Monday, April 13, 2009

Islamnya Umar

Umar radhiAllahu `anhu, selepas memeluk agama Islam, menjadi kebanggaan orang-orang Islam dan musuh ketat kafir-kafir musyrikin. Tetapi sebelum itu, dia sering menentang Nabi dan mengganggu orang-orang yang menganuti Islam. Dalam suatu mesyuarat orang-orang Quraish, pada suatu hari, mereka telah memutuskan hendak meminta salah seorang daripada mereka supaya membunuh Rasulullah. Umar telah tampil ke hadapan sebagai sukarelawan yang ingin mengusahakan pembunuhan itu. Tiap-tiap Quraish yang menghadiri mesyuarat itu berkata serentak:

"Ya, engkaulah yang dapat melakukannya, Umar!" Dengan pedang yang bergantungan di lehernya, Umar pun mengarahkan langkah menuju ke tempat kediaman Nabi. Dalam perjalanannya, dia telah menemui Sa'ad bin Abi-Waqqas.

Sa'ad: "Ke mana kau, Umar?"

Umar: "Aku hendak pergi menamatkan riqayat hidup Muhammad."

Sa'ad: "Kalau begitu Banu Hashim, Banu Zuhrah dan Banu Abdi Manaf akan membunuh kamu sebagai tindak balas."

Umar (gelisah dengan amaran ini) berkata: "Eh, nampaknya kau juga telah meninggalkan agama nenek moyang kau. Biarlah aku kerjakan kau dahulu."

Umar dengan serta-merta menghunuskan pedangnya. Sambil mengisytiharkan pengislamannya, Sa'ad juga berbuat demikian. Sebelum bertarungan dengan Umar, sempat juga Sa'ad berkata:

"Lebih baik engkau menguruskan rumah tangga kau dahulu. Saudara perempuan kau dan ipar kau, kedua-duanya telah memeluk Islam."

Kemarahan Umar tatkala mendengar berita itu tidak dapat diceritakan lagi. Meninggalkan Sa'ad, dia menggerakkan langkahnya ke arah rumah saudara perempuannya. Setibanya di rumah itu, ia dapati rumah itu telah dikunci dari dalam. Sambil mengetuk-getuk pintu, ia menjerit sekuat tenaga kepada saudaranya supaya pintu itu dibuka. Mendengar suara Umar, Khabbab telah lari bersembunyi meninggalkan masyaf-masyaf Qur'an yang sedang mereka baca. Apabila pintu dibuka, Umar dengan cepatnya menempeleng saudara perempuannya sambil berkata:

"Hai pengkhianat dirimu sendiri, engkau juga telah meninggalkan agamamu."

Tanpa menghiraukan kepala saudaranya yang berdarah, dia masuk ke dalam dan bertanya: "Apakah beliau sedang buat tadi dan siapa dia orang yang suaranya aku dengar dari luar?"

Iparnya menjawab: "Kami hanya berbual-bual sahaja."

Umar bertanya kepada iparnya: "Adakah kamu juga telah meninggalkan agama nenek moyang kamu dan telah memeluk agama baru?"

Dia menjawab: "Bagaimana pula kalau agama baru ini lebih baik dari agama kita yang lama itu?"

Jawapan ini menyebabkan Umar memukulnya dengan kejam dan menarik-narik janggutnya. Saudaranya yang datang hendak meleraikan mereka juga dipukul sehingga mukanya berlumuran dengan darah. Sambil menangis saudara perempuannya berkata:

"Umar! Kami dipukul hanya kerana kami memeluk agama Islam. Kami berazam hendak mati sebagai orang-orang Islam. Kau bebas melakukan apa saja yang kau suka atas diri kami."

Apabila hatinya sejuk sedikit dia berasa malu atas perbuatannya terhadap saudara perempuannya itu . Tiba-tiba ia terpandang akan masyaf-masyaf yang ditinggalkan oleh Khabbab tadi. Katanya, "Baiklah, unjukkan masyaf-masyaf ini."

"Tidak," kata saudaranya. "Badan kau tidak bersih dan orang yang tidak bersih tidak seharusnya memegang masyaf-masyaf ini."

Umar akhirnya membersihkan badannya dan mula membaca masyaf-masyaf tadi. Surah yang dibacanya ialah surah Taha. Dia membaca dari permulaan surah itu. Seluruh sikap dan pandangannya berubah apabila ia sampai ke ayat yang berikut:



"Akulah ALLAH. Tidak ada Tuhan melainkan Aku.
Maka sembahlah Aku dan dirikan solat buat mengingati Aku."
(Taha: 14)

Kata Umar: Baiklah, bawa aku bertemu dengan Muhammad."

Mendengar kata-kata Umar ini Khabbab pun keluarlah dari tempat persembunyiannya sambil berkata:

"Ya Umar! Ada berita baik bagi kamu. Semalam (iaitu malam Juma'at) Nabi telah berdoa kepada Allah: 'Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar atau Abu Jahal, sesiapa yang Engkau suka.' Nampaknya Allah telah memilih engkau sebagai menunaikan permintaan Nabi."

Umar telah menemui Nabi dan pada pagi Juma'at dia telah memeluk agama Islam. Pengislaman Umar merupakan suatu pukulan hebat kepada puak musyrikin. Sungguhpun begitu bilangan orang-orang Islam terlalu kecil kalau dibandingkan dengan bilangan pihak musuh. Kafir-kafir musyrikin telah memperhebatkan usaha-usaha mereka mereka untuk menghapuskan orang-orang Islam serta agama mereka. Dengan Islamnya Umar, kaum Muslimin telah bertambah berani dan sekarang mereka mendirikan sembahyang di Baitul Haram. Kata Abdullah bin Mas'ud:

"Pengislaman Umar merupakan suatu kejayaan besar kepada kaum Muslimin, perpindahannya menguatkan kami dan perlantikannya sebagai Khalifah merupakan suatu keberkatan bagi kami."

No comments:

Post a Comment