Monday, May 31, 2010

Akhir Zaman: Wang Kertas VS Emas

Semua orang Islam wajib beriman dengan kemunculan Hari Kiamat. Ia terkandung di dalam rukan Iman. Jika ada mana-mana Muslim yang tidak mempercayainya, maka imannya pastilah tidak lengkap. Percaya pada Hari Kiamat adalah rukun Iman ke-5.

Dalam menuju ke Hari Kiamat, kita diberi tanda-tanda kecil dan besar hari bagi tujuan persediaan.

Biasa dengar kemunculan Dajjal? Nabi Isa A.S?

Saya suka bertanyakan yang mana akan muncul dahulu. Kerana kedua-dua susuk di atas akan turun ke bumi.

Jika diamati, Dajjal akan dibunuh oleh Nabi Isa A.S. di Israel. Jadi Dajjal itulah yang akan turun dahulu.

Tetapi apakah kaitannya semua itu dengan wang kertas dan juga emas?

Wang kertas dan emas adalah matawang. Hari ini kita guna wang kertas. Dahulu guna emas.

Setiap kerajaan memerlukan matawang untuk berkuasa. Tak kiralah, samada kerajaan Dajjal atau pun Nabi Isa A.S.

Zaman Dahulu
Zaman dahulu, semua negara menggunakan emas. Ramainya manusia menggunakan emas adalah sama seperti mana ramainya manusia menggunakan wang kertas pada hari ini.

Emas dipilih kerana ia mempunyai nilai semulajadi di dalamnya. Emas itu memang semua orang suka di seluruh dunia. Cuba lihat sukan Olimpik, apakah yang dikejar oleh para atlit? Pingat apa?

Mengapa mereka tidak dikalungkan dengan kalungan wang kertas? Berapa lama sudah sukan Olimpik diadakan?

Tidak cukup dengan itu, lihat sultan-sultan Melayu hari ini, apakah yang mereka pakai?

Emas tidak akan jatuh nilainya. Kerana emas tetap emas. Ia memiliki nilai emasnya yang tersendiri yang tidak ada pada kertas. Seperti wang kertas, ia dicipta untuk menjadi wang yang ditentukan nilainya oleh manusia.

Allah S.W.T sebagai jurutera pencipta manusia tentulah tahu apa yang terbaik untuk ciptaannya. Hari ini, kita tolak emas sebagai wang. Kita terima wang kertas.

Wang kertas jika dikaji asal-usulnya, ia hanyalah surat hutang yang mewakili jumlah emas.

Sejak zaman dahulu sememangnya kerajaan-kerajaan di dunia semua menggunakan emas sebagai wang. Para penjajah negara kita pun menggunakan emas sebagai matawang. Siapakah yang pernah menjajah negara kita?

Belanda, British (United Kingdom), Portugis, Jepun dan Siam (Thailand). Tak kiralah negara mana pun yang menjajah kita dahulu. Mereka semua menggunakan matawang emas.


Kerajaan Siam (Thailand)


Kerajaan Jepun
Kerajaan Portugis


Kerajaan British
Kerajaan Belanda

Kerajaan Kelantan

Kerajaan Johor

Tapi mengapa mereka semua bertukar pada wang kertas? Jawapannya ialah kerana kerajaan mereka mengalami masalah kewangan. Mana tidaknya, wang emas itu habis digunakan bagi tujuan berperang. Kepulauan Melayu bergolak dengan penjajahan demi penjajahan. Sehingga tulisan Jawi kita jua dijajah menjadi tulisan Rumi (Roman) seperti yang huruf-huruf yang anda sedang baca sekarang ini. Sehingga juga ada warga veteran yang masih hafal lagu negara Jepun.

Apakah banyak wang terlibat dalam peperangan. Oh! Sudah tentu.

Siapa tukang bina kapal?
Siapa tukang kimpal?
Siapa tukang jahit layar kapal?
Siapa jurumudi kapal?
Siapa buruh kasar kapal?
Siapa jururawat di kapal?
Siapa pengawal di kapal?
Siapa tukang senjata di kapal?
Siapa tukang masak di kapal?
Siapa dan siapa ...

Jadi wang kerajaan sesebuah negara itu habis dek peperangan. Wang ketika itu ialah emas dan perak. Ia tidak boleh diulang-cetak. Ia sangat unik.

Hari ini, kerajaan Amerika Syarikat turut mengalami benda yang sama. Mereka kerugian kerana peperangan. Peperangan cara sekarang lebih banyak melibatkan wang. Bom-bom berkuasa hebat, teknologi canggih dan lain-lain.

Taktik Penjajah
Jadi semasa para penjajah kehabisan wang emas dan perak. Jadi penjajah ini mula menggunakan kertas sebagai ganti kepada emas. Rakyat jelata disuruh bekerja atau pun berkhidmat. Tetapi rakyat jelata tadi tidak diberikan emas.



Lihat perkataan promises to pay the bearer on demand.


Perkataan tersebut jika diterjemahkan, ia bermaksud 'janji-janji untuk bayar si penanggung beban atas tuntutan'.

Katakan anda orang Melayu yang menjual goreng pisang ketika itu, anda dapat kertas ini. Anda kemudiannya boleh menukarkannya kepada wang. Wang ketika itu ialah emas. Jadi kertas ini bersandarkan kepada emas.

Hari ini? Tidak lagi. Wang kertas kita, tidak lagi disandarkan pada emas. Buktinya? Kita akan lihat nilai wang kertas ini semakin menjunam. Ia akan mengalami inflasi dan spekulasi. Manusia boleh mainkan nilai wang kertas itu. Ia tidak sama halnya dengan emas. Kerana emas mempunyai nilai tetap di dalamnya terkandung berat, karat, saiz dan lain-lain.

Berbalik pada cerita penjajah tadi. Apakah kertas tadi boleh diterima oleh rakyat jelata? Apakah mereka tidak marah? Mereka marah dan tak suka orang berhutang dan memberikan selain daripada emas kepada mereka. Maka dari situ British pun mencantikkan kertas mereka seperti yang kita dapat saksikan di bawah ini:-



Dengan kertas ini rakyat jelata boleh mendapatkan emas mereka. Rakyat jelata menjadi tenang apabila terpampang gambar pemimpin British di kertas itu. Kononnya penjajah serius menjaga kebajikan rakyat jelata. Tetapi pada hakikatnya ini semua hanyalah untuk meredakan kemarahan rakyat jelata atas penipuan demi penipuan.

Maka seterusnya penjajah pun saling berperang. Kerajaan Jepun pun mahu kaya. Mereka kata Asia Tenggara ini mereka yang punya.

Masih ingat British lawan Jepun di Tanah Melayu? Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, mereka juga turut mengikut jejak langkah British. Dengan hasrat ingin untung sama seperti British untung. Maka Jepun pun mencetak kertas di bawah:-


Kertas bergambar pokok pisang yang sering diperkatakan warga veteran kita.


Rakyat jelata tentu marah. Mereka mahukan wang sebenar iaitulah emas. Bayangkan seorang peniaga goreng pisang menjual goreng pisang, dia tidak terima langsung sebutir emas dalam setiap jualan goreng pisangnya.

Bahkan dia terima pula kertas yang ada gambar pisang di atas. Mesti marah bukan? Tetapi dalam keadaan dijajah begitu, mana nak berani bangkang-membangkang?

Jika difikir, penjajah semakin untung, kerana rakyat jelata disuruh bekerja dan berkhidmat dengan hanya diberikan kertas-kertas bernombor.

Oh ya, semasa British digulingkan oleh Jepun, kertas-kertas British masih ada disimpan oleh ramai rakyat jelata. Kerajaan Jepun tak mahu bertanggungjawab dengan kertas-kertas British. Jadi siapa yang rugi? Tentulah rakyat jelata. Mereka kehilangan emas mereka.

Setelah itu, Kerajaan Jepun pula digulingkan oleh British. British kembali berkuasa. Tetapi kali ini mereka datang dengan mencetak kertas yang baru.



Lagi sekali rakyat jelata ditipu. Kertas-kertas terdahulu yang disimpan tidak dapat ditukarkan kepada emas. Malah tidak laku kerana British mengatakan kerajaan terdahulu dan terkemudiannya berbeza. Walau bagaimanapun kertas baru ini masih menjanjikan emas.

Setelah British memasukkan Borneo ke dalam Malaya, kertas baru dicetak lagi.



Apakah bezanya dengan kertas baru ini? Kertas ini tidak lagi melibatkan emas. Emas tidak lagi diwajibkan sebagai pertukaran. Ia hanyalah kertas bernombor semata-mata. Gambar Permaisuri Elizabeth digunakan. Pada masa itu, gambar ini sudah cukup seksi untuk meredakan kemarahan rakyat.

Jadinya rakyat jelata sudah ditipu dari penjajah demi penjajah dan dari penipuan demi penipuan. Ini semua melambangkan tenaga rakyat jelata boleh dikerah, diguna tanpa melibatkan sebutir emas pun. Cukup punya pandai penjajah ini. Kalau penjajah pandai, makanya rakyat jelata?

Kerajaan British amat bijak dalam melakukan persedian bagi menghadapi akibat terburuk. Maka mereka sekali lagi mencetak kertas yang baru.



Kertas ini ada gambar pemimpin negara kita.


Cerdiknya British, mereka sanggup menggantikan gambar Permaisuri dengan pemimpin negara kita demi menghalalkan kertas ini. Rakyat jelata rata-ratanya hormat akan pemimpin sendiri. Jadi hasilnya tiadalah lagi api kemarahan rakyat. Tetapi tidakkah kita terfikir, bagaimana pemimpin kita boleh mendengar cakap British?

Mengikut sampaian orang-orang veteran, raja-raja Melayu, ulama' dan pemimpin Melayu yang tidak berpihak pada British akan dibunuh dan dibuang ke pulau-pulau kecil. Jadinya kuasa-kuasa istana dan pemimpin di parlimen yang ada pada hari ini berpihak pada siapa?

Amalan jelik masih diteruskan oleh budak suruhan British hingga ke hari ini. Sekaligus terus-menerus menidakkan hak rakyat jelata untuk mendapatkan kembali emas kepunyaan nenek moyang mereka sejak zaman penjajah dahulu.

Ini semua akhirnya akan menjadikan kita semua, satu negara kita ini meleset dari segi ekonominya, akhlaknya dan lain-lain akibat tempias penggunaan kertas itu tadi.

Satu contoh, peperangan yang berbekalkan dana emas akan berakhir apabila emas habis dibelanjakan. Ia tidak mungkin dapat dicetak lagi seperti kertas. Jadinya kezaliman dan keangkuhan pemimpin untuk terus berperang akan terbatas dengan ketiadaan emas. Tetapi hari ini, kertas boleh diulang cetak.

Mengikut kiraan ulama' Sheikh Imran Hosein pada ceramah 2007 beliau, katanya setelah kejatuhan wang dalam bentuk kertas tadi, Dajjal pun akan muncul.

Kedatangan Dajjal boleh disaksikan oleh budak-budak yang sedang bersekolah hari ini. Jika kiraan ini tepat, maka Dajjal yang dikatakan lahir dari keluarga Yahudi, berambut kerinting akan memerintah dunia dari negara haram Israel dalam sedikit masa lagi.

Tambah Sheikh Imran Hosein, Dajjal akan menggunakan wang elektronik bagi menggantikan wang dalam bentuk kertas. Satu lagi penipuan secara elektronik bakal mewarnai dunia. Bukan?

Kata Sheikh Imran Hosein, apa yang umat Islam perlu lakukan ialah melaksanakan apa yang ada di dalam Al-Quran dan hadis.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua para pembaca, agar kita kembali kepada dinar (emas) dan dirham (perak) serta menghayati sistem ekonomi Islam yang popular dengan pengharaman riba'.

Kita tidak seharusnya mengaku kalah dengan kedatangan Dajjal. Kerana terdapat juga proses menyambut kedatangan Nabi Isa A.S dalam menewaskan Dajjal di Israel. Jadi tidak mahukah umat Islam turut serta menyambut Nabi Isa A.S?


PETIKAN

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anggota gabungan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya menggunakan Dinar Emas untuk menghalang Amerika Syarikat dan Yahudi terus menguasai ekonomi dunia.

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi, Nik ImageAziz mempersoalkan jika Kesatuan Eropah boleh menggunakan Euro sebagai matawang sendiri, mengapa tidak negara OIC.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, penggunaan dinar boleh menjadi teras kepada penyatuan negara umat Islam dari sudut ekonomi untuk bangkit dari dibuli penjajahan kuasa besar dunia.

Nik Aziz turut mengesyorkan kerajaan Malaysia, supaya mengambil langkah positif, meneruskan cadangan dan landasan yang dimulakan oleh bekas Perdana ImageMenteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC.

"Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata," tegasnya. Kerajaan Negeri Kelantan menurutnya mengorak langkah pada tahun lalu untuk memperkenalkan dinar emas kepada rakyatnya.

Beliau turut berbangga kerana pelancaran dinar emas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Kelantan dan pelancong yang berkunjung ke negeri Serambi Mekah itu.

Nik Aziz berkata demikian dalam Majlis Makan Malam sempena 'Persidangan Antarabangsa Mengenai Ekonomi Gold Dinar' yang dianjurkan di PWTC pada 24 dan 25 Julai ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi www.kelantan.tv.

Selain Dr Mahathir sebagai pemidato utama, persidangan dua hari itu mengemukakan beberapa tokoh ekonomi Islam antarabangsa antaranya, Profesor Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Profesor Masudul Alam Choudhury, Sheikh Imran N. Hosein, Umar Ibrahim Vadillo, dan lain-lain.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib-naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood.

Teks penuh ucapan Tuan Guru Nik Aziz seperti berikut:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, longgokan harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda, lagi terlatih, dan binatang-binatang serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia(yang bersifat sementara). dan (ingatlah), pada sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga yang kekal abadi). (Surah Ali Imran, ayat 14)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wa taala, kerana hanya dengan limpah izin dan inayah-Nya sahaja, kita dapat menjayakan majlis makan malam, sempena "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa" yang sangat penting lagi amat bersejarah ini.

Dato'-dato', Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekelian,

Pada tanggal 27 Syaaban 1427 hijriah, bersamaan 20 September 2006 yang lalu, Kerajaan Negeri Kelantan telah mudahkan kepada rakyat Kelantan amnya, dengan penjualan kepingan-kepingan dinar yang diperbuat daripada emas tulen 22 karat, bersamaan seberat 4.25 gram.

Pelancaran emas dinar Kelantan tersebut, bukanlah bermaksud Kerajaan Negeri Kelantan mahu menggantikan penggunaan ringgit Malaysia dengan dinar!

Kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat sekalipun, tidak mampu, malah tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Bahkan, kerana wujudnya perjanjian di peringkat antarabangsa, yang memutuskan bahawa emas dan perak tidak lagi boleh dijadikan mata wang dalam ekonomi semasa.

Tindakan mewadahkan dinar yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan, sama sekali tidak bertentangan dengan peraturan dan amalan bank negara, kerana pada tahun 2003 yang lalu, Bank Negara sendiri pernah memperkenalkan wadah dinar kepada rakyat.

Sehingga hari ini, tuan-tuan dan puan-puan masih boleh membeli dinar, yang ditempah dan dijual oleh The Royal Mint dengan tiada apa-apa masalah.

Sememangnya budaya ekonomi Islam adalah berteraskan dinar dan dirham. Dalam al-Quranul karim, perkataan dinar dan dirham ada termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 75 dan juga dalam surah Yusof ayat 20.

Maksudnya:

Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya. (Surah Ali Imran : 75)

Maksudnya:

Dan (setelah berlaku perundingan), dan adik beradik Nabi Yusuf telah menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja...

Kedua-dua ayat al-Quran ini menceritakan, bahawa penggunaan wang dinar dan dirham, telah pun berlangsung sejak ribuan tahun, sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w lagi.

Selain daripada ayat al-Quran, terdapat banyak hadis-hadis yang menceritakan, tentang penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang, sehingga ke zaman Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda baginda : maksudnya:

"Dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, dinar yang engkau belanjakannya dalam membebaskan hamba. Dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin. dan dinar yang engkau belanjakannya untuk ahli keluarga kamu. Yang paling besar pahalanya (di sisi Allah) ialah dinar yang kamu belanjakannya untuk (memenuhi keperluan dan membangunkan potensi hidup) ahli keluarga kamu.

Dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis di atas membuktikan bahawa, asas sistem matawang yang digunakan di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, sejak zaman nabi-nabi yang terdahulu, sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w, adalah dalam bentuk mata wang dinar dan dirham.

Bahkan sistem inilah, yang telah diamalkan di sepanjang pemerintahan Khulafa' ar-Rasyidin, sehingga berakhirnya zaman pemerintahan kerajaan atau Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masihi.(Untuk ditukar dengan sistem sekular Ataturk dan telah menimbulkan seribu satu masalah kepada al-insan).

Sejarah juga telah membuktikan bahawa negeri Kelantan berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Siam suatu ketika dahulu, pihak Kerajaan Kelantan sentiasa membayar ufti kepada kerajaan Siam pada setiap tahun, dengan menghantarkan sebilangan kepingan-kepingan wang emas, yang digubah dalam bentuk bunga emas.

Ini membuktikan bahawa, penggunaan wang dinar emas bukan hanya digunakan umat Islam di Timur Tengah sahaja, tetapi telah digunakan secara meluas sehingga ke Adia Tenggara, termasuk Negeri Kelantan sejak ratusan tahun yang lalu.

Para Hadirin sekalian,

Saranan supaya kembali kepada penggunaan wang dinar emas, sebagai teras ekonomi pada zaman globalisasi ini, bukanlah dimonopoli oleh penganut agama Islam sahaja.

Bahkan ramai juag ahli-ahali ekonomi dari kalangan bukan, yang inginkan wang komoditi, kahsnya dalam bentuk kepingan emas dan perak kerana kestabilan dan jaminan kebebasan yang dikandungnya.

Mereka berpendapat, alasan utama mengapa sistem wang komoditi seperti dinar emas, tidak dibenarkan oleh pihak-pihak tertentu, bukanlah disebabkan kekurangan kemahiran teknikal tetapi kerana wang komoditi mampu menggantikan sistem monetari konvensional.

Oleh kerana penggantian tersebut boleh menjadi ancaman besar, khasnya kepada kepentingan ekonomi Amerika dan Yahudi sedunia menyebabkan pihak-pihak yang berkepentingan itu gemar membuat alasan bahawa kononnya jika emas dan dinar dijadikan sebagai matawang ia akan mudah tercicir, atau poket akan cepat tembus, kerana berat membawa wang dari emas.

Dato'-dato', datin-datin, tuan-tuan, dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dollar hanya pada awal tahun 1970-an. Wang dollar tidak lagi disandarkan kepada emas, tetapi nilainya turun naik mengikut gelora permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing.

Justeru, kita perlu melihat usaha pengembalian dinar dan dirham ini, sebagai usaha menegakkan sistem ekonomi yang lebih adil dan lebih telus.

Bukannya satu agenda untuk meraih populariti. Bahkan sebagai satu tanggungjawab untuk mengembalikan semuala kefahaman umat Islam khasnya, berhubung peradaban dan sejarah penggunaan dinar dan dirham, serta bertujuan untuk memberi kesedaran dan keyakinan, terhadap penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada sistem matawang, terutamanya dengan mempelopori penggunaan dinar sebagai simpanan, mas kahwin, membayar zakat, pemberian hadiah, dan sedekah untuk bekal akhirat sebagai harta cagaran di pusat-pusat gadaian ar-Rahnu, sebagai upah kepada perkhidmatan atau sumabangan yang tertentu dan sebagainya.

Saya telah difahamkan bahawa sehingga ke tarikh ini, sejumlah lebih RM600 ratus ribu nilaian wang emas dinar Kelantan, telah dibeli oleh masyarakat umum. dan yang sangat menariknya, pelancong-pelancong dan pelawat-pelawat dari luar Kelantan juga, berebut-rebut untuk memiliki dinar emas keluaran kerajaan Kelantan.

Sama ada sebagai cenderamata, mahupun untuk lain-lain kegunaan mengikut keperluan masing-masing. Ini semua membuktikan bahawa, usaha ke arah mengembalikan semula penggunaan mata wang dinar, mempunyai masa depan yang amat cerah, dan akan mendapat sokongan daripada pelbagai masyarakat di seluruh dunia, tanpa mengira agama, bangsa, bahasa dan budaya. Para hadirin sekalian,

Saya selaku Ketua Kerajaan Negeri Kelantan, akan terus memberi sokongan yang sepenuhnya, walaupun dalam bidang yang terhad kepada perjuangan "Gold Dinar Economy" kerana ia merupakan satu perjuangan suci, yang dapat menyatukan dan mendaulatkan kembali umat Islam serta negara-negara kecil sedunia, daripada terus dijajah dan dibuli oleh kuasa besar ekonomi dunia.

Saya juga mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia mengambil supaya kerajaan Malaysia mengambil langkah positif, dengan meneruskan cadangan dan landasan yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC.

Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata.

Ia sebaliknya mengandungi kemaslahatan umum yang bersifat sejagat, yang perlu diperjuangkan secara konsisten oleh kita semua. Jika negara-negara Kesatuan Eropah boleh menggunakan matawang mereka sendiri, dengan nama mata wang Euro, mengapa tidak kita negara-negara OIC menggunakan mata wang dinar?

Saya serahkan kepada pakar-pakar ekonomi kita, untuk terus berjuang memberi kefahaman kepada masyarakat Islam, terutamanya pimpinan dan golongan cendikiawan.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur persidangan ini, dan juga semua pembentang kertas kerja, sama ada dari luar negara mahupun dari dalam negara, yang sama-sama telah bersatu tenaga dan idea, dalam menjayakan "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa," yang sangat penting lagi sangat bersejarah ini.

Sumber:
http://hanief.blogspot.com/2010/03/semua-kena-tipu-wang-kertas-vs-emas.html

Saturday, May 29, 2010

Memilih Sahabat Sejati.

Ahmad ibn Abi al-Hawari berkata," Barangsiapa melihat dunia dengan pandangan yang penuh hasrat dan cinta padanya, maka Allah akan mengeluarkan cahaya keyakinan dan zuhud dari hatinya." Beliau juga berkata," Tidak ada sesuatu ujian yang lebih berat bagi seorang hamba dari Allah Ta'ala daripada kelalaian dan kekerasan hati." Beliau juga berkata, "Perlakukanlah Allah dengan hati kalian, jernihkanlah dan didiklah ia!" Apakah mungkin setiap orang mampu mencapai tingkatan seperti itu?

Ini adalah perkara yang sangat mulia, tidak mungkin dapat mencapai hanya dengan angan-angan dan fantasi, atau dengan banyak belajar dan melakukan penelitian. Ini hanya dapat dicapai melalui persahabatan dengan manusia-manusia sempurna yang tenggelam dalam ilmu jiwa. Sayangnya jumlah mereka itu sedikit sekali.

Sebahagian orang arif berkata, "Sungguh kita telah melakukan banyak solat, puasa, pengasingan diri dan zikir kepada Allah. Kita banyak membaca Al-Quran, namun sungguh kita tidak akan mampu mengenal hati dan merasakan manisnya hakikat sesuatu sampai kita bersahabat dengan para ahli hakikat, lalu Allah Ta'ala mengeluarkan rasa letih dan menggantikannya dengan rasa senang, membawa kita dari pengingkaran menuju pengakuan. Allah Ta'ala berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan bergabunglah bersama-sama orang yang benar" (surah At-Taubah, ayat 119). Berkenaan dengan ayat tersebut, Ibn Abbas berkata, "Yakni bergabunglah kalian bersama-sama orang yang niatnya benar dan hati serta amalnya lurus. Yakni tuluskanlah ucapan, niat dan amal kalian dan ikhlaskanlah hanya untuk Allah dalam setiap keadaan."

Hasan al-Basri berkata, "Jika engkau ingin bersama sidiqqin, hendaklah bersikap zuhud di dunia dan membela orang-orang yang berjuang di jalan agama." Yakni, tahanlah mulutmu dari mencela dan menghina kaum Muslim.

Mempelajari ilmu dari berbagai kitab, baik teori maupun praktis akan berbeza dengan mempelajari ilmu secara langsung dari dada dan keadaan para ahli hakikat sejati. Persahabatan dengan Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam, menikmati keakraban bersamanya dan melihat langsung amal-amal beliau, tidaklah sama dengan persahabatan orang-orang yang tidak mempunyai kesempatan untuk bergaul dengan beliau secara langsung. Dan Anda, meskipun sudah membaca banyak tentang orang-orang yang tenggelam dalam cinta kepada Allah, atau Anda mengkaji kehidupan orang-orang yang takut kepada Allah dan bagaimana mereka menjalani kehidupannya, tentu akan berbeza dengan orang-orang yang secara langsung melihat, bergaul, berinteraksi dengan mereka serta merasakan hangat dan nikmatnya kehidupan ketika melihat mereka. Jadi, persahabatan merupakan ubat yang mujarab dan kenikmatan yang sangat besar.

Dalam satu riwayat dikatakan, "Seseorang bergantung kepada agama temannya. Maka perhatikanlah salah seorang kalian, dengan siapa ia berteman." Jangan berteman kecuali dengan orang yang mampu membangkitkan semangatmu dan keadaannya akan membuatmu terbimbing menuju Allah.

Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam pernah bersabda," Seseorang itu (dipandang) dengan siapa yang duduk bersamanya, dan seseorang itu (diukur) dengan siapa yang berjalan dengannya, oleh itu hendaklah anda memerhatikan siapa yang hendak dijadikan kawan."

Sabda Nabi sollallahu `alaihi wasallam lagi, "Duduk dengan orang soleh lebih baik dari duduk sendirian, dan duduk sendirian lebih baik dari duduk bersama-sama kawan yang jahat."

Telah bersabda Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam, "Perumpamaan teman yang soleh, laksana penjual minyak wangi. Sama ada ia akan memberi anda sedikit, atau anda akan membeli daripadanya sedikit, ataupun anda sekurang-kurangnya bisa dapat mencium bau wangi. Dan perumpamaan teman yang buruk, laksana tukang besi peniup api. Samada ia akan membakar baju anda, ataupun anda akan mencium bau busuknya daripadanya."

Nyatalah, bahawasanya persahabatan dan duduk bersama-sama orang-orang yang bertaqwa dan soleh dikira sebagai pendekatan diri kepada Allah Ta'ala, dan itulah yang disebut persahabatan yang dipuji dan disyukuri. Dalam persahabatan ini terdapat banyak hadis dan atsar yang menggalakkannya, iaitulah persahabatan yang menimbulkan kecintaan kepada Allah dan kerana Allah, yang telah disediakan baginya pahala yang besar dan kelebihan-kelebihan yang banyak, yang dipandang tinggi derajat dan kedudukannya dalam agama.

Kini jelaslah kepada kita, bahawa sangat perlu malah wajib atas setiap Mukmin mencintai orang-orang yang suka membuat kebajikan, orang-orang yang patuh kepada agama, orang-orang yang berilmu, dan orang-orang yang lurus perjalannya semasa mereka hidup dan sesudah mati.

Petikan:
Kitab Negeri Para Pencinta
Muhammad al-Hajjar

Thursday, May 27, 2010

Sayidatina Fatimah: Penghulu Wanita Syurga (2)

Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah subhanahu wa ta`ala mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya. Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.

Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali.
Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda.

Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah subhanahu wa ta`ala sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain karenah yang menyusahkan Sayidina Ali karamallahu wajha. Pun Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam berkata begitu terhadapnya.

Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah radhiAllahu `anha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi sollallahu `alaihi wasallam membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.

Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi sollallahu `alaihi wasallam, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.

Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah subhanahu wa ta`ala. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.

Tuesday, May 25, 2010

Sayidatina Fatimah: Penghulu Wanita Syurga (1)

Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.

Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajat dan beribadah kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Malam-malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al-Qur`an dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al-Qur`an.

Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam.

Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah radhiAllahu `anha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah subhanahu wa ta`ala untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.

Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.

Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah.

Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya. Lalu dipujuknya Fatimah radhiAllahu `anha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan.

bersambung...

Sunday, May 23, 2010

Kisah Zun Nun dan Seorang `Alim.

Zun Nun menceritakan: "Ketika aku sedang berjalan di lereng gunung, kuterlihat sekumpulan manusia yang menderita sakit. Aku bertanya kepada mereka: "Apakah yang telah terjadi kepada kamu semua?"

Mereka menjawab: "Di dalam tempat suluk yang terletak di sini tinggal seorang yang soleh. Setahun sekali ia keluar dari tempat suluk mengubat dengan meniup orang-orang ini lalu semuanya sembuh. Setelah itu ia pun kembali ke tempat suluknya dan setahun kemudian barulah ia keluar lagi. "

Dengan sabar aku menantikan orang alim itu keluar dari tempat suluk. Ternyata yang kulihat adalah seorang lelaki berwajah pucat, berbadan kurus dan bermata cengkung. Aku merasa gementar kerana kagum memandang dirinya. Dengan penuh belas kasihan orang alim itu memandang orang yang berdoa di situ, kemudian memandang ke atas. Setelah itu semua orang-orang yang menderita sakit itu ditiupnya beberapa kali. Dan semuanya sembuh dari penyakitnya.

Ketika orang alim itu hendak kembali ke tempat suluknya, aku segera menarik pakaiannya dan berkata:

"Demi kasih Allah engkau telah menyembuhkan penyakit-penyakit yang nampak oleh mata kasar tetapi sekarang sembuhkanlah penyakit di dalam batinku ini."

Sambil memandang diriku orang alim itu berkata: "Zun Nun lepaskanlah tanganmu dariku. Dia Yang Maha Besar mengawasi dari pundak kebesaran dan keagungan. Jika Dia melihat ada seseorang bergantung kepada selain daripada-Nya, pasti Dia akan meninggalkan dirimu bersama orang itu maka malanglah engkau di tangan orang itu."

Setelah berkata demikian ia pun kembali ke tempat ia bersuluk.

Saturday, May 22, 2010

Hukum Beramal Dengan Hadith Dhaif

Ada juga yang membidahkan amal ibadat yang berdalilkan Hadis dhaif.
Pendapat yang macam begini adalah keliru kalau tidak akan dikatakan salah besar.
Hadith yang dha’if bukanlah Hadits yang maudu’ ( hadits dibuat buat ), tetapi hanya Hadits yang lemah sanadnya, dan bukan Hadits yang tidak benar, bukan Hadits bohong, kerana asalnya dari Nabi juga.
Hadits yang dikatakan dha’if atau lemah ini ialah Hadits yang derajatnya kurang sedikit dari Hadits Shahih atau Hadits Hasan.

Hal ini dapat dicontohkan umpamanya kepada sebuah Hadits dari Nabi, kemudian turun kepada Mansur, turun lagi kepada Zeid, turun lagi kepada Khalid dan akhirnya turun kepada Ibnu Majah atau Abu Daud. Ibnu Majah atau Abu daud membukukan Hadits itu dalam kitabnya. Kalau orang yang bertiga tersebut, yaitu Mansur, Zeid dan Khalid terdiri dari orang baik-baik, dengan arti baik perangainya, saleh orangnya, tidak pelupa hafalannya, maka haditsnya itu dinamai hadits shahih.

Tetapi kalau ketiganya atau salah seorang dari padanya terkenal dengan akhlaknya yang kurang baik, umpamanya pernah makan di jalanan, pernah buang air kecil berdiri, pernah suka lupa akan hafalannya, maka haditsnya dinamai Hadits dha’if (lemah).

Pada hakikatnya Hadits yang semacam ini adalah dari Nabi juga, tetapi “sanadnya” kurang baik. Bukan Haditsnya yang kurang baik.
Ada lagi yang menyebabkan Hadits itu menjadi dha’if, ialah hilang salah seorang daripada rawinya. Umpamanya seorang Thabi’in yang tidak berjumpa dengan Nabi mengatakan : Berkata Rasulullah, pada hal ia tidak berjumpa dengan Nabi. Hadits ini dinamai Hadits Mursal, yaitu Hadist yang dilompatkan ke atas tanpa melalui jalan yang wajar. Hadits ini ialah dha’if juga. Dan banyak lagi yang menyebabkan dan membikin sesuatu Hadits menjadi dha’if atau lemah.

Tentang memakai Hadits dha’if untuk dijadikan dalil, terdapat perbedaan pendapat di antara Imam-imam mujtahid, yaitu :

1. Dalam madzhab syafi’I Hadits dha’if tidak dipakai untuk dalil bagi penegak hukum, tetapi dipakai untuk dalil bagi “ fadhailul a’mal”. Fadhailul A’mal maksudnya ialah amal ibadat yang sunat-sunat, yang tidak bersangkut dengan orang lain, seperti dzikir, doa, tasbih, wirid dan lain- lain.Hadits Mursal tidak dipakai juga bagi penegak hukum dalam madzhab Syafi’e kerana Hadits Mursal juga Hadits dha’if. Tetapi dikecualikan mursalnya seorang Thabi’in bernama Said Ibnul Musayyab.

2. Dalam madzhab Hambali lebih longgar. Hadits dha’if bukan saja dipakai dalam Fadhailul A’mal, tetapi juga bagi penegak hukum, dengan syarat dha’ifnya itu tidak keterlaluan.

3. Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad memakai Hadits yang dha’if kerana Mursal, baik untuk Fadhailul A’mal mahupun bagi penegak hukum.
Nah, di sini nampak bahwa Imam-imam Mujtahid memakai Hadits-hadits dha’if untuk dalil kerana Hadits itu bukanlah Hadits yang dibuat-buat, tetapi hanya lemah saja sifatnya.
Kerana itu tidaklah tepat kalau amal-amal ibadat yang berdasarkan kepada Hadits dha’if dikatakan bid’ah, apalagi kalau dikatakan bid’ah dhalalah.

Dipetik dari buku 40 Masalah Agama Jilid ke 3 oleh K.H. SIRADJUDDIN ABBAS.

Friday, May 21, 2010

Hidup Bermakna apabila Waras Fikiran.

Lama sebelum 'bapa falfasah Barat' Perancis, Rene Descartes (1596 - 1650), berkata "...aku berfikir, maka aku wujud", seruan berfikir sudah tertinta dalam Al-Quran. Berfikir dikaitkan dengan antara kurnia amat bernilai daripada Allah subhanahu wa ta`ala kepada manusia iaitu akal. Akal membezakan manusia daripada haiwan. Dengan akal, manusia berfikir sehingga boleh membezakan yang benar daripada yang salah.

Berakal menjadi syarat kedudukan seseorang sebagai Muslim dalam melaksanakan tanggungjawab seperti solat dan sebagainya. Hal ini disyariatkan sebagai 'mukallaf'. Anak kecil yang belum baligh, orang yang tertidur dan orang yang tidak waras tidak dianggap 'mukallaf'.

Cara akal digunakan boleh bersifat 'deduktif' atau 'induktif' seperti ketika Nabi Ibrahim berfikir mengenai kewujudan Tuhan dan sifat-sifat yang perlu ada bagi-Nya. Ketika malam, Nabi Ibrahim melihat bintang dan berkata: "Inilah Tuhanku." Namun bintang hilang di siang hari.

Ketika melihat bulan, beliau berkata: "Inilah Tuhanku". Kemudian bulan terbenam dan Nabi Ibrahim menyangka matahari pula Tuhannya kerana ia terbesar. Menerusi proses deduktif dan induktif tadi, Nabi Ibrahim menemukan jalan lurus (hanif) menuju Ilahi, bak katanya:

"Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya)" (Surah Al-An`aam, surah 78).

Al-Qur`an menyatakan proses akal perlu dipupuk menerusi pembacaan. Itulah sebab kekata 'iqra' menjadi wahyu sulung yang diterima Rasulullah. Namun untuk mengasah jalan fikir, seseorang Muslim memerlukan proses perenungan atau tafakur seperti dilalui Rasulullah yang pada usia menginjak 40 tahun sering menyendiri (tahannuts) di Gua Hira, di bukit Nur, Makkah.

Dalam mencari kebenaran pula, seseorang perlu bersikap rendah hati (tawaduk) dan senantiasa berdoa agar Allah subhanahu wa ta`ala memberikannya petunjuk.

Dalam proses membina akal dari segi Islam, ada dua cara yang boleh digunakan untuk merangsang fikiran:

  • Tadabbur iaitu merenung erti ayat-ayat Al-Qur`an mengenai sejarah, kebesaran Ilahi dan sebagainya. Dalam Al-Qur`an terdapat banyak seruan agar manusia menggunakan akalnya - fikir sebelum menerima sesuatu penerangan atau mengambil tindakan. Memandangkan 'terbatas' akal manusia, Allah telah menunjukkan jalan-Nya kepada Rasulullah memerusi amalan bersolat dan berdoa agar hati insan tidak terkunci. "...maka tidakkah mereka mahu merenung memahami Al-Qur`an atau hati mereka sudah terkunci?" (Surah Muhammad, ayat 24).
  • Ada kala akal tidak kesampaian untuk membuka 'rahsia' atau huraian bagi masalah. Itulah sebabnya umat Islam disuruh bersolat hajat dan istikharah (mencari petunjuk) di samping terus menambah ilmu dan berdikir panjang. 

Dalam sejarah Islam, ulama telah menyusun cara mencari ilmu, berbincang dengan penuh adab, mengarang dan mengembangkan pengetahuan. Proses inilah yang telah mencetuksan peradaban Islam selama 700 tahun.

Al-Qur`an mengadungi banyak sumber ilmu termasuk mengenai penciptaan hujan sehinggalah tempoh waktu penciptaan alam semesta. Tujuan Allah berbuat demikian tentulah merangsang kita untuk berfikir, mengkaji, meneroka dan menemukan jawapan kepada pelbagai persoalan dan permasalahan.

Oleh itu, umat Islam digalak berfikir panjang dengan menambah ilmu menerusi pembacaan dan kajian serta pengembangan. Sayang tradisi itu kini digarap oleh Barat dan bangsa-bangsa lain.

Dengan berpandukan agama, maka berfikir dan berusahalah untuk meraih kehidupan bermakna.


Petikan dari Berita Harian Singapura (Jumaat, 14 Mei 2010)

Thursday, May 20, 2010

Perbalahan Malaikat Rahmat Dan Malaikat Azab.

Pada zaman dulu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Dia ingin menjumpai pendita untuk meminta fatwa supaya dia dapat bertaubat dari dosanya. Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa dia telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia masih ada peluang untuk bertaubat. Pendita dengan tegas mengatakan dia tidak boleh bertaubat kerana dosanya terlalu banyak. Lelaki itu mejadi marah dan terus membunuh pendita itu, menjadikannya mangsa yang ke-100.

Dia masih ingin untuk bertaubat dan terus mencari kalau-kalau ada ulama yang boleh membantunya. Akhirnya dia berjumpa dengan seorang ulama. Dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 100 orang dan bertanya sama ada Allah masih menerima taubatnya. Ulama itu menerangkan dia masih ada harapan untuk bertaubat. Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke sebuah negeri di mana terdapat sekumpulan abid (orang beribadat). Apabila sampai di sana nanti, ulama itu menyuruhnya tinggal di sana dan beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya pulang ke negeri asalnya yang penuh dengan maksiat.

Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu terus menghala ke negeri yang diterangkan oleh ulama tadi. Sebaik saja sampai separuh perjalanan, dia jatuh sakit lalu meninggal dunia.

Ketika itu terjadilah perbalahan antara dua malaikat, iaitu Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat Rahmat ingin mengambil roh lelaki itu kerana pada pendapatnya dia adalah orang baik lantaran azamnya untuk bertaubat sementara Malaikat Azab mengatakan dia mati dalam su'ul-khatimah kerana dia telah membunuh 100 orang dan masih belum membuat sebarang kebajikan. Mereka saling berebutan dan tidak dapat memutuskan keadaan lelaki itu.

Allah kemudian menghantar seorang malaikat lain berupa manusia untuk mengadili perbalahan mereka berdua. Dia menyuruh malaikat itu mengukur jarak tempat kejadian itu dengan kedua-dua tempat; adakah tempat kejadian itu lebih dekat dengan tempat kebajikan yang hendak dituju atau lebih dekat dengan tempat dia mula bertolak. Sekiranya jaraknya lebih dekat dengan tempat kebajikan, dia kepunyaan Malaikat Rahmat. Setelah diukur, didapati jarak ke negeri kebajikan melebihi kadar sejengkal saja. Lalu roh lelaki itu terus diambil oleh Malaikat Rahmat. Lelaki itu akhirnya mendapat pengampunan Allah.

Moral & Iktibar 

  • Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.
  • Orang yang berbuat dosa hendaklah diiringi dengan penyesalan dan taubat.
  • Jangan merasa putus asa dari rahmat Allah meskipun telah melakukan dosa yang sangat banyak kerana rahmat Allah sangat luas dan lebih besar daripada dosa besar yang kita lakukan.
  • Menjalankan amar makruf dan nahi mungkar hendaklah dengan hikmah dan bijaksana.
  • Fatwa yang salah dan tidak berlandaskan hukum sebenar hanya menyusahkan diri sendiri.
  • Pelepasan dari azab diperolehi hanya dengan berlebihnya timbangan kebajikan meskipun dengar kadar yang sedikit.
  • Orang yang hendak bertaubat mesti buktikan penyesalan dengan tindak-ikut yang sewajarnya.
  • Orang yang bertaubat dengan sungguh-sungguh penyesalan dan berikrar tidak mengulangi kejahatannya akan diterima oleh Allah taubatnya.
  • Mereka yang diterima oleh Allah akan taubatnya seolah-olah tidak mempunyai sebarang dosa.
  • Mereka yang sempat bertaubat 'nasuha' sebelum roh sampai ke khalqum dimasukkan ke dalam syurga.

Wednesday, May 19, 2010

Gigih Mencari Bekal Dunia untuk Akhirat.

Dunia bak medan permainan dan hidup sebenarnya bermula di akhirat. Konsep mempercayai hari kebangkitan mampu menyedarkan manusia supaya bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan.

Manusia tidak akan mengetahui empat hal ghaib iaitu kelahiran, rezeki, amal dan kematian atau kesudahan hidupnya sama ada celaka atau bahagia sebagaimana tercatat dalam kitab Allah subhanahu wa ta`ala di Luh Mahfuz.

Empat rahsia itu tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa kerana manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas. Manusia tidak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku agar ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa wujud pada nalurinya.

Jasmani dan rohani terus bergelojak menyahut seruan Pencipta memandangkan dunia adalah tempat bermujahadah untuk meraih keuntungan di akhirat. Ini semua bagi menghasilkan kesedaran bahawa kita semua akan mati seperti disabdakan Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam menurut riwayat At-Tarmizi: "Perbanyakkanlah olehmu mengingat perosak kelazatan iaitu mati."

Kemampuan mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Apabila manusia meraih keseronokan di dunia, adakah ia ingat bahawa esok ia akan mati dan semua akan musnah? Mampukah kita menasihati diri sendiri pada saat kelalaian dan lupa daratan? Hal ini agak sukar kerana kita cenderung kepada tarikan 'cinta duniawi' dan takut mati.

Kebanyakan manusia di akhir zaman ini kurang bersedia menghadapi kematian dengan persediaan amal soleh, malah leka dengan dosa kekotoran yang terpalit pada diri. Mereka menyangka masih banyak kesempatan untuk peluang terakhir, padahal setiap hari kita mendengar hal kematian di sana sini.

Dalam hal ini, Rasulullah sollallu `alaihi wasallam berpesan yang maksudnya: "Sesungguhnya tidak berlalu satu hari ke atas kubur melainkan kubur berkata (kepada manusia): "Akulah rumah pengasingan, akulah rumah persendirian, akulah rumah tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat. Dan apabila dikuburkan orang yang bermaksiat dan orang yang kafir maka kubur berkata kepadanya:

'Tidak ada ucapan selamat datang kepadamu, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling aku benci yang berjalan di atasku. Pada hari ini segala urusanmu telah diserahkan kepadaku maka engkau akan lihat betapa aku akan membalas perbuatanmu.' Lalu kubur itu menghimpitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya" (Riwayat Tirmizi).

Pada saat itu akan terkenang kita peluang yang tidak direbut, saat leka dengan hiburan, menunda ibadah hingga menjadi kebiasaan.

Maka menangislah mata yang tidak pernah menangis (kerana takutkan Allah) dan ketakutan hati yang tidak pernah takut. Menggigil sekujur badan yang akan menanggung salah lakunya sendiri. Pada hari itu dia berasa begitu menyesal dan berputus asa dengan keadaannya.

Adakah kita mempunyai impian pada saat akhir kehidupan seperti merancang untuk menikmati kematian dengan tenteram, meninggalkan orang tersayang dengan redha dan paling penting kerinduan untuk bertemu Allah sebelum kedatangan maut? Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam bersabda menurut riwayat Bukhari dan Muslim yang maksudnya: "Barangsiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, sesungguhnya Allah pun tidak suka bertemu dengannya."

Tujuan Allah mematikan manusia, antaranya ialah:

  • Menyedarkan manusia daripada lalai dan melupakan Allah serta hari kiamat lantaran segala kesenangan dan kemewahan yang melimpah ruah.
  • Membuktikan bahawa Allah berkuasa mematikan manusia dan makhluk lain tanpa mengira rupa, bangsa, pangkat, tempat dan masa.
  • Menggalakkan agar kita sentiasa berbuat sebanyak mungkin amal kebajikan dan menghindari kejahatan.
  • Menyedarkan kita bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sedangkan kehidupan di akhirat adalah lebih baik dan kekal.
Pastikan kita melalui kematian dengan persediaan rapi, amal yang cukup, sebutan dan kenangan yang baik kerana impian kita semua dalah husnul khatimah (berakhir dengan baik).

Monday, May 17, 2010

Mustajab Doa Ibu untuk Anaknya.

Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam telah berpesan kepada kita betapa mustajab doa seorang ibu untuk anaknya. Dalam Sahih Muslim, baginga kisah seorang lelaki, Juraij, yang begitu kuat beribadah kepada Allah. Hari-harinya diisi dengan solat sunat. Beliau mempunyai tempat khas untuk solat - pondok kecil yang agak tinggi tempatnya.

Pada suatu hari, ibunya datang menziarahinya. Sambil mendongakkan kepalanya, si ibu memanggil anaknya: "Juraij, saya ibumu, cakaplah denganku!"

Juraij khusyuk beribadah dan berkata dalam hatinya: "Ya Allah, saya utamakan solatku atau ibuku?"

Juraij memilih meneruskan ibadahnya. Ibunya letih berteriak dan akhirnya meninggalkan tempat Juraij.

Esoknya ibunya datang dan memanggilnya lagi tetapi Juraij tidak mengendahkan dan terus beribadah.

Ibunya pulang ke rumah dengan rasa hampa dan marah dalam hatinya. Semasa itulah wanita itu berdoa: "Ya Allah, Juraij itu adalah anakkku, aku mahu bercakap dengannya tapi dia menolak bercakap denganku. Ya Allah, jangan engkau matikan dia kecuali Engkau tunjukkan padanya akan pelacur."

Ada gembala kambing yang sentiasa menggembala kambingnya di sekita pondok Juraij. Gembala kambing itu terserempak dengan 'bunga desa' yang cantik. Mereka berasmara sehingga wanita itu hamil dan akhirnya melahirkan anak. Namun gembala itu menghilang.

Semasa ditanya orang kampung, anak siapakah itu, wanita ini sekadar menuding ke arah pondok Juraij. Orang-orang kampung beramai-ramai mendatangi Juraij dan memanggilnya dengan marah. Juraij keluar kehairanan. Mereka menuduhnya berzina sehingga wanita itu melahirkan bayinya. Juraij bertanya: "Di mana bayi itu"

Maka mereka membawa bayi itu menghadapnya. Juraij berkata: "Tinggalkan aku untuk solat dan berdoa."

Sesudah itu, Juraij menepuk perut bayi dan bertanya: "Wahai bayi, siapakah bapamu?"

Dengan izin Allah, bayi itu menjawab: "Bapaku ialah gembala kambing di kampung ini."

Penduduk kampung terkejut dan malu kerana merobohkan pondok Juraij dek tertipu oleh wanita itu. Mereka berjanji akan membangunkan pondoknya dengan emas dan perak, namun Juraij menlak dan meminta pondok seperti asalnya.

Rasulullah menyatakan kisah Juraij menunjukkan betapa kuat doa seorang ibu, apatah lagi yang disakiti anaknya.

Banyak iktibar daripada kisah Juraij.

  • Kewajiban anak memenuhi panggilan ibu lebih utama dibandingkan menyempurkan ibadah sunat. Dengan hadith ini, dihukumkan menurut fiqah bahawa memenuhi panggilan ibu adalah wajib berbanding meneruskan solat sunat.
  • Doa ibu sangat mustajab - sama ada maksud baik atau tidak. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati dan usah ikut perasaan. 
  • Ibu harus sentiasa memantau dan mengambil tahu akan keadaan kehidupan anak-anaknya agar tidak terjadi salah faham antara kededuanya.
  • Ibu haru ssentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anaknya, terlebih lagi pada waktu solat dinihari.
  • Ibu harus sentiasa menjaga mulutnya dan usah mudah tersinggung - maafkanlah dan nasihatkan serta sentiasa berdoa untuk anaknya.
  • Sebagai pengasuh, ibu perlu dilengkapi ilmu demi memupuk anak yang soleh. 
 Seorang alim besar, Syeikh Sya`roni Ahmadi Al-Qudsy berkata: "Doa ibu adalah seperti jelmaan malaikat, bahkan ibu adalah seperti jelmaan malaikat yang nampak. Ertinya, hati-hatilah dengan doa ibumu kerana doanya begitu cepat dikabulkan oleh Allah subhanahu wa ta`ala."

Para ibu sekalian, berdoalah sentiasa akan kebaikan anak-anak anda di dunia dan akhirat.

Friday, May 14, 2010

Bagaimana Rasulullah Mengubati Penyakit Masyarakat.

Sudah menjadi fitrah manusia itu ia ingin hidup aman damai. Begitu juga fitrah manusia itu, dia tidak mahu berlakunya krisis, kemungkaran, pemerkosaan dan segala penyakit masyarakat.

Andaikata kalau dia seorang pemimpin, dia mahu orang yang dipimpin itu meletakkan ketaatan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang yang dipimpin, dia mahu pemimpinnya meletakkan keadilan kepadanya. Andaikata kalau dia seorang ayah, dia mahu anak-anaknya memberikan ketaatan dan kepatuhan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang anak, dia mahu ibu dan ayahnya meletakkan kasih sayang kepadanya. Begitu jugalah suami kepada isterinya, dan isteri kepada suami. Andaikata seorang pemimpin, ibu, ayah, guru, suami, isteri dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing. Begitu juga seorang rakyat, anak murid, dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing, maka tidak akan terjadi pergaduhan, pertengkaran diatas muka bumi ini.

Tapi kalau kita lihat, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Firman Allah yang ertinya:
"Telah berlaku kerusakan di daratan dan di lautan akibat dari tangan-tangan manusia" [Surah Ar-Rum, ayat 41]

Hal ini terjadi bila pemimpin tidak dapat memberi keadilan, terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Begitu juga orang yang dipimpinnya tidak dapat memberikan ketaatan kepadanya. Ibu ayah juga tidak dapat memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya, begitu juga anak-anak tidak dapat memberikan ketaatan terhadap ibu dan ayahnya. Begitu juga guru terhadap murid dan murid terhadap gurunya, suami terhadap isterinya dan isteri kepada suaminya.

Sebab itu dapat kita lihat berbagai-bagai masalah timbul dari sekecil-kecil masalah hinggalah ke sebesar-besar masalah. Dari rumah tangga, hinggalah ke negara-negara yang hebat pemimpinnya. Telah berbagai cara dan jalan dicari untuk menyelesaikan masalah. Ada yang mengatakan :
1. Kekayaan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka mereka pun berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya, tetapi tidak juga dapat menyelesaikan masalah ini.
2. Ada pula yang mengatakan kepandaian dan ilmu pengetahuan akan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka merekapun berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, tetapi juga tidak berhasil untuk menyelesaikan masalah ini, bahkan bertambah rumit lagi.
3. Ada juga yang mengatakan pangkat dan darjat dapat menyelesaikan masalah ini, tetapi ini juga tidak berhasil menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat, bahkan bertambah parah dan rumit lagi.

Jadi jalan yang paling mudah untuk kita selesaikan masalah ini haruslah kita kembalikan kepada Al-Qur`an dan Sunnah Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam.

Al-Qur`an dan Sunnah dapat memberikan jawaban yang tepat, dari manakah akar dari masalah-masalah tersebut.

Firman Allah subhanahu wa ta`ala yang artinya :
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, selagi ia tidak mengubah yang ada di dalam hatinya." [Surah Ar-Rad, ayat 11]

Hadits Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam yang artinya :
"Di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah jasadnya. Jika rosak daging itu, maka rosaklah jasadnya. Ketahuilah itu adalah hati."

Dapat kita lihat dari Al Qur'an dan Hadith tadi setiap penyakit yang timbul pada diri manusia itu, adalah berawal dari hati. Hati yang sakit (jahat) akan mendorong mata, kaki, tangan berbuat jahat. Maka lahirlah masyarakat yang jahat, seperti merampok, membunuh, memfitnah, mengumpat dan sebagainya.

Penyakit masyarakat ini dapat diibaratkan sebagai sebatang pokok yang mengeluarkan buah yang beracun. Buah yang beracun itu disebabkan pohon yang beracun. Jadi untuk menghilangkan buah yang beracun itu hendaklah ditebang pohon itu terlebih dahulu. Bukan buang buah saja. Sebab kalau yang dibuang buahnya saja, sepuluh buah yang kita buang akan tumbuh pula sepululh pohon yang beracun. Begitulah seterusnya.

Oleh itu untuk panduan yang lebih jelas lagi, kita lihat bagaimana Rasulullah dapat mengobat penyakit masyarakat ketika itu hingga menjadikan orang miskin sabar dan redha dalam kemiskinan dan orang kaya pemurah. Seperti Abu Hurairah yang menjadi ketua dari puluhan fakir miskin yang tinggal di Serambi Masjid Madinah. Sayidatina Fatimah, seorang wanita miskin walaupun anak Rasulullah dan menikah pula dengan Sayidina Ali yang begitu miskin lagi pejuang pula. Kemudian perpecahan diantara satu golongan dapat disatukan seperti Muhajirin dan Anshar. Baginda Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam dapat mendidik masyarakat jahiliah kepada kenal dan cinta kepada Allah subhanahu wa ta`ala.

Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam saat itu diutus sebagai Pembawa Rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah yang artinya:


"Dan tidak diutuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat pada sekalian alam." [Surah Al Anbiya, surah 107]

Dengan keberkatan dan ketabahan Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam itu, Baginda dapat mengembalikan masyarakat kepada kebenaran.

Krisis Masyarakat di Zaman sebelum Rasulullah
Sebelum dibahas tentang bagaimanakah Rasulullah mengubati penyakit masyarakat jahiliah di zamannya, terlebih dahulu kita mengetahui akan apakah penyakit masyarakat yang mewabah ketika itu. Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, masyarakat tertimpa berbagai macam krisis dan penyakit jiwa. Diantara penyakit yang menimpa masyarakat :

  • Sangat memuja berhala. Hati masyarakat begitu melekat kepada berhala.
  • Terlalu ketagihan dengan arak/alkohol.
  • Terlalu suka dengan riba. Bunga tinggi, tak sanggup bayar, jadi hamba.
  • Wujudnya dua empayar besar yaitu Rome dan Parsi yang menindas negara-negara lemah.
  • Pelacuran amat leluasa merebak di tengah masyarakat.
  • Akhlak kaum wanita ketika itu amat rendah.
  • Manusia terlalu bakhil, terlalu gila harta sehingga harta orang hendak dijadikan harta dia.
  • Perpecahan menjadi-jadi. Terjadi peperangan. Kadang peperangan besar hanya disebabkan hal kecil.

Cara Rasulullah Menyelesaikan Krisis
Rasulullah hanya tanamkan 3 pil saja pada diri masyarakat Jahiliah ketika itu.

Pertama, Rasulullah menanam kembali rasa tauhid kedalam hati masyarakat sehingga manusia terasa akan kebesaran Tuhan, kasih sayang, kehebatan dan keperkasaan Tuhan.

Kedua, Rasulullah menanamkan kembali cinta kepada Akhirat. Beliau memperkatakan tentang Syurga dan Neraka.

"Akhirat itu adalah lebih utama, lebih baik daripada dunia." (Surah Ad-Dhuha, ayat 4)

"Akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal." (Surah Al A'la, ayat 17)

Lahirlah manusia yang jiwanya terpaut dengan Akhirat. Akhirnya bukan saja harta dihabiskan untuk Akhirat bahkan nyawa sendiri dikorbankan. Mereka mau cepat-cepat kembali ke Akhirat. Mereka mau mati syahid menjadi para syuhada.

Ketiga, Rasulullah menanam semangat dan perasaan cinta akan sesama manusia terutamanya umat Islam untuk mengikis penyakit terlalu cinta diri sendiri, keluarga atau kawan-kawan sendiri.

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mencintai diri saudara-saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri."

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak berkhidmat kepada manusia yang lain."

"Barang siapa yang menunaikan hajat saudara lain, Tuhan akan tunaikan padanya 70 hajat."

Terjalin perasaan ghairah apabila menolong orang lain. Lahir perasaan kasih sayang pada orang lain. Mereka dapat merasakan nasib orang lain seperti nasib mereka sendiri, kesenangan orang lain seperti kesenangan sendiri, kesusahan orang lain seperti kesusahan sendiri, darah orang lain seperti darah sendiri, nyawa orang lain seperti nyawa sendiri.

Dengan 3 pil inilah Rasulullah dapat mendidik manusia-manusia Jahiliyah ketika itu hinggakan Allah telah memuji Rasulullah dan generasi ketika itu. Firman Allah yang artinya :
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia yang mengajak kepada Ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah." [Surah Ali Imran, ayat 110]

Hadits Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam yang artinya :
"Sahabat-sahabatku adalah seperti bintang-bintang di langit. Jika diikuti diantara mereka niscaya kamu akan mendapat petunjuk."

Sunday, May 9, 2010

Kisah Nenek yang Ikhlas.

Seorang nenek harus berjalan jauh ke pasar di kota untuk menjual bunga cempaka. Itulah kerja hariannya.

Selepas berjualan, beliau singgah dahulu ke masjid di kota untuk bersolat zuhur.

Selepas berdoa dan berwirid sekadarnya, nenek itu akan terlebih dahulu membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid. Ini dilakukannya setiap hari di bawah terik matahari. Setelah semua dedaun itu dibersihkan barulah beliau pulang ke desanya.

Jemaah dan pengelola masjid kasihan melihat rutin nenek yang demikian.

Suatu hari, pengurus masjid memutuskan untuk membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid sebelum nenek itu datang. Fikirnya, usaha itu akan membantu nenek tadi agar tidak perlu bersusah payah membersihkan halaman masjid itu.

Rupanya, niat baik itu telah membuat nenek tersebut menangis sedih.

Dia bermohon supaya dia terus diberi kesempatan membersihkan halaman masjid seperti biasa.

Akhirnya, pihak masjid terpaksa membiarkan situasi berjalan seperti biasa supaya nenek itu tidak lagi hiba.

Satu ketika apabila ditanyakan seorang kiai mengapa nenek tersebut perlu melakukan hal itu, nenek tersebut menjawab:

"Saya ini perempuan bodoh, kiai. Saya tahu amal-amal saya yang kecil ini mungkin juga tidak benar dijalankan. Saya tidak mungkin selamat pada hari kiamat tanpa syafaat Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam.

"Setiap kali saya mengambil selembar daun, saya ucapkan satu selawat kepada Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Kelak jika saya mati, saya ingin Rasulullah menjemput saya.

"Biarlah semua dedaun ini bersaksi bahawa saya telah membacakan selawat kepadanya."

Mudah-mudahan kita dapat sama-sama menghayati keikhlasan sifat nenek yang mulia itu. Amin!

Friday, May 7, 2010

Hikmah Diciptakan Tidur sebagai Waktu Rehat bagi Makhluk Hidup.

Allah subhanahu wa ta`ala berfirman yang membawa maksud:

"Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat." (surah an-Naba`, ayat 9)

Tidur sesuatu yang menakjubkan. Ianya sebahagian dari kematian. Dengan tidur seluruh anggota badan akan terdiam, semua gerakan akan tenang. Tidur merupakan alat merehatkan jiwa, merehatkan akal, menyegarkan perut dan menyegarkan badan. Tidur adalah permainan yang menyenangkan, menyegarkan kesedihan, membebaskan rasa letih dan penat selepas bekerja seharian. Allah subhanahu wa ta`ala berfirman yang membawa maksud:

(Ingatlah) ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripadaNya.
(surah al-Anfaal, ayat 11)

Sesungguhnya makhluk itu lemah, maka berehatlah dengan tidur. Itulah hikmah diciptakan malam sebagai waktu tidurmu sedangkan Allah tidak akan pernah tidur kerana Dia adalah sang Pencipta yang tidak tidur dan tidak pula mengantuk, sepertimana dalam firman Allah subhanahu wa ta`ala:

"Allah tidak mengantuk dan tidak tidur." (surah al-Baqarah, ayat 255)


Allah subhanahu wa ta`ala tidak pernah tidur sebab Allah adalah Maha Hidup dan Maha Bangun, Allah kekal dan abadi. Dan kita tidur sebab kita berasal dari tiada dan akan kembali kepada kebinasaan. Kita keluar dari tanah dan akan kembali menjadi tanah. Kita tidur agar kita dapat mengingat mati dan sesuatu yang terjadi setelah kematian iaitu alam kubur dan apa-apa yang ada di dalamnya. Kita tidur untuk melupakan dendam, dengki, kepedihan, dan kepenatan. Kita tidur agar kita dapat bersiap sedia menghadapi hari dan umur baru dengan penuh kesegaran. Allah subhanahu wa ta`ala berfirman yang bermaksud:

"Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari." (surah al-An`aam, ayat 60)

Di antara tanda-tanda kekuasaan Allah adalah tidur kamu pada waktu malam, pada saat itu Allah menggenggam arwah kamu dan menghentikan segala pergerakan kamu serta menghilangkan perasaan dan fikiran kamu, sehingga kami menyedari bahawa kamu hanyalah makhluk yang akan binasa. Hanya Allah sahaja Yang Maha Esa, Maha Pencipta, Maha Abadi, Maha Penjaga dan Maha Kuasa. Allah ta`ala berfirman yang bermaksud:

"Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir. (surah az-Zumar, ayat 42)

Wednesday, May 5, 2010

Kewajipan Mengagungkan Allah.

Mengapa anda semua tidak mahu mengisi hati-hati ini dengan rasa cinta kepada Allah? Mengapa anda semua tidak manu mengagungkanNya? Mengapa anda semua tidak menaruh rasa hormat dan menghargaiNya? Apa yang telah berlaku ke atas diri anda semua, apakah anda sedang mabuk? Allah subhanahu wa ta`ala berfirman yang membawa maksud:

"Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah? Padahal Dia sesungguhnya telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian."
(surah Nuh, ayat 13 dan 14)

Nabi Yunus `alaihi salaam telah terperangkap di dalam tiga kegelapan iaitu: kegelapan malam yang menakutkan, lautan yang bergelombang dan kegelapan perut ikan yang menyeramkan. Kepada siapakah beliau memohon?!

Kepada siapakah beliau meminta bantuan?! Kepada siapakah beliau mengadu?! Nabi Yunus `alaihi salaam tidak mengadukan peristiwa ini kepada keluarga dan saudaranya. Tidak pula mengadu kepada anak dan isteri. Namun dia hanya ingat kepada Allah Yang Maha Penolong, yang dapat menghilangkan kesusahan, dan keadaan yang menakutkan. Dalam rintihannya dia berdoa yang membawa maksud:

"Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." 
(surah al-Anbiyaa`, ayat 87)

Ketika Allah mendengar doa Nabi Yunus `alaihi salaam, maka Dia menolongnya dan menyelamatkannya. Ketika angin taufan berhembus kencang, ombak yang besar menerjang kapal sehingga kapal tersebut bergoncang dan para penumpangnya berteriak ketakutan serta memanggil nama Tuhannya, Dialah Tuhan yang tiada tuhan selain-Nya. Mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan rasa ikhlas:

"Maka apabila mereka naik kapal mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya; maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah)."
(surah al-Ankabuut, ayat 65)

Ketika seseorang itu melakukan dosa, jika dia mahu bertaubat dan memohonkan ampun kepada Allah, maka Allah tidak sampai hati untuk tidak mengampuninya. Allah Maha Pengasih yang kasih sayangNya lebih besar daripada kemarahanNya. Allah subhanahu wa ta`ala berfirman yang membawa maksud:

"Katakanlah: 'Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'."
(surah az-Zumar, ayat 53)

Setiap hamba akan diminta pertanggungjawaban dari seluruh amalnya. Kerana Allah akan melihat isi hati setiap orang. Dialah yang mengawasi gerak-geri orang-orang yang mahu berbuat keji. Allah akan menghancurkan orang-orang zalim, dan dengan keagunganNya, Allah akan menundukkan para maharaja. Allah adalah satu-satunya zat yang kekal abadi. Maha Suci Allah dari segala kekurangan, Maha Suci Allah dari segala sekutu dan Maha Suci Allah dari segala perserupaan. Segala sesuatu yang jauh dalam pengetahuan Allah akan kelihatan dekat.

Monday, May 3, 2010

Kisah Umair bin Abi Waqas Menyembunyikan Dirinya.

Umair bin Abi Waqas radhiAllahu `anhu ialah seorang Sahabat yang muda usianya telah memeluk Islam pada masa permulaan Islam lagi. Beliau adalah adik kepada Sa'ad bin Abi Waqas radhiAllahu `anhu iaitu seorang Jenderal Islam yang termasyhur. Saad radhiAllahu `anhu telah meriwayatkan:

"Pada masa kami bersedia untuk menuju ke medan pertempuran Badar, daku ternampak Umair radhiAllahu `andhu telah cuba sedaya upayanya menyembunyikan dirinya."

Ini telah memeranjatkan daku. Daku telah bertanya kepada beliau, "Apakah yang telah berlaku ke atas dirimu wahai Umair dan apakah yang telah menyebabkan dikau bersembunyi seperti ini?" Umair radhiAllahu `anhu telah menjawab, "Daku takut baginda Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam mungkin tidak akan membenarkan daku mengambil bahagian di dalam pertempuran itu berdasarkan usia daku yang semuda ini walaupun daku cukup rindu untuk pergi mati dan syahid di jalan Allah subhanahu wa ta`ala."

Keinginan Umair radhiAllahu `anhu untuk menyertai angkatan perang itu begitu mendalam sekali. Walau bagaimanapun Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam berjaya mengesannya lalu baginda menegahnya dari menyertai barisan tentera itu. Kegagalannya untuk menyertai peperangan itu begitu menghampakah harapannya lantas beliau menangis. Apabila perihal keinginannya yang amat sangat serta kekecewaanya itu disampaikan kepada Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam, akhirnya baginda mengizinkannya. Umair radhiAllahu `anhu berjuang bermati-matian di dalam pertempuran tersebut sehinggalah nyawanya terkorban.

Sa`ad radhiAllahu `anhu telah berkata: "Pedang Umair radhiAllahu `anhu terlalu besar untuknya, menyebabkan saya terpaksa mengikat beberapa simpulan di pinggangnya supaya ia tidak menyentuh bumi."

Saturday, May 1, 2010

Abdullah bin Abbas Mengajar Hambanya.

Ikramah, hamba kepada Abdullah bin Abbas radhiAllahu `anhu merupakan salah seorang dari ulama` yang unggul. Dia berkata:

"Semasa saya mempelajari al-Qur`an dan Hadith, saya diikat dengan rantai oleh tuan saya, dengan itu saya tidak dapat pergi ke mana-manapun dan terpaksa menumpukan sepenuh masa kepada pelajaran-pelajaran saya."

Sebenarnya ilmu pengetahuan itu hanya boleh diperolehi apabila seseorang itu menumpukan sepenuh perhatian terhadapnya. Para pelajar yang suka menghabiskan masa mereka dengan sia-sia, merayau-rayau kesana-kemari dan hanya bersuka-suka, mereka ini tipis sekali peluang-peluangnya untuk memperolehi pengetahuan yang mendalam. Sebagai hasal dari usaha ini Ikramah digelar sebagai "lautan pengetahuan" dan "umat yang paling terpelajar".

Qatadah berkata: "Ada empat orang yang paling terpelajar sekali di kalangan para Tabiin dan Ikramah merupakan salah seorang dari mereka itu."