Monday, November 22, 2010

Cara-cara Mendapatkan Amalan Hati

Setelah kita mengetahui erti dan maksud amalan batin (hakikat) maka marilah kita mempelajari cara-cara mendapatkan hakikat. Mudah-mudahan dengan mengetahui hal tersebut kita dapat beramal dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Untuk mendapatkan hakikat kita mesti melatih roh kita supaya taat pada Allah. Jasad batin (roh) kita sewaktu masih berada di alam roh, iaitu sebelum dimasukkan kedalam sangkarnya (jasad lahir) memang sudah mengenal Allah, seperti dalam firman-Nya:Terjemahannya: (Allah bertanya kepada roh) "Bukankah aku Tuhanmu?". Roh menjawap: "Ya, kami akui Engkau Tuhan kami." (Al-`Araaf:172)

Sebelum masuk ke dalam badan roh kita sudah mengenal Allah, bahkan sudah menyaksikan ketuhanan Allah dan sudah mengakui kehambaan pada Allah. Tetapi ketika dilahirkan kedunia, roh dikurung dalam jasad lahir bersama-sama musuhnya nafsu dan syaitan. Tentang nafsu, Allah SWT berfirman: Terjemahannya: "Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan." (Yusuf: 53)

Dan Nabi pula bersabda: Maksudnya: "Sejahat-jahat musuhmu ialah nafsumu yang terletak di antara dua lambungmu." (Riwayat Al Baihaqi)

Sedangkan tentang syaitan Allah berfirman:
Terjemahannya: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." (Yusuf: 5)

Berhadapan dengan dua musuh batin itu, roh menjadi lemah (rosak atau hilang rasa kehambaan). Walaupun dia sudah mengenal Allah SWT, tahu wujud dan Maha Perkasanya Allah, tetapi roh tidak pandai mentaati perintah Allah. Bujukan serta tarikat syaitan dan hawa nafsu lebih kuat dan berpengaruh.

Roh sudah derhaka pada Tuhan, seakan-akan sudah tidak kenal Tuhan. Roh terbelenggu di dalam jasad, dikongkong oleh nafsu dan syaitan itu. Roh sudah tidak takut dan malu lagi pada Tuhan. Roh tidak rindu dan tidak cinta lagi pada Tuhan, tidak merasa hina dan rendah diri serta bersifat ketuanan. Roh sudah sombong, keras, hasad-dengki, tamak, pendendam, bakhil, gila dunia, kuat makan, gemar tidur dan lain-lain. Menyerupai kehendak nafsu yang terkutuk itu. Roh sudah dikuasai oleh jasad lahir yang beku (bersifat seperti tanah kerana dicipta dari tanah).

Laksana burung, roh terkurung dalam sangkar. Kerana sangkar itu kuat maka burung terpaksa terkurung didalam sangkar yang sempit dan menyiksa. Sebaliknya kalau burung lebih kuat dari sangkar, burung akan dapat memecahkan sangkar dan dapat terbang bebas ke seluruh alam. Demikianlah kalau roh kita lebih kuat dari nafsu dan syaitan. Roh dapat menundukkan nafsu dan syaitan. Saat itu bukan jasad lagi yang menguasai roh tetapi roh yang menguasai jasad lahir. Roh akan bebas melakukan kehendak dan mentaati perintah Allah SWT. Roh akan terbang bebas kemana-mana dan dapat merasakan perkara-perkara ghaib.

Itulah yang terjadi kepada roh para Nabi, Rasul dan Wali-wali Allah. Roh tidak lagi dibelenggu dalam jasad lahir oleh nafsu dan syaitan tetapi sudah bebas, sudah dapat menundukkan nafsu dan syaitan dibawah kehendaknya. Sudah melihat alam rohani, alam malakut dan alam jin. Jasad lahir tidak bererti apa-apa lagi kerana sudah dikuasai oleh roh untuk menyembah Allah sepanjang masa.

Lain halnya dengan jasad lahir, roh bukan dibuat dari tanah tetapi dari nur (cahaya) yang serupa dengan Malaikat dan Jin. Sebab itu roh yang sudah bebas dari kongkongan nafsu dan syaitan akan bergerak bebas seperti cahaya, tembus disetiap ruang dan bidang. Pandangan roh adalah pandangan tembus yang dapat membaca hati dan batin manusia. Kerana itu bersabda Rasulullah SAW: Maksudnya: "Takutilah firasat (pandangan tembus) orang mukmin kerana ia memandang dengan cahaya Allah." (Riwayat At Tarmizi)

Itulah rahsia diri kita yang mesti kita sedari. Bila kita sedar hakikat kejadian kita itu, barulah akan terjadi apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: Maksudnya: "Barangsiapa yang kenal dirinya, maka dia pasti kenal Tuhannya."

Untuk meningkatkan diri mencapai darjat yang mulia itu, kita mesti berusaha bersungguh-sungguh, berjuang dan berkorban. Siapa saja boleh dapat hasilnya kalau memenuhi syarat dan cara yang telah ditetapkan, iaitu dengan mendidik roh kita kembali mengenal dan mencintai Allah SWT. Caranya adalah mujahadah (berperang) dengan nafsu dan syaitan.

Allah berfirman:
Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman, sabarlah kamu (dalam menegakkan agama Allah) dan sabarlah kamu dalam perjuangan menghadapi musuh (hawa nafsu) dan tetap teguhlah kamu (dalam barisan perjuangan) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, moga-moga kamu mendapat kemenangan. (Ali Imran: 200)

Nafsu yang mesti diperangi diantaranya adalah sifat mementingkan diri, tamak, gila dunia, kedudukan dan pangkat. Itu semua adalah penghalang yang cukup kuat untuk kita mendapatkan hakikat (amalan batin), juga sebagai hijab yang menghalang kita untuk mendapat sifat kerohanian sebab kita merasakan diri sebagai tuan. Supaya kita bertambah yakin, maka ada satu kisah pengalaman seorang wali bernama Yazid Bustami:

Suatu hari seorang kawannya datang pada Yazid Bustami untuk mengadu, "Saya telah berpuasa setiap hari dan melakukan solat setiap malam selama 30 tahun tetapi tidak juga memperoleh keringanan batin seperti yang engkau ceritakan."
Yazid Bustami pun memotong kata kawannya itu, "Kalaupun engkau melakukan solat dan berpuasa selama 300 tahun, engkau pasti tidak dapat menemukannya. "
"Kenapa?" Tanya kawannya.
Jawap Yazid, "Sifatmu yang mementingkan diri dan serakah menjadi penghalang dan hijab antara engkau dengan Allah."
 Lantas kawannya bertanya, "Katakanlah padaku, apakah penawarnya?" "Ada penawarnya," kata Yazid, "Tetapi engkau tidak akan sanggup melakukannya. "
Setelah dipaksa oleh kawannya Yazid pun berkata: "Pergilah kepada tukang gunting rambut yang terdekat dan guntinglah janggutmu. Bukalah bajumu kecuali ikat pinggang yang melingkari pinggangmu. Ambillah karung yang biasa di isi makanan kuda, isilah buah kenari dan gantungkanlah karung itu dilehermu. Kemudian pergilah ke pasar sambil menangis, teriakkanlah seperti ini, "Setiap anak-anak yang memukul batang leherku akan mendapat sebiji kenari." Selanjutnya pergilah ke pengadilan, hakim dan ahli
hokum, katakanlah kepada mereka, "Selamatkanlah jiwaku."
Berkata kawannya itu, "Sungguh aku tidak sanggup berbuat begitu, berilah cara penawar yang lain." Yazid berkata, "Yang aku ceritakan tadi adalah penawar pendahuluan yang sangat perlu dilakukan untuk mengubati penyakitmu. Tapi sebagaimana yang aku katakana tadi, engkau tidak dapat disembuhkan lagi."

Yazid Bustami seorang wali Allah yang mukasyafah dapat membaca hati (rahsia batin). Kawannya yang berjuang untuk nama, pangkat dan sanjungan manusia. Sebab itu beliau perintahkan sahabat itu bermujahadah dengan nafsunya itu dengan cara menghina diri dipasar dan mengaku jahat dihadapan hakim. Perintah itu memang berat, tetapi bagi Yazid, tidak ada jalan lain lagi. Itulah cara mujahadatunnafsi yang mesti dilakukan.

Begitulah pentingnya mujahadatunnafsi untuk siapa saja yang ingin meningkatkan kerohaniannya. Selagi nafsu tidak dapat dikalahkan, selama itulah roh tidak akan suci dan bersih. Kalau roh tidak bersih, Allah tidak akan memasukkan taufik dan hidayah ke dalam hati. Sebab benda yang paling berharga akan Allah letakkan di tempat yang mulia.

Roh seperti wadah. Kalau kotor, maka taufik dan hidayah tidak akan masuk. Kalau tidak ada taufik dan hidayah, roh akan terhijab dan kita tidak akan dapat meningkatkan kerohanian (amalan batin) ke taraf kerohanian yang tinggi. Dan tanpa kerohanian, hati (roh) tidak akan selamat dari penyakit-penyakit mazmumah.

Firman Allah:
Terjemahannya: Hari Kiamat ialah hari dimana anak dan harta tidak dapat memberi manfaat kecuali mereka yang menghadap Allah membawa hati yang selamat sejahtera. (Asy-Syu'ara: 88-89)

Amalan lahir seperti solat, puasa walaupun dilakukan sepanjang hari dan solat tahajjud setiap malam (seperti cerita diatas). Berjihad, berkorban, menuntut ilmu, menutup aurat dan lain-lain. Tidak dapat menjamin bahawa hati sudah selamat. Yang menjamin keselamatan hati ialah mujahadatunnafsi. Itulah amalan batin yang wajib kita lakukan.

Suatu hari didalam kuliahnya, seorang ulama sufi. Bisyulhafi bercerita kepada muridnya bahawa, mempunyai isteri yang banyak itu tidak menolak zuhud. Salah seorang muridnya yang mengetahui bahawa gurunya tidak pernah berkahwin, lalu bertanya: "Tuan, kalau begitu kenapa tuan tidak menikah? Bukankah menyalahi sunnah?" Bisyulhafi pun menjawab, "Aku tidak sempat melakukan sunnah itu kerana sibuk. Sibuk melakukan yang lebih fardhu, yang belum mencapai tujuan iaitu mujahadatunnafsi. "

Begitulah pandangan ahli sufi tentang pentingnya mujahadatunnafsi. Mereka tidak pernah berhenti memperhatikan perjalanan nafsu dan syaitan, sehingga nafsu dan syaitan itu selalu dapat diperangi dan
dikalahkan untuk menghambakan diri pada Allah SWT. Kalau kita ingin berjumpa Allah dengan selamat, jalan itulah yang mesti ditempuh. Tanpa menempuh jalan itu, kita tidak dapat juga berjumpa dengan Allah (kerana kita semua akan mati) tetapi dalam keadaan susah-payah dan hina-dina, wal'iyazubillah!

Jalan keselamatan itu adalah melakukan mujahadatunnafsi. Kita mesti bermujahadah atas semua mazmumah yang setiap saat selalu menyerang kita. Mazmumah atau penyakit hati yang dihidupkan oleh nafsu itu adalah semua sifat batin yang bertentangan dengan amalan batin. Penyakit hati ada dua iaitu:
1- Penyakit hati terhadap Allah
2- Penyakit hati terhadap manusia.

Penyakit hati terhadap Allah, diantaranya: -

- Tidak khusyuk beribadah
- Lalai dari mengingati Allah
- Tidak yakin dengan Allah
- Tidak ikhlas dengan Allah
- Tidak takut pada ancaman Allah
- Tidak harap pada rahmat Allah
- Tidak redha akan takdir Allah
- Tidak puas dengan pemberian Allah
- Tidak sabar atas ujian
- Tidak syukur atas nikmat
- Tidak terasa diawasi Allah
- Tidak terasa kehebatan Allah
- Tidak rindu dan cinta pada Allah
- Tidak tawakal kepada Allah
- Tidak rindu pada syurga dan tidak takut pada neraka
- Cinta dunia, membuang waktu dengan perkara yang sia-sia
- Penakut (takut pada selain Allah)
- Ujub
- Riya'
- Gila pujian dan kemasyhuran

Sedangkan penyakit hati (mazmumah) terhadap manusia, diantaranya: -

- Benci membenci
- Rasa gembira dengan kecelakaan orang lain dan rasa sedih diatas kejayaan orang lain
- Mendoakan kejatuhan orang
- Tidak mahu meminta maaf dan tidak memaafkan kesalahan orang
- Hasad dengki

Untuk mujahadah melawan penyakit hati (mazmumah) dengan Allah,langkah- langkahnya ialah: Memperbanyakan ibadah habluminallah seperti sembahyang sunat (dengan faham,khusyuk dan istiqamah),zikrullah,wirid dan tahlil, membaca al-Quran,berdoa, bertafakur dan sebagainya yang akan dihuraikan seperti berikut:

1- SEMBAHYANG,

Hal penting yang perlu diambil perhatian saat menunaikan sembahyang adalah khusyuk. Itu berdasarkan pada apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Zar:
"Ya Abu Zar, dua rakaat sembahyang yang dilakukan dengan khusyuk itu lebih baik daripada sembahyang sepanjang malam, tetapi dengan hati yang lalai."

Sembahyang yang khusyuk dapat di ertikan sebagai sembahyang yang sempurna lahir dan batin. Ketika jasad menghadap Allah SWT, hati juga tunduk menyembah Allah. Ketika mulut menyebut Allahhu
Akbar, hati juga mengaku Allah Maha Besar. Ketika jasad sujud menghina diri,hati juga turut sujud menghina diri. Dan ketika mulut memuji mengagungkan Allah dan berdoa kepada Allah, hati juga memuja, merintih dan tenggelam dalam penyerahan kepada Allah.

Telah bertanya Jibril pada Nabi SAW:
Terjemahannya: "Khabarkan padaku, apa itu Ihsan?", Dijawap oleh Rasulullah. "Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya,jika tidak melihat-Nya, maka yakinlah bahawa Dia sentiasa melihat
engkau."

Kalau sembahyang itu dapat dihayati, sebagaimana yang dikatakan diatas,pengaruhnya akan cukup besar pada diri dan jiwa manusia. Iman akan bertambah seiring dengan bertambahnya rasa tawakal, syukur, redha,sabar dan lain-lain lagi sifat mahmudah.

Cukuplah sedikit rakaat sembahyangnya asalkan khusyuk daripada banyak rakaat sembahyangnya tetapi lalai. Sebab perkara yang menjadi tujuan ibadah itu ialah membuahkan iman dan akhlak.

Walaupun banyak rakaatnya tetapi dikerjakan dengan hati yang lalai, maka bukan saja iman dan akhlak tidak bertambah,bahkan ibadah akan menjadi sia-sia. Mungkin Allah akan memberikan pahala juga,tetapi apakah kita akan bangga kalau perdagangan yang kita buat hanya mengembalikan modal,tidak mendapat untuk sama sekali? Sembahyang yang lalai tidak akan menambah iman dan menguatkan jiwa sebaliknya hanya akan membuat badan menjadi letih.

Di Padang Mahsyar nanti,Allah akan memanggil manusia yang sembahyang untuk diperiksa sembahyangnya. Waktu itu sembahyang akan dikategorikan pada lima peringkat:
1- Sembahyang orang yang jahil.
2- Sembahyang orang yang lalai.
3- Sembahyang orang yang setengah lalai, setengah khusyuk.
4- Sembahyang orang yang khusyuk.
5- Sembahyang Nabi-Nabi dan para Rasul.

Sembahyang orang jahil ialah sembahyang yang dilakukan oleh orang yang tidak belajar tentang ilmu sembahyang. Dia tidak tahu tentang rukun dan sunat dalam sembahyang serta sembahyang tanpa peraturan
yang telah ditetapkan syariat .Kerana itu sejak bermula sembahyangnya tidak diterima bahkan ia berdosa kerana tidak belajar tentang ilmu sembahyang.

Sembahyang orang lalai ialah sembahyang yang walaupun sempurna lahirnya tetapi hatinya sama sekali tidak ikut dalam sembahyang. Bermacam -macam hal yang diingati sewaktu berdiri,rukuk, sujud dan duduk dalam sembahyang itu. Dari awal hingga akhir sembahyangnya, sedikit pun tidak ingat Allah. Sembahyang seperti itu akan dianggap sebagai dosa bukannya mendapat pahala. Allah berfirman: Terjemahannya: Neraka Wail bagi orang yang sembahyang.Yang mereka itu lalai dalam sembahyangnya. (Al-Maa'un: 4-5)

Sembahyang yang ketiga ialah sembahyang yang didalamnya berlaku tarik-menarik dengan syaitan. Ertinya orang itu selalu merasakan bila syaitan mulai membuat dirinya lalai dari mengingati Allah. Cepat-cepat dikembalikan ingatannya pada Allah. Begitulah seterusnya berlaku hingga akhir sembahyang. Ada waktu lalai dan ada waktu khusyuk. Sembahyang seperti itu tidak berdosa dan tidak juga ada pahala, tetapi dimaafkan oleh Allah.

Sembahyang orang khusyuk ialah sembahyang orang yang terus-menerus mengingati Allah disepanjang sembahyangnya serta memahami apa yang dibacanya dalam sembahyang. Orang itu dapat merasakan bahawa dia sedang menghadap Allah SWT. Perhatiannya hanya kepada Allah. Bagi orang tersebut, sembahyangnya bererti menunaikan janji kepada Allah, memohon ampun kepada Allah, mengharap kepada Allah, menghina diri kepada Allah dan mengagungkan Allah.

Sembahyang seperti itulah yang akan menghapuskan dosa, memperbaharui ikrar (yang pernah diucapkan di alam roh), menguatkan iman, mendekatkan hati kepada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Itulah keuntungan di dunia. Dan di Akhirat Allah akan menganugerahkan pahala syurga yang penuh kenikmatan.

Sembahyang yang kelima ialah peringkat yang paling tinggi iaitu sembahyang para Nabi dan Rasul. Mereka itu khusyuknya luar biasa. Mereka benar-benar melihat Allah dengan mata hati. Dalam solat,mereka seolah-olah sedang bercakap-cakap dengan Allah. Sebab itu mereka tidak pernah jemu melakukan  sembahyang. Sebagaimana indahnya perasaan hati orang yang bertemu kekasihnya, begitulah indahnya perasaan mereka itu dalam sembahyang.

Salah satu perkata utama yang disukai oleh Rasulullah SAW ialah sembahyang. "Sembahyang penyejuk mataku", sabda Rasulullah. Syurga yang akan Allah anugerahkan kepada mereka adalah syurga tertinggi
yang tidak dicapai oleh orang-orang awam seperti kita.

Jadi tugas kita sekarang ialah memperbaiki sembahyang kita sekaligus memperbanyakanya. Untuk itu sekali lagi kita mesti mujahadah.Hanya dengan mujahadah kita dapat meningkatkan iman dan memperbanyakan amal soleh. Serta hanya dengan iman dan amal soleh saja kita akan dapat membangunkan dan menghiasi rumah kita di Akhirat nanti.

- Dendam
- Bakhil
- Bersangka buruk
- Tidak bertanggungjawap
- Tidak bertoleransi
- Tidak tolong menolong
- Serakah
- Keras hati
- Mementingkan diri sendiri
- Sombong
- Tidak sabar dengan tohmahan orang
- Memandang hina kepada seseorang
- Riya'
- Ujub
- Merasa diri hebat

Terhadap semua penyakit itu, wajib kita melakukan mujahadatunnafsi.
Firman Allah:-
Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman, sabarlah kamu (dalam menegakkan agama Allah) dan sabarlah kamu dalam perjuangan menghadapi musuh (hawa nafsu) dan tetap teguhlah kamu (dalam barisan perjuangan) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, moga-moga kamu mendapat kemenangan. (Ali Imran: 200)

Sunday, November 14, 2010

Kisah Mencari Tuhan

Tersebutlah satu kisah bahawa sewaktu Nabi Musa AS telah sampai di negeri Mesir setelah kembali dari negeri isteri Baginda di Madyan, maka Baginda telah menyampaikan risalah ke Rasulannya dan ajaran-ajaran agama yang telah diterima dari Tuhannya sewaktu menyendiri di bukit Tursina (Sinai) di lembah Thuwaa dengan ayat-ayat dalam kitab Taurat.

Dimulainya seruan ini kepada kaumnya Bani Israil di samping menghadapi Firaun dengan kaumnya yang memerintah Mesir waktu itu. Yang menjadi pokok ajaran Nabi Musa sama saja dengan asas ajaran segala Nabi SAW dan Rasul sebelum dan sesudahnya. laitu:

Bahawa kamu menyembah Allah dan janganlan kamu persekutukan-Nya dengan sesuatu pun!

Akhirnya sampailah seruan dan ajaran Nabi Musa ini ke satu negeri kecil yang jauh terpencil di hulu sungai Nil. Nama negeri itu Qiryah.

Adapun penduduk negeri ini antara seribu ke tiga ribu orang yang kebanyakannya terdiri dari suku-suku Bani Israil. Di antara orang-orang beriman yang tinggal di sana termasuklah seorang pemuda yang bernama Abdullah Syarafi. Pemuda tersebut tidak berasa puas hati sekadar beriman begitu saja kepada Allah SWT, malahan timbul keinginan dalam dirinya untuk mengetahui nyata siapakah sebenarnya Allah, Tuhan yang akan disembahnya nanti.

Perasaan ini mengganggu benaknya siang dan malam. Akhirnya beliau membuat satu keputusan. laitu dia akan pergi ke Mesir untuk menemui Nabi Musa AS supaya dapat bertanyakan halnya itu.

Qiryah ialah satu negeri yang jauh. Perjalanan ke Mesir memakan masa berhari-hari dengan menempuhi berbagai kesukaran mendaki bukit-bukau, merentasi hutan rimba yang tebal, penuh dengan binatang buas, melintas pula padang pasir tandus yang kering kontang. Semua itu sudah terbayang di kotak ingatannya.

Tetapi adakah itu semua menghalang beliau untuk meneruskan niatnya. Sama sekali tidak. Abdullah Syarafi terus bersiap-siap dan pada satu saat dan hari yang dikiranya baik, lalu mulalah beliau mengatur langkah seorang diri.

Sesudah menempuh beberapa hari perjalanan, kini hutan rimba menanti di hadapannya. Hutan rimba itu merupakan suatu pemandangan yang mengerikan. Sunyi dari suara manusia. Beliau terus melangkah semakin jauh ke tengah hutan rimba.

Tiba-tiba, beliau dikejutkan oleh satu pemandangan yang menakutkan sekaligus amat menyedihkan. Apa yang ditemuinya ialah sekujur tubuh manusia yang sudah dianiayai. Tubuh yang cuma tinggal badan dan kepala itu terlantar di bawah satu pohon. Kedua-dua kaki dan tangannya telah dipotong. Dia tidak dapat bergerak lagi kemana walaupun sekadar untuk mengiring ke kiri atau ke kanan.

Kaki dan tangannya yang sudah terpisah itu telah hampir reput dan penuh dikerumui ulat, lalat dan bermacam-macam binatang kecil yang memakan bangkai. Demikianlah keadaannya sehingga tiada apa lagi yang dinanti melainkan maut sahaja. Pemandangan itu amat mengharukan perasaan Abdullah Syarafi.

Namun! Satu perkara sangat mengejutkan beliau. Dilihatnya beratus-ratus ekor semut bergotong royong mengusung dengan susah payahnya akan buah-buah hutan. Dengan perlahan-lahan buah hutan itu dibawa hingga ke mulut insan yang malang itu. Lalu dapatlah dia makan dan menyambung sisa-sisa nyawa yang masih ada.

Kepada Abdullah Syarafi lalu diceritakan kisah dirinya hinggalah beliau jadi begitu sengsara. Katanya, semua itu berpunca dari perbuatan satu kumpulan penyamun yang telah merampas harta bendanya. Kemudian diceraikan pula kaki tangannya dan ditinggalkan di dalam hutan itu sejak lima hari yang lalu.

Hanya Allah SWT saja yang tahu betapa besarnya kesengsaraan yang ditanggungnya. Tetapi rupanya, ajal belum ditakdirkan untuknya lalu digerak Tuhan akan ratusan semut-semut untuk membawakan buah hutan sebagai rezekinya.

Itulah makanannya sejak terlantar tidak berkaki dan tidak bertangan.

Abdullah Syarafi pun menceritakan hal ehwal dirinya dan tujuannya untuk ke Mesir. Setelah habis diceritakan lalu orang itu berkata:

"Kalau begitu, tolonglah tanyakan kepada Nabi Musa, sesudah sampai begini rupa kekejaman orang terhadap diriku, maka adakah aku akan masuk syurga dengan menanggungnya?"

"Baiklah," balas Abdullah Syarafi dengan perasaan yang hancur luluh, lalu dia pun meminta izin untuk menyambung perjalanannya.

Abdullah Syarafi pun meneruskan perjalanannya yang masih jauh itu.

Beberapa hari kemudian, beliau terserempak dengan kumpulan penyamun yang telah menzalimi lelaki malang yang ditemuinya sebelum itu.

Rupanya Abddulah telah memasuki kawasan 'sarang' penyamun. Didapatinya mereka amat garang, bengis dan tidak ada tanda bersifat belas kasihan di wajah mereka. Sembilan orang semuanya.

Mulanya mereka hendak merampas barang-barang yang ada pada Abdullah, tetapi bila tidak mereka temui sesuatu pun yang berharga, lalu mereka bercadang untuk membunuhnya.

Berkata Abdullah, "Jikalau kematianku ada guna dan manfaatnya kepada tuan-tuan semua, maka bunuhlah hamba."

Tenang saja Abdullah menuturkan kata-katanya. Tidak ada rasa takut sedikit pun kerana beliau yakin bahawa Allah yang sudah dipercayainya diimaninya itu tidak akan membiarkan hal itu berlaku jika ianya memang tidak ditakdirkan atas dirinya.

"Tetapi," sambung Abdullah lagi, "Menurut fikiranku, tiada gunanya sama sekali tindakan tuan-tuan. Bahkan hanya akan mendatangkan kesusahan dan jadi beban pula kepada tuan-tuan. Kerana jika aku tuan-tuan bunuh, terpaksa pula mayat aku ditanam. Bermakna tuan-tuan terpaksa menggali tanah. Alangkah banyaknya kerja tuan-tuan hanya untuk menguruskan sekujur mayatku."

Abdullah Syarafi memerhatikan riak di wajah mereka. Kata-katanya memberi kesan terus ke hati mereka.

"Atau, jika tuan-tuan ingin membuang mayatku dari sini, tentulah terpaksa pula mengheret mayatku sekian jauh

Jikalau tidak, maka akan terganggulah tempat tuan-tuan ini oleh sebab busuknya bau mayatku nanti.

Maka jelaslah, jika tuan-tuan tetap akan membunuhku, hanya akan menyusahkan diri tuan-tuan juga.

Sedangkan manusia diberi akal oleh Tuhan. Supiaya dapat dengannya kita menimbang buruk baiknya sesuatu yang akan dikerjakan. Adakah ia memberi faedah atau sebaliknya. .."

Demikianlah Abdullah Syarafi terus berbicara hingga mulalah dia menceritakan hal ehwal dirinya dan tujuan dia menempuh perjalanan yang penuh bahaya itu. Selanjutnya berkata Abdullah, "Tuan-tuan, selama mana pun manusia hidup, akhirnya. akan mati juga.

Dan kelak sesudah mati, tiap-tiap manusia akan menghadapi pengadilan Tuhan. Menerima hukuman atas segala kejahatan yang telah dilakukannya. Jadi, bertaubatlah tuan-tuan dan berhentilah dari kejahatan ini sementara pintu dan jalan untuk taubat masih terbuka."

Demikianlah Abdullah mengakhiri nasihatnya. Dengan kehendak Allah jualah, maka segala tutor kata dan nasihat Abdullah Syarafi yang bersungguh-sungguh dian dengan penuh ikhlas itu rupanya menyelinap masuk ke dalam hati mereka langsung meresap masuk ke dalam perasaan keinsafan.

Lantas berbicara seorang dari mereka. "Bagaimanakah kami akan bertaubat Sedangkan dosa-dosa kami sudah terlalu amat banyak. Sudah sekian banyak harta benda manusia yang kami rampas, kami samun. Belum lagi dihitung penganiayaan yang telah kami lakukan terhadap mereka. Adapun nyawa manusia sahaja, sudah sembilan puluh sembilan yang terbang melayang.

Tetapi, meskipun demikian, memang kami telah mempunyai rasa takut terhadap azab-azab Allah di akhirat kelak. Oleh kerana tuan hamba akan pergi bertemu Nabi Musa, maka tolonglah tanyakan keadaan kami ini. Adakah Allah akan menerima taubat kami ini.. ?"

"Baiklah, akan hamba tanyakan kepada Nabi Musa," jawab Abdullah Syarafi dan dia pun meneruskan perjalanannya.

Selanjutnya, tinggal satu pertiga saja lagi perjalanannya, Abdullah Syarafi sedang melewati padang pasir yang tandus pula. Terdapat bukit-bukit berbatu-batan di beberapa tempat.

Tiba-tiba, beliau terserempak pula dengan seorang perempuan yang tinggal dalam sebuah gua batu. Perempuan setengah umur itu didapatinya tinggal di situ seorang diri.

Wanita separuh umur itu sedang tekun beribadah ketika Abdullah Syarafi terpegun melihatnya dengan rasa kagum.

Takala dia sudah selesai dari solatnya dan mendapati ada seorang pemuda tercegat di pintu guanya maka terkejutlah dia seraya membentak, "Siapa kamu? Apa yang kamu mahu? Adakah kamu hendak mengganggu ibadatku di sini?"
"Tidak! Sama sekali tidak bahkan hamba tidak tahu menahu adanya tuan hamba di sini. "Jawab Abdullah dengan tenang saja. Dan tidak langsung terlintas dalam benaknya untuk berlaku jahat.

"Tapi hamba amat hairan. Sebab melihat keadaan tuan hamba yang sendirian di sini. Jauh dari manusia dan tekun pula beribadah. Tidakkah tuan hamba berasa takut tinggal seorang di sini? Bahkan hamba pada mulanya menyangka tuan hamba ini entahkah jin atau peri yang menghuni tempat ini. Bolehkah tuan hamba menceritakan mengapa tuan hamba berada di sini?"

"Tuan hamba pula dari mana dan apa tujuan?" Tanya perempuan itu pula.

Lalu untuk kali ketiganya, Abdullah Syarafi pun menceritakan hal ehwal dirinya dari mula dia beriman dengan risalah yang disampaikan oleh Nabi Musa AS hinggalah dia menempuh perjalanan yang serba sukar, bahaya dan meletihkan itu.

Setelah itu perempuan itu pula menceritakan hal ehwal dirinya. Maka fahamlah oleh Abdullah bahawa perempuam itu berada di situ kerana mahu mengasingkan dirinya dari manusia untuk melakukan ibadatnya dengan tekun.

Tidak diganggu oleh sesiapa. Dia juga berasal dari Mesir. Sudah bersuami dan punya beberapa orang anak.

Tetapi lantaran berasa khuatir, semua itu akan menghalanginya dari melakukan ibadat kepada Tuhannya, maka dia pun ber'uzlah' ke tempat sunyi itu.

"Hamba senang berada di sini." Tambah wanita itu lagi, "Asyik beribadat. Siang berpuasa. Malam beramal. Hidup hamba kini semata-mata untuk Tuhan dan hamba tidak lagi rasa khuatir akan terganggu oleh urusan rumah tangga, suami dan anak-anak juga masyarakat dan oleh kerana tuan hamba akan pergi bertemu Nabi Musa, tolonglah tanyakan kepada Baginda, adakah Tuhan menerima sekelian ibadat dan amal hamba ini dan memasukkan hamba ke dalam syurga-Nya lantaran demikian banyaknya amalan hamba ini." "Baiklah. Akan hamba tanyakan."

Lalu Abdullah Syarafi pun mohon izin dan dia pun berlalu dari situ, Tiada lama kemudian, sampailah dia di Mesir dan setelah dapat berjumpa dengan Nabi Musa AS maka segeralah dia menyatakan maksud kedatangannya yang hendak mencari Tuhan supaya biar tentu benar siapa Allah Tuhan yang hendak disembahnya itu.

Sebelum dia menutup kisah dirinya, sempat dia menyampaikan pertanyaan-pertanyaan yang dipesankan oleh mereka yang ditemuinya semasa dalam perjalanan. Jawab Nabi Musa AS:

"Wahai Abdullah Syarafi! Engkau fikirkanlah dan renungkanlah akan sifat-sifat dan makhluk bekas kekuasaan Allah SWT itu. Jangan sekali-kali engkau memikirkan zat Nya. Kerana engkau tidak akan sama sekali dapat memikir-Nya walau bagaimama sekali susah payahnya engkau.

Tetapi sentiasalah engkau akan menemui bukti kewujudan Allah itu pada semua bekas kekuasaannya yakni kejadianNya. Lihatlah alam yang terbentang ini. Termasuk juga kejadian dirimu sendiri, adalah menjadi saksi dan bukti akan adanya Tuhan. Dari mana engkau dan semua makhluk yang ada telah datang dan kemanakah nanti akan pergi?

Wahai Abdullah Syarafi, jangankan hendak menemui wujudnya Zat Tuhan itu yang memang sudah sengaja dighaibkan oleh-Nya kepada kita semua sekarang ini. Entah mungkin nanti dizahirkan-Nya di akhirat, kalau memang hijab sudah diangkatNya. Bahkan sesuatu yang ada dalam tubuhmu yang kamu sendiri pasti akan adanya dan kamu dapati bekas-bekas dan kesan perbuatanya, itupun tidak dapat kamu melihatnya. Yakni ruh kamu sendiri.

Maka apatah lagi Zat Dia yang telah mengadakan segalanya itu!

Jikalau Allah SWT menzahirkan Zat-Nya kepada kita ummat manusia sekarang ini... maka apalah gunanya lagi tugas kami sebagai Rasul utusan-Nya ini. Sedangkan kami ini menyampaikan khabar-khabar ghaib yang wajib diimani dipercayai itu?

Maka bukankah telah nyata bahawa ghaibnya Zat Tuhan dijadikan suatu ujian bagi keimanan seseorang hamba."

Termenung. Terpegun dan bungkamlah Abdullah Syarafi mendengar huraian yang sangat tepat dari Nabi Musa AS itu. Terus meresap ke dalam relung-relung kesedaran jiwanya akan segala kebenaran yang dituturkan oleh RasuluLlah Musa AS itu.

Dan dia mendengar lagi huraian-huraian selanjutnya bagi tiga persoalan yang dibawanya.

"Adapun kemudian dari itu, sehubungan dengan tiga jenis pertanyaan dari tiga golongan yang telah engkau temui itu, beginilah keterangannya.

Adapun yang ditimbulkan oleh Hakikat Iman seseorang manusia itu, ialah adanya empat macam sifat pada dirinya: Dua yang wajib diingati dan dua yang wajib dilupakan.

Maka dua yang wajib diingati ialah jasa-jasa orang terutama nikmat Allah terhadap dirinya. Dan kedua, ialah kesalahan- kesalahan dan kejahatann dirinya terhadap orang lain, terutama dosa-dosanya terhadap Allah.

Serta dua macam yang wajib dilupakan, ialah jasa-jasa dan kebaikan dirinya kepada orang lain, termasuklah amal-amal dan ibadatnya kepada Allah.

Serta yang kedua, akan kesalahan-kesalahan dan kejahatan orang terhadap dirinya.

Dari itu, wahai Abdullah Syarafi, adapun orang yang engkau temui menderita di dalam rimba itu sengsara dengan sebab kekejaman-kekejaman dan aniaya orang ke atas dirinya, maka ia telah mengingat-ingati barang yang wajib dilupakan. Dan sebaliknya dia telah melupakan apa yang wajib diingati.

Diingat-ingatinya kejahatan penyamun yang dialaminya, tetapi ia melupakan jasa-jasa semut yang telah disuruh Allah untuk menghantarkan makanan ke mulutnya. Maka dengan demikian itu dia tidak mempumyai "Hakikat Iman", dan dari itu tidaklah akan masuk syurga.

Begitu pula tentang perempuan yang engkau temui mengasingkan diri ke tempat yang sunyi itu.

Ketahuilah bahawasanya agama itu disyariatkan Tuhan kepada umat manusia, ialah untuk membawakan ajaran dan petunjuk-petunjuk hukum bagi mereka, bagaimana adanya peraturan hubungan dengan Allah dan hubungan antara manusia.

Nyatalah dengan tindakannya mementingkan dirinya meninggalkan rumah tangga, suami dan anak-anak serta masyarakatnya itu, suatu tindakan putus asa, yang dengan sendirinya dia telah merosakkan ajaran agamanya sendiri kerana ia telah memutuskan hubungannya dengan manusia.

Padahal, menanggung kesusahan kerana perhubungan demgan manusia itu, baik berupa hubungannya dalam melayani kepentingan suami sendiri, anak-anak atau masyarakatnya, adalah yang demikian itu termasuk amal dan ibadat juga baginya. Dan itu juga termasuk ajaran-ajaran agama kepada manusia.

Dan lagi sebabnya Tuhan mengharamkan bunuh-membunuhnya dan peperangan terjadi, ialah kerana akibatnya memusnahkan isi dunia, memutuskan perhubungan antara manusia dan memutuskan keturunan. Sedangkan tujuan Tuhan ialah supaya dunia ini diramaikan dengan manusia.

Maka kalau sama sajalah pendapat segala manusia dengan perempuan itu, yang lelaki tidak hendak beristeri dan yang perempuan tidak pula hendak bersuami lagi, maka tentulah dengan sendirinya, paling lama sesudah satu keturunan yang akan datang ini, akan putuslah keturunan manusia, mereka akan musnahlah dari permukaan bumi. Dari itu, samalah dosanya dengan membunuh orang ramai.

Lagi pula yang dikehendaki oleh Hakikat-lman, ialah melupakan jasa-jasa diri, termasuk amalan dan ibadat kepada Tuhan. Maka sikap perempuan itu menunjuk-nunjukkan ibadatnya, seakan-akan ia telah berasa cukup mengadap Tuhan dengan ibadatnya itu.

Teranglah dengan demikian, dia pun tidak mempunyai Hakikat-lman. Kerana itu dia tidak akan masuk syurga, malahan masuk ke dalam golongan isi Neraka.

Tetapi tentang penyamun yang sembilan orang itu, mereka telah mengakui kesalahan-kesalahannya. Bahkan mereka telah saling merasa takut akan hukum siksaan, akibat daripada dosa-dosanya itu.

Maka justeru kerana itulah mereka telah bertanya tentang taubat kepada aku. Jikalau tiada kerana keinginannya hendak bertaubat itu, tentulah mereka tidak akan bertanya sedangkan Allah SWT. tidak pernah menutup pintu taubat buat sekalian hamba-Nya (kecuali dosa syirik), sekalipun banyaknya dosa-dosanya itu memenuhi ruang langit.

Dari itu, dengan demikian merekalah yang mempunyai Hakikat Iman. Dan jikalau mereka meneruskan taubatnya itu, maka merekalah yang akan masuk syurga ...."


Wednesday, November 10, 2010

Susah Untuk Mengamalkan Amalan Hati

Mengamalkan syari'at lahir adalah hal yang sulit, buktinya lihat saja umat Islam hari ini ramai yang tidak solat, tidak puasa, tidak membayar zakat, tidak membaca al-Quran, tidak belajar agama,
tidak menutup aurat, melakukan pergaulan bebas, ikut system riba, berzina, minum minuman keras, menipu, mengadu domba, fitnah-menfitnah dan bermacam-macam perbuatan yang semuanya bertentangan
dengan syari'at.

Umat Islam hari ini yang bangga dengan keIslaman mereka adalah umat Islam yang gagal menegakkan syiar Islam dalam kehidupan mereka dan masyarakat mereka, bukannya mereka tidak tahu apa itu
syari'at Islam yang diperintahkan pada mereka, tetapi mereka tidak mampu melaksanakannya, mereka lemah melawan tuntutan hawa nafsu dan syaitan yang kuat menarik mereka kepada jalan-jalan kejahatan dan kerosakan.

Begitulah susahnya mengamalkan syari'at Islam dan itu menjadi mesalah besar yang dihadapi oleh majority umat Islam hari ini. Namun mengamalkan syari'at batin jauh lebih susah daripada syari'at lahir. Sebab amalan batin merupakan ilmu rasa (zauk) dan bukan ilmu kata, bukan sebutan dan teori tetapi merupakan rasa hati. Bukan saja orang yang lemah syari'atnya tidak dapat melaksanakan syari'at batin bahkan orang syari'at lahirnya sudah kuat dan bagus masih belum dapat merasakan dan menghayatinya.

Buktinya dapat kita rasakan sendiri. Meskipun sedikit sebanyak kita sudah melakukan syari'at lahir seperti solat fardhu, solat sunat, puasa , zakat, haji, berjuang dan berjihad, belajar ilmu-ilmu agama bahkan mengajar orang lain menutup aurat, berdakwah dan lain-lain, tetapi kita masih lalai dari mengingati Allah dan tidak cinta pada-Nya, tidak ada rasa takut dengan kehebatan Allah serta hina diri dengan Allah. Tidak sabar berhadapan dengan ujian, tidak merasakan kuasa itu ditangan Allah, tidak merasa diri berdosa. Malah masih suka mengumpat, hasad dengki, cinta dunia, tidak ada rasa belas kasihan, tidak berlapang dada bila berhadapan dengan manusia yang bermacam ragam. Sombong, pemarah, pendendam, buruk sangka, serakah, keras kepala, keluh kesah, putus asa, tidak redha dengan takdir, tidak bimbang dengan hari Hisab, tidak takut Neraka, tidak rasa rindu dengan Syurga yang penuh kenikmatan.

Kita menganggap kehebatan kita yang membuat diri kita mencapai kejayaan. Kita tidak merasakan bila saja Allah akan datangkan bencana dan mematikan kita. Kerana merasa hebat maka kita membuat hutang, gila pangkat, mengatur pelbagai rancangan, tidak merasa kelemahan diri, tidak senang dengan kata nista orang, tidak senang dengan kelebihan orang yang menandingi kita, rasa menderita dengan kemiskinan, masih benci dengan orang yang tidak beramal (bukan rasa kasihan), masih merasa lebih bila berhadapan dengan orang yang tidak beramal, masih rasa terhina untuk menerima kebenaran dari orang lain, masih berat untuk mengakui kesalahan walaupun tahu kita sudah bersalah.

Jiwa merasa menderita bila dicaci, merasa tenang dan senang hati bila disanjung, merasa bangga bila mendapat nikmat, merasa mahu hidup lebih lama lagi dan merasa menderita bila miskin dan papa.
Merasa bangga dengan kelebihan diri, merasa terhina dengan kekurangan, tidak pernah puas (cukup) dengan apa yang ada, tidak merasa berdosa (bersalah), tidak merasa dunia kecil dan hina, tidak merasa akhirat besar, tidak menderita bila berbuat dosa atau kesalahan tetapi menderita bila harta dan jawatannya hilang.

Mereka yang bagus dan kuat syari'at lahirnya pun masih belum dapat melaksanakan amalan batin (syari'at batin) secara istiqamah dan bersungguh-sungguh, apatah lagi yang amalan lahirnya diabaikan sama sekali. Lebih susah bila mereka mendapat amalan batin.

Kalau diumpamakan syari'at itu pohon, maka amalan batin adalah buahnya. Orang yang sudah memiliki pohon pun belum tentu memperoleh buahnya (dan kalaupun dapat buah belum tentu sedap rasa buahnya), apa lagi orang yang tidak menanam pohon sama sekali.

Begitulah perbandinagannya orang yang tidak bersyari'at. Susah sekali baginya untuk merasakan hakikat. Kalau secara lahir dia tidak dapat tunduk pada Allah, tentu batinya lebih susah untuk diserahkan pada Allah.

Sunday, November 7, 2010

Sifat Manusia

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

Huraian
i) Manusia secara semulajadinya bersifat tamak dan dengki terhadap kelebihan orang lain.

ii) Kedua-dua sifat ini membawa kerugian kerana ia akan melahirkan individu yang tidak bersyukur sehingga hubungan dalam masyarakat menjadi rosak akibat daripada berlakunya pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri.

iii) Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan redha di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah S.W.T. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur).

iv) Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.

Wednesday, November 3, 2010

Ciri-Ciri Hati Yang Sihat

Pertama: Jika ia tertinggal wiridnya dari Al-Quran atau zikrullah, atau suatu peribadatan lainnya, maka ia merasakan sakit yang tiada terperi melebihi sakit orang yang tamak dan kikir ketika kehilangan barang kesayangannya.

Kedua: Ia sentiasa merindui untuk mengabdikan diri di jalan Allah seperti rindunya seseorang kepada orang yang amat disayangi.

Ketiga: Tujuan hidupnya hanya satu, iaitu taat kepada Allah SWT

Keempat: Bila ia sedang melakukan solat, maka hilanglah semua kegundahannya pada kenikmatan dunia yang sementara. Di dalam solat telah ia temukan kenikmatan dan kesejukan jiwa yang suci.

Kelima: Sangat menghargai waktu dan tidak mensia-siakannya, melebihi rasa kekhuatiran orang bakhil menjaga hartanya.

Keenam: Tidak pernah terputus dan malas dalam mengingati Allah.

Ketujuh: Lebih mengutamakan pada pencapaian kualiti atas suatu amalan perbuatan daripada kuantitinya. Lebih cenderung kepada keikhlasan beribadat.

Empat jenis racun hati

Pertama: Berlebihan dalam berbicara

Kedua:Berlebihan dalam memeandang

Ketiga: Berlebihan dalam makan

Keempat: Berlebihan dalam bergaul

Saturday, October 23, 2010

Apabila Hati Sudah Buta

Apabila hati manusia telah buta,
Atau jika hati manusia telah mati,
Perasaannya yang positif sudah tidak ada lagi,
Kasih sayangnya hilang, rasa simpatinya gersang,
Bertimbang rasa sesama manusia lenyap sama sekali,
Belas kasihannya tercabut sama sekali dari jiwanya,
Maaf-bermaafan tidak akan berlaku sesama manusia,
Di waktu itu hatinya kejam, jiwanya keras,
Kalau dia menzalim atau menganiaya manusia,
terhibur hatinya,


Kalau dia disinggung orang, sangat berdendam,
Jika orang mendapat kesusahan gembira hatinya,
Puas hatinya melihat orang di dalam penderitaan,
Dia jadi orang pemarah, emosional dan pemberang,
Jangan ada orang yang mencabarnya, dia tidak sabar,
Dia akan bertindak balas kepada orang itu,
Kalau mendapat pangkat, kekayaan,
sombongnya terserlah,
Jika mendapat kesusahan atau ujian,
aduh, sungguh derita jiwanya,
Sentiasa sahaja keluh-kesah, resah dan gelisah,
Marah-marah pun tiba hingga sikap tidak normal lagi,
Pantang diberi ingatan dan nasihat,
Payah mahu menerima bahkan dia tersinggung,
Sakit hati pun membara kepada orang itu,
Begitulah jika hati manusia sudah buta,
Atau kalau jiwa manusia telah mati,


Oleh itu hati kenalah jaga,
Jangan biarkan ia buta atau mati.

Monday, October 18, 2010

Amalan Lahir (Syariat) dan Amalan Batin (Hakikat)

SYARIAT ialah amalan-amalan lahir yang diperintahkan kepada umat Islam baik itu yang wajib atau mubah kedudukannya.

Syariat lahir terbagi dua:
1. Hablumminallah
2. Hablumminannas

Hablumminallah ialah amalan-amalan yang termasuk persoalan ibadah. Contohnya solat, puasa, zakat, haji, baca Quran, doa, zikir, tahlil, selawat dan lain-lain.

Hablumminannas ialah amalan-amalan lahir kita yang termasuk dalam bidang-bidang muamalat (kerja-kerja yang ada hubungkait dengan masyarakat), munakahat (persoalan kekeluargaan) dan kriminal serta tarbiah Islamiah, soal-soal siasah, fisabilillah, jihad dan persoalan alam sejagat.

HAKIKAT ialah amalan batin yang diperintahkan ataupun yang dilarang oleh Allah SWT kepada umat Islam. Amalan yang diperintahkan dikenali sebagai sifat “mahmudah” (sifat-sifat terpuji) dan yang dilarang ialah sifat “mazmumah” (sifat-sifat terkeji).

Hakikat juga terbagi dua:
1. Berakhlak dengan Allah
2. Berakhlak dengan manusia

Antara bentuk-bentuk akhlak dengan Allah ialah:

    * Mengenal Allah dengan yakin;
    * Merasa kehebatan Allah;
    * Merasa ngeri dengan Neraka Allah;
    * Merasa senantiasa diawasi oleh Allah;
    * Merasa hina diri dan malu dengan Allah;
    * Meredhai setiap takdir dan ketentuan Allah;
    * Sabar di atas sebarang ujian Allah;
    * Mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah;
    * Mencintai Allah;
    * Merasa takut pada Allah atas kecuaian dan dosa-dosa kita;
    * Tawakal kepada Allah;
    * Merasa harap pada rahmat Allah;
    * Rindu pada Allah;
    * senantiasa mengingati Allah;
    * Rindu pada syurga Allah karena ingin bertemu dengan-Nya.

Bentuk-bentuk akhlak kepada manusia:

    * Mengasihinya sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri;
    * Merasa gembira di atas kegembiraannya dan tumpang berdukacita karena kedukacitaannya;
    * Menginginkan kebahagiaan untuknya disamping berharap agar kecelakaan menjauhinya;
    * Benci pada kejahatannya tetapi kasihan pada dirinya hingga timbul perasaan untuk menasihatinya;
    * Pemurah padanya;
    * Bertolak ansur dengannya;
    * Mengenang jasanya dan berusaha membalasinya karena Allah;
    * Memaafkan kesalahannya dan sanggup meminta maaf atas kesalahan padanya;
    * Kebaikannya disanjung dan diikut, kejahatannya dinasihati dan dirahsiakan.
    * Lapang dada berdepan dengan ragam manusia;
    * Baik sangka terhadap orang Islam;
    * Tawadhuk dengan manusia.

Kedua syariat dan hakikat adalah perkara-perkara yang sangat penting untuk membentuk peribadi yang benar-benar bertaqwa dan terlepas dari sifat-sifat nifaq. Kita wajib mengamalkan kedua-duanya serentak dan seiring. Namun adalah diakui bahwa bukanlah mudah bagi kita untuk mengamalkannya.

Allah SWT menjelaskan ini dengan firman-Nya dalam surah Al Baqarah:

Terjemahannya:

Mintalah bantuan dalam urusanmu dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk yaitu orang-orangb yang meyakini bahwa mereka akan menemui Tuhannya dan bahwa kepada-Nyalah mereka akan kembali (Al Baqarah : 45)

Allah SWT mengatakan untuk menjadi orang yang sabar itu susah dan untuk menjadi orang-orang yang tetap bersembahyang itu juga susah. Maknanya kedua-dua amalan lahir dan batin itu memang susah untuk diamalkan. Tetapi ia jadi mudah dan senang bila kita dapat memiliki sesuatu yang lebih penting dari keduanya yaitu rasa khusyuk dengan Allah (rasa diawasi Allah setiap masa), yakni yakin akan pertemuan dan pengembalian diri ke hadrat Allah SWT di akhirat nanti.

Dari situ fahamlah kita bahwa antara kedua-dua amalan lahir dan batin, yang mesti diberatkan dan didahulukan pada diri kita ialah amalan batin. Kita usaha dapatkan dulu rasa khusyuk atau yakin akan kewujudan Allah serta pertemuan kembali kita dengan-Nya di satu hari nanti. Kemudian nanti, barulah kita akan ada kekuatan untuk mengamalkan syariat dan hakikat.

Tanpa rasa khusyuk itu, kita tidak akan dapat mengalahkan hawa nafsu dan syaitan yang senantiasa bersungguh-sungguh mengajak kita menderhakai Allah.

Inilah panduan kita untuk memperjuangkan Islam dalam diri manusia. Apa yang mesti didahulukan ialah berusaha supaya hatinya berubah, dari hati yang tidak kenal Allah kepada hati yang khusyuk dan cinta kepada Allah. Dari hati yang lalai kepada hati yang senantiasa ingatkan Allah. Bila hati sudah cinta Allah akan ringanlah manusia itu menerima dan mengamalkan syariat Allah lahir dan batin.

Sunday, October 17, 2010

Ciptaan Tuhan Tidak Sia-sia

Ciptaan Tuhan Tidak Sia-sia
Salah satu sifat Tuhan apa yang dicipta-Nya tidak ada yang sia-sia
Sama ada yang kecil mahupun yang besar
Yang halus mahupun yang kasar
Sama ada mengikut pandangan manusia jijik atau menakutkan
Semuanya berlaku dengan hikmah
Sama ada mengandungi ilmu, didikan mahupun pengajaran
Sekalipun seekor hama yang halus yang berada di tengah belantara ada maksud dari Tuhan
Walaupun seekor kuman di atas gunung yang tinggi di dalam batu pejal ada hikmah yang tersembunyi
Binatang yang merbahaya seperti harimau dan buaya walaupun menakutkan manusia ada pengajaran
Sama ada yang disuka atau yang dibenci oleh manusia ada rahsia dari Tuhan
Bahkan tidak ada makhluk yang Tuhan cipta yang sia-sia
Semuanya ada maksud dan tujuan
Cuma banyak manusia yang tidak tahu hikmah dan rahsianya, didikan dan pengajarannya
Maha Suci Tuhan daripada membuat sesuatu yang sia-sia
Sekalipun pada pandangan manusia perkara itu remeh sahaja
Perlu diingat, pada Tuhan semua perkara sama sahaja
Pandangan Tuhan tidak ada bezanya di antara halus dan kasar
Di antara kecil dan besar
Dan yang jijik dan yang menyenangkan
Walaupun Tuhan tahu perbezaan itu
Dari segi menciptanya sama saja
Dari segi melihat sama juga
Kerana Tuhan bukan melihat dengan mata
Bukan kemampuannya dengan tenaga
Dan Tuhan tidak merasa dengan jiwa dan perasaan
Setiap hikmah dan pengajaran itu Allah wujudkan tidaklah menimbang-nimbang
Menimbang-nimbang adalah dengan akal dan fikiran
Tuhan tidak ada akal dan fikiran
Maha Suci Allah Taala berakal dan berfikiran
Hikmah dan pengajaran itu terjadi adalah dengan kuasa dan ilmu Tuhan yang sedia sempurna
Yang tidak perlu menimbang-nimbang dan memikirkan
Maha Agung Engkau Tuhan

Sunday, October 10, 2010

Fadhilat Berzikir

Hafiz ibnu Qaiyim R.A. adalah seorang ulama hadis yang termashur, di dalam risalah Al-Wabil beliau menggariskan beberapa kelebihan berzikir antaranya:

* Zikir menjauhkan syaitan dan melemahkan kekuatannya

* Zikir menyebabkan Allah redha

* Zikir menjauhkan dukacita daripada hati manusia

* Zikir menggembirakan hati

* Zikir menguatkan badan dan menyeronokan sanubari

* Zikir memurahkan rezeki

* Zikir adalah sinaran hati dan muka

* Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya seseorang merasa gentar

* Zikir melahirkan cinta sejati kepada Allah kerana cinta itulah roh islam, jiwa agama, dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Zikrullah itu merupakan pintu cinta Ilahi.

* Zikir adalah mendatangkan hakikat Muraqabah dan Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat ihsan. Dengan adanya martabat ihsan maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang seolah-olah ia melihatNya

* Zikir membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulat-bulatnya kepada Allah. Dengan ini lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah menjadi pelindung dan pembantu baginya.

* Zikir adalah membawa seseorang kepada Takarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah dan semakin bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya ia bertambah jauh dari Allah.

* Zikir adalah membuka pintu makrifat Allah

* Zikir melahirkan keagungan dan kehebatan Allah dan semangat merapatkan diri kepada Allah.

* Zikir adalah menyebabkan Allah ingat kepada seseorang yang ingat kepadanya seperti mana disebutkan di dalam Al-Quran (surah Al Baqarah 152) "Fazkuruunii azkurkum" ertinya; "kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat pula kepada mu".

Wednesday, October 6, 2010

Rintihan Hamba

Ada orang menyangka ibadah itu sekadar rukuk dan sujud di tikar sembahyang. Atau mengalunkan ayat-ayat Al Quran dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. Atau menggentel biji tasbih dengan berzikir dan bertahmid. Atau sekadar membahagi-bahagikan harta kepada fakir miskin. Ibadah itu luas pengertiannya. Seluas lautan yang tak bertepi. Ibadah tidak terbatas pada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Ia tidak terbatas pada puasa sunat seperti puasa Nabi Daud; sehari berpuasa sehari berbuka. Pun tidak dikhususkan kepada membayar zakat, menunaikan haji dan sebagainya. Ibadah adalah pengabdian diri kepada Allah. Dan antara bentuk pengabdian diri yang tidak ketara dan tidak perlu mengeluarkan tenaga ialah ingatan hati dan rintihan hati kepada Allah. Ia merupakan ibadah yang besar nilainya di sisi Allah. Mudah tetapi tidak ramai yang mampu melakukannya. Mengingati Allah dikira ibadah kerana ia menandakan seorang hamba itu benar-benar berhati hamba. Hamba yang tak punya apa-apa. Yang sewaktu datang ke dunia, tak membawa walau seurat benang di tubuh.

Justeru hati sentiasa ingat kepada Yang Maha Pencipta, senantiasa mengharap bantuan-Nya dan sentiasa bergantung kepadaNya. MengingatiNya menimbulkan rasa syukur atas segala nikmat kurniaanNya. Namun berapa kerat di antara kita yang ingat akan Allah. Ramai yang lalai dan lupa. Dalam sembahyang, fikiran menerawang entah ke mana. Apatah lagi di luar sembahyang. Renungilah sabda kekasihNya dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: "Wahai anak Adam! Jika engkau ingat kepadaKu. Aku juga tetap ingat kepadamu. Dan jika engkau lupa kepadaKu. Aku masih ingat terus kepadamu. Apabila engkau taat kepadaKu, maka pergilah ke mana saja yang engkau suka, di tempat engkau mematuhiKu dan aku mematuhimu, dan engkau mengikhlaskan kecintaanKu kepadamu, kemudian engkau memalingkan diri daripadaKu, sedang aku tetap mengambil berat terhadapmu. Siapakah yang memberimu makan sewaktu engkau masih janin di dalam perut ibumu. Aku tetap menguruskan segala keperluanmu dengan baik, sehingga terlaksana semua takdirKu terhadapmu. Apabila aku lahirkan engkau ke alam dunia, engkau lalu membuat maksiat. Bukan begini sewajarnya balasanmu terhadap siapa yang berbuat baik kepadamu."Memang wajar kita mengingati Allah yang telah banyak memberi nikmat kepada kita. Allah yang sentiasa ingat akan kita. Yang terus saja memerhatikan kita. Yang terus mengasihani kita. Yang terus memberi rezeki pada kita walaupun Dia seringkali diderhakai.

Dengan apa patut kita balas nikmat Allah yang terlalu banyak itu. Ibarat orang yang sedang bercinta, cukuplah asal dikenang atau diingati orang yang dicintai. Begitu juga dengan Allah. Ingatlah Dia kemana kita pergi. Ingat akan Allah bukan semestinya di tikar sembahyang saja. Biar tubuh bersama manusia tetapi hati bersama Allah. Agar setiap detik kita sentiasa dalam ibadah. Rasulullah bersabda yang maksudnya:
"berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat seribu rakaat (yang tidak khusyuk)."

Demikian keutamaan bagi orang yang sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah. Akal yang berfikir akan meruntun hati agar sentiasa ingat kepada Allah. Apabila hati selalu mengingatiNya, terasa betapa hampirnya Allah dengan kita. Hati akan selalu bermunajat dengan Allah; menginsafi kelemahan diri, lantas mengharap belas kasihan Allah kepada kita yang terlalu banyak berbuat dosa. Hati merintih dan mengharap rahmat Allah yang maha luas itu. Datanglah perasaan betapa hinanya diri yang berasal dari setitik air mani. Tanpa rahmatnya tinggallah kita dalam kehinaan selama-lamanya. Rintihan hati inilah tanda kita hamba yang tak punya kuasa apa-apa untuk menghalang kudrat dan iradahNya. Tak berupaya menepis Qadak dan QadarNya. Hanya belas kasihan Allah yang diharapkan dapat menjauhkan diri daripada segala bala bencana. Hati yang tidak pernah ingat, apalagi merintih kepada Allah, adalah hati seorang tuan. Adakalanya segaja Allah timpakan ujian yang berat ke atas hambaNya. Ketika itu hati si hamba akan merintih walaupun bibir boleh mengukir senyum. Kadang-kadang ujian datang silih berganti; seolah-olah Allah tidak mendengar rintihan hati hambaNya. Sebenarnya, Allah rindu untuk mendengar rintihan hati si hamba. Tanpa ujian, hati tidak ingat Allah dan ia berasa tenteram, hingga hilanglah rasa kehambaan daripada dalam diri.

Lalu kerana itu, Allah datangkan ujian silih berganti agar rintihan hati si hamba tidak terputus kepada Tuhannya. Hukama berkata: "Allah lebih suka mendengar rintihan hamba yang berdosa (termasuk rintihan hati) daripada seorang abid yang duduk beribadah."Demikian tingginya nilai rintihan hati seorang hamba dibandingkan dengan ibadah lahir. Ibadah lahir belum tentu melahirkan rasa kehambaan, kerana boleh jadi seorang yang beribadah itu berasa selamat dengan ibadahnya. Ingatan hati dan rintihan hati seorang insan terhadap Tuhannya datang daripada rasa kehambaan yang tulen. Rasa kehambaan inilah tanda seorang insan telah mendapat nikmat iman yang tinggi nilainya. Tiada sesuatu yang lebih berharga daripada nikmat iman. Beruntunglah mereka yang dianugerahi nikmat ini. Hanya hamba-hambaNya yang terpilih saja yang akan dikurniai rasa kehambaan. Seorang hamba yang hatinya sentiasa ingat dan merintih kepada Allah tidak bangga dengan nikmat, tidak gelisah dengan bala, tidak rasa tenang dengan pujian, dan tidak menderita dengan kejian. Hati sentiasa merasa serba kekurangan dan amat memerlukan Allah dalam semua keadaan. Inilah yang dikatakan hati yang hidup, yang sentiasa dalam beribadah. Apatah lagi jika ditambah dengan banyaknya ibadah lahir seperti sembahyang, puasa, sedekah dan sebagainya; makin tinggilah darjat si hamba di sisi Khaliqnya.

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (Al-An'aam: 162-163)

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai." (Al-A'raaf: 205)

"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar." (Yunus: 62-64)

Sunday, October 3, 2010

Pimpinlah Aku

Tuhan! Jika aku masih boleh sujud kepada-Mu,
Menunjukkan Engkau masih memanggil aku,
Engkau masih lagi membenarkan aku membesarkan-Mu,
Cuma aku sahaja tidak pandai beradab dengan-Mu,
Aku hamba-Mu memang tidak pandai beradab dengan-Mu,
Di dalam tidak pandai beradab pun,
Engkau masih sudi menjemput aku,
Begitulah rahmat dan kasih sayang-Mu,
Hanya aku sahaja tidak pandai menerima rahmat-Mu itu,
Tuhan! Ajarkanlah aku lagi bagaimana beradab dengan-Mu,
Agar aku dapat bersopan sesuai dengan kebesaran-Mu,
Aku takut setiap kali aku menyembah-Mu,
Aku derhaka dengan-Mu tanpa disedari,
Tuhan! Ampunkanlah aku,kalau aku tidak pandai membesarkan-Mu,
Maafkanlah aku jika aku tidak pandai beradab dengan-Mu,
Begitulah aku hamba-Mu yang lemah lagi hina ini,
Selalu sahaja tidak beradab dengan-Mu,
Kerana itu janganlah sampai,
Engkau putuskan hubunganku dengan-Mu,
Teruslah Engkau panggil aku mengadap-Mu,
Aku pula cuba membaiki hubunganku dengan-Mu,
Pimpinlah aku lagi agar aku pandai membesarkan-Mu.