Wednesday, October 24, 2012

Musibah Itu Nikmat

Musibah Itu Nikmat

Rumah banjir, kecurian, kemalangan, pergaduhan dan sebagainya. Mengapa semua ini semakin menjadi-jadi. Kalau musibah itu kena pada orang lain, dengan mudah kita akan katakan ia sebagai bala dari Tuhan. Kalau musibah itu kena pada kita sendiri, mulalah kita menyalahkan takdir.

Mengapa aku yang kena? Aku dah berusaha kenapa aku masih gagal? Aku dah banyak doa, solat. Kenapa aku yang dapat musibah? Soalan-soalan yang tidak munasabah mula terpacul di mulut, paling tidak pun berlegar-legar dalam fikiran, sebagai tanda tidak puas hati terhadap kesudahan yang menimpa dirinya. Seolah-olah dia berhak mempersoalkan keputusan Allah yang menentukan qadaí dan qadar. Seolah-olah dia layak menentukan kesudahan mana yang dia suka. Jangan nafikan, kerana itu sudah menjadi sifat manusia yang mudah lupa. Kita pasti pernah melalui perasaan-perasaan itu sekiranya kita manusia. Alhamdulillah sekiranya tidak pernah terlintas sedikit pun di hati kita perasaan itu, itu semua lindungan daripada Allah.

Tujuan Musibah

Marilah kita sama-sama kita melihat musibah ini dalam sudut yang lebih positif. Sememangnya musibah itu adalah sebagai dua tujuan; satu sebagai bala, balasan dunia kepada manusia yang ingkar, satu lagi sebagai peringatan kepada manusia yang beriman dan berakal. Sebagai contoh, bencana alam di sesebuah tempat yang menghapuskan seluruh penduduknya mungkin merupakan bala bagi penduduk tersebut yang engkar kepada Allah, tapi ia merupakan peringatan kepada orang lain yang menyaksikan bencana tersebut.

Dan betapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, (padahal) mereka lebih hebat kekuatannya daripada mereka (umat yang belakangan) ini.

Sungguh, pada yang demikian itu pasti terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya. (50:36-37)

Contoh yang lain kekalahan yang menimpa firaun dan bala tenteranya merupakan bala bagi keingkaran mereka manakala kekalahan tentera Islami dalam pusingan kedua perang uhud merupakan peringatan bagi mereka yang beriman.

Dan tiadalah peringatan itu melainkan ia merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hambaNya. Dan tiadalah yang lebih mengetahui tentang manusia melainkan Allah akan sifat manusia yang mudah lupa dan mudah tergoda. Maka dikurniakan peringatan demi peringatan dalam pelbagai bentuk kepada hambaNya agar hambaNya kembali mengingatiNya. Betapa kasihnya Allah kepada hambaNya. Percayalah bahawa ingatnya kita kepada Allah, tunduk patuh kita kepada Allah tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada kekuasaan Allah. Allah Maha Besar tidak memerlukan sedikit pun daripada hambaNya bahkan kitalah yang berkehendakkan kepadaNya. Maka wajiblah kita percaya bahawa semua itu adalah untuk kebaikan kita sendiri. Betapa kasihnya Allah kepada hambaNya.

Lumrah Hidup

Hidup kita merupakan ujian. Susah senang yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya telah diatur rapi oleh Allah untuk kita. ia mewarnai kehidupan kita sebagai seorang manusia. Hidup mudah tanpa kesusahan pasti membosankan. Kesusahan yang berterusan pasti mengecewakan. Lumrah kehidupan pasti ada naik dan turun, menang dan kalah, berjaya dan gagal. Itu sudah menjadi sunnatullah, Allah yang lebih memahami sifat makhlukNya. Tugas kita (sebagai hamba Allah) hanyalah menjalankan apa yang disuruhNya bukan menentukan kesudahan sesuatu perkara. Biarlah ketetapan/kesudahan sesuatu perkara itu menjadi hak milik Allah semata. Dan sesungguhnya Allah Maha Adil.

Sikap Mukmin

Sikap kita sebagai orang yang beriman hendaklah sepertimana yang diucapkan oleh Rasulullah saw.

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah saw bersabda: Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya. (Riwayat Muslim)

Hendaklah kita menerima segala apa yang berlaku di dunia ini dengan keredhaan yang mutlak kepada Allah. Syukur dan sabar adalah respon kita yang paling baik untuk setiap perkara, senang atau susah. Syukur kerana pasti ada rahmat disebalik kesusahan yang menimpa, sabar kerana itulah tanda orang yang beriman.

Abdullah ibn Umar ra apabila ditimpa musibah akan mengucapkan alhamdulillah dan redha kerana:

- musibah yang datang bukan urusannya
- tahu musibah yang lebih besar boleh terjadi
- Allah akan kasih padanya
- Allah akan beri pahala
- Antara rahmat Allah yang akan kita dapati apabila ditimpa musibah ialah sebagai penghapus dosa, menambah pahala dan pencetus hidayah. Semua ini boleh kita dapati hanya apabila kita syukur dan sabar.
- Apabila kita bersikap sebaliknya, yang kita dapati juga adalah sebaliknya. Ia akan menambah dosa kita, mengurangkan pahala dan kita akan semakin jauh dari hidayah Allah. Naíuzibillah, moga dijauhkan.

Realiti Sebenar & Respon Kita

Realitinya, bercakap lebih mudah daripada merasainya. Perasaan yang terluka lebih pedih daripada jari yang dihiris pisau. Namun sebagai seorang yang beriman batas-batas Islam perlulah dijaga walaupun perit di hati siapalah yang tahu. Percayalah yang kita boleh menghadapinya kerana Allah tidak mungkin menguji hambaNya sesuatu yang hambaNya tidak mampu untuk memikulnya. Percayalah selepas kesusahan pasti ada kesenangan. Berharaplah kepada Allah agar ditunjukkan jalan keluar. Dekatilah Allah agar ditenangkan hati dan diberi hidayah. Railah perasaan kita sekadarnya, jangan dinafikan emosi seorang manusia kerana Rasulullah saw juga menangis ketika kematian anaknya Ibrahim. Bersyukurlah sekiranya hati kita masih menagih ampunan daripada Allah dikala musibah menimpa kerana itulah tanda ia merupakan peringatan daripada Allah. Semoga kita dikuatkan dengan peringatan-peringatan ini. Wallahuíalam.

Sunday, October 21, 2012

Menahan Marah

Diriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. katanya, "Berilah wasiat kepadaku." Sabda s.a.w ,'ìJanganlah engkau marah.î Lelaki itu mengulangi (permintaannya) beberapa kali. Rasulullah s.a.w. tetap bersabda, "Janganlah engkau marah." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Larangan jangan marah

Marah adalah sifat semula jadi yang ada pada semua orang, antara mereka ada yang cepat marah dan ada yang lemah lembut. Marah bukanlah suatu sifat yang boleh dibuat serta merta, malah ia biasanya didahului sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu marah, perasaannya memberontak dan akan bertindak kasar. Seseorang yang sedang marah akan hilang kewarasan fikirannya. Pertimbangannya sudah hilang, lidahnya asyik memaki hamun dan mengejek-ejek. Kadang-kadang perasaan marah berlanjutan sehingga menimbulkan permusuhan antara keluarga dan sahabat handai, dan lebih aneh lagi ada orang boleh berkelahi dengan benda-benda yang tidak berakal.

Perasaan marah dapat diatasi dengan mengikuti beberapa panduan yang ditunjukkan oleh Islam, iaitu:

1. Hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutamanya contoh yang terdapat dalam Sunnahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah S.W.T: "ÖDan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali Imran3-134)

2. Memohon kepada Allah supaya menjauhkannya daripada syaitan yang dilaknat. Panduan ini dinyatakan didalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T.: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui." (al-A'raf :200)

3. Meninggalkan tempat yang menyebabkan seseorang itu marah. Sabda Baginda: "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Abu Daud)

4. Mengambil wuduk, sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk." (Abu Daud)

Oleh kerana besarnya bahaya marah, Nabi s.a.w. melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani. "Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Al-Tirmizi)