Saturday, July 25, 2009

Khalifah Umar dan Orang Asing

Satu kisah abadi dalam lipatan sejarah yang menunjukkan betapa tingginya nilai kasih sayang dalam membentuk masyarakat yang sejahtera ialah kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Islam, Khalifah Umar ibn al-Khatab. Khalifah Umar terkenal sebagai pemimpin yang sangat mencintai rakyatnya. Kepekaan hubungannya terhadap rakyat jelata khususnya fakir miskin sangat luar biasa. Pada suatu malam beliau seperti biasa meronda di sekitar Madinah. Beliau melakukan rondaan malam bagi mengetahui keadaan rakyatnya.

Tiba-tiba pandangannya tertumpu ke sebuah pondok di pinggir kota Madinah. Dari dalam pondok itu terdengar rintihan seorang wanita. Segera Umar menghampiri tempat itu. Di pintu pondok ada seorang lelaki yang sedang duduk termenung. Ternyata beliau adalah suami kepada wanita yang sedang mengerang kesakitan kerana hendak melahirkan. Wanita ini sedang bertarung nyawa sementara suaminya berada dalam kebingungan kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan untuk menolong isterinya. Rupa-rupanya pasangan suami isteri ini bukanlah penduduk asal kota Madinah tetapi orang asing yang sedang merantau tanpa sanak saudara.

Melihat situasi ini, Khalifah Umar segera pulang menemui isterinya, Ummu Kalthum lalu berkata: "Mahukah engkau mendapat pahala yang dibukakan kesempatannya oleh Allah SWT bagi kita? Mahu, jawab isterinya. Seorang wanita musafir sedang sarat mengandung dan sedang menanti saat melahirkan tetapi tiada orang yang datang menolongnya, kata Umar. Jika anda mahu, saya pasti akan menolongnya," sahut isteri Umar.

Umar segera menyiapkan perbekalan dan bahan-bahan yang diperlukan seperti tepung gandum, minyak samin, lembaran kain untuk membalut bayi dan sebagainya. Sambil mengajak isterinya, Umar memikul sendiri periuk dan tepung gandum di bahunya. Bersama isterinya beliau menuju pondok pasangan suami isteri tadi. Ummu Kalthum terus masuk ke dalam pondok untuk membantu wanita yang akan melahirkan itu. Manakala Saidina Umar pula segera memasang tungku, kemudian meletakkan periuk di atasnya dan menyalakan api di bawahnya. Umar bersiap sedia memasak makanan bagi wanita yang akan melahirkan sementara suami wanita itu berada di sisi Saidina Umar sambil memerhatikan perbuatan lelaki asing yang menolongnya dengan rasa penuh syukur dan terima kasih.

Suami wanita itu sama sekali tidak mengetahui siapa penolong yang baik hati itu. Di dalam hatinya ia berkata, "Lelaki ini lebih layak menjadi khalifah daripada Umar bin Khattab!" Tiba-tiba terdengar dari dalam pondok tangisan bayi. Rupanya ibu itu sudah selamat melahirkan bayinya. Bukan main gembira hati si ayah yang menunggu di luar pondok. Tidak lama kemudian terdengar suara keras dari Ummu Kalthum, "Hai Amirul Mukminin, sampaikanlah berita gembira kepada sahabatmu itu, ia dianugerahkan Allah seorang anak lelaki".

Mendengar ungkapan itu, barulah disedari oleh lelaki berkenaan bahawa orang yang menolong keluarganya ialah pasangan suami isteri pemimpin kaum Muslimin, lalu gementarlah seluruh tubuhnya akibat rasa terkejut yang amat sangat. Selepas selesai semua urusan dan sebelum berlalu, Umar berpesan kepada si suami tadi, "Pagi nanti datanglah menemui saya di Kota Madinah. Saya akan memberikan bekalan kepada anda dengan wang dari Baitulmal, sekadar bekal bagi anda dan akan saya keluarkan hak bayi ini".

Demikianlah contoh seorang isteri yang sedia membantu suaminya tanpa mengira waktu untuk menolong mereka yang berada dalam kesulitan. Inilah hasil tarbiyah iman dan Islam sehingga mampu melahirkan suatu masyarakat Islam yang tiada tandingan.

1 comment:

  1. salam~
    mohon di tambah kisah2 seperti ini..boleh jadi rujukan sms ngajar...jazakallahu khoira jazaa'

    ReplyDelete