermanfaat.

    ReplyDelete
  20. apa kalau sudah sampai pada derajat Makrifat, tidak perluh lagi shalat?

    ReplyDelete
    Replies
    1. selagi mana kita bergelar manusia dan sebagai makhluk tuhan,selagi itu kita perlu solat...Nabi sebagai seorang yang maksum (suci dan bebas dari dosa) juga menunaikan solat sehingga ke akhir hayatnya....

      Delete
  21. Shalat adalah antara salah satu rukun islam wajib dibuat oleh setiap orang Islam. Rasulullah s.a.w yang telah mencapai makrifatullah tetap shalat lima waktu, malah menambah shalat2 nawafil sehingga bengkak kaki baginda.

    ReplyDelete
  22. lalu kenapa begitu banyak aliran tarekat di dunia ini, sebenarnya tarekat yang mana yang pernah diajarkan Rasulullah???

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam sdr syukriadi.
      Kalau nak tau fatwa untuk faham bolehlah ikuti di-
      http://ainuamri.wordpress.com/2009/05/17/ketahuilah-bahwa-semua-tarekat-sufi-adalah-sesat/
      Kalau nak mengambil faham tentang ilmu MA’RIFAT, TAREKAT, HAKIKAT dan SYARIAT, bolehlah dirujuk sebagai permulaan kepada:http://wongalus.wordpress.com/2009/07/02/makrifat-hakekat-tarikat-syariat/
      Selebihnya hendaklah berusaha menghayati Ilmu Al Quran dan Al Hadits sampai ke mati sehingga dapat tercapai tahap yang di syariatkan oleh Allah swt. dalam seruanNya dalam surah Al Fajr ayat 27 & 28. Semoga kita semua di terima menjadi hamba Nya mengikut Kehendak Nya.

      Delete
  23. tq..mohon izin copy erk...:)

    ReplyDelete
  24. Walaupun ada sebahagian dari artikel di atas ini benar. .ada juga yg harus dipertikaikan seperti hadith hadith yg diungkapkan. Dari mana sumbernye?

    ReplyDelete
  25. Assalamualaikum..wr.wb

    mohon izin ingin mencopy

    ReplyDelete
  26. Waalaikumussalam. Sila share artikel2 di blog cahayamukmin. Semoga bermanfaat.

    Sila ke link di bawah untuk mengetahui keterangan selanjutnya tentang tarekat:-

    http://www.mediafire.com/?zjsmpzwugcs

    ReplyDelete
  27. Assalamualaikum,izinkan hamba cop artikel2 di blog ini

    ReplyDelete
  28. Waalaikumussalam. Silakan share kisah2 dan artikel2 di blog cahayamukmin. Semoga bermanfaat.

    ReplyDelete
  29. Assalamualaikummohon izin untuk mengc0py

    ReplyDelete