Sunday, April 29, 2012

Kenali Allah s.w.t

Telah menulis Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali di dalam kitabnya yang cukup terkenal dan mempunyai berkat dan manfaat yang besar, Ihya’ Ulum al-Din:

Allah bukan merupakan benda yang dirupakan. Bukan merupakan atom yang terbatas. Allah tidak menyamai benda baik dalam perkiraan mahupun bahagiannya. Allah bukan merupakan jasad dan jasad tidak berada pada-Nya. Allah bukan merupakan aradh dan tidak ditempati aradh. Allah tidak menyerupai sesuatu yang ada dan sesuatu yang ada tidak menyerupai Dia. Tidak ada yang serupa dengan Dia dan Dia tidak serupa dengan sesuatu. Allah tidak terbatas oleh ukuran. Allah tidak terlingkup oleh daerah. Allah tidak terlingkup oleh arah. Allah tidak dikelilingi oleh langit dan bumi.

Allah beristiwa’ atas arasy dengan istiwa’ yang Dia kehendaki. Istiwa’ yang jauh daripada sentuhan, bertempat dan berpindah. Allah tidak dipikul oleh arasy. Bahkan arasy dan semua pemikulnya berada dalam kekuasaan-Nya dan tunduk di bawah perintah-Nya.

Allah tidak bertempat dalam sesuatu, sebagaimana tidak ada sesuatu yang bertempat pada-Nya. Allah tidak terlingkup oleh ruang sebagaimana tidak terlingkup oleh waktu. Allah ada sebelum Dia menciptakan waktu dan ruang. Allah sekarang ini ada pada apa yang ada pada-Nya. Allah lepas daripada mahluk-Nya dengan sifat-Nya. Tidak ada selain Dia pada Zat-Nya dan Zat-Nya tidak ada pada selain Dia.

Allah Maha Suci daripada hal-hal yang baru, iaitu perubahan dan perpindahan. Allah tidak ditempati oleh mahkluk dan tidak terjadi hal baru pada-Nya. Allah sentiaa bersifat kebesaran dan suci daripada sirna. Dalam kesempurnaan-Nya Allah tidak memerlukan tambahan kesempurnaan-Nya. Allah diketahui ada-Nya dengan akal. Allah Zat-Nya boleh dilihat dengan mata sebagai nikmat dan anugerah bagi orang-orang yang berbakti di syurga. Itu sebagai penyempurna nikmat dengan memandang Zat-Nya Yang Mulia.

Thursday, April 19, 2012

Mengenal Allah Adalah Utama

Di dalam ajaran Islam, mengenal Tuhan lebih dahulu adalah perkara yang pertama dan utama
Selepas itu barulah mengenal syariat-Nya pula
Tujuan mengenal Tuhan agar hamba-hamba-Nya di kalangan manusia cinta kepada-Nya
Pepatah Melayu ada berkata: Tidak kenal maka tidak cinta
Percaya sahaja adanya Tuhan tapi tidak kenal Tuhan sudah tentu cinta tidak berbunga
Tidak cinta kepada Tuhan, syariat-Nya orang tidak akan menghormati
Mari kita mengenal Tuhan agar kita cinta kepada-Nya

Tuhan adalah Allah yang mencipta dunia Akhirat dan seluruh isinya
Mencipta manusia bahkan mencipta segala-galanya
Dia adalah Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Melihat, Maha Mendengar,
Maha Berkehendak dan kehendak-Nya tertunai segala-galanya
Tuhan adalah mengadakan dan mentiadakan, mematikan dan menghidupkan
Menghukum sama ada di dunia mahupun di Akhirat kerana keadilan-Nya

Tuhan adalah segala-galanya
Dialah yang memberi makan dan minum, Dialah yang menyakitkan dan menyembuhkan
Dia juga menyenangkan dan menyusahkan, memiskinkan dan mengkayakan
Menjatuhkan dan menaikkan seseorang atau sesuatu bangsa
Memberi rahmat dan nikmat, memberi niqmat dan bala bencana
Mendidik, mengasuh, menjaga dan memberi keselamatan
Memberi petunjuk dan menyesatkan sesiapa yang Dia suka
Tapi semuanya berlaku dengan ketentuan dan hukuman-Nya
Siapa yang masuk Neraka adalah dengan keadilan-Nya
Siapa yang masuk Syurga adalah dengan rahmat-Nya

Tuesday, April 17, 2012

Keduniaan Yang Merugikan Akhirat

Bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana melahirkan kita ke alam dunia yang fana ini. Kita dihidupkan dan insyallah akan dimatikan dengan izinNya. Kita dipinjamkan jasad dan nyawa untuk beberapa ketika yang diizinkan yang kita sendiri tidak mengetahui kecuali diriNya. Hidup kita mengikut apa yang disabdakan oleh Baginda Rasul sebagai seorang pengembara yang sedang dalam perjalanan ke suatu destinasi yang jauh dan memerlukan banyak bekalan. Tentunya dalam perjalanan itu banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamat untuk ke destinasi. Pengembara yang bijak tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kebahagiaan sementara yang ditempuh dalam perjalanan kerana dia tahu bahawa dia sebenarnya adalah warga satu alam lagi. Manakala pengembara yang lupa daratan akan menikmati sepuas-puasnya apa sahaja yang ditempuh; seolah-olah iniah dunianya sehingga terlupa matlamat asal untuk menuju ke dunianya yang sebenar. Mereka terpedaya dengan kemanisan dunia dan menyangkakan apa yang dipungut itulah BEKALAN.

Sebagai seorang pengembara, kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut kompas yang dipiawaikan oleh Rasul. Untuk sampai ke destinasi AKHIRAT, pungutlah bekalan sebanyak mungkin. Anggaplah segala keseronokan duniawi sebagai BEBAN yang boleh menjejaskan perjalanan ke sana. Ingatlah pesanan orang tua : Kita sebenarnya adalah WARGA AKHIRAT - tempat yang kekal abadi; sementara dunia ini ialah rumah tumpangan sementara yang penuh kepalsuan dan tipu-daya. Oleh itu kita mestilah bijak memilih mana satu BEKALAN dan mana satu BEBAN. Barangan yang dikategori sebagai BEBAN akan menyusahkan perjalanan ke akhirat manakala barangan BEKALAN akan berfaedah untuk kehidupan di sana. Kutiplah bekalan sebanyak mungkin dan hindarkan memikul beban yang menyulitkan perjalanan.

Ingatlah: "Dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di Akhirat nanti."

"Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati keesokannya." - Atsar

Ramai mentafsirkan Atsar ini dari segi keduniaan iaitu kerja bersungguh-sungguh kerana kita akan hidup lama di dunia. Tetapi makna yang tersirat ialah kita hidup lama lagi di dunia jadi kenapa nak bekerja beria-ia mencari pendapatan lebih sedangkan masa banyak lagi. Tetapi dalam hal akhirat, kita akan mati esok - jadi terpaksalah buat persiapan dengan lengkap dan berhati-hati kerana kita akan mati esok. Tafsiran begini jarang diterangkan oleh umum terutama pemburu harta di dunia.

Friday, April 6, 2012

Kejadian Lidah

Di Sebalik Kejadian Lidah
Maha Kuasanya Tuhan, Maha Besarnya Dia kerana kejadian lidah manusia sahaja pun terasa ayat-ayat kebesaran dan kekuasaan-Nya
Tapi hati ramai manusia sudah buta,
tidak terasa lagi kebesaran Tuhan dan kekuasaan-Nya

Lidah kalau merasa makanan atau minuman boleh pula bertukar-tukar rasanya
Lidah yang satu boleh merasa berbagai-bagai rasa
Satu lidah rasa yang dia alami sungguh banyak
Macam-macam yang dimakan, dia merasa berbagai-bagai rasa
Ada yang dimakan merasa manisnya,
ada yang dimakan dan diminum rasa masam dan pahit

Begitulah seterusnya ada rasa payau, loya, kelat, tawar
Ada yang rasa bercampur-campur manis, masam begitulah seterusnya
Rasanya yang banyak oleh satu lidah
Satu lidah merasa berbagai-bagai rasa mengikut apa yang dimakan dan diminum
Maha Besar Tuhan, Maha Berkuasanya Allah

Kalau apa yang dicakapkan oleh lidah pula,
berbagai rasa pula yang dirasa oleh orang ramai yang mendengarnya
Ajaib juga lidah punya hal orang ramai hatinya boleh berlaku bermacam-macam rasanya oleh satu lidah apabila lidah berucap

Tuesday, April 3, 2012

Merenung Kejadian Alam Cakerawala

Ulil Albab adalah gulungan yang diistimewakan dan yang disebut Allah di dalam AlQuraan. Sebanyak 16 kali disebut di dalam AlQuraan. Ulil Albab menggunakan kurniaan akal untuk merenung setiap kejadian di alam semesta yang maha luas ini.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulil Albab (orang yang berakal)" (Al-Imran :190)

Imam AlGhazali menyatakan Sungguh, jalan untuk mengenal Allah (maírifatullah) dan mengagungkanNya itu adalah dengan cara memikirkan setiap mahlukNya, merenungkan keajaiban-keajaiban dan memahamkan hikmah-hikmah yang terkandung dalam segenap ciptaanNya.

Al Quraan menjelaskan bahawa alam dan segala kandungannya adalah dicipta oleh Maha Pencipta, Allah. Dia telah memerintahkan kepada orang yang dikurniakan akal fikiran itu agar mengamati kejadian di alam cakerawala ini. Firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah : Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.." (Yunus:101)

Allah bukan sahaja Pencipta Alam tetapi juga memelihara, mengawal dan mengurus segala juzuk alam dari sekecil-kecil hingga yang sebesarnya. Semuanya tunduk kepada hukum dan peraturan yang telah ditetapkan.

Lihat bagaimana Allah memerlihara perjalanan matahari yang bersaiz 99.9% dari saiz objek-objek sistem suria, mengharungi alam cakerawala di orbitnya sejak dari mula ia diciptakan hingga ke hari ini dan akan datang. Allah juga yang mengawal dan mengurus tentang proses penghasilan tenaga matahari melalui proses tindakbalas nuklear setiap saat sebanyak 4 x 1026 Joule sesaat menyamai 100 bilion 1 megaton bom nuklear. Tenaga yang hebat ini dibebaskan setiap saat sejak dari zaman dahulu hingga kini dan akan datang. Bagaimana pula kehebatan Pencipta yang mengatur perjalanan siang dan malam. Bagaimana bahagian malam akan menutup bahagian siang bumi dengan kelajuan 1700 km sejam (470 meter sesaat) dalam tempoh 24 jam. Setiap bahagian bumi mendapati siang dan malam mengikut kadarnya yang tertentu. Bagaimana teliti dan hebat, Bumi yang besar dengan diameter 12,756 km beredar laju dengan kelajuan 30 km sesaat mengelilingi matahari sejauh 960,000,000 km dalam masa 365.25 hari. Begitu juga bulan bagaimana teratur dan telitinya ia beredar mengelilingi bumi dengan kelajuan 61.8 km sejam tanpa terlewat atau tercepat dari masa yang ditetapkan.

Maklumat di atas yang ditemui melalui kajian sains menunjukkan betapa jitu kuantiti setiap gerakan tersebut. Jika difikir dan direnung dengan akal yang waras sudah tentu keadaan sebegitu berlaku melalui satu perancangan dan pentadbiran yang teliti dan tidak mungkin hal tersebut berlaku dengan sendirinya.