Thursday, April 28, 2011

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan (Bahagian 3)

7. Hubungan Maknawiyah
Pertautan hati atau roh sangat penting dalam memelihara perpaduan dan kasih sayang.Atas sebab inginkan keselamatan diri dan keselamatan orang lain maka orang berjiwa sufi seringkali saling mendoakan orang lain. Seringkali mengharapkan orang lain itu diampuni oleh Allah SWT dan ditinggikan darjat. Malah salafussoleh tidak pernah berdoa untuk dirinya sendiri. Mereka berpegang kepada maksud hadis Qudsi, "Barangsiapa mendoakan saudaranya Allah SWT kabulkan doa itu untuk dirinya dan saudaranya sebelum dia mengangkat tangan untuk berdoa."

Berdoa untuk diri sendiri belum tentu dikabulkan. Salah satu doa yang sangat makbul ialah mendoakan kepada orang lain. Kalau kita mempunyai sesuatu hajat maka panjatkan doa kita itu kepada Allah SWT bukan untuk diri tetapi tujukan kepada orang lain.Saling menghadiahkan doa ini akan bertambah menambat hati antara sesama umat Islam. Sayidina Umar Al Khattab sangat-sangat bersyukur, berterima kasih dan menghargai rakyatnya yang menghadiahkan doa untuk dirinya dan beliau pula membalas dengan berdoa pula kepada rakyat beliau.

8. Saling menasihati.
Kemuncak keangkuhan Firaun ialah apabila mengaku dirinya Tuhan. Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s. untuk memberi peringatan kepada Firaun. Allah SWT juga ingatkan kepada Nabi Musa a.s. agar bercakap kepada Firaun dengan lunak dan lembut kerana itu akan lebih mendatangkan keinsafan. Biarpun akhirnya Firaun tetap mati dalam kekufuran. Begitu pun Nabi Musa a.s seorang utusan Allah SWT, berlunak dan berlembut kepada Firaun itu bertujuan untuk Nabi Musa tidak merasai lebih baik berbanding Firaun. Sedangkan hakikatnya tentulah tidak boleh dibandingkan ketinggian darjat seorang Rasul seperti Nabi Musa a.s. Namun dalam memberi peringatan itu saja yang perlu dihindari merasai lebih baik.

Berkata keras, kasar, marah, mencerca, memaki hamun itu adalah simbol keangkuhan, ego dan sombong. Malah keras dan kasar itu menggambarkan seolah-olah terlebih dahulu menjatuhkan hukuman bersalah kepada orang lain. Sayidina Ali juga pernah menegur seseorang yang berpidato keras dan kasar seolah-olah orang itu lebih cenderung kepada menonjol diri.

Fitrah manusia adalah sama. Kalau kita sendiri tidak dapat menerima sekiranya orang lain berbahasa kesat dan mencerca, begitu juga orang lain yang turut berperasaan macam kita. Manusia ada perasaan yang mudah terguris dan tersinggung. Adakalanya mereka bukan tidak mahu menerima kebenaran tetapi terhalang oleh terguris dan tersinggung perasaannya. Manusia juga ada akal fikiran yang mampu menilai kebaikan dan keburukan. Makanan yang lazat andainya dilempar secara kasar pun boleh mematahkan selera. Kebenaran dan kebaikan perlu dihidangkan dengan cara yang sebaik mungkin dan mereka akan lebih cepat menerimanya.

9. Membaiki Diri.
Orang yang berjiwa sufi sangat kuat berusaha membaiki diri, menghilangkan segala sifat mazmumah dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Apabila semua umat Islam sama-sama membaiki diri dan dilakukan berterusan tentulah sama-sama mahukan kebaikan dan kedudukan di sisi Allah SWT. Membaiki diri untuk mencari darjat yang lebih baik di sisi Allah SWT itu akan secara otomatik memperelokkan hubungan dan ikatan sesama manusia.

Ini yang disabdakan oleh Rasulullah SAW maksudnya "Barangsiapa membaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya (hati/roh) maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terangterangan)." (Riwayat Al Hakim)

10. Syukur, sabar dan redha.
Orang yang berjiwa sufi hidupnya senang dan tenang. Tidak cerewet dan tidak ada karenah. Bukan beret tiada masalah tetapi apa situasi dan kondisi tidak mengocakkan hatinya.

Nikmat yang diterima disyukurinya, nikmat yang tidak pernah putus itu turut dibimbangi kalau-kalau dirinya tidak cukup bersyukur. Kesulitan dan kesusahan yang datang sekali-sekala dihadapi dengan sabar. Sabar itu ertinya daya tahan atau keupayaan menghadapi sesuatu kesulitan. Cuba bayangkan bahawa tidak ada satu detik dari kehidupan ini melainkan tersalurnya nikmat anugerah Allah SWT. Dan bandingkan pula dengan kesusahan atau kesulitan yang datang sekali sekala. Datangnya pula tidak selama-lamanya. Kebiasaannya hanya sementara. Tidak ada orang yang sakit sahaja sepanjang hidup. Tidak ada orang yang hidup melarat buat selama-lamanya.

Setidak-tidaknya ada kedapatan satu kesusahan yang berpanjang ada pula nikmat di sebalik kesusahan tersebut. Atau banyak hikmah di sebaliknya, paling kurang untuk penghapusan dosa atau meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Tentulah kita berupaya menahan atau menghadapi kesusahan itu untuk sementara waktu.

Tidak bergerak dan diam sesuatu itu melainkan dengan kehendak dan izin Allah SWT. Menyedari hakikat inilah maka sesuatu musibah itu Allah SWT datangkan kepada manusia. Samada musibah sendiri atau musibah bersama yang ditanggung oleh umat Islam. Redhalah kepada Allah SWT yang mendatangkan musibah dan ingat bahawa itu adalah berpunca dari perbuatan dosa. Selain itu, ianya merupakan "panggilan" dari Allah SWT agar berpaling lebih mendekatkan diri atau menghampirkan diri kepada Allah SWT. Jangan lalai dan leka. Maka "panggilan" Allah SWT itu hendaklah disahut segera sebelum datangnya bala atau malapetaka sebagai murka Allah SWT.

Tidak ada sesuatu apa pun yang Allah SWT datangkan kepada orang berjiwa sufi melainkan ianya mendatangkan kebaikan. Memperolehi nikmat disyukurinya maka Allah SWT beri pahala. Sabar atas kesusahan, juga Allah SWT beri pahala dan redha dengan ketentuan Allah SWT itu juga diberi pahala. Andainya inilah pegangan dan sikap umat Islam nescaya hidup dalam aman sejahtera tanpa ketakutan, tanpa krisis dan tanpa permusuhan.


Wallahu'alam.

Monday, April 25, 2011

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan (Bahagian 2)

2. Mengenang Nasib Di Akhirat
"Dunia ini adalah tanaman akhirat".
Ertinya segala  amalan, pekerjaan, perlakuan dan gerak geri sepanjang hidup ini hanyalah disifatkan sebagai menanam sahaja. Akhirat merupakan tempat memungut hasil. Apa yang bakal dikutip di akhirat nanti samada  pahala atau dosa, samada syurga atau neraka, bergantung kepada apa dan bagaimana kita menanam. Orang yang berjiwa sufi sentiasa takut dan bimbang. Takut dan bimbang tentang nasibnya di akhirat kelak. Takut dan cemas di saat berhadapan Qadhi Rabbul Jalil yang akan menyelongkar setiap apa yang dilakukan sepanjang hidup. Satu apa pun tidak akan tercicir, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi hatta gerak dan lintasan hati sekalipun. Maka perlumbaan di dunia ini, apa yang diburu ketika hidup, kerakusannya ialah terhadap menimba amal sebanyak-banyak dan menolak segala perbuatan mungkar dan keji. Begitupun banyak amalan dan menolak kejahatan, nasib di sisi Allah SWT di akhirat nanti belum tahu. lanya sangat bergantung kepada rahmat Allah SWT. Hanya rahmat Allah SWT itu hampir kepada orang yang beramal.

Apa saja nikmat yang bersifat duniawi tidak lebih hanya sekadar umpama peralatan dalam menanam padi. Alat-alat yang membantu dan memudahkan kerja-kerja menanam padi. Lebih lengkap dan sempurna segala peralatan maka lebih mudah kerja-kerja menanam dan berpeluang mendapat hasil yang lumayan. Itu pun bukan satu jaminan kerana kadang-kadang dirosakkan oleh berbagai-bagai musuh seperti burung dan ulat. Tanpa, disangka-sangka yang menanam dengan peralatan tradisi berjaya mengutip hasil yang banyak kerana dikawal sungguh dari musuh dan penyakit padi.

3. Rasa Berdosa.
Imam As Shafie menghitung dosanya sebanyak biji pasir di Padang Sahara dan dirinyalah orang yang paling banyak dosa. Seorang ahli sufi mengira jumlah dosanya hitung panjang sepuluh dosa setiap hari. Dia hidup selama enam puluh lima tahun. Dikira dosanya bermula pada usia lima belas tahun. Maka jumlah dosanya ialah 10 x 365 x 50 = 182,500. Satu hari di akhirat sama panjangnya dengan seribu tahun mengikut ukuran dunia. Andainya setiap satu dosa itu Allah SWT hukum sehari masuk neraka, maka 182,500 dosa itu di darab dengan seribu lantas ahli sufi itu menjerit, jatuh pengsan dan terus mati.

Alangkah indahnya hidup bermasyarakat apabila setiap orang lebih memikirkan dosa dan kesalahan sendiri. Rasa berdosa itu tidak memberi kesempatan dan tidak ada ruang untuk dirinya memikirkan kejahatan dan cacat cela orang lain. Jauh sekali hendak menyakiti, menindas dan menzalimi orang lain. Malah diganti dengan penuh kasih sayang dan cinta mencintai.

4. Mengutamakan orang lain.
Sekumpulan tentera Islam yang cedera parah dari satu peperangan sedang berbaring untuk menerima layanan dan rawatan. Salah seorang merintih kehausan. Pelayan membawa segelas air. Sebalik saja gelas hampir mencecah mulutnya kedengaran pula seorang lain yang juga merintih kehausan. Ditolaknya gelas tersebut sebagai isyarat untuk diberi kepada orang itu. Begitu juga yang berlaku, ada suara mahukan air lalu ditolaknya untuk diberi kepada orang itu pula. Perkara yang serupa juga terjadi kerana adanya suara kehausan daripada tentera yang baru tiba. Ditolaknya air itu untuk orang baru itu. Tetapi yang baru tiba itu telah meninggal dunia sebelum sempat meneguk air. Lalu pelayan kembali membawa kepada yang pertama, pun telah mati, yang kedua pun menghembuskan nafas terakhir,yang ketiga pun telah meninggal dunia. Segelas air itu tidak sedikit pun membasahi tekak mereka.

Begitulah secebis kisah betapa para sahabat yang berjiwa luhur, di saat nyawa hampir melayang pun masih sempat berbakti dan mengutamakan orang lain. Mereka tidak langsung adanya kepentingan diri. Bukan keselesaan hidup yang tergugat, bukan kesenangan hidup yang tergugat, bukan harta benda yang tergugat, malah di saat nyawa tergugat spun masih meletakkan orang lain lebih utama dan berharga. Orang lain lebih layak diberi peluang untuk menyambung hid up.

5. Menutup aib saudaranya.
Memiliki jiwa sufi bukan sahaja tidak mengorek-ngorek, tidak mengintai dan mengintip, tidak rnencari-cari kesalahan saudaranya, malah kesalahan yang terlanjur pun diusahakan untuk menutupinya. Ini bukan bererti' bersubahat dan menyetujui perbuatan jahat saudaranya itu tetapi tidak dijaja, tidak disebar dan tidak diberitahu kepada orang lain, kecuali kalau terpaksa dengan maksud untuk membaikinya, maka diadukan kepada orang tertentu umpamanya kadhi atau pemimpin.

Kalaupun terpaksa didedahkan, itu pun menurut yang diharuskan oleh syariat seperti untuk pendakwaan atau penghakiman yang sangat terbatas kepada orang-orang tertentu. Bukannya tersebar hingga orang buta dan orang pekak pun turut tahu. Anak-anak kecil yang belum mukallaf pun sudah mengenal kemungkaran orang lain. Kesalahan orang lain yang dipandang berat itu pun andainya berlaku berulang kali dan sangat memberi kesan buruk kepada kepentingan masyarakat. Kesalahan yang sekadar sekali mungkin terlanjur tidak boleh lawan nafsu maka diharapkan yang empunya diri akan sedar dan insaf sendiri dan membaiki kesalahan tersebut tanpa melibatkan orang lain.

6. Pemaaf.
Berjiwa sufi ertinya sangat pemaaf. Dan pemaaf itu salah satu sifat keTuhanan yang wajar menjadi pakaian manusia. Allah SWT itu rahmat dan keampunannya sangat luas. Anggaplah orang yang bersalah itu hanya sekali saja sebaliknya diri kita yang berbuat salah berkali-kali. Hanya mungkin kita berbuat salah tidak kepada orang yang sama.

Umpamanya ada orang meminta maaf kerana mengumpat diri kita. Mungkin itu sekali sahaja. Maka wajarlah segera memberi maaf kerana kita mungkin telah banyak kali mengumpat orang lain cuma bukan ditujukan kepada orang yang sama. Malah bagi para salafussoleh yang jiwa sufinya menebal mereka memaafkan siapa sahaja samada diketahui, dikenali atau tidak, samada meminta maaf atau tidak agar orang lain diampuni oleh Allah SWT. Pihak yang bersalah pula perlulah segera memohon maaf kerana mati tidak mengira masa dan tempat.

Friday, April 22, 2011

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan (Bahagian 1)

Berjiwa sufi merupakan salah satu faktor penting untuk membendung perpecahan. Di mana-mana saja berlakunya krisis. Dari krisis individu yakni krisis jiwa, membawa kepada krisis dalam institusi kekeluargaan, kemudian krisis dalam masyarakat, hinggalah kepada krisis dalam kelompok yang lebih besar di kalangan anggota pertubuhan, persatuan, organisasi, seterusnya krisis di peringkat negara dan antara negara, semuanya adalah akibat dari tidak memiliki jiwa sufi.

Rata-rata umat Islam sudah bernafsu besar, buas dan rakus. Sangat mementingkan diri sendiri serta keluarga. Berlumba-lumba memburu dan membolot apa yang ada, tidak mengira halal dan haram. Tanpa mengira jalan yang hak dan batil. Sanggup menindas dan menzalimi, jatuh menjatuh demi memperolehi sedikit dari kesenangan duniawi. Firman Allah SWT bermaksud:
"Katakan sesunguhnya kebendaan duniawi ini kecil (sedikit) dan akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa."

Para pemimpin menjadi pencetus huru hara demi memenuhi selera kepimpinannya. Pemimpin sudah tidak memikirkan rakyat ramai. Mereka menjadikan jawatan sebagai satu peluang untuk menimba kekayaan dan bukan sebagai amanah. Para ulama menjual agama dengan wang ringgit, pangkat dan kedudukan. Menjaga periuk nasi menjadi keutamaan. Apabila bertembung kepentingan dan habuan duniawi dengan kebenaran yang mereka terpaksa memilih salah satu maka berbohong atau dengan mudah menggadai kebenaran adalah pilihan mereka. Ulama tidak lagi mendidik umat ke arah kenal dan takut kepada Allah SWT kerana mereka sendiri sudah tidak kenal dan tidak takut kepada Allah SWT.

Orang kaya sangat kedekut, genggam tak tiris. Mereka sudah lupa daratan, bermewah-mewah, individualistik serta membazir. Mereka lupa kepada jasa petani dan nelayan, kaum buruh dan pekerja hatta tukang kebun dan pemandunya yang tinggal di gobok buruk di kampung setinggan. Sedangkan banglo yang tersergam gagah itu adalah hasil kerja tangan dan tumpuan keringat para kuli dan tukang. Makanan yang dimakan itu adalah jasa tulang empat kerat petani dan nelayan yang saban hari dilambung gelombang.

Orang miskin pula tidak sabar dan tidak redha lantas iri hati dan hasad dengki. Mereka juga sangat cintakan duniawi malangnya duniawi tidak memihak kepada mereka. Memasang angan-angan yang tidak sepadan dengan kemampuan. Akhirnya turut melupai Allah SWT dan agama juga tergadai.

Akibat bernafsu besar,buas dan rakus ini maka Allah SWT dilupai, tidak kenal dan tidak takut. Apabila hati sudah tidak takut kepada Allah SWT maka agama turut terabai dan terpinggir. Agama bukan lagi menjadi pegangan dan panduan hidup. Akhirat bukan lagi menjadi pilihan dan tempat yang semua orang bakal menemuinya. Hidup menurut apa yang difikirkan umpama lalang ditiup angin.

Apabila agama tidak menjadi pegangan dan panduan maka ideologi yang menjadi pengganti. Ideologi itu pula ada yang sudah tersedia tersusun dan terhimpun sebagai satu fahaman politik. Namun sebenarnya apabila bukan wahyu yang menjadi pegangan dan panduan maka hidup seseorang itu dengan apa yang difikirkannya maka itulah ideologi tanpa nama.

Untuk mengekang nafsu buas dan rakus dan menolak segala ideologi samada berbentuk isma-isma atau ideologi sendiri, sekaligus dapat mempertautkan hati sesama umat Islam tanpa mengira batas sempadan golongan, puak, kedudukan, bangsa, asal usul, keturunan dan negara perlu memiliki jiwa sufi yang di antara ciri-cirinya adalah seperti berikut:

1. Rasa kehambaan.
Berusaha bersungguh dan istiqamah (berterusan) memperolehi atau mencapai rasa kehambaan yang mendalam. Benar-benar mengenali diri itu adalah hamba' yang dicipta oleh Allah SWT. Sewajarnya sampai kepada tahap rasa takut, bimbang, cemas, gementar, malu, mengharap, rindu, rasa dilihat, didengar, diketahui sehingga tidak lekang dari hati. Seiringan dengan itu tidak lekang pula rasa berTuhan yang tinggi, kenal Allah SWT hingga ke peringkat merasai keagungan, kebesaran, kehebatan Allah SWT. Biarpun tidak dapat dicapai dalam tempuh yang singkat namun inilah matlamat hidup manusia yang sebenar. Matlamat ini yang mesti diburu, dikejar dan diusahakan hingga akhir hayat.