Tuhan ada mengingatkan kita di dalam satu ayat Al Quran yang bermaksud:
''Di dalam diri kamu apakah kamu tidak menganalisanya''
Hadis juga ada berkata,''Barangsiapa mengenal dirinya nescaya dia mengenal Tuhannya.''
Ertinya kalau kita perhatikan tentang diri kita sendiri, kita akan mendapat berbagai-bagai ilmu, kita akan takut Tuhan, kita akan cinta kepada-Nya, kita akan sentiasa rasa bertuhan, kita akan rasa kehambaan.
Kita akan mendapat sifat taqwa
Sifat taqwa adalah bekalan kita ke Akhirat.
Itulah dia keselamatan kita dunia Akhirat.
Rupanya di dalam diri kita penuh dengan lautan ilmu kalau kita perhatikan
Maha Suci Engkau Tuhan, Maha Besar Engkau, sungguh berkuasa Engkau.
Tuhan, aku ingin belajar dengan diriku sendiri
Ajarkanlah aku agar aku dapat ilmu dari kejadianku ini
Aku kaji diri lahirku, aku renung batinku
Aku nilai akal fikiranku, kekuatannya, bagaimana ia mendapatkan ilmu, bagaimana ia memproses ilmu
Cara mana dia menyimpan ilmu dan maklumat yang didapati dan bagaimana ia mengeluarkan ilmu dan maklumat itu
Waktu bila ia terangsang menerima ilmu dan maklumat dari yang dilihat, didengar, disentuh dan dirasa
Ketika bila pula ia terangsang mengeluarkan ilmu dan maklumat yang tersimpan itu
Kemudian aku belajar perjalanan nafas dan peranannya, kehendak-kehendaknya,
bila ia merangsang, akibatnya, baik buruknya dan kesannya
Aku kaji juga hatiku atau jiwaku, perasaan yang mendatang silih berganti selalu,
peranannya dan kesannya
Aku kaji jasad lahirku, keadaannya, peranannya, waktu sakit, waktu sihat
Tuhan, rupanya setiap kejadian yang berlaku pada diriku lahir dan batin, ada hikmah yang tersembunyi
Segala-galanya yang terjadi adalah didikan bagiku
Samada yang berlaku itu nampaknya positif mahupun negatif
ada rahsia yang tersirat ia sungguh seni
Aku nilai dengan basirahku secara halus dan teliti semuanya baik bagiku
Lantas aku faham dan mengerti mengapa Engkau lakukan kepadaku
Adakalanya aku senang, adakalanya aku susah
Ada ketikanya aku sihat, ada waktunya aku sakit
Adakalanya badanku letih,ada waktu badanku gagah dan cergas
Aku kaji perjalanan hatiku selalu, perasaanya silih berganti
Ada masa aku miskin, ada masa aku kaya
Dan berbagai-bagai lagi keadaan yang berlaku silih berganti terutama perasaan hati
Adakalanya aku sedih, adakalanya aku gembira
Adakalanya aku benci, adakalanya aku suka
Adakalanya hatiku resah gelisah, adakalanya hatiku tenang dan senang
Adakalanya hatiku rasa marah, adakalanya hatiku rasa lapang dada
Adakalanya hatiku rasa jijik, adakalanya hatiku rasa biasa sahaja
Adakalanya hatiku pilu, adakalanya hatiku riang dan ceria
Adakalanya hatiku rasa malu, adakalanya biasa sahaja
Adakalanya aku rasa takut, ada ketikanya aku rasa berani
Adakalanya hatiku rasa curiga, adakalanya hatiku rasa percaya
Di sini sungguh banyak ilmu yang aku dapat, di sini sungguh banyak rahsia diriku
dari-Mu yang aku gali
Rupanya sifat yang sering berubah pada diriku itu menyedarkan aku
bahawa aku adalah hamba-Mu
Kerana sifat hamba atau makhluk adalah berubah-ubah selalu
Di sini aku faham lagi bahawa sifat hamba itu tidak sempurna sentiasa baru
Rupanya aku hamba-Mu menerima ketentuan dari-Mu
Sungguh Engkau Maha Pentadbir termasuk diriku
Aku faham lagi bahawa aku lemah, hamba memanglah lemah,
agar aku selalu bergantung dengan-Mu
Dan seterusnya aku faham apa yang berlaku kepada diriku bukan kehendak aku
Rupanya segala-galanya yang berlaku pada diriku adalah kehendak-Mu
Di sini menunjukkan kelemahanku lagi bahawa sedikit pun aku tidak ada kuasa
pada diriku walaupun sebesar habuk atau sebesar debu
Kuasa-Mulah sepenuhnya yang berlaku pada diriku tidak campurtangan sedikit dariku
Kehendak-kehendak-Mulah yang terjadi ke atas diriku
Menjadikan aku takut kepada-Mu, rupanya takut aku itu kepada-Mu
itulah yang Engkau mahu
Aku renung lagi kejadian yang berlaku kepada diriku apakah rahsianya kejadian itu
Rupanya di waktu susah dan berlaku bala, agar aku sabar supaya aku dapat pahala sabar
Di masa-masa yang lain aku senang, sihat, kaya, agar aku bersyukur supaya aku dapat pahala syukur
Itulah yang Engkau mahu dariku
Supaya aku dapat kekalkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan
Hikmah yang lain aku dapat faham supaya aku tidak sombong, tidak riyak,
tidak megah, tidak bakhil, tidak tamak
Sifat-sifat itu adalah Engkau benci
Aku faham agar aku tidak di dalam kemurkaan-Mu
Begitulah yang aku faham, terima kasih Tuhan Engkau beri aku faham tentang diriku
Setelah aku kaji, renung,analisa diriku lahir dan batinnya
sungguh banyak ilmu yang aku dapat dari diriku ini
Sunguh ajaib dan menghairankanku
Di dalam diriku ada berbagai ilmu, bahkan lautan ilmu, ada ilmu hikmah, ada ilmu tauhid,
ada ilmu syariat, ada ilmu tasawuf, ada ilmu akhlak
Ada ilmu yang tersurat, ada ilmu yang tersirat, ada ilmu falsafah, ada ilmu manusia, ada ilmu
psaikologi, ada ilmu biologi
Ada benih baik, ada benih buruk, terpulang kepada kita yang mana kita hendak suburkan
Patutlah Tuhan mengingatkan kita di dalam Al Quran untuk kenali diri kita.
No comments:
Post a Comment