Saturday, March 30, 2013

Cinta Tuhan dan orang-orang yang mencintai Tuhan

Berkata Ibnu 'Abbas radhiAllahu 'anhu bahawasanya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

Allah Ta'ala berfirman:

"Berkata Daud tatkala dia berkata-kata kepada Tuhannya: Ya Tuhanku! Siapakah di antara hamba-hambaMu yang paling Engkau cintai, supaya aku mencintainya dengan sebab cintaMu itu? Berfirman Tuhan: Wahai Daud! Orang yang paling Kucintai di antara hamba-hambaku ialah yang paling bertaqwa hatinya, suci kedua belah tangannya, tiada menyusahkan orang lain, dan tidak membuat fitnah ke sana ke mari. Gunung-ganang akan berubah, namun dia tetap begitu juga. Dia mencintaiku dan mencintai orang yang mencintaiKu serta menarik hamba-hambaKu untuk mencintaiKu.

"Berkata Daud: Ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawasanya aku ini mencintaiMu, dan mencintai orang yang mencintaiMu, tetapi bagaimana dapat aku menarik hamba-hambaMu untuk mencintaiMu? Berfirman Tuhan: Ingatkanlah mereka kepada segala macam nikmatKu, segala macam ujianKu, dan segala macam seksaanKu.

"Wahai Daud! Sesungguhnya tiada seseorang hamba yang menolong orang yang teraniaya, atau berusaha untuk melepaskannya dari penganiayaannya, melainkan Allah akan menetapkan kedua tapak kakinya pada hari semua tapak kaki akan tergelincir."

(Riwayat Baihaqi dan Ibnu Asakir)

Ujian dan Cubaan

Allah subhanahu wa ta'ala kadangkala melaksanakan hukuman di dunia ini dengan memberikan ujian dan cubaan dalam bermacam bentuk, seperti:

1) Cubaan badaniah dan rohaniah yang berupa penyakit, luka, cacat pandangan salah satu anggota tubuh, rasa susah, gelisah, resah, duka cita dan tidak aman

2) Cubaan melalui kekayaan, seperti kehilangan, kebakaran, kekurangan dan kerosakan

3) Cubaan melalui anak dan keluarga seperti sakit, gila dan lumpuh

Semua ujian dan cubaan tersebut mungkin terjadi kerana:

a) Hasil undangan dari kedurhakaan manusia sendiri, hasil usaha perbuatan dan kelakuannya sendiri yang dihukum di dunia oleh Allah sebagai pembalasan langsung dari dosa-dosanya itu. Kemungkinan ini terjadi sebagai tanda kasih sayangNya untuk menghapuskan dosa kedurhakaannya di dunia ini, dan dia akan keluar dari dunia ini dalam keadaan suci dah bersih. Kemungkinan lainnya ialah untuk meninggikan mertabatnya, baik di dunia mahu pun di akhirat, iaitu apabila dia tidak mempunyai dosa yang harus mendapat hukuman.

b) Takdir Allah sendiri untuk menguji hamba-hambanya secara terus-menerus dirundung malang, dan nantinya akan diganti di akhirat dengan rahmat dan juga keredhaanNya.

Apabila seseorang itu menghadapi segala cubaan, ujian dan rintangan dengan redha, ikhlas dan mencari jalan keluar dengan jalan yang sebaik-baiknya, tidak mengeluh, gelisah ataupun berputus asa, Allah akan Mempermudahkan jalanan hidupnya, Memudahkan hisab di akhirat nanti, dan Memberkati hidupnya.