Anas bin Nadhr ialah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi yang tidak mengambil bahagian dalam peperangan Badar. Dia merasa kesal kerana tidak dapat menyertai dalam peperangan yang sangat-sangat bersejarah itu. Oleh hal yang demikian dia senantiasa menanti-nanti peluang untuk menyertai sebarang peperangan untuk menebuskan apa yang dianggapnya suatu kerugian bagi dirinya. Kesempatan yang dinanti-nantinya itu pun tibalah apabila berlaku perang Uhud pada tahun yang berikutnya. Anas pun dengan serta-merta menyertai tentera Muslimin dan dengan semangat kejihadan yang tulen maju ke medan pertempuran. Sungguhpun bala tentera yang dihadapi mereka berkali-kali ganda banyaknya namun tentera Muslimin sedang mengatasi pihak musuh.
Tiba-tiba berlaku suatu kesilapan. Begini ceritanya, Nabi Muhammad sollallahu `alaihi wasallam telah menghantar sepasukan pemanah-pemanah yang terdiri dari lima puluh orang untuk mengawasi tentera berkuda pihak musuh yang mungkin menyerang tentera Muslimin dari belakang. Mereka diperintahkan supaya menetap di atas sebuah bukit di belakang tentera Muslimin selagi mereka tidak menerima arahan dari Nabi sendiri menyuruh mereka berundur dari situ. Tetapi mereka ini telah mengingkari arahan beliau. Apabila mereka lihat askar-askar musuh lari lintang-pukang, diburu oleh mujahid-mujahid Islam, mereka menyangka yang kemenangan telah pun tercapai lantas meninggalkan tempat mereka sambil berkejar-kejaran untuk mendapatkan harta rampasan. Yang tinggal di atas bukit itu hanyalah ketua mereka dan beberapa orang yang masih taat.
Apabila dilihat oleh pemimpin tentera musyrikin yang bukit itu telah terdedah, dia pun mengerah pasukannya menyerbu dan membunuh tentera panah Muslimin yang masih bertahan di atasnya dan melancarkan serangan balas terhadap tentera Muslimin dari belakang ketika mereka sedang asyik mengumpulkan harta rampasan. Dalam keadaan kelam-kabut inilah Anas terpandang kepada Saad bin Maaz yang sedang melalui hadapannya. Dia memekik mengatakan:
"Ya Saad! Ke mana engkau? Demi Allah! Aku mencium bau syurga yang datangnya dari Jabal Uhud."
Dengan berkata demikian, dia pun menerkami musuh lalu menentang mereka habis-habisan sehingga ia gugur sebagai syahid di medan peperangan. Apabila badannya yang berlumuran darah itu diperiksa terdapat tidak kurang dari lapan puluh liang luka semuanya. Tidak ada siapa yang dapat mengenalinya melainkan saudara perempuannya sahaja.
Orang yang berjihad di jalan Allah dengan penuh keikhlasan dan kejujuran akan mengecap nikmat syurga di dunia ini dan di akhirat. Demikianlah hal keadaannya dengan Anas bin Nadhr.
Thursday, March 25, 2010
Kesyahidan Anas bin Nadhr.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Mashaallah...
ReplyDelete