Friday, May 1, 2009

Penyakit Umat Akhir Zaman

Pertahanan diri umat Islam sebenarnya adalah rohnya yang merupakan baju besi maknawi dan rohani dari serangan luar. Gejala-gejala yang tidak sihat yang datang daripada perang saraf dan gerak saraf musuh adalah untuk melemahkan ketahanan iman umat Islam, perpaduan serta ilmu pengetahuan islam. Musuh jika menyerang dari aspek yang lain seperti kekayaan, ketenteraan, itu hanyalah serangan kekuatan sampingan, bukan serangan terhadap kekuatan umat yang utama

Di akhir zaman ini sudah ramai umat Islam yang kehilangan Tuhan atau tidak memikirkan lagi adanya Tuhan. Hinggakan mereka tidak terasa lagi peranan Tuhan di dalam kehidupan. Walaupun mereka percaya adanya Tuhan, tapi pada mereka kehidupan ini seolah-olah tiada campur tangan Tuhan. Boleh dikatakan, sudah ramai umat Islam yang 'tidak perlukan' Tuhan. Jika mereka pandai, pada mereka ini adalah disebabkan usaha mereka semata-mata, tidak kena-mengena dengan Allah.

Jika mereka kaya, berpangkat atau berkuasa, ia adalah kerana kemampuan mereka. Pada mereka, Tuhan sudah tiada kuasa menentukan nasib mereka. Pada mereka, Tuhan itu hanya sekadar ada, peranan-Nya kepada manusia seolah-olahnya tidak ada. Cuma sekali-sekala terasa Tuhan diperlukan, setelah mereka tidak ada kuasa pada diri mereka, seperti sakit, miskin atau dianiaya sesama mereka. Barulah mereka mula berdoa atau meminta kawan-kawan menolong mendoakan keselamatan mereka.

Setelah baik atau senang semula, mereka lupa kembali kepada Allah. Dia tidak diperlukan pula. Sikap ini bukan sahaja berlaku kepada ramai umat Islam di akhir zaman. Bahkan yang kelihatan beragama pun seperti masih bersembahyang, berpuasa, naik haji, sama sahaja.

Orang beragama dengan tidak beragama sudah sama sikapnya. Maka kesimpulannnya, yang paling rosak di waktu ini adalah aqidah umat Islam. Pada mereka Tuhan ada atau tidak ada sama saja. Kalaupun percaya adanya Tuhan, Tuhan tidak diperlukan di dalam hidup mereka. Pergantungan dengan Tuhan sudah tidak ada. Betapa pulalah untuk ditakuti atau dicinta, langsung tidak ada di dalam perasaan mereka.

Side effectnya apa sudah terjadi?

Orang beragama atau tidak, perangainya sama saja.
Sama-sama jahat, sama-sama membuat mungkar, sama-sama bergaduh, sama-sama berkrisis.
Sama-sama tidak ada kasih sayang, sama-sama tidak ada bertimbang rasa, sama-sama tidak peduli-mempeduli.
Sama-sama tidak sabar, sama-sama tidak pemurah, sama-sama tidak merendah diri.

Mengapakah perangai orang yang beragama dengan yang tidak ada agama sama?

Kerana mereka mengamalkan agama secara tradisi, agama sekadar satu warisan, tidak ada ilmu menyeluruh tentang agama, apalagi dihayati. Yang diharap hanya pahala, pahala, pahala. Pengamalan Islam bukan ditunjangi oleh kerana takut atau cintakan Tuhan, maka sebab itulah ibadah mereka tidak melahirkan akhlak yang mulia.

Maka berkat Tuhan pun tidak turun lagi ke dunia ini. Apabila berkat tidak ada, benda baik pun menjadi mudharat. Tuhan menimpakan bencana kepada sesiapa sahaja tidak kira orang baik atau orang jahat, berlaku secara umum di mana-mana. Jika kepada orang jahat itu, sebagai hukuman, kepada orang baik pula sebagai penghapusan dosa atau meninggikan darjatnya.

Makanan yang baik-baik pun sudah hilang berkatnya, sedap dan lazat tetapi membawa penyakit. Penyakit barah yang menakutkan, kencing manis yang merbahaya. Darah tinggi, sakit jantung menyusahkan manusia. Begitulah kalau Tuhan sudah murka kepada manusia, makanan yang halal pun menjadi musuh manusia. Walaupun begitu manusia tidak insaf juga, maksiat dilakukan bertambah berganda-ganda.

Tanpa takut, tanpa bimbang tindakan Tuhan, ajaran Tuhan sekalian alam masih tidak dipedulikan. Tuhan tidak diperjuangkan bahkan dilupakan. Manusia sibuk dengan makan, sibuk dengan minum dan dan sibuk dengan pakaian.

Sibuk dengan maksiat dan hiburan, sibuk dengan pembangunan dan kemajuan. Tuhan hanya sebagai slogan. Tuhan bukan matlamat hidup, kalimah Tuhan hanya sampingan. Maka, tidak hairanlah Tuhan bertindak. Dia mengarahkan makanan menjadi musuh insan hingga setiap hari manusia menderita disebabkan oleh makanan.

Tidak nampak lagi oleh manusia akan kekuasaan Tuhan…..
Bilakah manusia mahu sedar dan insaf kembali ke pangkal jalan??

Hari ini orang menyebut Allah
bukan dari jiwanya.
Ia disebut hanya sebagai budaya.
Tuhan disebut sekadar
untuk menyedapkan bahasa atau kata-katanya...

Renungilah...


Ya Allah Ya Tuhan Kami Yang Maha Penyayang dari segala penyayang
Pandanglah kami dengan kasih sayangMu...

6 comments:

  1. salam, minta izin copy untuk facebook? boleh ke.
    ads_remy@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Salam.
    Silakan copy dan share artikelnya di facebook. Semoga memberi manfaat. =)

    ReplyDelete
  3. salam saya minta untuk share di facebook...

    ReplyDelete
  4. Salam.
    Silakan share artikelnya di facebook.

    ReplyDelete
  5. salam
    saya nak ambik ideanya sikit untuk khutbah jumaat. boleh ka?

    ReplyDelete
  6. Salam.
    Silakan ambil dan kongsi2 idea2 dari blog cahayamukmin. Semoga kita menjadi hamba2 Allah yang menjalankan syiar & dakwah Islam.

    ReplyDelete