Saturday, February 20, 2010

Allah Wujud Tanpa Permulaan

Mengapakah diiatakan bahawa ALLAH itu wujud tetapi tanpa permulaan?

Sebabnya ialah, alam dan semua makhluk atau segala yang baharu ini, semuanya ALLAH yang menjadikan. Kerana itu, tentulah ALLAH, sudah ada lebih dahulu daripada semua makhluk ini. Bermakna ALLAH SWT sudah sedia ada sebelum adanya makhluk dan segala yang baharu ini.

Jadi, kalau dikatakan bahawa ALLAH itu ada permulaan, tentu ALLAH itu bukan Tuhan lagi kerana ini bermakna ALLAH SWT ada yang menjadikan. Sedangkan ALLAH tidak ada yang menjadikan. Sebaliknya semua makhluk dan segala yang baharu ini dijadikan oleh ALLAH SWT. Bagaimana pula ALLAH SWT itu ada yang menjadikan? Dengan sendirinya akan terbatal pengertian bahawa ALLAH SWT itu ada permulaan. Jadi, nyatalah bahawa ALLAH itu tidak didahului oleh tiada. Amat mustahil bagi ALLAH SWT itu pada mula-mulanya tidak ada dan kemudiannya baharu ada. Sebabnya, ALLAH SWT itu tidak dijadikan oleh sesiapa. Kerana itu sifat sedia bagi ALLAH SWT itu ialah sedia yang tidak ada permulaan. Tidak sepertimana sifat sedia yang berlaku pada benda-benda.

Dan dengan itu, wajiblah kita meyakini dengan sungguh-sungguh tanpa dicelah oleh sebarang syak, zan atau waham bahawa wujudnya ALLAH SWT itu tidak didahului oleh tiada. Orang yang menaruh syak, zan atau waham di dalam keyakinannya, telah jatuh syirik. Dan sekiranya dia mati dalam keadaan demikian, kekallah dia di dalam Neraka selama-lamanya.

Gelincir Aqidah
Amat perlu sekali kita ingat di sini bahawa seseorang yang telah syirik atau kufur belum lagi kembali kepada Islam walaupun dia telah mengucapkan dua kalimah syahadat. Orang yang murtad atau jatuh syirik, sudah tergelincir aqidahnya walaupun dia boleh mengucap dua kalimah syahadat. Oleh itu kita tidak boleh dengan mudah mengatakan, "Kalau sudah jatuh syirik atau murtad, mengucap sajalah, tentu akan beriman kembali."

Di sinilah terkelirunya sesetengah orang. Aqidah seseorang itu tergelincir disebabkan dia menaruh syak atau ragu terhadap sifat-sifat ALLAH SWT, sama ada terhadap sifat Wujud-Nya, sifat Qidam-
Nya, atau sifat-sifat yang lain. Aqidah ialah tauhid kita kepada ALLAH SWT. Seseorang yang sudah mengucapkan dua kalimah syahadat belum tentu mempunyai rasa bertauhid kepada ALLAH SWT.
Sebab itu, seseorang yang telah syirik mesti membetulkan aqidahnya; dia mesti bertauhid dahulu kepada ALLAH SWT dengan meyakini segala sifat yang wajib, yang mustahil dan yang harus bagi ALLAH SWT. Dan kemudian baharulah dia mengucap dua kalimah syahadat. Dengan itu, baharulah dia kembali beriman kerana ucapan dua kalimah syahadat itu selari dengan aqidahnya.


No comments:

Post a Comment