Ya Allah, Ya Tuhanku,
Kuasa-Mu terserlah sekali,
Keagungan dan Kebesaran-Mu sangat nyata, seterang matahari begitu ketara,
Langit dan bumi Engkau cipta,
Malam dan siang silih berganti,
Malam untuk rehat, siang untuk kerja,
Engkau ciptakan bulan di malam yang gelap menjadi terang,
Engkau cipta bintang-bintang bertaburan di langit,
Menjadikan keindahan malam
Bintang-bintang juga panduan untuk orang berjalan di waktu malam,
Terutama di lautan,
Di waktu malam bintang bertaburan,
Bertambah keindahan malam,
Menyinari malam yang gelap gelita, menjadi cerah dan terang,
Engkau jadikan air untuk manusia bersuci dan untuk menghilangkan dahaga,
Dan Engkau hidupkan tumbuh-tumbuhan untuk faedah manusia,
Engkau jadikan bumi tempat manusia berpijak,
Setiap hari untuk kemudahan mereka hidup,
Engkau jadikan udara,
Untuk nafas mereka,
Agar mereka boleh bernafas dengan selesa,
Engkau ciptakan bahan-bahan makanan seperti padi, ubi, gandum dan ikan,
Untuk makanan mereka, untuk menguatkan fizikal manusia,
Engkau cipta berbagai-bagai pandangan yang indah,
Untuk hiburan manusia,
Untuk hilangkan dukacita dan menghiburkan mereka,
Entah apalagi ciptaan-Mu,
Yang patah lidah untuk dikata,
Sememangnya itu adalah faedah untuk manusia,
Sekaligus memperlihatkan kuasa-Mu,
Rahmat, keadilan dan kebesaran-Mu,
Ramai manusia kebanyakannya
Tidak melihat kuasa, keadilan dan kebesaran-Mu,
Bahkan ada di kalangan mereka
Tidak percaya kewujudan-Mu,
Hingga mereka derhaka dengan Mu,
Dan tidak takut dan cinta dengan Mu,
Mereka berlagak sebagai Tuhan,
Walaupun mereka tidak mengaku Tuhan,
Tapi mereka melakukan sesuka hati di dalam dunia ini,
Hinggakan keamanan dan keselamatan sejagat tergugat,
Kesusahannya kembali kepada mereka, manusia,
Kebanyakan manusia kagum dengan kebesaran mereka,
Lebih-lebih lagi bila manusia itu berkuasa,
Seolah-olah manusia yang berkuasa itu
Ada kuasa dan melihat kebesarannya,
Padahal mereka sekadar membuat jalan raya,
Jalan raya dibuat di atas bumi yang Engkau cipta,
Untuk kemudahan manusia hidup di dunia,
Boleh pergi kemana-mana untuk mencari kehidupan mereka,
Atau memproses bahan-bahan makanan ciptaan Engkau juga,
Dijadikan makanan dan minuman,
Untuk keperluan kehidupan mereka,
Mereka membina rumah dan gedung-gedung,
Atau mencipta kenderaan untuk kemudahan hidup mereka,
Semua itu dari bahan-bahan ciptaan-Mu Tuhan,
Begitu juga mereka membuat kemudahan tempat bekerja
Dan tempat kemudahan mendapatkan ilmu,
Untuk kepentingan mereka,
Itupun manusia sudah melihat keagungan dan kebesaran mereka,
Tetapi kekuasaan-Mu, keagungan dan kebesaran-Mu,
Lebih nyata dan terserlah daripada itu,
Mereka tidak melihat Keagungan dan Kebesaran-Mu,
Kerana hati mereka sudah buta,
Mata mereka yang celik semata-mata,
Sebab itulah kebesaran manusia nyata kepada mereka,
Tapi kebesaran-Mu mata hati mereka buta melihatnya,
Kerana itulah penguasa di dunia,
Lebih dibesarkan atau diagungkan oleh manusia,
Daripada Engkau Tuhan manusia,
Seolah-olah penguasa dunia itu,
Tuhan bagi mereka,
Tuhan yang sebenarnya iaitu Engkau dilupakan mereka,
Padahal penguasa-penguasa dunia itu,
Membuat untuk kepentingan manusia,
Bahan yang dibuat, bahan yang Engkau cipta,
Maka penguasa-penguasa manusia lebih derhaka dari pada manusia biasa,
Patutlah di dunia lagi Engkau azab mereka,
Di mana Engkau jadikan bencana alam,
Seperti air bah, gunung berapi, gempa bumi,
Bukit runtuh dan mereka bergaduh sesama sendiri,
Untuk menyedarkan mereka serta menghukum di dunia lagi,
Di Akhirat Engkau azab lagi mereka,
Lebih dahsyat lagi dari pada dunia.
No comments:
Post a Comment