Wednesday, December 9, 2015

Keutamaan Mengajar

Ayat-ayat al-Qur'an mengenai keutamaan mengajar ini ialah antaranya firman Allah Ta'ala:

"Hendaklah mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada mereka nanti, moga-moga mereka berhati-hati." (surah at-Taubah, ayat 122)

Maksudnya ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang diperolehinya.

"Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekalian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai kamu menyembunyikannya." (surah ali-'Imran, ayat 187)

Maksudnya ialah mewajibkan orang yang berilmu itu menyebarkan ilmunya dengan mengajar.

"Ada sebahagian daripada mereka itu yang menyembunyikan kebenaran, sedangkan mereka itu mengetahui (hukumnya)." (surah al-Baqarah, ayat 146)

Maksudnya menghukumkan salah atau haram orang yang menyembunyikan ilmu pengetahuannya, sebagaimana dihukumkan haram pula orang yang menyembunyikan penyaksiannya. 

Firman Allah subhanahu wa ta'ala:
"Barangsiapa menyembunyikannya (penyaksian), maka berdosalah hatinya." (surah al-Baqarah, ayat 283)

"Siapakah orang yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan?" (surah Fussilat, ayat 32)

Allah berfirman lagi:

"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik." (surah an-Nahl, ayat 125)

"Dan dia mengajarkan kepada mereka (kandungan) kitab dan kebijaksanaan." (surah al-Baqarah, ayat 151)

Adapun hadith-hadith yang menunjukkan tentang keutamaan mengajar, umpamanya pesanan baginda Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallaam ketika mengirim Mu'az ke Yaman, bunyinya:

"Andaikata Allah subhanahu wa ta'ala memberikan hidayah kepada seseorang dari hasil usahamu, adalah lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya."

Sabda Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallaam:

"Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, nescaya di Hari Kiamat nanti, ia akan dikekang oleh Allah subhanahu wa ta'ala dengan tali kekang dari api neraka."

"Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta'ala dan para Malaikatnya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yang di lautan, semuanya memohon rahmah bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai." 

"Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dalam tiga perkara: iaitu sedekah jariah (yang berterusan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan baginya." 

"Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama seperti mengerjakannya."

Ada satu sabda lagi berbunyi: "Moga-moga Allah mencucurkan rahmahNya ke atas khalifah-khalifahku. Baginda lalu ditanya: Siapakah mereka khalifah-khalifahmu? Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallaam bersabda lagi: Mereka itu ialah orang-orang yang menghidupkan sunnahku serta mengajarkannya kepada hamba-hamba Allah."

Dari atsar pula, apa yang diriwayatkan dari Mu'az, katanya:

"Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah ialah tanda takut kepadaNya, menuntunya ialah ibadah, menelaahnya ialah tasbih, mencarinya ialah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui ialah sedekah, memberikannya kepada ahlinya ialah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian dan teman dalam masa kesunyian. Dialah penunjuk jalan kepada agama, dan pendorong kesabaran dalam masa kepayahan dan kesempitan.

Allah mengangkat setengah-setengah kaum kerana ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kebaikan yang diikut oleh orang ramai. Orang yang berilmu pengetahuan itu juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak langkahnya, dan dituruti segala kelakuannya. Dengan ilmu pengetahuan seorang hamba itu akan sampai ke peringkat orang-orang yang terpuji ketaatannya dan tertinggi kedudukannya. 

Memikirkan perihal ilmu pengetahuan setanding pahalanya dengan berpuasa, dan menelaahnya setanding pahalanya dengan bangun beribadah di tengah malam. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah azza wajalla, memperhambakan diri kepadaNya, mengesakanNya dan membesarkanNya. Dengan ilmu pengetahuan juga manusia boleh mencapai darjat kewajiban kewara'an, dan dengannya pula manusia akna menyambung silaturrahim. Dengan ilmu pengetahuan juga, ia akan mengenal yang halal dan haram. Ilmu pengetahuan itu adalah diumpamakan sebagai pembimbing, manakala amalan pula menjadi pengikutnya. Berbahagialah orang yang menerima ilmu dari ilmu pengetahuan, dan celakalah orang yang terhalang dari ilmu pengetahuan.

Berkata al-Hasan radhiaAllahu 'anhu: "Kalaulah tidak kerana para ulama, nescaya manusia sekaliannya sama seperti binatang."

Maksudnya ialah dengan adanya guru dan para ulama yang mengajar manusia, terkeluarlah mereka dari peringkat-peringkat kebinatangan dan masuklah ke dalam peringkat kemanusiaan.

Tukilan dari buku:
Bimbingan Mu’minin - pada mencari redha Rabbil-‘alamin (Imam Ghazali)
Penterjemah: Ustaz Syed Ahmad Semait
Penerbit: Pustaka Nasional Pte Ltd

No comments:

Post a Comment